Monday, January 23, 2012

Seminar Pengurusan Kehidupan 21 & 22 Januari 2012



Bismillahirahmanirahim.






Alhamdulillah ya Wahhab atas segala nikmat yang terus Kau alirkan buat hambaMu yang dhaif ini. Alhamdulillah atas kesempatan menghadiri satu seminar yang sangat mantap dan wajar dihadiri oleh semua orang ingin belajar mengurus kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumiNya. Terasa tidak cukup masa yang diperuntukkan.

Alhamdulillah, last minute sehari sebelum program, ditakdirkan oleh Allah, saya menerima mesej dan e mel berkenaan tajaan untuk mengikuti Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Al Kahfi selama 4 hari di UPM Serdang selama 4 hari iaitu 21,22,28 dan 29 Januari '12 anjuran Akademi Sinergi. Yuran yang sepatutnya dibayar adalah sebanyak RM250. Mujur ada pihak yang sudi menaja dengan izinNya. Tajaan yang disertai harapan dan seharusnya sebagai pihak yang ditaja, ada tanggungjawab yang perlu digalas supaya tajaan tidak mengalir sia-sia.

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, baginda bersabda, “BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA” [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]

Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al Kahfi bermula dengan pengurusan spiritual. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menerangkan mengenai beberapa kandungan pengenalan surah yang menjadi subjek utama seminar ini, Al Kahfi sebelum membawa kami masuk meneliti satu persatu ayat yang terkandung di dalam al Kahfi. Sebuah surah yang diturunkan ketika ancaman pemikiran kepada baginda Nabi Muhammad SAW dan diturunkan selepas 15 hari baginda menunggu wahyu untuk menjelaskan 3 persoalan kaum musyrik iaitu mengenai :

1.     Sekumpulan anak muda yang hilang secara ghaib
2.     Seorang lelaki yang mengelilingi dunia antara timur dan barat
3.     Berkenaan roh

4 kisah yang bakal dibongkar selama 4 hari seminar, diceritakan serba ringkas di awal slot. 4 kisah tersebut adalah

1.     Kisah Ashaab Al Kahf
2.     Kisah Pemilik Dua Kebun & Sahabatnya yang Mukmin
3.     Kisah Musa dan Hamba yang Soleh
4.     Kisah Dzulqarnain

Hidup ini adalah sebuah ujian. Namun sejauh mana seorang hamba itu memahami soalan apakah yang ditanya daripada ujian-ujian yang dihadapi. Jika di zaman nenek kita dahulu, diuji dengan ujian fizikal, kesusahan demi kesusahan dalam meneruskan kehidupan di era serba kekurangan, maka di zaman anak muda sekarang diuji pula dengan ujian spiritual. Cabaran yang berbeza, ujian yang berbeza. Mana mungkin golongan lebih berusia boleh mengatakan zaman mereka lebih mencabar, sedangkan anak cucu akan datang lebih dekat dengan fitnah dajjal.

3 lapisan dalam diri yang perlu difahami oleh semua orang iaitu aqidah, cara memandang kehidupan dan sistem nilai. Kesemua lapisan inilah yang melahirkan corak perbuatan yang zahir pada diri seseorang. So, let’s check and balance!

Cara Memandang Kehidupan

Saya pada awalnya, tidak memahami dengan jelas bagaimana cara memandang kehidupan yang sepatutnya. Namun Alhamdulillah Ustaz merumuskan dengan satu sifir yang sangat mudah dan ringkas.

“Apa-apa sahaja yang menjadikan aku hamba Allah, maka ianya bernilai”

Ya, apa-apa sahaja yang terjadi dalam setiap inci kehidupan kita. Bukan hanya ketika solat sahaja sebaliknya dalam semua perbuatan dengan niat meraih redha Allah.

Agama tidak berdiri atas keajaiban, Agama berdiri atas hujjah

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا

Atau kamu mengira bahwa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) raqim itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan?
Al Kahf 18 : 9
“Ada nama Allah pada ikan!”
“Ada nama Allah pada awan!”

Dan pelbagai keajaiban yang terus menarik perhatian peminat kisah ajaib. Sebenarnya agama Islam tertegak dalam diri seseorang kerana hujjah dan keyakinan pada sumber yang berasas. Bermakna, jika tiada keajaiban sekalipun, bukan alasan untuk meninggalkan agama suci ini. Sepertimana Al Qur’an diiktiraf sebagai satu mukjizat besar berbanding mukjizat kecil seperti bulan terbelah dan sebagainya.

Kisah Anak Muda

Antara tema utama kisah ashaab al kahf adalah peranan anak muda. Surah ini menolak dakwaan bahawa anak muda merupakan satu golongan yang lemah dan cetek pemikirannya kerana muda bukanlah alasan untuk ditolak hujjahnya sebagaiman firman Allah dalam surah al Kahf

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk;

Al Kahf 18 : 13
Zaman muda merupakan zaman yang sentiasa dicemburui. Sebagaimana anak-anak kecil berangan untuk menjadi dewasa dan orang-orang tua terbayang-bayang apa yang telah dilakukan pada waktu muda yang tidak mungkin akan kembali lagi. Melihat anak muda pada zaman sekarang adalah cerminan apa yang telah dilakukan orang tua pada suatu ketika dahulu dan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Kata Ustaz Hasrizal juga “ Jika anak muda bertindak, dan tindakannya adalah salah, adalah lebih baik daripada anak muda yang langsung tidak bertindak”. Bukanlah beerti menerima bulat-bulat kesalahan yang telah dilakukan oleh anak muda, sekurang-kurangnya kesalahan yang ada diperbaiki dan kehebatan yang ada ditambah baik lagi.

Apa yang penting? Mulakan langkah pertama dalam setiap perkara. Banyak persoalan akan berlegar-legar di fikiran yang tidak mampu diselesaikan kecuali setelah langkah pertama diambil. Yang kedua insya Allah, Allah akan terus memberikan kemudahan dan pertolongan. Dan terakhir insya Allah, keazaman akan diikat kemas dalam hati.

Membina karakter adalah satu isi yang sangat ditekankan sewaktu seminar. Sesuatu yang bukan senang, sekurang-kurangnya bagi saya. Banyak cara membina karakter, antaranya sentiasa memuji diri sendiri dengan niat positif supaya kita akan sentiasa melakukan kebaikan. Islam tidak mengajar ummatnya riya’, ujub, takabur, namun tidak beerti menggalakkan kita lemah dan lesu. Bagi ibu bapa, penting memberi peluang kepada mereka menyuarakan idea sebagaimana kisah Nabi Ibrahim yang bersoal jawab terlebih dahulu dengan Nabi Ismail dalam sebuah kisah yang masyhur. 


Kewujudan karakter yang lemah membolehkan sesetengah pihak beranggapan aktivis yang aktif di kampus, akan diam  dan terus diam apabila hanya mendapat sebuah myvi setelah bekerja. Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah  saya mampu membina karakter apabila pulang dari seminar ini, tidak lama kemudian Ustaz Hasrizal menjawab dalam ceramahnya. Beliau menjelaskan karakter tidak terus terbentuk sebaik sahaja pulang daripada seminar, sebaliknya ia adalah sebuah proses yang memerlukan masa. Alhamdulillah.


Uzlah

Oh ya, kisah Ashaab Al Kahf merupakan kisah pemuda yang beruzlah. Dan mereka adalah golongan mulia dan terpuji. Adakah kita perlu beruzlah sebagaimana mereka? Ustaz menjelaskan ada 3 perbezaan antara kita dan mereka. Syariat yang berbeza, kelebihan untuk kita dalam mencampuri masyarakat dan persekitaran yang berbeza di mana mereka dikelilingi kaum yang kufur.

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

Mencampuri masyarakat merupakan satu tuntutan untuk kita semua menyebarkan Islam. Beruzlahlah dalam aspek spiritual, jangan beruzlah secara fizikal. Seperti pesan Nabi dalam hadith, ke mana sahaja seseorang itu pergi, beliau harus mencari tiga perkara. Jamaah, Orang Ramai, dan Masjid. Masuk ke dalam masyarakat bererti kita meredhai diri untuk dicederakan secara emosi. Berhati-hatilah dalam menghukum kerana takut dengan peringatan Nabi Muhammad SAW.

إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُم

Jika kamu mendengar seseorang berkata “ semua orang (masyarakat) rosak” , maka dialah orang yang paling rosak

-Hadith Riwayat Muslim-

Masalah pasti wujud, namun lebih baik jika disebutkan masalah dengan optimis bukan pesimis.
Surah Al Kahf juga banyak menceritakan mengenai sifat seorang mukmin yang wajar ada pada mereka. Sekadar beberapa contoh. Berlemah lembut, jangan bersikap tegar, menumpaskan kekerasan dengan kelembutan, low profile. Semuanya dihurai dengan mudah difahami oleh Ustaz Hasrizal sewaktu pembentangan.

وَكَذَلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari". Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seseorang pun.

Dan kepentingan perlunya menjangkakan risiko :

إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَنْ تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya".

Lupa

Manusia itu sifatnya lupa, malah Nabi juga ada terlupa. Namun lupa nabi bukanlah menunjukkan kekurangan, tetapi sebaliknya pengiktirafan kelemahan itu yang akhirnya akan menonjolkan kekuatan diri. Tapi sahabat-sahabat sekalian, jangan lupa 7 perkara penting.

1.     Allah
2.     Insya Allah
3.     Permusuhan Syaitan
4.     Kewajipan
5.     Tujuan Hidup
6.     Mati
7.     Akhirat

Inilah serba sedikit perkongsian daripada seminar yang telah dihadiri. Maafkan saya kerana perkongsian yang tidak sistematik dan tersusun. Semoga ada secebis mutiara ilmu yang mampu memberi manfaat. Semoga diizinkan oleh Allah untuk menadah ilmu pada minggu hadapan pada 3 pengurusan penting iaitu pengurusan harta, kuasa dan ilmu. Insya Allah. Mohon ampun dan maaf atas kekurangan dan saya bertawakal kepadaNya. Ameen.

p/s : Jangan lupa sentiasa sebut ‘Insya Allah’ ye :)

وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا
إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لأقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi,
kecuali (dengan menyebut): "Insya-Allah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini".

Al Kahf 18 : 23-24

Best Quotes @ Seminar Pengurusan Kehidupan :

"Infiniti kebahagian di syurga sepatutnya boleh menjadikan kita tidak hairan dengan sedikit kesusahan di dunia"

"Tanda Islam itu ‘function’ dalam diri seseorang adalah Islam memberi ummatnya untuk bangkit"

"Menjadi manusia yang hebat merupakan satu perjuangan bukan pilihan"


"Rasa tenang itu hadir daripada rahmat Allah Taala"


"Tarbiyah adalah seni membentuk manusia" - Syed Qutb


"Jangan jadi lilin, jadilah pelita yang menerangi orang lain dan diri sendiri tidak terbakar"


"Orang muda yang aktif, ada potensi mengalami kecederaan emosi, perlu ada masa untuk menyendiri dan muhasabah"


"Perkataan menyampaikan 10 % daripada mesej, intonasi menyampaikan 30 % daripada mesej dan body language menyampaikan 60 % daripada mesej!"


"Membetulkan kesalahan manusia tanpa memaafkan tidak berkesan kerana telah putus hubungan antara kita dan mereka"


"Antara rahmat Allah kepada hambaNya adalah sifat tenang, memaafkan, lemah lembut dan lapang dada"


"Masalah boleh bertukar menjadi peluang"


"Orang yang sentiasa fikir tentang mati akan tidak merasa rugi kehilangan dunia"


"Jika tidak percayakan akhirat, dunia tidak akan memberikan keadilan"


"Orang Islam adalah satu pakej unik yang mempunyai identiti tersendiri"


"Halal lihatlah pada ingredient tapi thoyyiban lihatlah pada nutritious food "


"Muhasabahlah jika tetamu tidak datang ke rumahmu, telah hilang satu saluran rahmat Allah kepadamu"


"Rasa tenang adalah cuaca hati, walaupun tiada tempat kondusif, hati masih juga tenang"


"Uzlah zaman sekarang bukan uzlah fizikal tetapi uzlah intelek, emosi dan spiritual"


" Menyendiri untuk sharpen the saw "

Seminar Pengurusan Kehidupan 21 & 22 Januari '12

Saturday, January 14, 2012

Wanita Syurga

Tuhanku, 
Jadikanlah aku seorang Khadijah
Yang berkorban jiwa dan harta
Katanya, ambilah tulang belulangku 
Andainya boleh dijadikan jambatan
Untuk berjihad fisabilllilah

Tuhanku,
Jadikan aku seorang Siti Hajar
Yang sabar di terik safa dan marwah,
Tak mengapa wahai suamiku,
Jika ini perintah Allah aku redha,

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Fatimah,
Yang termaktub penghulu wanita syurga,
Tapi redha mengisar gandum dengan tangannya,
Subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar.

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Mashitah
Yang sanggup mempertaruhkan jiwa dan nyawanya,
Demi mempertahankan taufiq hidayahmu
Ya ALLAH..

Tuhanku,
Jadikan aku seorang Asiyah
Sabar dan tabah walaup bersuamikan firaun laknatullah

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Zulaikha
Bukan lahir sebagai wanita penggoda,
Yang terlalu melayan fitrah manusia
Menurut nafsu cinta
Tapi seorang hambanya,
Sentiasa merindui cinta pencipta

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Rabiatul Adawiyah,
Wanita sufi yang asyik tenggelam dalam ubbudiyah,
Tersingkap segala hijab,
Tak mampu berkongsi dua cinta
Kerana cintanya hanya untuk penciptanya

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Zainab
Terluka, terseksa, terhina, terpenjara dan
Terkurung jasadnya di celahan janji yang kaku
Wanita ini tetap istiqamah
Menjunjung akidah dakwah
Demi islam tidak akan menyerah

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Mariam,
Wanita mulia keturunan Imran,
Mengandungkan Isa tanpa sentuhan seorang suami,
Tabah hadapi cacian dan kejian

Tuhanku,
Jadikanlah aku seorang Aisyah,
Yang menjadi khazanah Allah,
Masukkanlah walau sedikit sifat mulianya
Ke dalam diri kami.

Aku ingin ke syurga bersama srikandimu Ya Allah
Ya Allah ya Mujib,
Terimalah doa kami ya Allah
Amin ya Robbal ‘Alamin

p/s : ini sajak hasil nukilan Ustazah Asni Mansor :)

Thursday, January 5, 2012

Amalan Berguru : Padanya ada ROH dan KEBERKATAN

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Taala kerana masih terus menerus melimpahkan rahmatnya buat kita semua.

Cuti sekolah baru-baru ini, Allah mengabulkan niat saya dan 3 sahabat untuk sama-sama merasai 'angin tarbiyah' di bumi barakah Pondok Pengajian Islam di Kelantan untuk menyertai satu daurah kitab ' Sullamul Mubtadi' selama 8 hari. Jadual pengajian sangat padat bermula seawal selepas subuh hinggalah menginjak jam 11 malam.

Credit : Blog Kak Aisyah

Pengalaman pertama menadah kitab daripada para tok guru sangat memberikan kesan pada diri ini. Terlalu banyak ilmu agama yang masih tidak diketahui, benarlah semakin bertambah ilmu seseorang itu, semakin dia terasa kejahilan pada dirinya. Kata Iman Syafie " Sesiapa yang tidak sempat belajar ilmu agama pada waktu muda, angkatlah takbir 4 kali ( solat jenazah ) kerana dia telah dianggap mati di sisi syarak. Kehidupan sebenar seorang pemuda adalah ilmu dan ketaqwaan. Tanpa kedua-duanya, tiada nilai seseorang itu hidup di bumi Allah"

Terngiang-ngiang pesanan al Fadhil Ustaz Syarifudin, salah seorang tenaga pengajar di pondok itu " Keistimewaan dan kelebihan berguru adalah guru boleh menyentuh hati murid, jika dibandingkan dengan pembacaan daripada bahan kaku" Beruntunglah mereka yang masih mencintai amalan berguru dan bertalaqqi untuk mendapatkan ilmu yang shohih dan penuh kefahaman berbanding cara-cara lain yang terdedah kepada penyelewengan dan salah faham daripada pihak yang membaca. Dengan penjelasan lisan daripada guru, kita akan tahu betapa Islam itu sangat indah, sekadar contoh, ruang menghukum dalam syarie sebenarnya lebih sempit daripada undang-undang sivil yang terpaksa kita berada di dalamnya sekarang.

Kita faham, ilmu semakin mudah diperoleh. Kita ada Mr Google, kita ada para blogger yang penuh dedikasi mengupdate blognya malah kita punya Facebook, medan dakwah paling popular abad ini. Kita tidak menafikan semua wasilah dakwah zaman moden, namun jangan sesekali dilupakan amalan berguru ini. 

Berkata al-hafiz Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi: " Tidak diambil ilmu melainkan daripada mulut para 'ulama"

Manakala Imam Muslim telah meriwayatkan dari Ibn Sirin bahawa Rasulullah SAW bersabda :

sesungguhnya ilmu ini agama, maka hendaklah kamu melihat daripada siapa kamu mengambil agamamu".

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Oh ya, kitab Sullamul Mubtadi ini juga merupakan sebuah kitab jawi lama. Merangkak-rangkak kami membacanya sewaktu awal pengajian. Almaklumlah perkataan yang bersambung-sambung, kalimah-kalimah lama yang tidak pernah kami gunakan dan struktur ayat yang agak sukar untuk kami fahami!. Maka berganda-gandalah pentingnya guru dalam menelaah kitab jawi lama ini. Semakin lama alhamdulillah semakin dapat menyesuaikan diri.

Pelbagai bidang ilmu dalam kitab ini seperti Kitab Akidah, Kitab Solat, Kitab Puasa, Kitab Zakat, Kitab Nikah, Kitab Haji, Kitab Wasiat, Kitab Faraid, Tasawuf dan lain-lain lagi. Tidak sangka sampai memerlukan 3 buku nota untuk 8 hari. Para ustaz sangat jelas dalam menyampaikan setiap inci aspek ilmu. Malah mereka menyampaikan dengan penuh tawadhuk, walaupun alim dengan ilmu, namun tidak bermegah dengannya. Mereka tidak segan untuk duduk bersama kami mengikuti pengajian yang disampaikan oleh  ustaz yang lain. Mereka juga sangat menekankan aspek adab dalam amalan berguru termasuk cara duduk, berkomunikasi dan lain-lain. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya andai ada soalan yang bermain di minda. Sesekali diselangi dengan cerita yang menarik daripada para ustaz juga menambahkan fokus yang mungkin sesekali terbabas :)

Keistimewaan lain yang menarik hati ini sepanjang program Daurah ini adalah qasidah. Pertama kali terasa minat dan jatuh hati pada qasidah. Makanya setiap masa terluang sementara menunggu kehadiran tok guru berharap supaya berqasidah  :) 

Pada hari terakhir telah diadakan Majlis Khatam kitab bersama dengan semua ustaz termasuk mudir pondok, Syeikh Abdul Halim Hamzah. Beliau menitipkan pesan supaya terus memastikan kesinambungan pengajian kitab jawi kepada generasi muda. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah ya Rahman ya Rahim kerana mengizinkan kami terus bernafas sehingga hari terakhir sesi pengajian.

Merendah dirilah dengan para ulama', mereka adalah golongan mulia yang dipilih oleh Allah. Hormatilah keilmuan mereka. Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah ila al-Rusyd:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu bahasa arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan Ilmu Fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata imam zahabi: teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
Apapun, ayuhlah berusahan untuk mencari guru dan bergurulah dengannya, insya Allah, padanya ada ROH dan KEBERKATAN.

Semoga Allah terus melimpahkan kasih sayang buat kita semua dan membuka jalan untuk terus mengutip mutiara ilmu milikNya.



 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat