Friday, April 27, 2012

Usrah : Hurun Maqsurah

Bismillahirahmanirahim


 كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali `Imran: 110) 

Alhamdulillah ya ALLAH atas nikmat usrah dan ukhuwwah yang Kau titipkan kepada hambaMu ini. Penulisan kali ini bukan berniat menyentuh konsep usrah dan sebagainya. Sekadar berkongsi sebuah kisah usrah yang biasa-biasa sahaja.Walaupun tidak mampu menjadi seorang naqibah terbaik buat adik-adik namun semoga ALLAH kurniakan kekuatan supaya tidak berputus asa menyumbang jasa kepada agama walaupun hanya dengan usaha kecil ini sahaja kerana lemahnya diri ini dalam mengurus perkara yang lebih besar. 

Alhamdulillah Allah kurniakan kepada saya 8 orang adik usrah yang amat saya kasihi dan cintai. Adik usrah yang sangat dekat dan sentiasa saya ingati setiap detik. Hanya Allah yang tahu betapa mendalamnya cinta kepada mereka. Barulah saya tahu pentingnya ukhuwwah dalam sesebuah usrah kerana hanya dengannya istiqamah melaksanakan usrah itu akan hadir. Menerima kekurangan, melengkapi kelemahan, menyempurnakan kecacatan antara satu sama lain. Masing-masing punya karakter sendiri yang perlu difahami. Usah bicara tentang visual, auditori ataupun kinestatik dalam menguruskan sebuah usrah, check dahulu apakah niat kita yang sebenarnya? 


Bukan mudah menghadirkan rasa percaya dalam usrah. Tidak semudah mengungkap atau menulisnya menjadi bait yang indah tersusun. Bukan tidak pernah terduduk lemah, tewas hingga akhirnya air mata menjadi peneman tidur. Namun, atas rasa percaya bahawa usaha kecil ini bukanlah suatu yang sia-sia. 

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah 
Along beruntung punyai adik-adik yang solehah. Yang sentiasa memaafkan ketika Along bersalah. Yang sentiasa mengambil berat tentang Along. Yang sentiasa memberi idea untuk usrah kita. Yang aktif dan sentiasa cuba menyuburkan ukhuwwah di dalam usrah. Yang sentiasa konsisten hadir usrah daripada hari ke hari. Sehingga kini, prestasi adik-adik sangat baik sehingga datang lebih awal daripada along sewaktu usrah dan Along meninggalkan usrah lebih awal kerana ada urusan dan lain-lain. Maafkan Along ye! 

Semoga ALLAH menaungi kita semua di Mahsyar nanti. Amin

PENGORBANAN 
Setiap sesuatu pasti menuntut pengorbanan. Seawal usia usrah setahun jagung bukan sedikit pengorbanan yang diperlukan. Jangan berat melabur sedikit wang. Ada yang pernah berkata “ Hm, kalau ada duit lebih, bolehlah selalu belanja adik usrah aje”. Berbelanjalah ikut kemampuan. Kata orang ukur baju di badan sendiri. Islam itu mudah dan tidak memberatkan. Maka apakah yang menggerakkan hati ini jika bukan dengan keyakinan bahawa pasti ada balasan yang ALLAH sediakan buat hambaNya. Saya yakin begitu ramai naqibah yang banyak berkorban demi anak-anak usrah mereka walaupun tanpa diketahui. Ada sahabat saya yang berjalan dari bilik ke bilik adik usrahnya yang tidak datang usrah. Subhanallah. Cukuplah hanya ALLAH menjadi penilai paling tepat. 

Ingatlah tawaran ALLAH dalam surah As Soff [10] 

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? [11] Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [12] (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. 

 KREATIFKAN GAYA USRAH 

Adik-adik, Usrah itu sungguh mahal harganya. Rugilah jika paradigma kita pada usrah tidak lebih daripada sebuah bulatan semata-mata. Tanamkan dalam diri bahawa teori usrah itu dalam halaqah tetapi pelaksanaan usrah itu adalah di luar halaqah. Cuba wujudkan kemesraan di luar halaqah usrah itu adalah lebih realiti berbanding di dalam halaqah usrah. Usaha yang mudah untuk melahirkan kemesraan adalah sentiasa mesej ahli usrah dengan mesej nasihat, santai dan bertanya khabar. Awas, jangan kecewa jika tidak berbalas. Positifkan perasaan. Jangan cepat bersangka buruk, kerana sangka buruk itu mungkin boleh jadi suatu hijab yang menjauhkan hati antara kita dan mereka.

Antara cara yang cuba saya praktikkan adalah halaqah usrah diadakan secara bergilir-gilir di bilik mereka. Mereka akan berasa lebih dihargai. Namun, lebih elok minta keizinan mereka lebih awal terlebih dahulu supaya tidak ada masalah di kemudiaan hari. Secara tidak langsung kita dapat melihat suasana kehidupan mereka seharian. Kewujudan alam siber seperti group facebook pun tidak boleh dipandang sepi. Antara aktiviti menarik adalah menggalakkan ahli usrah sharekan gambar keluarga masing-masing supaya kita saling mengenali. Selain itu, kadang-kadang saya meminta pendapat supaya mereka berkongsi idea. Tanpa sedar, sebenarnya usrah sedang berjalan. 

4 WATAK NAQIB

Saya masih ingat watak naqib itu ada 4 menurut Hassan Al Banna : 
1. Watak seorang ayah (yang mesti tegas dalam didikan) 
2. Watak seorang ibu (yang memahami dan prihatin akan welfare, kewangan, kesihatan, keadaan ahli usrah) 3. Watak seorang mursyid (yang sangat menitikberatkan tarbiyah- spiritual etc) 
4. Watak Qa’id (bagi arahan/task) 

Jadi saya harap saya tidak terlupa untuk mempraktikkan watak seorang qa’id. Pada awal dahulu, saya ada menyediakan jadual pembentangan dan aktiviti sewaktu usrah. Namun, memandangkan tampak terlalu skema dan terikat akhirnya saya memutuskan untuk memberikan tugasan secara individu setiap seminggu lebih awal. Sebagai contoh, saya akan mesej kepada sesiapa yang perlu untuk mengetahui tugas mereka. 

Sebagai tarikan dalam usrah, setiap kali usrah pastikan ada sesuatu yang istimewa untuk diberikan, walaupun murah. Sebagai contoh, bookmark, handouts, keychain dll. 

Selain daripada keluar rehlah secara individu, boleh juga mengajak adik usrah keluar secara individu. Tidak semestinya secara berkumpulan. Sebagai contoh, ajak seorang adik usrah untuk menjadi peneman ketika keluar mencari keperluan. Tanpa disedari ukhuwwah akan terpupuk. Insya Allah. Bukankah Islam menganjurkan keluar musafir bersama untuk lebih mengenali seseorang. Alhamdulillah baru-baru ini berkesempatan menjejak Kota Singapura bersama adik usrah. Benarlah, musafir bersama itu boleh mengeratkan hubungan. Dengan izinNya jua. 

TANGGUNGJAWAB 
Daripada contoh usrah sahabat saya, saya telah menggunakan panggilan kekeluargaan dalam usrah seperti along, ayong,angah dan sebagainya. Pada awalnya kekok juga, almaklumlah tidak biasa, tapi lama-lama insya ALLAH lebih mesra. Insya Allah dengan panggilan ini menyedarkan mereka akan tanggungjawab memelihara usrah (keluarga) ini. Bahawa tanggungjawab itu bukan terpikul pada bahu naqibah semata-mata tetapi semua ahli keluarga berganding bahu memikirkan yang terbaik untuk sebuah keluarga. Seperkara yang sentiasa saya tekankan kepada adik-adik adalah usrah ini berjalan bukan hanya kerana adanya saya. Andainya suatu hari nanti ALLAH memanggil saya terlebih dahalu, adik-adik, teruskan perjuangan usrah ini. Semoga ada saham pahala yang tempias buat kakakmu ini . Latih mereka menguruskan usrah seperti banyakkan berikan ruang untuk mereka bersama tanpa kita. Sebagai contoh, rancang usrah tanpa kehadiran kita namun pastikan usrah itu berjalan. Mungkin ada antara ahli usrah yang boleh meng’conduct’ usrah dengan baik. 

JANGAN KEKOK MENGUCAPKAN PERKATAAN SAYANG & BERGURAU
Fitrah manusia adalah untuk menyayangi dan disayangi. Sebagaimana kita ingin disayangi begitulah kita wajar menyayangi. Walaupun seorang adik itu adalah kader dakwah sekalipun, dia masih seorang adik yang punyai hati dan perasaan. Jangan salahkan dia jika dia makin jauh daripada kita kerana gersangnya daripada ucapan bahawa kita menyayangi dia. Ucapan sayang tidak perlukan modal wang, cukuplah kesudiaan meluangkan sedikit masa untuk mengatakan sayang. Latih diri ahli usrah saling berkasih sayang, moga-moga mereka menjadi subur dengan perasaan kasih sayang. Gurauan yang berbatas juga penting supaya usrah tidak menjadi terlalu rigid dan skema. Teringat kisah Nabi Muhammad, seorang pemimpin paling sibuk namun masih meluangkan masa melayani karenah isterinya yang suka bercerita dan bermain. Subhanallah. 

PERSEDIAAN ROHANI

Pesan Naqibah saya sewaktu berusrah di surau an-nur tempoh hari jangan lupakan hubungan kita dengan ALLAH. Pastikan ada persediaan rohani sebelum bertemu wajah dengan ahli usrah. Antaranya, qiyamullail pada malam sebelum diadakan usrah. Bukankah jiwa yang mentarbiyah itu perlu ditarbiyah terlebih dahulu? 

MUDAHKAN. JANGAN SUKARKAN

Jika sekiranya tugas yang diberikan tidak dapat dilakukan, jangan cepat menghukum atau mengubah persepsi. Kata orang putih “ Take It Easy”. Jangan kerana tugasan yang kita berikan, kita membina jurang dalam usrah. Sekiranya ada sesuatu yang tidak dilaksankan dengan baik oleh ahli usrah, cubalah berlapang dada dan tersenyum. Setelah itu, nasihatilah mereka dengan cara yang baik dan tidak merendah-rendahkan mereka di hadapan orang lain. 

BERDOALAH 
Akhirnya, berdoalah. Jangan berhenti berdoa...sesungguhnya sehebat manapun usaha kita , hanya Allah pemegang hati mereka. Ikatlah hati dengan doa rabithah.

Buat, ahli usrah Hurun Maqsurah ( Bidadari Syurga yang Terpelihara) adik-adik yang along yang solehah, Ayong,Angah, Achik, Uda, Ateh, Acu, Alang, Adik.. Kita sentiasa mengulang-ulang perkataan berusrah hingga ke syurga. Semoga ALLAH memperkenankannya. Padanya ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Sama-sama menasihati, sama-sama mengingati, sama-sama melengkapi, sama-sama berlapang dada, sama-sama memaafkan barulah boleh bersama-sama di Taman Syurga. 

Along bukanlah insan sempurna. Sentiasa khilaf dalam tindakan, sentiasa terlebih, sentiasa juga terkurang. Hanya kalianlah sebenarnya warna-warna indah yang menyinarkan Hurun Maqsurah. Tanpa Along, usrah masih bersinar, tanpa kalian kelamlah usrah. 

Tiadalah niat lain selain daripada berkongsi usaha yang amat sedikit ini. Saya memohon ampun daripada ALLAH Taala andai ada yang tersilap, tersalah, terkurang dalam coretan kali ini. Semoga ALLAH sentiasa menyelimuti kita dengan kasih sayangNya yang tidak bertepi



 27/4/2012

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat