Tuesday, December 30, 2014

Bicara Daripada Alam

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan  kelaparan dan  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. ” (Al-Baqarah: 15)

Mata saya masih ralit memandang skrin telefon bimbit. Berita demi berita mengenai beberapa negeri yang ditimpa bencana banjir sangat meruntun hati nurani. Kelaparan, kesejukan, kehilangan harta benda dan ketakutan dikhabarkan antara ujian yang terpaksa ditempuhi mangsa banjir. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Walaupun saya sendiri antara yang berpengalaman menempuh banjir setiap tahun di kampung tercinta, namun air bah kali ini di beberapa tempat tertentu benar-benar tidak seperti biasa. Air melimpah sehingga mencecah atap kebanyakan rumah, memaksa penghuninya berlari menyelamatkan diri hingga ke bukit berdekatan. Air semakin naik, dan bertahan sehingga beberapa hari menyebabkan ada mangsa yang kelaparan kerana bantuan sukar disampaikan di tempat tertentu. Tidak terkecuali, hospital juga ditenggelami air sehingga bantuan perubatan terpaksa diberikan dalam keadaan serba terhad.

Ujian datang bertamu, tanpa pernah dapat dijangka. Sesekali alam berbicara, tanpa suara. Air yang selama ini menjadi teman, kini menjadi musuh yang menakutkan. Kehadirannya yang digemari kanak-kanak sebagai tempat bermain air banjir, kini mampu melemaskan. Dingin air pada hening subuh kini boleh menyebabkan manusia menggigil ketakutan. Bicara daripada alam ini, benar-benar menginsafkan.

Pasti ada sesuatu. Sesuatu yang ingin dibicarakan pada manusia. Agar dapat mengetuk jiwa-jiwa manusia yang mungkin telah lama ‘sakit’. Sakit kerana jauh daripada mengingati ALLAH, sakit kerana sukar menyandarkan sesuatu hanya pada ALLAH. Ataupun, jika jiwa itu telah basah mengingatiNya tiap ketika, alam itu bicarakan lagi agar Dia lebih akrab, dekat dan melekat di jiwa mereka. Meninggalkan segala kepentingan dunia yang selain kerana Dia.

Subhanallah, maka beruntunglah insan-insan yang diuji itu. Pada mereka, ada perhatian luar biasa daripada Tuhan.

MENCARI JAWAPAN

Maka di manakah jawapan terbaik kepada setiap persoalan? Di mana ketenangan terbaik dapat ditemui memadam resah yang kian menyelubungi diri?

Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153)

Dua S, sabar dan solat adalah dua kunci yang diajarkan. Alangkah sedihnya, mendengar cerita daripada beberapa teman yang terlibat di beberapa pusat pemindahan, masih ada yang tidak endah dengan kewajipan solat. Waktu solat dibiarkan berlalu tanpa usaha untuk mendirikannya. Pelbagai alasan yang diberikan untuk menguzurkan diri tanpa sebab yang munasabah. Ketika tenang, tidak mampu sujud pada Allah, alangkah malangnya jika ketika sukar juga semakin sombong denganNya. Tidak ada alasan untuk tidak menunaikan tiang agama ini, meskipun dalam keadaan sukar selagi masih berkemampuan. Kerana sesungguhnya, pada rukuk dan sujud itu akan terbit ketenangan dan menyubur keredhaan pada setiap ujian yang melanda.

Saya membuka laman mukabuku, melihat status yang dikongsikan di page Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, mengenai rukhsah solat yang diberikan kepada yang memerlukan. Suka saya kongsikan kembali di sini, agar mampu dimanfaatkan bersama.

Keharusan Jama’ Ketika Banjir
Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas

عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad. Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu. Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah. Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir. 

KITA DI SINI

Di sana, mereka diuji dengan bencana. Di sini, kita diuji dengan rasa kemanusiaan. Di saat-saat genting ini, kita melebur keegoan, bersatu membantu mereka yang memerlukan nun di daerah sana. Tanpa mengharap balasan. Juga tanpa saling merendahkan antara satu sama lain yang membantu mengikut kadar kemampuan masing-masing. Ada yang mampu menghulur bantuan berbentuk kewangan, ada yang mampu turun padang menyingsing lengan bersama-sama mereka yang ditimpa bencana alam. Ada pula yang mampu meninta di laman sosial, membuahkan sedar pada yang membaca. Tidak kurang hebatnya senjata pada si pendoa, yang berdoa dengan penuh keikhlasan dalam titis air mata di hening pagi. Cuma awas, jangan jadi yang tidak berbuat apa-apa selain daripada hanya tahu menuding jari dan bersangka-sangka dengan orang lain.

Ya ALLAH, jangan biarkan hati kami yang ‘lemas’ dalam kebanjiran nikmat dan kesenangan.

Nur A'isyah Humaira Ismail



Sunday, December 14, 2014

Lemah yang menguatkan :)


Ada masanya kita terasa lelah berbuat baik. Terasa letih dan mula tertanya-tanya, di mana untuk diriku?

Ada masanya kita tersedu sedan dalam solat dan sujud sendirian, tak terluahkan, hanya menyandarkan segala-galanya pada Dia, yang Maha Tahu meskipun tak diberitahu.

Namun, siapa sangka masa-masa 'lemah' itulah sebenarnya kekuatan hadir menjelmakan diri. Masa-masa 'jatuh' itulah kita melonjakkan diri untuk bangkit demi sebuah kehidupan.

Terima kasih ya ALLAH, kerana membantuku mendepani ujian, menguatkanku saat ku terasa ingin pergi jauh.

ALLAH itu takkan pernah jauh, Dia sentiasa ada dekat, cintaNya menghulurkan seribu satu nikmat kemanisan biarpun kita tak memperoleh yang selainNya. Tiada yang kurang dalam kehidupan, jika cintaNya mengisi ruang hati. Tiada yang sesal dalam menghamparkan kebaikan dan bersabar pada yang tiada jika Dia menjadi matlamat hidup.

Kerana, dengan izinNya, yang berat terasa ringan, yang sukar terasa mudah, yang tiada akan ada, yang menjauh akan sentiasa dekat.

Ma fi qalbi ghairullah :)

aisyahumaira ST Utama 131214 10:17PM

Wednesday, December 10, 2014

:)


Tuesday, December 9, 2014

CEPATNYA MASA BERLALU!



“Adikku, kita ini hanyalah masa-masa dari hari-hari yang dilalui...beredar sesaat, seminit, sejam beerti hilang juga sebahagian diri...
Mari kita hayati firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini :
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menaf­kahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."
( Surah Ali Imran, 3: 92)
Ke mana perhubungan ini mahu kita bawa? Dan berapakah lagi tempoh masa yang ada? Soalan pertama di bawah tadbir kita, soalan kedua biar Allah yang menentukannya. Moga ukhuwwah yang ditakdirkan ini lebih bernilai di sisi ILAHI, sebagai pemberat amal kebajikan di sana nanti, ameen. Uhibbuki fillah”

Saya membaca bicara kakanda yang dikasihi melalui mesej yang dihantar pada hari lahir saya yang lepas. Ada nasihat yang boleh direnungi sebagai ingatan buat diri ini. Benarlah, kita ini adalah sebahagian daripada masa, akan pergi setelah berlalunya masa. Sehinggalah, sudah tidak ada lagi masa yang menjadi bahagian kehidupan kita menandakan telah tiba saatnya kita kembali kepada yang Esa. Ketika itu, biarpun masa telah tiada buat diri kita, namun masih ada amal soleh yang dibawa bersama untuk dipersembahkan kepadaNya kelak. 

“Masa sekarang cepat sangat rasanya, baru sahaja hari minggu, dah sabtu semula." Tanpa sedar saya mengeluh meluahkan apa yang dirasai.

Suami membalas keluhan saya dengan kata-katanya yang berinti nasihat, "Tidak perlu cemas, risau dan memerhati masa itu cepat atau lambat, apa yang lebih perlu adalah fokus dan perhatikan adalah untuk segera isikan setiap detik yang ada dengan sesuatu yang penting untuk dunia dan akhirat. Biarlah masa itu berlalu, itu memang sifatnya, cuma pastikan agar umur, amalan & ilmu kita tidak kekal berlalu hambar bersama perginya masa.”

Belajar mengurus masa
“Lakukanlah daripada amalan (ibadat) yang kamu mampu. Kerana sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu yang akan jemu. Sebaik-baik amalan kepada Allah itu ialah berterusan walaupun sedikit” (HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu ‘Ata menyatakan di dalam kitabnya al Hikam ;
“ Kerugian yang sebenar ialah apabila kamu meluangkan masa lapang kamu tanpa melakukan sebarang pekerjaan”

Antara aspek yang penting dalam kehidupan seharian adalah mengenai cara untuk menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat membantu seseorang melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang pelbagai. Kerana masa yang diberikan adalah sama kepada semua makhluk iaitu selama 24 jam. Namun, terpulang kepada setiap individu tentang bagaimana cara untuk mengisi dan memanfaatkannya dan tidak membiarkannya kosong tanpa sebarang amal baik

   
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian 3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Setiap detik masa adalah berharga dan memiliki keistimewaan yang tersendiri. Malah di dalam Islam sendiri, ada digariskan keutamaan bagi masa-masa yang tertentu. Sebagai contoh, waktu sepertiga akhir malam pada setiap Ramadhan dan hari jumaat adalah waktu yang baik untuk berdoa dan beribadat kepada Allah. Ini dapat dilihat di dalam firman Allah :

79. dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.

Kualiti masa

Rasulullah bersabda:

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa, memohon kepada Allah, waktu  ia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.”(HR Ibnu Hibban).

Dalam kita menghadapi situasi semasa yang menyebabkan kita merasakan masa makin cepat berlalu, adalah satu kewajipan untuk menyusun atur jadual kehidupan dengan sebaiknya walaupun mungkin agak lelah mengejar dan memanfaatkan masa. Saya masih ingat ketika mengikuti suami ke berprogram baru-baru ini, saya yang hanya mengikut pula rasa keletihan kerana seharian penuh terisi bermula awal pagi perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Johor. Namun, akhirnya saya malu sendiri kerana melihat suami yang masih bertenaga sehingga ke ceramah yang terakhir untuk hari itu usai solat isyak. Benarlah, masa yang sama, dengan kuantiti yang sama. Hanya pengurusan kualiti yang berbeza bagi setiap individu.

Biarpun sejak akhir-akhir ini manusia diuji dengan kekangan masa kerana tanggungjawab dan cabaran yang pelbagai seperti kesesakan jalan raya dan sebagainya, namun tetap sahaja masa itu ada untuk memenuhi keperluan manusia. Antara aspek penting yang perlu difahami mengenai masa adalah kualiti yang terhasil daripada keberkatan masa. Saya teringat kata-kata suami suatu ketika dahulu. “Keberkatan masa akan menjadikan yang sedikit dirasakan cukup. Jika tidak berkat, masa yang banyak pun tidak membawa apa-apa manfaat”. 

Benarlah, masa akan sentiasa ada bagi yang mencari dan menghargai. Masa akan sentiasa tidak mencukupi, bagi yang beralasan dan tidak menghargai. Saya memuhasabah diri, terlalu banyak kelompongan dalam mengisi setiap detik nafas yang bersisa.

Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku di akhirnya, sebaik-baik amalanku pada penutupnya, dan sebaik-baik hariku, adalah hariku bertemu denganMu.

Buat mengakhiri catatan ini, ayuh bertanya pada diri. Ke mana telah telah kuhabiskan masa-masa yang telah berlalu?

New Life :)

Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, jutaan kesyukuran dipanjatkan hanya pada Dia, pemilik diri ini dan seluruhnya. Masa berjalan, berlalu dan terus berlalu, membawa perubahan baru.

5 tahun 6 bulan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan akhirnya berlalu, membawa pergi kelegaan dan kesyukuran yang bukan sedikit. Benar, zaman belajar adalah kenangan indah. Terlalu banyak memori terakam. Diri ini mula merindui...:)

Melalui fasa pelajar tahun akhir sebagai isteri dan bakal ibu, hanya kuasa ALLAH yang menjadikannya mudah dan lancar.

Terima kasih semua insan-insan di sisi, kerana tak aku mampu hanya dengan bersendiri. Terima kasih suami tercinta, yang cukup memahami, menenangkan dan menguatkan. Terima kasih ayah bonda yang jauh namun dekat dalam doa. Terima kasih kakanda, terima kasih anak-anak mama.

Teristimewa,

Terima kasih sayang mama, sentiasa di sisi menemani hari-hari mama. Insya Allah, jika diizinkan ALLAH, tak lama lagi kita bertemu. Hadirmu sayang, juga bererti hadirnya cabaran baru dalam hidup.

Bersamamu,
Diri ini belajar menyintai insan yang hadirnya sangat dinanti,
Bersamamu,
Diri ini mula merindui insan yang belum pernah saling bertemu wajah.

26 weeks

aisyahumaira 091214 8:18PM
ST Utama

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat