Sunday, December 15, 2013

Tiada maaf bagimu?




“ Saya minta maaf, saya tidak sengaja...” ucapan itu bergema lagi daripada seorang anak yang khilaf. Tapi rupanya hanya di dalam hati. Di sana, seorang ibu masih tersinggung, kerana ego seorang anak.

“ Saya minta maaf, saya masih sayangkan kamu...” cetus seorang sahabat yang tersilap kata. Namun juga hanya di dalam hati. Di sana, ada yang sedang memendam seribu rasa, menanti ucapan maaf daripada sahabatnya.

“ Abang, saya minta maaf...” seorang isteri memandang wajah seorang suami tanpa kata, mengharapkan mesej itu sampai sendiri, barangkali.

Semoga kita cukup rasa syukur untuk membuat kita bahagia, cukup cubaan untuk membuat kita menjadi manusia yang sentiasa berjuang, cukup harapan untuk membuat kita sentiasa positif dengan kehidupan, dan memiliki cukup kekuatan untuk mengatur ucapan maaf. Tidak ada manusia yang dilahirkan sempurna sebagaimana sabda Rasulullah SAW " Setiap manusia pernah melakukan kesalahan dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT."

Masa depan yang cerah bergantung pada sejauh mana setiap pengalaman masa lalu mampu memberikan pengajaran. Bukan sedikit manusia yang tidak mampu meneruskan kehidupan dengan baik kerana kegagalan dan kesakitan masa lalu yang tidak dimaafkan. Sedangkan boleh jadi, kegagalan dan kesakitan itu sebenarnya adalah sumber tumbuhnya hati yang cekal dan kuat dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Ucapan maaf adalah ucapan keramat yang akan melapangkan hati dan menyebarkan bahagia. Ucapan maaf jua adalah tempat untuk merendahkan hati dan meninggikan iman. Lumrah insan biasa, pasti kita tidak dapat lari daripada berbuat silap, dalam sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja. Namun, istimewanya orang mukmin, mereka sentiasa bersegera dalam meminta maaf dan membetulkan keadaan. Sebagaimana yang terkandung dalam ayatNya,

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٣٤) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٣٥)أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ ١٣٦

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Yaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik diwaktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (QS. Al-Imran: 133-134).

Ketika lidah berat menyebut ucapan maaf, lapangkan hati dan ingatlah keampunan Ilahi melebihi luasnya lautan dan langit yang terbentang. Sedangkan sebagai hamba, kita layak untuk disakiti, kerana kita sebenarnya tidak pernah memiliki walaupun sebesar zarah. Kita tidak pernah tahu bila masanya kita akan kembali menemuiNya, jadi mengapa harus redha untuk terus tenggalam dalam keegoan. Kehidupan ini terlalu singkat, dan alangkah ruginya jika ia hanya dihabiskan dengan amarah dan saling membenci.

Kreatifkan cara untuk melembutkan hatimu dengan kemaafan. Antaranya adalah dengan meningkatkan keyakinan di dalam hati bahawa Allah telah mengatur segala urusan kehidupan dengan serba sempurna. Justeru, tiada sebab untuk menyesali kesilapan yang telah berlaku. Lewatilah kembali saat-saat indah yang pernah dilalui, jejak bahagia yang ditinggalkan sekian lama, dan bebaskanlah sepi dengan ucapan maaf yang tulus. Ketika jiwa gersang daripada kemaafan, akuilah bahawa antara kita masing-masing saling memerlukan. 

Dari Uqbah bin Amir, dia berkata:
"Rasulullah SAW bersabda, "wahai Uqbah, bagaimana jika ku beritahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mahu memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu." (HR.Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baghawy).

MAAFKANLAH...
Alangkah sedihnya, ketika kita dikelilingi insan-insan kesayangan di dalam hidup, namun masing-masing memilih untuk memendam rasa dan tidak mampu untuk memaafkan. Jika ucapan maaf dipaksa sekalipun, ia masih bukan maaf yang tulen, kerana masih belum mampu untuk melupakan kesilapan yang telah dilakukan. Bukanlah maaf yang benar namanya, jika hati masih suka mengenang bekas luka, yang boleh membarah dendam. Lepaskanlah diri daripada belenggu keegoan, luruskan hati, agar hati-hati ini saling mendekat dalam ketenangan. Maafkanlah, agar seorang anak dapat merasai hangatnya kasih seorang ibu. Seorang teman dapat merasai sayang temannya. Dan, seorang isteri sentiasa aman dalam perlindungan suaminya. Kerana bahagia itu hampir mustahil dicapai jika memilih untuk bersendirian. 

Merendahlah, kerana merendah itu boleh jadi satu permulaan kepada suatu lonjakan yang jauh untuk menggapai bintang.


BUKAN SEKADAR UCAPAN
Maaf adalah bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi maaf yang benar-benar dimaknai, adalah dengan kesungguhan untuk memperbetulkan keadaan, dan menambahbaik permasalahan yang timbul. Justeru, setiap ucapan maaf dan kemaafan yang diberikan perlu kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua pihak agar kesilapan yang sama tidak berulang dengan sengaja. 

Namun, saya akur, praktis dalam kehidupan seharian tidak akan menjadi semudah melakar dalam kanvas tulisan, namun percayalah tiada yang mustahil buat seorang muslim yang bertaqwa. Kerana kita tidak redha untuk mempertuhankan perasaan, sedangkan perasaan itu yang memiliki Tuhannya.

Teman, jika semalam kita memilih untuk memendam perih sendiri, hulurkanlah maaf dalam kedinginan fajar, biar kedatangan mentari pagi disambut dengan penuh kebahagiaan.

"Kecantikan hati laksana mutiara indah yang terpendam dalam cengkerangnya, tidak mudah dilihat, jua tidak mungkin dicapai kecuali dengan usaha keras yang tidak mengenal jemu"

“Jika kalau kerana dunia, mengapa perlu terus bersedih sedang boleh memilih gembira. Mengapa perlu berterusan pedih & marah sedang boleh memaafkan. Berterusan sedih, pedih & duka HANYA menganggu hidup yang ringkas ini. Penuhkan ia dengan ibadah dan tenang... Berbaloi Insha Allah.” [ Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman]

Mengertilah wahai jiwa,
Maaf itu bukan sekadar ubat,
Tetapi wangian,
Yang menyebarkan harumannya.

Buat akhirnya, maafkanlah. Maafkanlah kerana Allah.



[aisyahumaira0803.blogspot.com]
15122013



Jiwa berbeza

Setiap mata yang memandang itu berbeza,

Ada yang melihat tabir senja petang itu mendamaikan,
Berdiam menghayatinya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat deru ombak itu meralitkan,
Menghela nafas di tepiannya suatu kebahagiaan,

Ada yang melihat pelangi itu menyenangkan,
Menantinya setelah pergi titis hujan suatu kebahagiaan.

Kerana,
Pandangan itu milik setiap insan,
Melihat dunia daripada mata hatinya,
Tidak hairanlah jika ada dua jiwa ditimpa ujian sama,
Namun, menanggapinya dengan cara berbeza.

Taqdir Ilahi akan terus berjalan,
Melewati hari menemani sisa nafas,
Sedangkan insan terus diberi pilihan,
Ingin mengeluh atau menyukuri.

Duhai jiwa,
Biar terus segar mengharap cintaNya,
Tunduk bersujud di bawah langitNya,
Bertasbih memohon keampunanNya,
Dalam hempas luka dan dosa kepadaNya.


Duhai jiwa,
Cintailah dunia dan isinya seadanya,
Kerana ia tidak lama,
Rinduilah pertemuan dengan cinta abadi,
Di sana nanti dengan haruman syurgawi.


[aisyahumaira0803.blogspot.com]
181113

Serikandi Sejati

Tika bayu menyapa diri,
Aku sayu melihat di sisi,
Mawar putih kini kian hilang seri,
Kerana al haya’ semakin rakus dikikis pergi.

Lalu ku tundukkan wajahku,
Mencari secebis kekuatan,
Buat menjadi peneguh imanku,
Di kala duri dunia semakin menekan.

Suatu ketika,
Allah ilhamkan padaku kisah seorang serikandi,
Yang langkahnya sopan penuh tertib,
Yang wajahnya halus cantik mempesona,
Yang cintanya kudus mendamaikan jiwa,
Itulah dia Asiah binti Muhazim.

Lembut bukan simbolik kelemahan,
Kerana di sebaliknya tersembunyi kekuatan,
Ketika risikan sang sultan menjengah kamar hati,
Diaju syarat demi iman yang disimpul mati.

Dirimu bunga bukan bunga biasa,
Tetapi bunga istimewa kebanggaan agama,
Cintamu bukan cinta biasa,
Tetapi cinta yang telah melunakkan hati Firaun untuk menerima,
Agar Musa selamat di pangkuanmu hingga dewasa.

Duhai serikandi Asiah,
Meskipun bersuamikan sang durjana,
Namun setiamu tak digugat olehnya,
Kerana islammu bukan hanya pada nama,
Tapi terikat di lubuk hati tanpa tanda tanya.

Duhai sahabat muslimah yang ku cintai,
Kembalilah meraikan fitrahmu ,
Kembalilah mengangkat martabatmu,
Ke puncak yang tertinggi.

Doaku,
Semoga Allah pertemukan kita lagi di syurga,
Berbahagia bersama serikandi dunia,
Abadi menjadi bidadari di sana,
Perkenankanlah ya Allah.

Amin :)


[aisyahumaira0803.blogspot.com]

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat