Sunday, May 11, 2014

Pesona wanita bergelar ibu


Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” . Al Isra 23 dan 24

" Terima kasih ibu, kerana telah menjadi ibu yang terbaik buat adik selama ini dan selamanya hingga ke akhir hayat.." saya meluahkan rasa sepenuh perasaan di corong telefon. Bonda di sana terdiam sebelum membalas. " Ya Allah, terima kasih jua adik kerana menjadi anakanda yang terbaik selama ini". Kami sama-sama larut dalam sebak dan sayu. Meskipun jarak antara kami kian mencemburui, namun dia, seorang ibu sentiasa dekat dalam hati ini. Sentiasa. Sukar diluahkan, sukar digambarkan, cukuplah hanya Allah yang tahu rasa ini.

" Maafkan adik atas bebanan perasaan dan fikiran yang terpaksa ibu lalui selama ini kerana diri ini. Doakan adik ye..."

" Ibu sentiasa doakan adik, kebahagiaan kehidupan adik, kebahagiaan rumahtangga adik seluruhnya sehingga ke syurga.."

Saya makin dihambat pilu. Entah kenapa, malam ini sayu sungguh rasanya, berbanding hari-hari sebelum ini kami sentiasa berbicara ceria.

" Biarpun ada orang yang bersangka tidak baik, biarpun ada orang yang tidak menghargai, adik di sini tetap memandangmu dengan penuh kesempurnaan seorang ibu. Yang mengandung, melahirkan dan membesarkan diri ini dengan sebaik mungkin. Sehingga akhirnya diri ini mampu berjalan sendiri di bumi yang mencabar ini.." hati saya bermonolog sendiri usai berbicara panjang dengan bonda yang dikasihi. Mengenangkan wajahnya yang kian dimamah usia, saya semakin sebak. Pada wajahnya yang masih cantik sempurna di usia emas, terbayang jerih perih kepayahannya yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada sesiapa jua. Kesusahan suatu ketika dahulu dalam serba kekurangan, namun tegar dan tabah demi cinta dan kasih buat seluruh ahli keluarga yang terpikul di bahunya.

Dialah yang bangun seawal sebelum subuh, menyiapkan kami ke sekolah, dalam malas dan bising kami adik beradik. Dialah yang membersihkan rumah dan halaman rumah setiap hari sebaik mentari menampakkan diri. Dialah yang menanti kami di pintu rumah, dengan senyuman dan hidangan tengahari, setiap hari. Dialah yang menyiapkan kelengkapan sekolah, dan meminta kami menyiapkan kerja sekolah. Di tengah malam, dialah yang terus menjahit menyiapkan tempahan, bagi membantu ayahanda mencari nafkah kami sekeluarga. Dialah yang terus menerus berbakti pada rumah kami. Hanya dengan sentuhan tangannya, tanpa dibantu oleh sesiapa.

" Entah bila waktu rehat dan tidurnya ketika itu, saya pun tak tahu...!" cerita seorang saudara kepada saya ketika dia datang menziarahi rumah kami. Saya terdiam kerana saya tidak pernah tahu. Kerana, ibu kami tak pernah menceritakan kepada kami. Bahawa seluruh kehidupannya ketika itu dihabiskan dengan melunasi tanggungjawab Tuhan kepada dirinya.

" Ketika itu, kawasan kampung ini belum meriah begini. Hanya ada beberapa rumah, itupun jauh daripada sini. Gelap dan sunyi. Tapi ibu kalian memang berani, tengah malam pun masih keluar daripada rumah jika ada keperluan. Siang hari pula membasuh di sungai sana...Tidak ada beza tugas yang dilakukan ketika mengandung ataupun tidak" Saudaraku itu terus menyambung cerita. Anak matanya seakan memandang jauh, kisah dahulu. Ketika diri ini masih belumpun wujud dalam rahim bonda.

Bermula sejak kecil hinggalah semakin dewasa, terlalu banyak jasa seorang ibu. Dialah yang berusaha susah payah agar diri ini dapat belajar di sekolah agama, dan dialah jua yang memberi sokongan untuk terus menyambung di bidang agama. Biarpun ketika ini diri ini masih berbolak balik dengan keinginan diri sendiri. Ternyata pilihan ibu jua yang menepati taqdir Ilahi, hanya lafaz tahmid buat mewakili diri yang bertuah memiliki ibu yang berfikiran jauh seperti dirinya. 

Dia tidak ada segulung ijazah, jua tidak memiliki pelajaran yang tinggi, namun kesungguhannya terbukti apabila kami semua seramai 11 orang memiliki kerjaya dan kehidupan yang baik. Semoga kami takkan pernah lupa, bahawa di sebalik semuanya adalah seorang ibu yang tak pernah lelah mengalirkan air mata dalam doa dan sujud buat semua anaknya yang terkasih. Jua pandangan dan ideanya yang hampir kesemuanya menjadi pilihan kami dalam membuat keputusan sama ada dalam pelajaran mahupun kehidupan seharian. Dia jua, insan yang menjadi pendengar buat kami ketika kami gelisah dan resah, setiap katanya menjadi penawar dan menyejukkan hati.

Dialah seorang insan, yang tak pernah membuatkan air mata ini mengalir kerana terluka, tetapi dialah jua yang tak lepas daripada dibebani sesak perasaan kerana anak-anaknya.

Dialah seorang ibu, seorang wanita yang cukup dicintai, ketabahannya sukar digambarkan oleh bait kata, hanya mampu dirasai jauh di dalam sudut hati. Terima kasih Bonda, sehingga kini setelah bergelar isteri, diri ini tak pernah merasai kehilanganmu, tetap jua dirimu menjadi kasihku yang istimewa. Justeru,dalam waktu bersisa, kami adik beradik sentiasa cuba memastikan kesenangan dan senyum di bibir bonda. Namun, sebanyak manapun kami memberi, takkan pernah mampu untuk kami balas segala jasanya di masa lalu. Hanya Allah jua yang tahu, dan hanya Dia sebaik-baik pemberi balasan.

Semoga kita semua menjadi anak yang mensyukuri kecil atau besar kebaikan ibu. Temanku, sementara masih ada masa yang tersisa, berbaktilah buat ibu. Jika dia telah pergi, titipkanlah doa buatnya di alam sana. Pada sebahagian dirimu, ada kasih dan cintanya yang tulus dan membara. Bukan harta dan kesenangan yang dia impikan, tetapi pengertian dan perhatian, bahawa dia adalah insan yang sentiasa dikasihi dan dicintai sehingga akhir usianya.

aisyahumaira 110514 / 8.45 am


Wednesday, May 7, 2014

Impian yang sempurna




Dalam conteng-conteng pada kali ini, terasa ingin berkongsi dengan teman yang dikasihi, bahawa Allah sentiasa menyediakan aturan terbaik untuk kita semua. Semuanya sebenarnya bergantung kepada diri kita sejauh mana kita berusaha untuk menghargai diri sendiri. 

Kalaulah kita bangun pagi, dan melapangkan waktu untuk merenung...dengan ikhlas dan penuh penghayatan.. Subhanallah, Maha Suci Allah yang masih memberikan pinjaman nafas untuk kita. Itulah salah satu nikmat besar yang menjadi tanda bahawa Allah masih menyediakan ruang untuk kita mencari bekal amal soleh dan insaf akan dosa-dosa yang lalu. Jua menjadi peluang untuk kita memaknai kehidupan dengan lebih cemerlang menurut acuan hati yang fitrah. Kita sebenarnya tak pernah tahu, bahagian mana dalam kehidupan kita yang menjadi asbab untuk kita menjadi ahli syurgaNya. Allahurabbi, terasa berat menyebut syurga kerana tahu kerdilnya diri ini untuk menyimpan hasrat menjejaknya. Namun, tetap ia bukan alasan untuk kita melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini sebaiknya.


Kita berimpian untuk ada kehidupan yang sempurna, subhanallah betapa kita lupa pada syurga yang lebih sempurna.
Kita berimpian untuk ada wajah yang cantik, subhanallah betapa kita lupa wajah cantik yang dijanjikan Allah buat penghuni syurga.

Kita berimpian untuk ada tubuh langsing menggoda, subhanallah betapa kita lupa tubuh bidadari syurga itu sangat mempesona.
Kita berimpian untuk untuk memiliki rumah dan kereta yang selesa, sehingga lupa segala keselesaan kekal di syurga sana.
Kita berimpian untuk memiliki keluarga dan teman yang baik, sehingga kita sukar menerima dunia sebagai ladang ujian sementara.

Impian-impian kita kadangkala menutup mata hati kita daripada mengejar yang kekal di sana nanti. Impian-impian kita jua biasanya hanya tersekat pandangnya di dunia semata. Alangkah ruginya, jika saatnya penyesalan tak lagi berguna, ketika itu segala impian hancur musnah dan peluang kedua tiada lagi.

Kalaulah jua pada malam hari sebelum menutup mata....kita merenungkan lagi, seandainya masih ada esok untuk diri ini, semoga esok itu adalah hari yang lebih baik dan barakah. Hari untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan, kepada seluruh insan kesayangan dan sesiapa jua.

Dan ketika ujian bertamu, biarlah didepani dengan seluruh keyakinan di dalam hati, bahawa Allah sentiasa ada dan mengabulkan doa hambaNya. 

Saya menasihati diri saya sebenarnya, dalam hening petang yang dingin ini. Juga semoga dapat menjadi manfaat buat kalian teman pembaca. Semoga kasih sayang antara kita ini menjadi salah satu amal soleh di sisi Tuhan.

aisyahumaira 070514 / 3.01pm

Monday, May 5, 2014

pelabuhan yang dicari



Aku berada di celah keriuhan manusia, namun tetap aku tertunduk akur akan kesunyian diri.

Aku bicara sendiri pada ruang kamar hati, ke mana ia harus terpenuhi.
Aku mendongak melihat sebentar pada mentari, ke mana erti cahaya di hati.
Aku merenung pula rembulan yang hadir dalam kedinginan, ke mana tumpahnya ketenangan.

Kenapa jiwa ini terasa kosong, dalam nikmat yang kian melimpah.
Kenapa resahnya sukar berhenti, lalu aku diam tak mampu berbicara lagi.

Lantas ku merantau lagi. Berlabuh di pelabuhan demi pelabuhan. Mencari di mana ertinya kebahagiaan dan di mana puncaknya kepuasan.
Lalu akhirnya pelabuhan yang sama ku jejak lagi, ternyata ke mana jua ku pergi, tetap tak ku temui.

Akhirnya aku kembali ke kamar hati, mencari-cari di dalamnya yang pasti. Ku jenguk pula di sisi, ada cahaya sebenar yang sentiasa menyinari. Itulah sekeping naskhah wahyu dari Ilahi. Ku pandang pula lantai yang dijejak dahi, tempat istimewa paling utama.

Ternyata tak perlu ku tanya mentari di mana cahaya, tak perlu ku tanya rembulan di mana ketenangan. Kerana ternyata dalam lembaran suci dan sujud itu terangkum segala kebahagiaan yang abadi.



Kini ku menarik nafas perlahan, dengan senyum terindah ku ukirkan. Ternyata kepuasan itu tidak hadir dalam berlimpahnya materi, tetapi hadirnya menghiasi hati yang sukar diganggu lagi. Biarpun esok kan hadir berjuta cabaran, dengan iman dan keyakinan, kan ku tempuhi dengan jiwa yang tak berbagi lagi.


aisyahumaira 050514

Saturday, May 3, 2014

Aku bukanlah Aisyah


“ Subhanallah, indahnya mendengar kisah Saidatina Aisyah ini. Sungguh mempesona!”  

Saya mengangguk mengiyakan luahan rasa daripada anak saudara yang dikasihi usai saya menceritakan kisah keilmuan seorang wanita solehah ini. Seperti biasa, jika berkesempatan pulang ke kampung, saya akan melapangkan masa untuk berusrah bersama anak-anak saudara yang sedang meniti usia remaja.

“Jalan hidupnya tak jua terbentang dengan mawar dan harumannya, meskipun disatukan dengan seorang suami yang sempurna. Kerana syurga itu menagih pengorbanan dan perjuangan yang tak mengenal erti putus asa” saya teruskan bicara setelah melihat wajah mereka yang semakin ingin tahu.

Bukankah kita seringkali menekuni ayat al Quran ini ;

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. [2:214] 

“Seperti kisah hadithul ifki kan? Beliau diuji dengan ‘kesakitan’ menghadapi fitnah dunia. Namun tulusnya hati seorang muslimah yang ikhlas, akhirnya beliau dibebaskan dengan kebenaran wahyu Tuhannya” salah seorang daripada mereka menyuakan contoh.

Terbayang sorotan peristiwa hadithul ifki, iaitu peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah, yang berlaku selepas Perang Bani Mustalik. Beliau telah difitnah dengan Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang dengan menaiki kenderaan beliau. Fitnah ini dimulakan oleh seorang munafik, Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sudah lama menyimpan dengki dengan Baginda SAW.

“Ya benar. Kisah fitnah yang mengusik sisi maruah seorang wanita yang suci. Namun dengan kasih sayangNya, dirinya dibersihkan jua. Malah, kisah ini terus subur sehingga ke hari ini sebagai satu petanda yang tak diragui lagi bahawa beliau adalah seorang yang terpelihara.”

Seringkali kita melihat ‘sayang’ dan ‘cinta’ Allah itu hadir dalam bentuk anugerah kebahagiaan dan kesenangan. Malah, bibir lebih ringan menyebut kalimah hamdalah ketika memperoleh nikmat yang nampak zahir di mata manusia. Namun, jika diteliti dengan lebih tekun dan mendalam, ‘sayang’ dan ‘cinta’ Allah jua adalah apa-apa yang hadir dalam episod kehidupan yang mampu membawa diri lebih akrab dalam mengabdikan diri kepadaNya. Kerana itulah, fitnah kepada Saidatina Aisyah ini jua adalah satu bentuk kasih sayang Allah kerana dengan ujian ini, beliau menjadi makin utuh dan yakin keimanannya kepada Allah. Sehingga beliau nekad hanya akan mengucapkan syukur kepada Allah yang membebaskannya daripada fitnah itu.

Saidatina Aisyah juga merupakan seorang yang sangat berjasa dalam bidang keilmuan Islam. Manakan tidak, beliau sungguh istimewa kerana tumbuh membesar dalam pangkuan Rasulullah SAW. Banyak hadis yang diriwayatkan oleh beliau sehingga menjadi rujukan para sahabat baginda SAW.

Antara ucapan Saidatina Aisyah r.a yang menjadi bukti kemuliaan yang dianugerahkan kepada dirinya adalah saat turun wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW :

“ Aku pernah melihat wahyu turun kepada Rasulullah pada suatu hari yang sangat dingin sehingga baginda tidak sedarkan diri, sementara keringat bercucuran daripada dahi beliau” HR Bukhari.

Sebagai isteri, beliau juga memiliki keistimewaan untuk bertanya langsung kepada suami yang dicintainya. Antara buktinya adalah melalui ungkapan perbualan beliau bersama Rasulullah SAW.

“ Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat “ Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut.......” (QS Al Mu’minun:60)

“ Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas adalah para peminum khamar dan pencuri? Baginda menjawab, “ Bukan, puteri As Siddiq! Mereka adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedeqah tetapi takut ( amal mereka tidak diterima). Mereka menyegerakan diri dalam kebaikan tetapi mendahului (menentukan sendiri) kebaikan tersebut.” HR Ibn Majah dan Tirmidzi.

Dialah Ummul Mukminin Saidatina Aisyah yang diibaratkan laksana lautan ilmu yang luas dengan keperibadian yang unggul namun masih berpijak di bumi realiti. Pada keunggulannya, ada kisah manja berlumba lari dengan sang suami, menjadi contoh teladan buat para suami dalam melayani isteri. Malah pada keunggulannya jua, ada kisah cemburu yang menjadi makna bahawa ia adalah sifat lumrah seorang wanita.

Terasa sayu membaca kisah detik terakhir pemergian Rasulullah di pangkuan Saidatina Aisyah yang bertuah. Kisah ini diceritakan oleh beliau  “Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya”

Subhanallah.

Dalam dingin senja dan ditemani titis hujan yang baru turun membasahi bumi, saya mengarang sebuah nukilan. Bahawa diri ini meminjam nama beliau yang terpuji dan dicintai Nabi, namun akur masih terlalu jauh daripada mencontohi keperibadian mulia yang menjadi teladan merentasi zaman itu.

AKU BUKAN AISYAH

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang tinggi ilmunya kebanggaan Rasulullah,
Namun aku A'isyah,
Meraih ilmu dalam sukar dan payah.

Aku bukan seorang Aisyah,
Kuat jiwanya dengan pengorbanan yang tinggi,
Namun aku A'isyah,
Belajar bermujahadah menghadapi ujian duniawi.

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang luas jasanya menebar kepada ummah,
Namun aku A'isyah.
Yang bertatih mencari amal dalam kemampuanku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang wajahnya dipandang sungguh mempesona,
Menjadi kecintaan baginda Al Amin,
Namun aku A’isyah,
Yang ingin menjadi penyejuk mata,
Dan menyenangkan hati sedaya mampuku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Dikirim perintah Tuhan untuk diperisterikan Nabi,
Namun aku A’isyah,
Ditaqdirkan Dia untuk menjadi isteri dalam kekuranganku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Digelar Humaira’ ketika dimanjai Nabi,
Namun aku A'isyah,
Diberikan Humaira di akhir namaku.

Sungguh,
Aku bukanlah Aisyah yang sungguh sempurna,
Cemburunya menjadi penghibur hati Nabi,
Karenahnya menjadi penguat cinta Nabi,
Ilmunya menjadi kebanggaan Nabi,
Jasanya menebar luas kepada seluruh ummat Nabi,
Sehingga wahyu Tuhan turun untuk membersihkan dirinya,
Seorang Aisyah yang sungguh terpuji.

Kerana,
Aku hanya seorang A’isyah,
Yang jauh daripada sempurna,
Namun dikurniakan Tuhan untuk bernafas,
Diikat dengan iman dan islam sebagai anugerah,
Kerana itu aku punyai impian dan keyakinan,
Dengan izin dan petunjuk Tuhan ar Rahman,
Bahawa diriku, akan tenang dalam kasihMu.


aisyahumaira 030514 @ cheras




 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat