Friday, November 18, 2011

Kisah Persahabatan Luar Biasa


Bismillahirahmanirahim

Kita manusia yang biasa-biasa
Namun bersahabat kita luar biasa
Bukan hairan pada kerapnya kita berjumpa
Namun hebat pada eratnya kita bersama

Kita bukan manusia sempurna
Ada juga iri dan terasa
Namun kisah kita bukan kisah biasa
Semua itu kita hadapi dengan bijaksana

Terkadang ku lewa, kamu yang sedarkan
Terkadang kau terlena, aku yang bangunkan
Terkadang kita sama-sama terlupa
Sama-sama kita kembali mengingati

Pesimisnya aku pada dunia
Takut dengan cengkaman durjana
Mujur Allah kurniakan kamu ada di sisi
Yang perih dan jerih dapat ku nikmati

Sahabat, ku ingin kau tahu
Hatiku cuma dikurnia satu
Tidak mampu benar-benar saksama
Hingga terkadang tersilap tingkahnya

Persahabatan kita memang utuh
Namun harus tahu mula akhirnya
Persahabatan ini cuma wasilah
Pencarian hamba akan Sang Pencipta

Justeru sahabat si jantung hati
Ayuh berjuang mencari redha Illahi
Membawa agama Allah ke puncak tertinggi
Menjadi mata rantai perjuangan para Nabi

Kisah kita bukan kisah biasa-biasa
Bukan juga kisah main-main sahaja
Impianku ingin bersama hingga ke syurga
Membina mahligai nan indah di sana



18/11/11 : 8.17 am

Tuesday, November 1, 2011

Pemurah dalam Mengungkapkan Perasaan Sayang

Bismillahirahmanirahim..

'Perempuan memang mudah ucap sayang, ukhuwwah fillah, love u lillah dan lain-lain lagi.' cetus seorang sahabat berpangkat kakak pada sesi usrah suatu ketika dahulu. Tersentak juga mendengarnya. Iya juga, memang mudah. Dalam diam saya bersetuju dengan pandangannya.

Lebih baik begini..
Setelah difikir-fikirkan lebih baik mudah ucap sayang daripada mudah ucap benci.Lebih baik mulut ringan menyebut perkara yang baik-baik daripada menyebut perkara yang bukan-bukan yang boleh menyinggung perasaan. Anda rasa bagaimana?


Namun, lagi baik kalau begini...
Tersangat baik kalau apa yang dituturkan datang daripada hati. Sebelum meluahkan sayang pada sahabat, doakan pada Allah supaya Allah benar-benar melimpahkan sayang itu pada hati kita. Supaya Allah memenuhi ruang hati kita dengan kasih sayang bukan benci.Supaya Allah memaniskan wajah kita dengan senyuman bukan wajah bersalut prasangka.Bukankah senyuman itu sedekah. Semoga kita semua tidak lokek dengan senyuman, hadiah terindah buat yang bergelar sahabat.

Kita manusia tidak lepas daripada kesalahan. Terkadang emosi tidak mampu dikawal, lantas ditempiaskan pada sang sahabat. Justeru dengan masa yang tersisa, kuatkan hati untuk memohon maaf, rendahkan diri untuk disayangi. Tidak hina seseorang anak adam yang memohon maaf, malah Allah memuliakan hambaNya yang bersikap penyayang dan rendah diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Tidak akan berkurang harta kerana disedekahkan dan tidak ada seorang pun yang dizalimi kemudian memberi maaf melainkan Allah Taala akan menambah kemuliaan dirinya
Riwayat oleh Imam Ahmad : 6908

Pemurah dalam Mengungkapkan Perasaan Sayang

Menurut Dr Akram Ridha, penulis buku Jadilah Wanita Yang Terpuji Dunia dan Akhirat, salah satu bentuk kedermawan adalah tidak kikir dalam mengungkapkan kasih sayang kepada suami. Perempuan yang memiliki sifat pemurah tidak akan malu menyatakan perasaan sayangnya dan penghargaannya kepada suami meskipun untuk itu dia harus berbohong.

Ummu Kalthum binti Uqbah pernah berkata " Saya tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan rukhsah dalam berbohong kecuali dalam tiga situasi : seseorang yang berbohong dengan maksud mendamaikan persengketaan, seseorang yang berbohong dalam peperangan serta seorang suami yang berbohong kepada isterinya demikian juga bohong isteri terhadap suaminya' ( diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Al Birr wa Al Shilah : 4717

Saya kira nasihat yang sama buat yang bergelar SAHABAT. Moga-moga dengan pemurahnya kita mengungkapkan sayang, boleh menghadirkan rasa sayang sebenar yang diredhai oleh Allah. Moga-moga dengan ringannya mulut mengungkapkan sayang buat teman seperjuangan mengeratkan lagi sinergi dalam gerak kerja dan kehidupan seharian. Insya Allah dengan izinNya jua.











Sunday, October 30, 2011

1 Jam di dewan peperiksaan

'Bestnya masa usrah dulu. Ada Arwa, kak Siti, Najaa, Kak Long, Kak Ngah, Dania, Sufi..' Izzah dan Amni membilang satu persatu nama sepupu-sepupunya. Mengimbau kenangan lalu. Semalam berusrah cuma berempat termasuk si kecil Uwais al Qorni yang 'bising'.

Wah, budak kecil pun sudah tahu erti usrah dan ukhuwah. Barangkali mereka rasa sunyi dan tidak menarik usrah tanpa kehadiran semua ahli. Lalu kami meneruskan usrah kami dengan bacaan Quran dan saya memilih satu anologi untuk diceritakan.

Umpama 1 Jam di Dewan Peperiksaan

'Macam mana UPSR kak, ok ke tak ok?' Saya bertanya Amni yang baru sahaja selesai menduduki UPSR. 'Ok je..' balasnya tersenyum. 'Apa yang kak rasakan sepanjang 1 jam jawab soalan-soalan peperiksaan hari tu?' Saya meneruskan pertanyaan. Ingin mendengar respon daripadanya sendiri.
'Masa tu rasa nak buat yang terbaik je. Nak dapat A dalam semua subjek tu.'
'Tidur tak dalam dewan?'
'Tak...tak sempat pun. Sibuk nak semak je lepas siap jawab' dia menjawab jujur.

Kehidupan kita boleh diumpamakan seperti 1 jam di dewan peperiksaan. Jika seorang pelajar cemerlang yang menjadi harapan, mereka pasti memanfaatkan setiap detik sepanjang tempoh menjawab peperiksaan. Setiap soalan dibaca sebaiknya, jawapan yang dipilih juga yang paling tepat meskipun pasti ada satu dua soalan yang tersalah pilih. Jika ada masa lebih, pasti akan digunakan untuk menyemak kembali jawapan. Sibuknya dalam masa 1 jam!

Begitulah seorang manusia yang tahu menghargai kehidupan yang telah dianugerahkan oleh Allah Taala. Setiap inci kehidupannya digunakan untuk ibadah. Makan ibadah, tidur ibadah, masak ibadah, belajar ibadah,bersembang dengan kawan pun ibadah.

Firman Allah Taala "Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan sesiapa walaupun sedikit. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai penghitung" ( surah al-anbiya' 21:47)

Demikian sebegitu pemurahnya Allah Taala. Jangan sesekali kita meremehkan amalan yang kecil walaupun sekadar membuang duri di jalanan kerana mungkin dengan rahmat Allah, amalan itu boleh menjadi asbab kita dimasukkan ke jannahNya.

Mencari alasan memang mudah, apa jua alasan yang mampu kita utarakan di dunia, beringatlah, renungkanlah adakah alasan itu juga mampu kita bentangkan di akhirat nanti di hadapan Allah Taala. Saat di mana, mata, mulut, telinga, kaki menjadi saksi. Mulut terkunci rapi, kaku tak mampu berkata walau sepatah. Sesal di hati membuak tak mampu diceritakan!

Ya Allah..dengarkanlah rintihan hati kami..
Allah..Kau berikanlah kami hidayah untuk melihat dan sedar daripada sekarang akan seksanya saat itu. Supaya kami cepat-cepat kembali ke pangkuanMu sementara masih Kau kurniakan waktu.Kau kurniakanlah kami kasih dan cinta kepadaMu yang boleh menjadi mahar buat kami menjejak syurga.

ya Allah kurniakanlah kami cinta kepadaMU

Menulis buat renungan diri sendiri..


Thursday, October 20, 2011

Assalamualaikum

Bismillahirahmanirahim

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat