Wednesday, February 19, 2014

Tinta dari Hati ( Part 2 )

“ Wafa sudah bersedia untuk berumahtangga..?” Soalan itu bertamu lagi buat kesekian kalinya, soalan yang sukar dijawab. Biarpun beberapa lamaran menjengah, hati Wafa belum terbuka untuk menerima. Dia akui, seakan ada sedikit ketakutan kepada dunia perkahwinan, melihat ujian yang menimpa keluarganya sendiri. Ketika sahabat seusia memilih untuk asyik mencari calon suami dan bercerita mengenai pernikahan, Wafa terus memilih untuk berdiam diri.
“ Saya masih ingin fokus kepada pelajaran, Ustazah..” jawapan murabbiah dijawab tenang. Sebuah senyuman yakin diukir.
Bila datang masanya, ia pasti akan berlaku. Bila tepat orangnya, hati ini pasti terbuka..” Wafa menyambung jawapan, namun dalam hati cuma.

Wafa meneruskan hari-hari seperti biasa. Sibuk dengan pelajaran dan usrah yang dikendalikan. Jua sibuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang berlambakan di bumi Kuala Lumpur. Sedang berjalan menuju ke Perpustakaan Kolej, Wafa terlihat dua insan sedang berduaan duduk bersembang di belakang perpustakaan. Allahurabbi, perasaan Wafa berkecamuk. Farah dan teman lelakinya sedang berbual. Hati Wafa disapa amarah secara tiba-tiba. Seolah setiap patah nasihat yang keluar daripada bibirnya tidak langsung memberi kesan pada hati Farah. Tidak lama, Wafa seakan tersedar kembali.

“ Allah, astaghfirullah. Ampuni aku ya Allah. Aku tidak sempurna. Sentiasa khilaf dan bersangka-sangka. Siapalah aku ini untuk memastikan semuanya baik belaka. Aku hanya menyampaikan. Hanya Engkaulah yang mampu memberikan hidayah..” Wafa mengusap muka. Memohon keampunan atas lemahnya diri mengurus hati. Wafa mencapai telefon, terus mendail Farah. Dia akui tidak mampu terus menegur ketika teman lelaki Farah masih di situ.

“ Assalamualaikum..” lembut suara Wafa menyapa.
“ Waalaikumussalam, Wafa. Ada apa?” Farah kaget menjawab panggilan daripada Wafa.
“ Farah, kebetulan saya lalu di sini. Saya nampak awak tadi. Boleh kita jumpa di perpustakaan sekarang?. Rindu nak berbual lagi.” Wafa cuba berlagak mesra meskipun hati sedang merasa tidak enak.
“ Hmm. Penting ke? Oklah, kejap lagi ye..” Farah dapat merasakan Wafa sudah melihat dia sedang berduaan bersama teman lelakinya.

Lama Wafa menunggu, rupanya Farah tidak datang seperti yang dijanjikan. Wafa meninjau-ninjau di luar. Farah dan teman lelakinya sudah tidak ada lagi di situ. “ Allah, tabahkanlah diriku. Berikanlah aku kekuatan dan ketenangan luar biasa” Wafa mengatur doa pengharapan di dalam hati.

Malam itu, Wafa larut dalam ketenangan mengadu segala-galanya kepada Pemilik Hati yang menciptakan segala sesuatu. Wafa yakin, Pencipta pasti lebih tahu segalanya, malah Dia yang mengatur sempurna seluruh kehidupan manusia. Wafa berdoa, dan terus berdoa. Wafa berdoa supaya ditunjukkan jalan terbaik untuk ditempuhi, dan dikurniakan kekuatan untuk bermujahadah.

 “ Memang saya tidak kata mengawal tuntutan nafsu itu mudah, namun tidak mustahil dengan adanya mujahadah”. Dia memuhasabah kembali kata-kata yang pernah diucapkan kepada sahabatnya suatu ketika dahulu. Hampir sejam di atas sejadah, akhirnya Wafa tertidur. Bunyi deringan telefon mengejutkan Wafa daripada lena. Dia meraba-raba telefon bimbit di sisi.

“Allah!” hanya ucapan itu yang mampu keluar daripada bibir Wafa. Kelam dunia dirasakan. Satu-satunya insan kecintaan dirinya telah pulang ke dunia sana. Wafa kelu. Bibirnya pucat. Kepalanya berpusing. Seakan mimpi, dia mendapat berita pemergian ibunya buat selama-lamanya. “ Ibu….Wafa perlukan ibu. Wafa masih ingin dicium ibu. Wafa ingin dengar kata-kata nasihat ibu…Wafa ingin berbakti kepada ibu…” Bicara Wafa tersekat-sekat dibawa sendu. Sungguh hatinya dicengkam rindu yang sukar digambarkan. Bagaikan hilang sebahagian kehidupannya dibawa pergi dengan berita pemergian ibunya.

Allah...

Bersambung


Friday, February 14, 2014

Tinta dari Hati ( Part 1 )



“Sampainya hati abang!” sedu suara ibunya mengungkapkan patah demi patah perkataan. Ayahnya diam. Sepi tanpa suara. Suara garau yang sedari tadi menjerkah akhirnya kaku.

Akhirnya lafaz talak terkeluar juga daripada mulut ayahnya. Kalimah ngeri yang meremukkan hati seorang wanita. Ayahnya masih diam. Terkejut dengan tingkah sendiri yang tidak disedari.

Wafa menjerit dalam hati cuma. Kejamnya ayah. Kasihannya Ibu. Sifat panas baran ayah sejak dulu masih belum berkurang, bahkan menjadi-jadi sejak mencecah usia 50an. Wafa maklum, salah sedikit sahaja, pasti ibu diherdik dan dipukul. Wafa akhirnya menangis sendirian di dalam bilik. Entah buat keberapa kali air matanya mengalir kerana sikap keras seorang lelaki bernama ayah. Akhirnya dia terlena, dengan air mata yang masih bersisa.

“ Wafa, termenung panjang nampaknya..” Sophea menegur sekaligus mematikan lamunan Wafa.

“ Eh, awak menangis?” Sophea terkejut melihat ada air mata membasahi pipi sahabatnya.

“ Saya rindukan ibu.” Jawab Wafa sambil tersenyum. Enggan mengulas panjang mengenai kisah hampir 7 tahun lepas yang membuatkan air matanya mengalir. Sophea tidak bertanya lanjut.Wafa terus tersenyum, bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang sentiasa memahami apa yang perlu dan apa yang tidak perlu. Lagipun, dia yakin dia tidak berbohong, kerinduan kepada bonda yang jauh di kampung sana antara yang menyebabkan dia menangis.

“ Oh ya, Sophea. Saya undur diri dulu ye. Saya ada janji dengan Farah. Katanya ada perkara penting yang nak ditanya.” Wafa meminta izin, sambil menyuakan tangan untuk bersalaman. Sophea mengangguk.

Wafa melangkah menuju ke kafetaria dengan seribu rasa yang mengusik jiwa. Dia hanya mampu berdoa supaya setiap masa lalu adalah sumber kekuatan untuk dirinya melangkah seterusnya. Dari jauh kelihatan seorang gadis cantik melambai. Wafa mengukir senyum.

“ Wafa, maafkan saya menganggu masa awak…” gadis itu tersenyum hambar.

“ Eh tak ada masalah la, saya pun lama dah tak berkesempatan berjumpa kawan saya yang disayangi ni. Maaf ye, sibuk sikit final year ni kan.. Hm kenapa ni awak? Awak nampak macam sedih aje. Ada masalah ye..” Wafa bertanya. Tangannya masih belum melepaskan tangan gadis itu setelah bersalaman tadi.

“ Hati saya sakit, Wafa. Awak kenal teman lelaki saya kan? Dia dah tinggalkan saya. Alasannya, kerana saya sering mendesaknya untuk berkahwin. Dia marah-marah dan akhirnya minta putus.Saya tak sanggup kehilangan dia.” Gadis bernama Farah itu bersuara lirih. Ada sesalan yang amat dalam nada suaranya yang tenggelam timbul. Wafa terpampan. Dia tidak tahu apa yang diharapkan lagi dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab seperti itu. Hatinya diburu rasa sesak yang mendesaknya supaya memberitahu Farah agar melupakan sahaja lelaki itu. Namun, Wafa cuba bersabar. Dia menyusun kata supaya Farah lebih selesa menerima pandangannya nanti.

“ Awak suka dimarahi?” Wafa melemparkan soalan provokasi.

“ Ish, sakit hati. Farah pun ada maruah. Tapi…Farah cintakan dia..” Perlahan dia menuturkan ayat terakhir.

“ Subhanallah, cinta kadangkala boleh buatkan kita menutup mata pada kesan mendatang. Lelaki yang suka marah-marah, suka berkasar dengan wanita, takkan boleh buat kita bahagia, dik..” Wafa memulakan bicara. Farah terdiam, anak matanya memandang lantai.

“ Awak, saya minta maaf, saya tak pernah berniat nak menghalang awak untuk rasa bahagia. Tetapi kerana rasa sayang, saya perlu menyebut semua ini walaupun perit untuk diterima. Terutama hati sedang mencintai. Farah, dari dulu saya terasa berat hati melihat awak keluar berdua, makan bersama, berchatting berlebihan dengan seorang lelaki yang kononnya mengaku cinta. Farah, di pihak saya, saya sangat yakin, lelaki yang benar-benar mencintai sebenarnya akan menjaga maruah diri dia dan kita. Akan menghargai dan berusaha menjadikan rasa itu adalah halal dan diberkati” Wafa terus menyusun bicara, setelah melihat Farah menanti.

“ Tapi…Farah cintakan dia..” Farah masih mengulang ayat sama, ingin meyakinkan Wafa mengenai perasaannya.

“ Awak, atas dasar apakah cinta yang terbina? Kadangkala cinta itu hadir kerana dijadikan indah pada nafsu semata. Kerana baiknya layanan dia pada kita, kerana wajah yang memikat jiwa. Sedangkan sebelum bernikah, segalanya boleh jadi hanya lakonan yang dibuat-buat. Apatah lagi, syaitan sentiasa jadi yang ketiga untuk mengindahkan apa yang salah di sisi Tuhan”  Wafa mengulang nasihat yang pernah didengari daripada seorang sahabat.

“ Selepas bernikah, ketika itu barulah sikap sebenar akan tersingkap. Mampukah dia menjadi imam solat seharian kita, melayani kita dengan penuh santun dan menjaga hati kita yang lemah ini. Jika tidak, segala perkara ‘sweet’ yang ditunjukkan sebelum kahwin, hanya menjadi kenangan perit yang boleh mengundang air mata. Awak, jangan biarkan berkat sepanjang tempoh perkahwinan yang panjang hilang hanya kerana keindahan waktu couple yang sementara” Wafa menatap mata Farah. Mengharapkan agar jiwa muda itu mampu mengerti.

“ Ya Allah, kak. Peritnya untuk menahan perasaan ni!” Farah separa menjerit. Kedua tangannya memegang kepala sendiri. Air matanya sudah tak tertahan.

“Awak, siapa tahu..keperitan hari ini, adalah permulaan hari-hari indah yang akan mendatang?” Wafa memujuk. Dia terasa seakan hatinya sendiri yang terpujuk.

Dia teringat kisah ibunya. Kata ibunya, ayahnya adalah seorang lelaki yang sangat baik sewaktu sebelum berkahwin. Namun, ayahnya sentiasa mengajaknya keluar bersama, malah sanggup mengenepikan perasaan kedua orang tua yang menghalang. Ibunya sesal dengan sikap terdahulu dan sering meluahkan sesalan itu kepada Wafa. Namun dia tahu, ayahnya masih tidak berubah. Paling mengecewakan, solat sentiasa dipandang enteng.

“ Ibu redha dengan perpisahan ini, nak. Daripada ibu menanggung dosa kerana tak mampu lagi taat pada ayah, ibu lebih rela berpisah. Ayah sering meninggalkan solat, ibu yakin kerana itu juga ayah tak mampu menjadi suami dan ayah yang baik…”

“ Nak, jagalah zaman remajamu. Jangan cepat terpedaya dengan lelaki yang tak bertanggungjawab. Berdoalah nak, supaya dikurniakan suami yang benar-benar mampu menjadi tempat dirimu berlindung dan mendapat kasih sayang" nasihat ibunya meruntun jiwa. Nasihat itu juga yang dipegang untuk menepis godaan lelaki di zaman mencabarnya kini. 


Bersambung....

Wednesday, February 12, 2014

REMAJA, NILAI CINTAMU





" I love you.." lembut bicara seorang remaja lelaki menusuk masuk ke dalam hati seorang remaja perempuan, membawa diri mereka ke dunia lain yang mengkhayalkan. Tanpa disedari, panahannya sebenarnya dijadikan indah oleh syaitan, yang menjadi makhluk ketiga antara mereka. Kerana antara keduanya, tiada ikatan yang menghalalkan.

Hari demi hari kita dihadapkan dengan cerita cinta remaja. Siapa mampu menafikan, pesona cinta yang mengusik jiwa. Mereka kini asyik diulit drama dan filem cinta, hanyut dibawa lagu yang mengkhayalkan jiwa. Kita sudah sekian lama, mendefinisi cinta daripada kaca mata barat, tanpa pertimbangan al Quran dan as Sunnah. Kerana itu cinta lebih dekat difahami dengan cinta lelaki dan perempuan di luar pernikahan. Cinta yang melibatkan dua  insan yang sanggup berkorban apa sahaja. Malah sanggup mengenepikan kedua ibu bapa yang berjasa, dan melupakan deretan buku yang menanti untuk dibaca.

HIERARKI CINTA.

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.(9:24)

Yang demikian itu disebabkan karena sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih dari akhirat, dan bahwasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.(16:107)

Jatuh cinta, tanda kita manusia normal. Uruskan cinta, tanda kita manusia bijaksana. Kerana itu, uruskanlah cinta dengan saksama, dengan penuh pertimbangan wahyu, bukan sekadar desakan nafsu dan emosi.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini”

Berapa ramai yang kelihatan bahagia bercinta, tetapi cintanya pada yang tidak halal. Berapa ramai yang mengaku dilamun cinta, namun cintanya tidak mendatangkan ketenangan. Malah, mengundang keluh kesah, sedih sedu, jauh pula daripada kasih sayang Allah.

Lebar luaskan ufuk pandanganmu tentang cinta, kerana Allah menganugerahkan cinta halal yang lebih luas kenikmatannya, lebih berganda pula pahalanya. Itulah hierarki cinta di jalan Allah. Cintakan Allah, cintakan Rasulullah, cintakan insan-insan yang mencintai Allah. Bukan hanya membiarkan diri lemas dengan cinta dunia yang akan berpenghujung suatu hari nanti.

Cinta itu adalah keindahan anugerah Ilahi, mana mungkin keindahan ini akan bercampur dengan pengkhianatan kepada Tuhan. Remajaku, lawanlah perasaan ingin bercinta melayan nafsu sebelum pernikahan. Jangan nodai hari-hari remaja yang sepatutnya suci dan terpelihara. Kebijaksanaan mengisi masa dan mengenal prioriti akan membantu remaja menjaga diri daripada terjebak dalam maksiat dan dosa.

TIPS BUAT REMAJA

Antara tips buat remaja yang sempat dikongsikan buat ingatan bersama.

1.    Perkukuh akidah.
Zaman remaja adalah masanya untuk memulakan pencarian ilmu secara bersungguh-sungguh. Supaya kita tidak lagi hanya berpegang dengan ilmu akidah yang dipelajari di sekolah rendah dahulu. Gunakan masa yang ada ketika diri masih tidak mempunyai komitmen dengan rumahtangga dengan sebaiknya. Jika kalian terlalu sibuk dengan usaha mencari ilmu, pasti tiada masa sama sekali bercouple dan membazirkan masa dengannya. Yakin dengan taqdir, bahawa rezeki jodoh adalah dengan izinNya jua. Tiada yang dapat menghalang jika benar si dia adalah jodohmu nanti.


Nabi menegaskan :
أن الأمـة لـو اجـتمـعـت عـلى أن يـنـفـعـوك بشيء لم يـنـفـعـوك إلا بشيء قـد كـتـبـه الله لك، وإن اجتمعـوا عـلى أن يـضـروك بشيء لـم يـضـروك إلا بشيء قـد كـتـبـه الله عـلـيـك
Ertinya : seluruh umat jikalau mereka berpadu untuk memberi manfaat kepadamu, tidak akan mendapatimu kecuali apa yang telah ditaqdirkan oleh Allah untukmu, dan sekiranya mereka berpadu untuk memudaratkanmu, tiada keburukan mengenaimu kecuali apa yang telah ditaqdirkan ke atasmu. ( Riwayat At-Tirmidzi, Hadis Hasan Sohih)


2.    Pertingkatkan ibadah.
Rajin-rajinkan diri melaksanakan pelbagai ibadah sunat, selain daripada ibadah fardhu. Antaranya, lazimi puasa Isnin dan Khamis, bacaan zikir-zikir yang ma’thur, solat-solat sunat dan sebagainya. Ini adalah satu bentuk latihan kepada diri sendiri, sebagai cara menguatkan iman dan taqwa sebelum melangkah ke dunia baru yang lebih mencabar.

3.    Perbaiki akhlak
Dewasa kini, laluan remaja terhampar dengan seribu satu kebejatan akhlak yang lahir daripada pengaruh media massa yang berada di hujung jari. Justeru, duhai para remaja yang dikasihi, perbaikilah akhlak biarpun seluruh temanmu mengejek, supaya kehadiranmu menjadi contoh teladah dan mampu memberi manfaat kepada ummah. Perbaiki cara bertutur, cara menyantuni kedua orang tua, cara bersahabat, cara menghormati guru dan sebagainya. Biar dirimu yang mempengaruhi kemodenan, bukan dirimu dipengaruhi kemodenan.

4.    Kenal prioriti.
Secara kebiasaannya, zaman remaja merupakan tempoh menuntut ilmu di alam sekolah mahupun universiti. Remaja yang bijak mengenal prioriti sebenarnya akan lebih terarah dan jelas matlamat hidupnya. Tidak ada ruang untuk dibazirkan dengan perkara yang tidak berfaedah seperti berdating, berchatting dan sebagainya. Prioriti para remaja juga adalah untuk memberi bakti buat kedua ibubapa yang mungkin sudah mencecah usia emas. Berilah kedua mereka perhatian dan luangkan masa untuk diisi bersama. Kenal apa jua prioriti, supaya tidak menyesal di kemudian hari.

5.    Lazimi majlis ilmu
Zaman remaja, banyak masa boleh dimanfaatkan untuk menghadiri lambakan majlis ilmu di masjid atau surau, ataupun seminar-seminar yang dianjurkan mengikut kemampuan masa dan kewangan masing-masing. Libatkan diri dengan usrah dan halaqah yang boleh memberikan semangat dan kekuatan untuk menempuhi zaman yang mencabar ini. Jangan bazirkan masa melepak tanpa tujuan kerana jelasnya ia tidak akan membantu membangun diri.

6.    Bergaul dengan orang soleh.
“Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk adalah ibarat penjual minyak wangi dan penjual besi. Penjual minyak wangi boleh memberimu tanpa kita harus membeli, atau (paling tidak) engkau akan mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan penjual besi boleh membakar pakaianmu atau engkau akan mencium bau busuk darinya.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Islam telah menggariskan peri pentingnya memilih teman yang baik, sebagai penguat di jalan yang serba mencabar. Apatah lagi buat para remaja. Ada yang sebenarnya tidak pernah berhasrat untuk bermaksiat seperti bercouple, namun akhirnya terjebak kerana ‘cemburu’ melihat kawannya sedang bercouple. Justeru, perhatikanlah dengan siapa kalian berteman. Semoga teman itu boleh menarik kalian dekat dengan syurga, bukan menjerumuskan ke neraka. Na'uzubillah.

7.    Pelajari ilmu rumahtangga.
Antara salah satu cara untuk memanfaatkan masa remaja adalah dengan sentiasa belajar ilmu rumahtangga secara berterusan. Ilmu secara teori juga adalah penting sebelum melaluinya secara praktikal. Pelajari tanggungjawab dan  hak yang ada dalam sesebuah rumahtangga menurut aturan al Quran dan as Sunnah.  Selain itu, ilmu kemahiran rumahtangga juga tidak boleh diabaikan. Sama ada perempuan ataupun lelaki, belajarlah mengurus rumah dengan bersih dan teratur, belajar memasak, belajar mengurus kewangan dengan baik dan pelbagai kemahiran rumahtangga yang penting. Supaya dapat membantu dalam membina rumahtangga yang lebih cemerlang.


Buat akhirnya,
Remajaku, mahalkan dirimu. Hargai maruah dirimu. Bina peribadi tertinggi. Untuk dibawa menemui Ilahi nanti.


Remajaku,
Akan sampai masanya untukmu merasakan,
Pesona cinta yang suci lagi diberkati,
Cuma sekarang masa untuk menjaga,
Hati yang rapuh daripada dinodai.




[aisyahumaira 120214]




Monday, February 10, 2014

Keindahan nilai syukur...



“ Eh, cuba kau tengok tu..”
“ Hahaha…”

Saya mendengar sahaja perbualan bertali arus daripada murid-murid yang sedang menyusun kasut di luar surau. Hati disapa kurang selesa melihat mereka meninggikan suara dan tidak beratur dengan baik sebelum masuk ke surau walaupun saya sedang berdiri di hadapan pintu surau. Apatah lagi mereka semua merupakan pelajar tahun 6. Saya menanti tanpa secalit senyuman. Mereka terus berbual dan bergurau. Tanpa mengetahui batas yang sewajarnya sewaktu sesi kelas bermula.

Saya masih menunjukkan riak serius, tidak ingin membiarkan mereka selesa dengan sikap begitu. Fikiran menerawang jauh, mencari idea untuk dilontarkan kepada mereka. Tiba-tiba saya teringat status fb yang baru dipost semalam.

“Berkesempatan menonton slot Tangisan Yarmouk di Berita Al Hijrah mengenai pelarian Palestin di Syria. Hati disapa sebak melihat keadaan kawasan runtuhan yang tidak selamat dan kotor, menjadi 'kediaman' saudara seislam.

" Saya tidak ada keluarga, tidak ada anak, tidak ada isteri. Saya hanya ada Allah.." kata seorang lelaki tua yang sudah beberapa hari tidak menjamah makanan dengan linangan air mata.

Seorang wanita muda yang menggendong bayinya sudah kekurangan susu badan juga kerana beberapa hari tidak makan. Air matanya mengalir tanpa henti menceritakan sudah hampir 8 bulan terpisah dengan suami yang dicintai.

Seorang wanita yang lain pula sedang mendukung bayinya yang sudah tidak lagi bernafas kerana kebuluran.

Allah...

Lupakah kita akan nilai sebuah kesyukuran, atas setiap nikmat yang dikurniakan. Yang dirasakan 'nikmat' bagi kita belum tentu nikmat di sisiNya, jika nikmat itu menjauhkan diri dengan Tuhan, jika nikmat itu sering lupa disyukuri.


Kita sering cuba menyebut-nyebut apa yang tiada, melupakan sekian banyak senarai yang ada. Kita sering mengharap sesuatu yang lebih daripada apa yang diperlukan, walaupun di bibir sentiasa mengakui adanya hari pembalasan dan akhirat yang kekal. Kita sering mendamba 'kesempurnaan' hidup, sedangkan kita juga mengharapkan syurga nan indah. Kita adalah kita, yang sukar mujahadah dan istiqamah, dalam meluruskan persepsi hati. 

Ketika Allah mengurniakan kita cukup makanan untuk mengenyangkan perut, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran?

Ketika Allah mengizinkan kita tinggal di kediaman yang bersih dan selesa, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran?

Ketika Allah menganugerahkan insan-insan yang melindungi dan membahagiakan hari-hari kita, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran.

Semoga hati ini dipandu, memandang dunia daripada jendela akhirat, supaya segala keindahan hari ini, tidak terhenti di sini........

Ingatan buat diriku dan dirimu yang dikasihi...”

Setelah mengambil tempat masing-masing di surau, mereka mula menumpukan perhatian. Ada beberapa murid berbisik sesama mereka, barangkali hairan dengan ‘mood’ saya yang agak lain kali ini.

“ Ada sesiapa yang tengok berita TV Al Hijrah semalam?” saya menyoal sambil anak mata memerhati mereka seorang demi seorang. Mereka diam. Sebahagian besar menggelengkan kepala.

“ Awak semua telah atau akan makan hari ini?” saya terus menyoal. Cuba menarik perhatian mereka. Mereka mengangguk. Saya mula tersenyum. Meredakan ketegangan yang mula dirasai di dalam surau kecil itu.

“ Alhamdulillah, ustazah yakin semua ada makanan yang cukup untuk makan. Semalam ustazah menonton Tangisan Yarmouk, kisah mengenai pelarian Palestin di Syria. Bagi ustazah, tempat tersebut tak layak diduduki oleh manusia. Kawasan runtuhan yang sangat merbahaya, kotor dan berbau busuk. Ahli keluarga terpisah antara satu sama lain. Paling menyedihkan, ada bayi yang mati kebuluran…” Saya menahan sebak yang bertamu membayangkan seorang wanita muda yang berlinangan air mata menceritakan perpisahan hampir 8 bulan dengan suami. Besar harapan supaya anak-anak murid yang mendengar juga turut merasai apa yang saya rasakan ketika ini.

Mereka masih diam. Semua menunjukkan minat supaya saya meneruskan cerita. Saya terus menyambung.

“ Ustazah yakin, kanak-kanak di sana juga ada keinginan untuk bersekolah, ingin menuntut ilmu, ingin bermain gembira bersama kawan-kawan. Namun, mereka tak punyai kesempatan. Sedangkan kamu semua? Alhamdulillah, Allah telah kurniakan semua nikmat ini supaya kamu kenal erti syukur….kesyukuran akan membuatkan kamu belajar menghargai apa yang ada. Tapi ustazah sedikit sedih, melihat kamu tidak bersungguh-sungguh, malah boleh pula bermain dan bergurau berlebihan sehingga mengabaikan adab-adab menuntut ilmu…” saya cuba mengaitkan cerita tadi dengan suasana yang berlaku sebentar tadi.

“ Agak-agak, bagaimana yang sepatutnya? ” saya bertanya, ingin mengetahui apa yang bermain di minda mereka sekarang.

“ Kami perlu rajin belajar…” seorang murid berbaju pengawas meluahkan.
“ Kami perlu belajar hormat guru…” seorang lagi rakan di sebelahnya menyambung.
“ Kami tidak boleh bermain berlebihan pada masa yang tak sepatutnya…”
" Kami perlu jadi manusia yang bersyukur..."
" Dan menghargai banyak nikmat yang Allah berikan.." Beberapa lagi murid berlumba-lumba memberikan pengajaran cerita. Ringkas tetapi cukup melegakan.

Saya senyum.

“ Ok baiklah, sekarang ustazah nak kamu semua senyum. Alhamdulillah, ustazah gembira kamu semua dapat faham dan ada keinginan untuk berubah. Ustazah bukan mahu kita semua belajar dalam keadaan serius, sekadar ustazah ingin kamu tahu batas yang sewajarnya. Kerana berkat adalah sangat penting dalam menuntut ilmu” Mereka semua mengangguk.

“ Ha, tapi alhamdulillah, ustazah sangat bangga tadi melihat kamu semua menyusun kasut dengan sangat kemas dan baik. Bagus. Tak perlu ditegur pun kamu semua boleh melakukannya. Macam tu lah anak murid ustazah.” Saya memuji sebagai pendorong untuk mereka terus berbuat kebaikan. Kelihatan mereka tertawa kecil.

Alhamdulillah, sesi pengajaran pada hari itu berjalan dengan sungguh tenang dan membahagiakan. Mereka kelihatan seronok, namun masih menjaga adab sebagai penuntut ilmu. Saya percaya, guru tidak hanya ingin sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi yang lebih utama menanam nilai kerohanian ke dalam jiwa mereka, sebagai ilmu untuk kehidupan.

Allahurobbi, bantu diri kami para pendidik, semoga ilmu-ilmu ini meresap jauh ke lubuk hati mereka, dipegang utuh menjadi panduan kehidupan, disebarluas menjadi saham akhirat. Allahumma amen.



[aisyahumaira 100214]



 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat