Saturday, May 19, 2012

Sesuci bayi

'Hmm awak suka gambar baby kan ?' sapa seorang sahabat ketika melihat saya asyik menilik-nilik gambar-gambar bayi yang telah siap didownload daripada google image. Tersenyum saya mendengarnya. Memang saya ralit memilih gambar bayi untuk dijadikan profile picture facebook. Entah kenapa, saya sangat suka melihat gambar-gambar itu. Tenang dan mendamaikan. Suci dan terpelihara. Hati sesekali syahdu, mengenangkan kehidupan penuh mehnah yang bakal mereka harungi, seandainya diberi usia yang panjang oleh Allah Taala.

Kita Dilahirkan Fitrah

Kita berasal daripada air mani yang hina. Kemudian Allah mengangkat martabat kita menjadi seorang manusia yang berguna. Seandainya kita mahu menjadi manusia yang berguna. Allah menjadikan Islam agama yang sungguh indah dan agung. Tinggal saja kita membuat pilihan untuk mengikuti cara hidup Islam sepenuhnya ataupun sekadar syahadah yang terungkap di bibir.


Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),(surah Yaasin, ayat 77)

Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah. (Pati yang berasal dari tanah, ialah pati makanan yang berasal dari tumbuh-tumbuhan dan tanaman yang tumbuh di bumi).Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih (air mani), pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa ketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya (keadaannya yang asal serta ditiupkan roh padanya). Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik baik Pencipta.(surah Al-Mukminun, ayat 12,13,14)


Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani; Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya (dengan sebaik-baik ciptaan yang cantik dan elok mencipta manusia) dan dimulakan kejadian manusia berasal dari tanah liat (Thin). Kemudian ia jadikan keterunan-keterunan manusia itu dari sejenis pati iaitu dari air yang hina (air mani) yang sedikit dipandang orang. Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya Roh ciptaanNya dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.
(surah As-sajadah, ayat 7,8,9)

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(surah Al-Imran, ayat 6)

credit : mr google












Wednesday, May 16, 2012

Jatuh Cinta

Bismillahirahmanirahim.

Saya telah jatuh cinta dengan seorang pemuda soleh yang begitu sempurna. Saya mendengar kisahnya sedari kecil, namun malangnya saya mendengar bukan dengan hati. Kini semakin menginjak dewasa, Allah takdirkan untuk lebih mengenali dirinya melalui salah satu subjek yang diambil di kampus.

Pada awalnya, secara jujur, saya membaca kisahnya kerana peperiksaan yang kian tiba. Namun setelah makin banyak membaca, akhirnya saya benar-benar telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada seorang Nabi utusan Allah kepada ummatnya.

Baginda Rasulullah SAW.
Al Qalam : 4

Baginda adalah seorang hamba Allah yang begitu dekat dengan Tuhannya. Seorang guru yang bijaksana. Seorang pemimpin yang adil, seorang suami yang bertanggungjawab dan penyayang, seorang Nabi yang dicintai ummatnya, dan seorang insan yang sangat halus dalam tindakan dan percakapannya.

40 STRATEGI PENDIDIKAN RASULULLAH SAW 

Buku ini sangat sesuai dimiliki oleh semua orang
Dalam sebuah buku yang dibaca setelah dicadangkan oleh Ustaz Hasrizal sewaktu seminar tempoh hari, 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW oleh Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah iaitu seorang tokoh ulama’ hadith Syria ada dinyatakan sebuah hadith yang menerangkan mengenai sifat mahmudah Rasulullah SAW:

Al Tirmidzi di dalam kitab Syamail juga meriwayatkan dari Hassan bin Ali, bahawasannya ia berkata : Husain bin Ali mengatakan : “ saya pernah bertanya kepada ayahku ( Ali bin Abi Thalib) tentang kehidupan Rasulullah SAW di tengah-tengah para sahabat baginda. Dia menjelaskan : “ Rasulullah adalah orang yang selalu menampakkan wajah ramah lagi ceria di hadapan semua orang, memiliki akhlak dan perilaku yang lembut, tidak pernah membuat onar,ucapan dan perbuatannya tidak kotor, tidak suka mengkritik ( memprotes) dan mencela orang lain, tidak berlebih-lebihan dalam memuji, mudah melupakan hal-hal yang tidak berkenaan di hati baginda ( tidak menyimpan dendam), tidak memutuskan harapan orang lain dan berusaha membuat orang lain optimis. Rasulullah SAW selalu berusaha menjauhi 3 hal berikut dari dalam dirinya :

(1) Perselisihan ( perdebatan) dengan orang lain dalam hal perkataan dan harta (2) Boros dalam berkata-kata dan menggunakan harta (3) Baginda menjauhi segala sesuatu yang tidak bermanfaat


Baginda juga sentiasa meninggalkan 3 perkara berikut yang dapat menjadikan orang lain disakiti :

(1)Mencela dan menghina orang lain (2) Membuka aib ( kejelekan) orang lain dan (3) berbicara dengan orang lain tanpa ada manfaat (pahala) di dalamnya.

Jika baginda bersuara, para sahabat akan menundukkan kepala mereka seakan-akan di atas kepala mereka terdapat sesuatu beban. Apabila baginda diam ( telah selesai berbicara) barulah para sahabat berbicara, dan mereka tidak berselisih di hadapan mereka. Siapa pun yang sedang berbicara dengan baginda, maka yang lain akan ikut memerhatikannya sampai orang tersebut selesai berbicara. Baru kemudian disusul yang lain. Baginda akan tertawa hanya apabila mereka tertawa, dan mengagumi sesuatu yang juga dikagumi oleh mereka. Rasulullah selalu bersabar atas sikap kasar dan permintaan orang asing ( orang yang belum mengenali baginda), hingga para sahabat pun ikut memerhatikan permintaan orang tersebut.

Baginda bersabda : “ jika kalian bertemu seseorang yang sedang mencari sesuatu yang ia perlukan, maka bantulah ia.” Baginda tidak pernah mahu menerima pujian dari orang lain atas apa yang tidak baginda kerjakan. Baginda tidak suka memotong perbicaraan orang lain kecuali dalam perkataan-perkataan yang tidak baik sehingga baginda dapat mencegahnya atau biasanya baginda terus berdiri lalu meninggalkannya.
Rasulullah selalu berusaha memberikan perhatian secara merata ( adil) kepada setiap orang (para sahabatnya) yang hadir di majlisnya sehingga setiap mereka merasa dirinya yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW.

INDAHNYA AKHLAK RASULULLAH

Baru satu hadith yang kita baca, namun keindahan dan keagungan akhlak Rasulullah SAW telah begitu indah, meluas, merata dan merangkumi akhlak yang wajar dicontohi dalam kehidupan seharian.
Rasulullah sangat dipelihara oleh ALLAH SWT. Baginda mendapat didikan terus daripada Yang Menciptakan. Tarbiyah yang menjadikan Nabi Muhammad SAW tegar meneruskan perjuangan menyebarkan agama Allah, menguatkan hati Nabi Muhammad SAW walaupun dilempar pelbagai tuduhan dan cacian para kafir quraisy.

Dalam sebuah hadith riwayat at Tirmidzi juga ada menyatakan bahawa baginda selalu tawadhuk ( rendah hati) terhadap sesiapapun yang berguru kepada baginda, terhadap orang yang ingin bertanya dan terhadap orang yang memilik daya pemikiran yang lemah.

Subhanallah. Bertuahnya para sahabat Baginda Rasulullah SAW.

Kemukjizatan demi kemukjizatan yang dianugerahkan oleh Allah seperti isra’ mikraj, tanda-tanda kenabian sewaktu kelahiran dan sebagainya juga membuktikan kepada kita ummat Islam bahawa Rasulullah SAW bukan manusia biasa. Baginda SAW adalah insan istimewa yang dijanjikan oleh Allah.

BAGINDA SAW ROLE-MODEL TERBAIK

Rasulullah SAW menunjukkan kita contoh-contoh terbaik dalam kehidupan. Baginda tidak berlebih-lebihan dalam beragama sebaliknya baginda mengamalkan Islam itu secara wasatiy dan menyeluruh. Baginda bukan hanya menunjukkan contoh dalam hal-hal besar seperti kepimpinan dan jihad sebaliknya juga pada hal-hal lain seperti pengurusan diri, keluarga, berjiran dan sebagainya.
Dan sebagai seorang wanita, pastinya saya terkesan dengan salah satu isi kandungan khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW :
Wahai manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Masih banyak yang perlu kita terokai. Mencintai Nabi Muhammad SAW boleh mengundang cinta ALLAH SWT kepada kita. Ya, bukan mudah mencontohi sifat mulia Rasulullah namun bukan bermakna kita berputus asa daripada mengikutinya. Antara caranya? Sentiasalah menambahkan ilmu pengetahuan mengenai sirah perjalanan kehidupan insan mulia yang bernama Muhammad SAW ini. Kata orang kita “ tak kenal maka tak cinta” ada benarnya juga. Baca dan teruskan membaca dengan penuh penghayatan. Kita sama-sama saling mengingatkan.

Ayuh cintai Rasulullah SAW setiap detik



Allahumma solli ala Muhammad

Semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan baginda Rasulullah SAW di taman syurga nanti. Semoga Allah menguatkan hati kita untuk terus istiqamah menjunjung Islam secara menyeluruh bukan hanya pada bahagian yang tertentu sahaja hingga ke helaan nafas yang terakhir.


INSYA ALLAH.

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat