Sunday, October 30, 2011

1 Jam di dewan peperiksaan

'Bestnya masa usrah dulu. Ada Arwa, kak Siti, Najaa, Kak Long, Kak Ngah, Dania, Sufi..' Izzah dan Amni membilang satu persatu nama sepupu-sepupunya. Mengimbau kenangan lalu. Semalam berusrah cuma berempat termasuk si kecil Uwais al Qorni yang 'bising'.

Wah, budak kecil pun sudah tahu erti usrah dan ukhuwah. Barangkali mereka rasa sunyi dan tidak menarik usrah tanpa kehadiran semua ahli. Lalu kami meneruskan usrah kami dengan bacaan Quran dan saya memilih satu anologi untuk diceritakan.

Umpama 1 Jam di Dewan Peperiksaan

'Macam mana UPSR kak, ok ke tak ok?' Saya bertanya Amni yang baru sahaja selesai menduduki UPSR. 'Ok je..' balasnya tersenyum. 'Apa yang kak rasakan sepanjang 1 jam jawab soalan-soalan peperiksaan hari tu?' Saya meneruskan pertanyaan. Ingin mendengar respon daripadanya sendiri.
'Masa tu rasa nak buat yang terbaik je. Nak dapat A dalam semua subjek tu.'
'Tidur tak dalam dewan?'
'Tak...tak sempat pun. Sibuk nak semak je lepas siap jawab' dia menjawab jujur.

Kehidupan kita boleh diumpamakan seperti 1 jam di dewan peperiksaan. Jika seorang pelajar cemerlang yang menjadi harapan, mereka pasti memanfaatkan setiap detik sepanjang tempoh menjawab peperiksaan. Setiap soalan dibaca sebaiknya, jawapan yang dipilih juga yang paling tepat meskipun pasti ada satu dua soalan yang tersalah pilih. Jika ada masa lebih, pasti akan digunakan untuk menyemak kembali jawapan. Sibuknya dalam masa 1 jam!

Begitulah seorang manusia yang tahu menghargai kehidupan yang telah dianugerahkan oleh Allah Taala. Setiap inci kehidupannya digunakan untuk ibadah. Makan ibadah, tidur ibadah, masak ibadah, belajar ibadah,bersembang dengan kawan pun ibadah.

Firman Allah Taala "Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan sesiapa walaupun sedikit. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai penghitung" ( surah al-anbiya' 21:47)

Demikian sebegitu pemurahnya Allah Taala. Jangan sesekali kita meremehkan amalan yang kecil walaupun sekadar membuang duri di jalanan kerana mungkin dengan rahmat Allah, amalan itu boleh menjadi asbab kita dimasukkan ke jannahNya.

Mencari alasan memang mudah, apa jua alasan yang mampu kita utarakan di dunia, beringatlah, renungkanlah adakah alasan itu juga mampu kita bentangkan di akhirat nanti di hadapan Allah Taala. Saat di mana, mata, mulut, telinga, kaki menjadi saksi. Mulut terkunci rapi, kaku tak mampu berkata walau sepatah. Sesal di hati membuak tak mampu diceritakan!

Ya Allah..dengarkanlah rintihan hati kami..
Allah..Kau berikanlah kami hidayah untuk melihat dan sedar daripada sekarang akan seksanya saat itu. Supaya kami cepat-cepat kembali ke pangkuanMu sementara masih Kau kurniakan waktu.Kau kurniakanlah kami kasih dan cinta kepadaMu yang boleh menjadi mahar buat kami menjejak syurga.

ya Allah kurniakanlah kami cinta kepadaMU

Menulis buat renungan diri sendiri..


Thursday, October 20, 2011

Assalamualaikum

Bismillahirahmanirahim

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat