Friday, September 12, 2014

Harta Berjuta





“Assalamualaikum, K. Teh. Amni dan Izzah sihat? Adik mimpikan mereka tadi. Rindu kot lama tak berjumpa…” tulis saya di ruangan whatsapp kepada kakanda nun jauh di kampung mengenai anak-anaknya. Rindu sehingga terbawa-bawa ke mimpi.  

 “ Semalam baru hantar mereka berdua ke asrama. Hmm, Alhamdulillah, bahagia bila teringatkan mereka berdua…” balas kakak saya. Ada nada sayu dan syukur yang dapat saya rasai daripada balasannya.

“ Alhamdulillah, adik pun rasa K. Teh sangat bertuah dikurniakan dua anak dara seperti Amni dan Izzah…” saya membalas ringkas, sebelum menghentikan perbualan.

Sejenak, saya terkenang dua anak saudara yang dikasihi itu. Amni sudah menjejak tingkatan 3 dan Izzah di tingkatan 1. Syukur pada Allah, kedua-duanya terpilih ke Sekolah Menengah Imtiaz, masing-masing di Kuala Terengganu dan Besut, setelah melalui pelbagai ujian dan tapisan kerana terlalu banyak permohonan untuk memasuki sekolah sains hafazan itu.

Dalam usia yang masih muda semenjak sekolah rendah, kedua-duanya sungguh rajin membantu. Masih saya ingat pujian bonda merangkap nenek mereka. “ Kalau Izzah ada, selamatlah ayam di sinki, semua selesai dibersihkan sehingga disimpan di dalam peti. Amni pula, tak henti membantu mengemas rumah, pantang betul dia melihat rumah bersepah. Sehingga tak sedar kadang kala mainan adik-adiknya pun tak diizinkan bersepah. Kena diingatkan supaya dibiarkan sahaja agar adik-adiknya boleh bermain…” saya tersenyum. Benar sekali setiap kata-kata bonda.

“ Su a, doakan Izzah. Hmm Izzah rasa sukar nak menghafal. Izzah rasa tak mampu…” ada tangisan mengiringi luahannya kepada saya di melalui corong telefon awam di sekolahnya semasa mula-mula memasuki alam sekolah menengah. Tekanan yang mungkin tidak pernah dirasai semasa sekolah rendah.

“ Allah tahu Izzah mampu, sebab itu Izzah ada di sana. Sabar ye sayang. Setiap rasa kesusahan Izzah, ada pahala yang sentiasa mengiringi. Itu yang lebih penting. Dulu kan, Izzah yang bersungguh ingin belajar di Imtiaz, seperti Su a dan kakak Amni? Lagipun, Izzah boleh bincang dengan kakak Amni, dia kan sudah lama mula menghafal…” saya memberi cadangan. Benarlah, tidak lama kemudian, dia semakin ceria dan akhirnya semakin kuat menghadapi hari-hari dengan rutin yang baru.

Saya akui, dilahirkan menjadi anak bongsu, saya bukan seorang ‘rajin’ membantu di rumah. Sementelah, saya memiliki 7 orang kakak perempuan yang rajin serba serbi. Maka bertambah lagi kekaguman saya pada dua anak remaja ini, Amni dan Izzah. Mereka cukup ringan tulang membantu, malah sangat mudah disuruh. Benarlah, barangkali di situ ada keberkatan untuk pelajarannya jua. Meskipun saya maklum, kakak saya tidaklah terlalu tegas dan cerewet dalam soal pembelajaran anak-anak.

“ Su a, nanti bawa balik tudung-tudung labuh yang su a dah tak pakai lagi ye. Kami nak pakai. Kasihan Ummi nak beli banyak sangat.…” pesan mereka kepada saya sewaktu pulang baru-baru ini. Allah, kian sayu hati ini sambil mengemaskan beberapa helai tudung labuh ke dalam beg yang ingin dibawa pulang ke kampung. 

Sekilas, teringat pula anak-anak dara k. Ta, iaitu Dania (Tingkatan 1) dan Sufi (tahun 6). Adik-adik ramai yang masih kecil diuruskan dengan baik. Pampers dan susu menjadi teman harian, membantu mama mereka. Sungguh, saya sendiri tak pernah mampu menjadi seperti mereka di usia sementah itu. Saya tidak pasti, apakah suasana yang mendesak mereka menjadi ‘rajin’ sebegitu, tetapi yang saya pasti, mereka tahu hidup ini bukan hanya tempat bersenang lenang, tetapi saling berkhidmat apatah lagi kepada ayah dan ibu tercinta. 

Saya masih ingat sewaktu baru-baru ini membawa Amni, Izzah, Dania, Sufi dan beberapa lagi anak saudara yang masih kecil ke sebuah pasaraya, saya memberikan mereka kebebasan untuk mengambil apa sahaja keperluan asrama yang mereka mahukan, dan akhirnya saya sedar, tiada satu pun di tangan mereka!. Dan mereka menolak mengatakan tidak ingin menyusahkan saya. Seusia mereka sudah tahu budi, yang saya sendiri malu dengan diri ini. Balik ke rumah, saya menceritakan situasi itu kepada ibunya, dan benarlah mereka seringkali risau akan menyusahkan terutama melibatkan wang. " Kadang-kadang perlu ditanya, barulah diberitahu apa yang tidak cukup..." cerita kakak saya. Pernah sekali saya tanyakan " Amni nak handset Su a yang dah tak digunakan ni?" Dia pantas menggeleng sambil dijawab dengan suara rendah bimbang didengari umminya. " Ummi tak bagi.."

Lantas, membawa saya menyelusuri kisah dahulu sewaktu saya di asrama, seringkali tanpa segan meminta itu dan ini dengan ibu ayah untuk dibawa ke asrama.

 Dan sedemikian ramai anak-anak saudara yang lain, tidak cukup untuk ditinta di dalam tulisan yang ringkas ini. Mereka yang kadangkala sering beralah antara satu sama lain, ketika 'berebut' makanan, mainan, jua giliran menggunakan komputer. Juga tak dilupakan, gaduh-gaduh manja tanda mereka masih anak kecil :D

Anak itu benarlah adalah anugerah yang menyejukkan hati. Mereka tak punyai harta berjuta, tapi dikurniakan anak yang nilaiannya jauh daripada sejuta. Mereka tak hidup dalam kesenangan yang berlimpah, namun hati cukup senang dengan keluarga yang sederhana.

Maklum akan cabaran masa kini, saya diasak rasa yang bermacam. Apakah nanti, anak yang bakal lahir ini mampu kudidik dengan baik? Saya terasa seakan lemah tak berdaya. Takut dengan cabaran menjadi ibu. Bukan sekadar ibu, tetapi ibu yang mendidik. Kerana setelah melihat para ibu ini berjuang, saya tahu ia tak pernah mudah semudah melakar tulisan ini. Tetapi penuh dengan jerih payah dan tangisan yang menemani. Sedari anak sekecil tapak tangan, sehingga akhirnya semakin mencecah usia dewasa, cukuplah hanya kepada Allah disandarkan kekuatan dan harapan.

Kalau dulu, kebanyakan masa saya di rumah banyak dihabiskan bersama mereka dengan pelbagai aktiviti bersama, kini setelah saya berkahwin, saya akui banyak yang kian berubah. Masa dan jarak yang semakin mencemburui, apatah lagi tanggungjawab yang sudah berbeza. Namun, doa dan ingatan untuk mereka tak pernah terhenti, kerana mereka antara insan penting yang suatu ketika dahulu cukup akrab dengan diri ini.

Allah, sungguh saya rindu, pada wajah mulus mereka tersenyum. Serta bantuan demi bantuan yang ditawarkan setiap kali pulang ke kampung. Juga saya rindu, akan santun bicara mereka kepada ibu saudara bongsu ini.

Benar, perjalanan masih jauh. Masih banyak yang belum teruji. Jua mungkin masih belum ‘bertemu’ sebenar-benar ‘wajah’ dunia yang akan menguji dan sukar difahami. Namun, bertahanlah kalian. Dunia ini cukup sebentar, moga kesukaranmu menjadi asbab kunci pintu syurga. Allahumma amen.

120914 @ 8.19pm





 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat