Monday, November 19, 2012

Nasihat yang menggetarkan hati..

Bacalah dengan mata hatimu...

NASIHAT AS SYAHID SHEIKH AHMAD YASSIN 1938-2004




Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepadaALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mu1ia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.


Wahai para pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Aku ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.


Wahai puteriku aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian. 

Kepada semua, aku ingin kamu bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama danilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kamu untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.


Biasakan diri kamu agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kamu. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.

Friday, November 2, 2012

Kisah Persahabatan Agung




Persahabatan, adalah sesuatu yang sangat istimewa. Daripadanya lahir pelbagai ceritera yang menggamit perhatian. Kisah persahabatan Rasulullah SAW dan Abu Bakr. Kisah persahabatan yang agung dalam sirah baginda Rasulullah SAW.

Dalam Perang Tabuk misalnya, Rasulullah S.A.W. telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah. Maka datanglah Saiyidina Abu Bakr R.A. membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saiyidina Abu Bakar R.A., bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah S.A.W. menjadi terkejut lalu berkata kepadanya:

"Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua hanta bendamu kau korbankan apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?

Pertanyaan Rasulullah S.A.W. itu dijawab oleh Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (18) وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَى (21)

"Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)". ayat 18-21 Surah al-Lail.


Begitulah jiwa seorang sahabat yang ulung dan masyhur namanya dalam lipatan sejarah dunia. Kesolehannya mewangi sehingga ke hari ini, menusuk jiwa-jiwa yang cintakan kepada kebaikan. Tidak hairanlah Rasulullah mengiktirafnya dengan menuturkan sekiranya iman seluruh ummat ditimbang bersama iman Saiyidina Abu Bakr R.A. maka berat lagi iman Saiyidina Abu Bakr R.A. 

Subhanallah, wajarlah seorang sahabat yang soleh itu letaknya di sisi seorang insan yang agung iaitu Rasulullah SAW. Aku tertanya-tanya masihkan ada sahabat persis Abu Bakr lewat di penghujung zaman ini?

Aku melihat pula diriku yang dhaif ini, mampukah aku mencontohi sifat mulia sahabat baginda Rasulullah SAW ini?

Aku tidak mampu menjadi seorang sahabat yang meniupkan semangat kepada sahabatku saban masa, kerana sering kali aku yang terlebih dahulu yang kehilangan semangat itu. Aku tidak mampu juga menjadi seorang sahabat yang sentiasa menenangkan hati sahabatku kerana kerap kali aku yang masih meraba-raba mencari secebis ketenangan. Aku tidak mampu juga menjadi penglipur khabar gembira, kerana seringkali kamu yang terlebih dahulu memberikan ku sejuta cerita bahagia.

Maafkan ku teman, biar apa pun kelemahanku, aku ingin kau tahu, ku punya impian menjejak syurga bergandingan denganmu. Terima kasih teman :)

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat