Tuesday, December 29, 2015

Seorang lelaki

Kehidupan suami isteri adalah kehidupan untuk saling melengkapi, saling menghulur tangan dan berpimpinan kala sukar dan senyum.

Seorang isteri, adalah jantung sebuah rumahtangga. Yang menjadikan rumah itu hidup dan bernyawa. Namun, jantung tetap hanya mampu berdenyut pada kadarnya, agar tak kurang dan lebih dan mengundang 'sakit' nan berbahaya.

Menulis daripada perspektif seorang isteri, saya percaya seorang suami yang soleh adalah suami yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah terbaik dalam kepimpinan. Baginda mengemudi bahtera kehidupan bernama rumahtangga. Baginda, lelaki terhebat dalam sejarah manusia, namun tetap seorang suami dan ayah yang sentiasa merendah diri.

Isteri yang solehah, menawarkan diri melakukan semua kerja di rumah sementelah seorang suami yang soleh sedang berjuang dalam melunasi nafkah jua tanggungjawab pada keluarga dan ummah. Namun, seorang isteri yang 'jujur' pasti mengimpikan suami yang bersama-sama berjuang di dalam rumah, sebagai suami dan ayah. Agar kelak tiada hari-hari dia kembali menyebut-nyebut kesukaran dahulu kerana merasa bersendiri melakukan banyak perkara, dalam batas kudrat seorang wanita yang lemah. Agar kelak dia tidak menagih semula balasan, atas apa yang pernah dikorbankan untuk keluarga.

Suami yang soleh sebenarnya akan merasa 'bangga' dan 'puas', apabila mampu melatih diri 'turun padang' bersama-sama isteri dalam menguruskan rumah dan lebih-lebih lagi pada anak-anak. Dia adalah seorang lelaki yang diajak bersama oleh isteri untuk membantu dalam kadar kemampuan yang ada. Dia akan merasa bahagia, mampu meringankan serba sedikit apa yang tergalas di bahu isteri meskipun tidak banyak. Dan dia sedang meraih pahala yang banyak, menyantuni ahli keluarga tercinta.

Lebih daripada itu, apabila dia bersama-sama merasai kesukaran dan cabaran menguruskan rumah, dia akan menjadi seorang suami yang lebih empati, merasa apa yang dirasai sang isteri saban hari. Dan daripada empati ini, lahirlah kelembutan, cinta dan penghargaan yang menjadi antara faktor penambah rencah bahagia.

Suami perlu dibantu, dihadiahkan senyuman dan diberikan penghargaan. Dia bukan tidak tahu, dia cuma perlu diberitahu dan dibiasakan, agar dia memahami apa yang diperlukan oleh isteri. Perkara yang sudah biasa pasti tidak akan lagi menjadi suatu beban dan kesukaran. Suami adalah lelaki hebat,yang memiliki kekuatan fizikal dan emosi dan dikurnia Tuhan jawatan sebagai pemimpin. Kerana itulah, semua nabi dan rasul juga adalah dalam kalangan lelaki. 

Seorang lelaki tidak akan lemah hanya kerana membantu mengemaskan katil di waktu pagi sebelum meninggalkan rumah, menyidai kain di ampaian, dan membasuh pinggan usai digunakan. Juga tidak akan nampak lemah hanya kerana menjaga dan mendukung anak ketika keluar di tempat awam. Malah inilah lelaki yang pastinya akan menjadi kebanggaan Nabi, dan layak menjadi qudwah buat masyarakat. Dan isterilah yang memberi sokongan dengan penuh kasih dan cinta, bukan dengan cara mengarah dan meminta-minta. Ramai lelaki yang mampu menjadi wira di luar dan hero di rumah, dengan keinginan diri dan bantuan isteri pastinya. 

Seorang ayah, dia bukan hanya tampak kelihatan semasa 'menghulur wang' sebagai wibawa seorang ayah, namun jua senyuman dan gurauan yang mengikat hati dengan sang permata hati.

Ikatan hati, yang menjadikan doa anak kian tulus buat ibu bapa yang suatu masa nanti akan pergi. Ikatan hati jua yang menggerakkan seorang anak bermunajat memohon agar diampunkan dosa ayah dan ibu yang masih ada.

Namun ya, seorang isteri dan ibu tetaplah seorang isteri dan ibu. Yang tetap ikhlas demi suami dan anak-anak permata hati. Percayalah, seorang isteri tidak pernah mengharapkan bantuan suami yang banyak, Sangat sedikit pun tidak mengapa, hanya sekadar merasa dipeduli dan tidak bersendiri. Kerana kasih dan cinta tidak selayaknya hanya hadir dalam limpahan wang, namun perhatian, cinta dan simpati pada seorang wanita yang dipinjamkan oleh Tuhan sebagai isteri di sisi. 

Namun di sana, seorang isteri juga perlulah lebih arif pada batas kudrat sang suami yang telah berpayah penat di luar sana. Sediakan ruang kerehatan dan ketenangan di dalam rumah buatnya, agar menambah rasa kasih setiap saat yang berlalu. Dan menjadi kekuatan untuk dia terus menumpahkan usaha. Carilah masa yang sesuai dan berhikmahlah. Moga ALLAH menunjuki isteri dan suami yang sedang berusaha mengharmonikan rumahtangga dengan petunjuknya yang benar.

Terima kasih suamiku yang memahami. Moga ALLAH terus memberikan kita sinar iman dan taqwa, mengurnia kesihatan, memberikan kita sekeluarga rezeki yang barakah dan impian kita yang paling tinggi, hadiah syurga dengan kebahagiaan yang tiada noktah. 

Allah...


Friday, December 18, 2015

LEMBARAN BARU SETIAP HARI

Terasa seperti baru semalam berjuang untuk melahirkannya, alhamdulillah rupa-rupanya si kecil Abdullah 'Ayyash sudah berusia 5 bulan. Syukur pada Allah. Hidup kian cepat mengejar rasanya, sedang diri tercungap-cungap dikejar. Apatah lagi dengan hadirnya si kecil, yang hadirnya beriring cabaran tersendiri.

Bangun pagi, saat menatap wajahnya yang sudah pandai tersenyum, saya pasti tersenyum sama, bahagia melihat dia gembira. Suka diajak bersembang, mengagah dan tergelak kuat sehinggakan adakalanya ‘sukar’ untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah.

Kebelakangan ini, si manja ini tidak mahu diletak, kalau tidur sekalipun ingin dipangku atau berbaring bersama.  Pagi ini, saya terpaksa meninggalkan dia merengek, sementara ingin menyelesaikan tugas memasak di dapur. Sesekali saya menjengah keluar, sambil memujuk. Mulut saya tak berhenti bersuara, agar tangisan si kecil tak semakin kuat.

Agak lama, dia merengek sendiri. Tiba-tiba kedengaran suaranya semakin kuat, tersedu sedan, mulutnya mencebik sedih kerana tidak dilayan. Entah kenapa, hati ini seakan direntap rasa bersalah kerana membiarkannya menangis. Saya segera membasuh tangan, menutup api dapur, berhenti memasak lantas mengangkatnya. Dia segera diam, walaupun ada sisa sedu dan air mata. Saya hanya memeluknya erat, tetapi cukup untuk membuatnya segera lena, memejam rapat mata kecilnya. Walaupun masih belum hilang esak tangis di hujung setiap helaan nafasnya.

" Maafkan mama..." saya merenung si permata hati. Sebak 

Setelah dia lena, saya kembali menyambung menyelesaikan urusan di dapur, sambil minda teringat pakaian yang belum berlipat dan bergosok. Saya cuba sedaya upaya, memastikan semuanya selesai pada waktu pagi sebelum bertolak ke tempat kerja tengahari nanti walaupun semua maklum, kerja rumah memang tidak akan pernah habis. Usai semua kerja rumah yang penting, saya segera mencapai komputer riba, berhasrat ingin menyelesaikan pula tugasan sekolah yang perlu disiapkan sebelum ke sekolah tengahari nanti. Ah, bukan tidak cuba menyiapkan di tempat kerja, namun kekangan masa kerana jadual waktu yang padat menyukarkan. Masa yang ada di sekolah hanya cukup-cukup dimanfaatkan untuk solat zohor atau asar dan mengepam susu untuk bekalan anakanda di rumah pengasuh. Baru beberapa patah menaip, kedengaran rengek si kecil yang sudah puas tidur. Allah...

Saya boleh memilih. Untuk berasa 'tertekan' ataupun untuk senyum bersyukur sambil mencium si kecil yang minta dilayani.

Saya tenangkan hati dan tanpa ragu, memilih pilihan yang kedua.

Saya menekan butang 'shut down' pada komputer riba dan menyahut panggilannya. "Jap ye sayang, mama datang..". Dia tersenyum seperti biasanya, gembira dilayani si ibu.

MENGENAL PRIORITI

Sejak berkahwin, saya memang suka memastikan rumah kemas bersih, semua pakaian terlipat, bergosok dan disangkut kemas. Apatah lagi kerja-kerja rumah yang lain seboleh-bolehnya dipastikan selesai sebelum suami pulang daripada kerja. Setelah bergelar ibu, saya suka memastikan perkara yang sama, NAMUN ternyata saya belajar untuk mengukur baju di badan sendiri. Saya mungkin inginkan sinki kosong dan sentiasa bersih, namun perlu 'berkorban' membiarkan si anak merengek sendiri. Berbaloikah?. Saya mungkin berasa lega apabila lantai bersih dimop setiap pagi, namun tidak sempat berlama-lama menyusukan si kecil yang perlukan perhatian. Berbaloikah?. Saya mungkin ingin menyiapkan lambakan kerja sekolah dengan segera, namun saya akan ‘stress’ dan tidak menghargai kehadiran suami dan anak di sisi. Berbaloikah?. Saya mula belajar mengenal prioriti, memilih apa yang perlu dan apa yang penting terlebih dahulu untuk diselesaikan.

Mengenal prioriti, bukanlah bererti kita membiarkan rumah bersepah tidak terurus hanya kerana konon-kononnya sibuk melayani anak. Rumah yang kemas juga sumber ketenangan, untuk seisi keluarga. Namun, bijaklah meletakkan keutamaan, apa yang perlu dilakukan sekarang, apa yang boleh ditangguh dahulu, dan apa yang tidak perlu sama sekali.

ANAK KECIL ITU, TIADA GALANG GANTI

Anak adalah amanah, yang dititipkan oleh Allah kepada setiap pasangan suami isteri. Anak juga anugerah, yang kelak boleh menjadi pemberat amal kebaikan di sana nanti. Anak juga adalah ujian buat kedua orang tua. Sebagaimana yang dirakamkan dalam al Qur'an 

Sesungguhnya hartamu dan anak-anamu hanyalah cubaan (bagimu) , dan di sisi Allah pahala yang besar.”

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” Al Kahf 46

Ibu bapa, ada peranan yang besar pada sekeping hati anak yang masih suci bersih itu. Dan juga memegang amanah untuk menjaga dirinya daripada menjadi bahan bakar api neraka. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS. At-Tahrim: 6).

Duhai diriku yang bergelar ibu, usah mengalah, usah malas!. Ajarkan anakmu mentauhidkan Allah, ajarkan juga anakmu agar mengenal dan mencintai Rasulullah. Supaya tidak sia-sia setiap penat lelah melahirkan dan membesarkan mereka. Biarlah berbalas sebaik-baik balasan di sana kelak.

TOLERANSI DUA JIWA

Umum mengetahui, sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, kerja-kerja rumah biasanya dilakukan oleh isteri. Walaubagaimanapun, dewasa kini, para suami semakin sedar akan tanggungjawab yang perlu sama-sama dipikul, apatah lagi pada isteri yang bekerja yang bertujuan membantu ekonomi keluarga.

Bagi suami yang sibuk bekerja, mengharapkan pulang ke 'syurga dunia' bernama rumah disambut mesra oleh isteri, anak-anak dan rumah yang teratur. Namun tiada salahnya sesekali, apabila suami pulang ke rumah dan memandang rumah yang sedikit tidak kemas itu sebagai satu kebahagiaan dan kesyukuran. Itu tandanya ada anak kecil yang galak bermain-main di dalam rumah, atau si isteri sedang sibuk menyediakan keperluan lain yang juga tak kurang penting seperti memasak dan sebagainya.

Sebagaimana, apabila suami pulang daripada kerja, isteri sepatutnya memberikannya ruang untuk merehatkan diri, dan bijak pula mencari masa sekiranya memerlukan suami menjaga anak dan mengurus rumahtangga. Begitulah sebaliknya.

Bertoleransilah. Berbincanglah. Suami dan isteri yang saling mengasihi, akan sentiasa saling ihsan dan belas kasihan antara satu sama lain. Apatah lagi di dalam sebuah rumah, syurga dunia kita.

BANTU AKU MENGENAL KEHIDUPAN, YA ALLAH

Saya memandu agak laju pulang ke rumah usai mengambil anak di rumah pengasuh di tingkat 4. Nafas masih tercungap-cungap kelelahan, si kecil pula sudah mula tidak selesa di ‘car seat’ belakang. Hari ini di sekolah pula jadual agak padat. Ditambah dengan kesesakan luar biasa di sepanjang perjalanan. Jam sudah hampir 7.30 malam. Sampai di rumah, terasa seperti ‘bateri’ tubuh sudah 10% berbaki. Namun sebaik sahaja sampai di rumah, entah daripada mana datangnya kekuatan, memandang wajah anakanda yang tergelak diagah ayahnya, sudah cukup menambah 90% lagi ‘bateri’ tubuh.

Maka, nikmat Tuhan manakah yang kamu ingin dustakan?

Bersyukurlah wahai diri, bersyukurlah wahai teman pembaca. Atas setakat mana yang direzekikan oleh Tuhan kepada kita pada lembaran baru setiap hari. Lembaran hari ini telah berlalu, penuh terisi. Hari esok? Belum tentu akan muncul lagi.

” Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” Al Furqan 74





Pandang Pertama


Pagi ini aku diam terpaku,
Pandang pertama pada keajaiban itu,
Terus rasa ini tak upaya ku sembunyikan,
Titisannya mengalir meledak segalanya.
Aku bicara pada Dia,
Sungguh aku insan hina lagi pendosa,
Terasa malu jasadku ada di sini,
Di bumi suci, di hadapan KaabahMu.
Aku bicara pada Dia,
Tanah ini sungguh mulia,
Tanah ini megah nan berjasa,
Menjadi kecintaan Nabi sentiasa.
Aku bicara pada Dia,
Mengucap syukur setulus jiwa
Taqdir Dia membawaku ke sini,
Di bumi yang wangi dengan barakah,
Di bumi yang basah dengan keinsafan.
Aku bicara pada Dia,
Ku sedari hatiku tak secekal perjuangan baginda,
Ku akui jiwaku tak sehebat para sahabat nan berjasa,
Ku cemburui kemuliaan para wanita Ummul Mukminin,
Aku sering lemah dan tewas dengan nafsu ku sendiri.
Aku bicara pada Dia,
Daripada ruang hatiku yang paling sepi,
Kuingin pergi daripada hiruk pikuk dunia ini,
Kuingin 'pulang' dan bahagia dalam pangkuan Dia,
Jauh daripada kesukaran, jauh daripada kesusahan.
Ya Robbul 'Izzati,
Sungguh aku ingin 'pergi',
Tubuh ini dirasa kian lemah,
Basah dengan air mata seorang pendosa.
Aku diam lagi usai bicara ini,
Seakan ada rasa yang memujuk diri.
Kehidupan ini perlu juga untukku lalui,
Sukar dan payah menjadi bukti,
Senang dan bahagia untukku syukuri,
Bahawa hidupku di sini hanya untuk mengabdi.
Sehingga akhirnya nafas ini diambil pergi,
Bersama jasad yang dikembalikan nanti.
Nur A'isyah Humaira Ismail
7:25 AM
02/01/2015 @ Makkah al Mukarramah

DI BALIK AWANAN PUTIH


Gumpalan awan yang sungguh putih menarik perhatian saya lewat petang itu. Saya memerhati satu persatu awanan yang tampak tebal dan berat. Daripada satu awan ke awan yang lain, saya ralit memerhati. Ada yang sangat besar, ada yang kecil, kesemuanya seakan terapung di udara. Nampak lembut, seakan gula-gula kapas putih. Subhanallah. Maha suci Allah. Kekaguman saya kian memuncak. Sangat indah, mempesona.

 Awan yang terapung di atmosfera mengandungi wap air dan titisan awan yang tidak dapat jatuh ke permukaan bumi sebagai hujan kerana saiznya yang kecil,tetapi cukup besar untuk membentuk awan yang dapat dilihat oleh manusia. Air di langit akan mengalami proses sejatan dan kondensasi secara berterusan. Kebanyakan daripada air yang terkondensasi di dalam awan tidak akan jatuh ke bumi sebagai titisan air hujan kerana turbulen udara yang mengampaikan awan-awan di atmosfera. Proses hujan hanya dapat berlaku jika titisan air mula mengalami proses kondensasi dan bergabung untuk membentuk titisan-titisan air besar dan menjadi cukup berat untuk membentuk hujan.Pembentukan satu titisan air hujan memerlukan gabungan berjuta-juta titisan awan. Beberapa fakta tentang hujan yang pernah dipelajari di sekolah menengah menerjah ke ruang minda. Saya tersenyum sambil tangan kanan menepuk-nepuk lembut si manja yang lena. Alhamdulillah, dia memang mudah dijaga di dalam kapal terbang, tidak pernah banyak ragam. Suami juga masih lena di kerusi sebelah, melepaskan kepenatan tubuh.

" Perhatian kepada semua penumpang, sila kembali ke tempat duduk, pasangkan tali pinggang keselamatan, kerusi ditegakkan dan meja diletakkan di tempat asal. Oleh kerana kita sedang mengalami cuaca yang kurang memuaskan, pesawat tidak dapat mendarat dan akan berlegar-legar di ruang udara .....' suara pengumuman daripada juruterbang mematikan keasyikan saya menikmati pemandangan luar. Biarpun saban bulan menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung bertemu ayah bonda, namun ini pengalaman pertama saya dengan penangguhan masa untuk mendarat. Tiba-tiba, kapal terbang bergegar agak kuat, tidak seperti gegaran biasa. Saya disapa debar. Suami nampak masih tenang sambil membantu mengulit si kecil yang terjaga kerana gegaran kuat. Saya mengalihkan pandangan ke luar tingkap sekali lagi, melihat suasana yang tidak lagi seputih tadi, tetapi agak gelap.

Entah kenapa cepat sungguh fikiran saya dibayangi peristiwa MH370 dan MH17. Saya berzikir, melepaskan kerisauan yang tidak semena-mena. Bagaimana agaknya perasaan perasaan para penumpang nahas kapal terbang? Sesungguhnya di atas ruang udara ini, tiada tanah untuk dijejak, tiada kawasan untuk berlari padanya, tiada tali untuk berpaut, yang ada awanan yang cantik namun tiada daya membantu menyelamatkan.

Hakikat sebenarnya ada satu pelindung yang sentiasa mampu melindungi walau di manapun kita berada. Di langit, atau di bumi. Dan itulah hanya satu-satunya. ALLAH.

Barangkali kerana itulah bibir saya cepat-cepat melafaz zikir, hati saya pantas kembali berdoa memohon padaNya dan kebergantungan saya ketika itu hanya pada Dia dengan harapan agar Dia mengurniakan keselamatan kepada kami yang ada di dalam kapal terbang itu.

Begitulah seorang manusia, seringkali hanya kembali pada Tuhan ketika saat sukar dan payah. Juga ketika waktu buntu dan tidak tahu. Alangkah ruginya!

INGATLAH ALLAH HATI AKAN TENANG

Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang.” (Al-Ra’d :28)

Tiada jaminan yang pasti untuk memperoleh ketenangan dengan apa jua kesenangan yang wujud di dalam dunia ini. Meskipun ia berupa harta nan melimpah, anak-anak yang ramai, kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya. Tetapi Allah menjamin ketenangan pada sebuah amal yang nampak ringkas pelaksanaannya, namun  tidak semudah itu untuk sentiasa melaksanakannya.

“Iaitu orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata : “Wahai tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” (Al-Imran:191)

 “kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.(al-Jumaah:10)

Buat muhasabah diri sendiri, saya menyedari bahawa sudah menjadi lumrah seorang manusia akan lebih banyak mengingati Allah ketika berada dalam keadaan lemah dan memerlukan. Kadang-kadang kita acuh tidak acuh semasa menadah tangan untuk memohon diampunkan dosa, namun bersungguh-sungguh pula ketika meminta agar diberi kemudahan menjawab soalan peperiksaan. Maha Suci Allah kerana cintaNya bukan sahaja istimewa tetapi adalah yang teristimewa. Biarpun kita seringkali melakukan kesilapan dan berulang kali juga memohon taubat, sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf. Yang akan memberi keampunan akan dosa-dosa manusia biarpun sebanyak buih-buih di lautan. Sungguh berbeza dengan cinta manusia, setelah sampai suatu masa pasti hati akan kebosanan disua maaf yang berulang kali.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar orang-orang yang melakukan dosa pada siang hari bertaubat, Dia membentangkan tanganNya di siang hari agar orang-orang yang melakukan kesalahan pada malam hari bertaubat hingga nanti matahari terbit di sebelah barat “
Masha Allah, indahnya bernafas dalam jiwa seorang hamba!
Saat hati dirundung tidak tenang kerana bencana atau kesukaran, ingatlah Allah dan berzikirlah sebanyak-banyaknya. Pertolongan Allah akan datang pada waktunya yang tepat dan memberi pimpinan pada setiap keputusan yang diambil sebagaimana firman Allah di dalam al Qur’an ;
Dan sesiapa yang beriman(sentiasa mengingati) kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (Memberi hidayah); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui. (At-Taghaabun:11)

Namun alangkah moleknya jika ketika bahagia dan senang, syukurilah jua nikmat Allah sebanyak-banyaknya, agar akan bertambah segala nikmat dan kurniaanNya di dunia dan di akhirat sana. Tanamkanlah perasaan ‘malu’ kepada Allah kerana sombong denganNya di waktu senang.

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni’mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”(QS. 14:7)

Sesungguhnya tiada manusia yang benar-benar sempurna kecuali dia akan ‘sempurna’ pada hatinya selagi mana dia mengingati Allah dengan sebenar-benarnya. Sempurna pada kekayaan jiwa yang merasa cukup akan anugerah dan ujian Tuhan yang bertandang.
Ya Allah…bantulah kami, manusia dengan jiwa yang lemah.

TERIMA KASIH TUHAN
“ Kita akan mendarat sebentar lagi…….” Suara pengumuman daripada krew kabin membawa pergi segala kerisauan yang bertandang.  Lafaz tahmid diratib perlahan. Saya kembali mengambil peluang merenung awanan putih yang menenangkan, sementara pesawat sudah semakin terbang rendah kerana ingin mendarat. Awanan putih yang cantik, di baliknya menampung air yang bakal tumpah membasahi bumi.  “ Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Syukurlah pada ALLAH anakku sayang kerana masih ada izin Allah untuk kita menumpang hidup di muka bumi Dia, agar ada peluang untuk kita memohon keampunan atas dosa yang lalu dan menanam benih pahala untuk ‘simpanan’ akan datang…..” saya berbisik kepada si kecil yang sudah terjaga. Tersengih dia menampakkan tiga batang giginya, seakan memahami.
Tuhanku,
Aku hamba lemah nan berdosa
Khilaf dan berbuat salah sentiasa
Namun keampunanmu buatku merasa

Diulit bahagia dan tidak terseksa!

LEARN NOT TO JUDGE. LEARN TO RESPECT


" Dah besar dah baby, kuat menyusu ye.." kakak pekedai runcit yang ramah menegur. Saya tersenyum sambil mengeratkan dukungan si manja yang sudah semakin lasak. " Ya kak, dah lasak sekarang, alhamdulillah memang kuat menyusu" saya menjawab sambil bibir tidak lekang dengan senyuman.

" Banyak juga minum air masak ye,nampak keras badannya.." dia terus bertanya. Saya tersentak juga, sementelah tidak berhasrat ingin 'melawan kata'. Namun saya seakan dapat menebak apa yang akan dikatakan. Tidak ingin berbohong, saya cuma menjawab ringkas .

" Saya tak bagi dia minum air masak lagi, kak. Masih baru 4 bulan. Menyusu badan sepenuhnya..". Kali ini, kelihatan dia pula yang terkejut. Tangannya yang sedari tadi ligat memasukkan barang-barang ke dalam plastik kini terhenti.

 " Ish, tak cukup susu ibu tu dik. Akak dulu nisbahnya 1 botol susu 1 botol air masak setiap kali baby lapar...Kena banyak bagi air masak, baru badannya keras dan kuat. Anak-anak akak dulu pun semuanya cepat-cepat besar sebab akak belikan susu formula yang bagus. Mahal sikit takpe dik" suaranya sedikit meninggi. " Ooo macam tu, terima kasih kak..." saya masih tersenyum, membalas saranannya dengan anggukan. Saya menghulurkan wang, lantas berlalu usai memberi salam. Pandangan saya soal susu ibu cukup untuk bayi tidak berganjak, namun tidak sesekali menyebabkan saya menghakiminya kerana dia juga sedang melakukan yang terbaik seperti yang ada pada kotak pengalaman dan ilmunya.

Saya teringatkan pengalaman hari pertama, kedua dan ketiga ketika melahirkan. Susu yang terhasil amat sedikit, hanya beberapa titik dan banyak masanya langsung tiada. Bayi pula hampir setiap malam menangis, sukar ditenangkan ketika itu. Ibu dan kakak yang menemani ketika itu semakin risaukan bayi. Maka, mereka mencadangkan untuk terus memberikan susu formula. Saya cuba tahankan diri, mengadu kepada Dia. Semangat saya untuk menyusukan anak dengan susu ibu sangat menebal. Saya mengingat kembali, keperluan perut bayi yang kecil. Saya cuba meyakinkan diri sendiri, bahawa bayi cukup dengan beberapa titik susu yang ada untuknya. Juga, bayi menangis kerana banyak sebab, bukan hanya kerana lapar. Semua pembacaan tentang 'demand' dan 'supply' bermain di kepala. Andai kata saya memilih untuk memberikan si kecil susu formula, si kecil akan cepat kekenyangan kerana ia sukar dihadam. Dia akan tidur, dan tidak lagi ingin menyusu ibu. Susu ibu tidak akan terhasil kerana tiada lagi rangsangan daripada bayi. 

" Abang, baby lapar ke.." akhirnya air mata saya menitis juga ketika meluahkan perasaan kepada suami. Saya hampir-hampir putus asa, dan meminta suami membuatkan susu formula (yang dibekalkan oleh pusat perubatan tempat bersalin), namun suami enggan. Hanya suami yang mengetahui bahawa ketika itu saya masih kekurangan susu. “ Bukan ke Aisyah selalu sebut-sebut azam ingin menyusukan bayi..” suami mengingatkan kata-kata saya sendiri yang sering diulang-ulang ketika bayi masih dalam kandungan. Rasa hati sudah kian tak tertahan. Ditambah dengan kesakitan bersalin yang masih belum hilang. Di kiri kanan, makin banyak suara yang menyuruh agar susu formula diberikan kepada bayi. Saya membuka helaian al Qur'an, selain daripada kajian demi kajian kebaikan susu ibu, namun yang lebih utama lagi kerana ianya adalah saranan daripada al Qur'an.

“Para ibu HENDAKLAH menyusukan  anak-anaknya selama DUA TAHUN PENUH iaitu bagi yang ingin MENYEMPURNAKAN  penyusuan itu”  
– Surah Al-Baqarah, Ayat 233

Saya terus berusaha, saya memeluk si kecil dan bercakap-cakap dengannya, memujuknya agar tidak 'letih' berusaha mendapatkan susu yang menjadi haknya. 

Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengizinkan segala sesuatu, akhirnya Allah mengurniakan apa yang saya doakan saban masa ketika itu. Air mata tumpah sekali lagi, tangisan kesyukuran yang saya hadratkan untukNya.

Kerana itu, dengan sedikit pengalaman yang ada, saya mula berkongsi ketika kawan-kawan sebaya ingin mengalah dengan mengatakan 'susu tidak ada', ketika hari-hari awal setelah bersalin. 

Dan dalam menempuhi hari-hari yang serba mencabar, saya akui tidak mudah tanpa sokongan orang sekeliling. Setelah kita berusaha yang termampu dalam kekangan masa dan kemampuan untuk menyusukan si kecil, tiba-tiba disua dengan kata-kata seperti " Alah, apalah sangat bagi susu yang dipam..patut directfeed yang sunnah..", ataupun "Susu ibu yang dibekukan sebenarnya dah berkurang khasiatnya..", ia memang mencabar iman dan jua sesekali melemahkan semangat, namun sujudlah, berdoalah. Mohon kekuatan hanya pada Allah.

Dan buat ibu yang tidak mampu, sungguh Maha Adil Allah, ayat al Qur'an di atas juga disambung dengan ;

“Apabila keduanya ingin menyapih (memberhentikan penyusuan) sebelum dua tahun dengan kerelaan keduanya dan permesyuaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya.  
Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan." 
Surah Al-Baqarah, ayat 233

NOT TO JUDGE, LEARN TO RESPECT

Setiap ibu, dibekalkan dengan fitrah inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Siapa kita untuk menghakimi ibu lain? Meskipun dia baru beranak satu, mahupun telahpun bergelar ibu kepada 12 orang anak. Cukuplah, berhentilah menghakimi.

Setelah kita berjaya untuk menahan diri daripada menghakimi, kita juga perlu belajar menghormati. Saya akui, berdepan dengan pelbagai cadangan dan pengalaman orang lain yang dihamparkan untuk saya pilih sebagai pedoman dalam membesarkan si kecil menurut apa yang terbaik dalam lingkungan pengetahuan yang saya ada. Namun, sedari dulu juga saya cuba menghormati apa saja yang dilakukan oleh seorang ibu untuk anak-anaknya. Dalam bab cara pemakanan, didikan dan sehinggalah sekecil-kecil perkara dalam bab buaian, puting plastik dan sebagainya. Dan saya akui, terkadang saya juga mengharapkan agar cara saya juga dihormati. 

Baby lapar ni, tengok mulut dia tu. Macam nak makan dah. Kasihan. Dah boleh bagi makan ni..Anak akak dulu, 4 bulan dah makan bubur nasi" seorang kakak menegur ketika si kecil saya baru mencecah masuk usia 4 bulan. " Ooo, macam tu.." saya tidak membalas panjang dan tidak pula kembali mengomen, kerana saya menghormatinya dalam apa yang dirasakan terbaik. Namun, tindakannya menyuap makanan ke dalam mulut si kecil saya telah menyentuh tangkai hati saya. Setelah saya berazam untuk menyusukan bayi secara EKSLUSIF selama 6 bulan, dan bersusah-payah berjaga malam menyimpan stok susu serta mengheret pam ke sana ke mari bagi memastikan bekalan mencukupi, dengan sewenang-wenangnya menyuap nasi ke mulut kecil bayi saya tanpa keizinan. Saya lunakkan hati, tidak ingin menunjukkan reaksi kurang senang. Saya cuma mengambil kembali si kecil, dan berlalu keluar.

Saya memuhasabah diri. Apa yang kurang. Mengapa setelah saya menghormati semua pilihan orang lain untuk hidup mereka, keputusan saya masih tidak dihormati?

" Saya tidak kasihankan anak saya ke...?"
" Saya tidak sayangkan anak saya ke..?"

Cukuplah, kerana kasihanlah saya tahankan dia daripada menjamah makanan berat terlalu awal. Kerana sayanglah, saya memilih yang terbaik untuk si kecil. Andainya 6 bulan pertama bayi saya perlu menahan daripada makan, sesungguhnya bermula 6 bulan hingga tua pun dia masih boleh menjamah apa jua makanan yang sesuai!. Saya mengurut dada. Saya terlalu emosikah?

Namun hari demi hari yang berlalu, saya semakin rasional. Saya berjumpa dengan seorang ibu, yang berusaha sehabis daya untuk menyusukan anaknya. Senaraikan apa sahaja usaha ; power pumping, bertukar-tukar jenis pam, milkbooster yang pelbagai, bertemu pakar laktasi, namun susunya masih juga susut. Lantas, apa lagi yang perlu dikatakan?.Hormat pada mereka yang memilih untuk tidak menyusukan anak, dan berikan sokongan untuk mereka yang memilih berusaha untuk menyusukan anak. Saya juga bertemu dengan beberapa orang bayi yang menghadapi masalah usus kerana diperkenalkan dengan makanan pejal terlalu awal. Namun, saya juga berjumpa dengan ramai orang yang kekal sihat meskipun diberikan makanan awal oleh ibunya. Begitu juga, bayi saya sendiri diuji dengan sedikit masalah eczema walaupun menyusu badan sepenuhnya, namun kata seorang doktor pakar kulit yang ditemui, jangan pernah mengalah untuk menyusukan bayi kerana alah bayi pada susu formula biasanya lebih parah lagi.

Usahlah ingin membandingkan sehingga merasakan kita yang terbaik. Terkadang ilmu yang kita ada memang tidak akan mampu menandingi pengalaman yang telah pun terbukti. Namun, apa salahnya kita bersederhana dalam mengadunkan antara dua citra, ILMU dan PENGALAMAN. Kita mengambil apa yang baik daripada pengalaman, dan tidak membelakangkan apa yang kita tahu. Sebenarnya, apa yang kita tahu itu juga adalah daripada pengalaman. Tiada apa yang perlu dibandingkan. Sebaliknya, teruskanlah menghormati antara satu dan lain. Berhentilah menghakimi, dan belajarlah menghormati.  Hidup akan lebih senang, tenang dan bahagia.

Saya bersyukur kerana sejak dulu, saya jarang masuk campur pada pilihan orang lain terhadap anaknya, selain mengangguk mengiyakan dan menghormati. Dan kini, saya berharap saya semakin banyak lagi belajar menghormati, dan tidak terburu-buru untuk menghakimi.

I learn not to judge and also learn to respect!

ANTARA MENGHAKIMI DAN CUBA MEMBANTU

Usai menerima gambar bayi kecil anak saudara yang ke 37, saya menulis di ruangan whatsapp kakanda tersayang, 

" Akak, nanti bagi baby baru akak susu ibu tau! At least sampai baby umur 6 bulan. Insya Allah, you can do it..".

" Hmmm ni dah anak ke-4 dik, susu akak tak banyak. Tak pernah cukup untuk baby..Kena campur susu formula juga.. Lagipun nanti rasanya leceh nak kena pam di sekolah bila dah masuk kerja..."

" Oh, tak apa yang dah lepas tu, semua rezeki yang Allah tetapkan dah. Belum cuba belum tahu, kita cuba dulu ye... Susu akak cukup. Percayalah. Itu antara hak bayi yang ibu ayah kena tunaikan JIKA MAMPU. Kena banyak bagi baby menyusu, dan jika bekerja kena banyak pam, supaya otak tak menerima signal susu tak diperlukan. Mudah sangat." Saya cuba memberikan mind set mudahnya menyusukan anak.

Perbualan terus berlarutan. Panjang. Saya cuba meyakinkannya. Dan perbualan berakhir dengan dia masih tiada kepastian untuk dia ingin menyusukan anaknya secara ekslusif. Namun siapa sangka, akhirnya saya menerima mesej bertali arus, dia nekad ingin bersusah-susah menyusukan si anak dan meminta saya berkongsi ilmu dan cara penyusuan ibu bekerjaya. Bukan sejam dua, tetapi berhari-hari kami berbalas mesej, daripada keperluan peralatan mengepam yang agak rumit, cara penyimpanan, masa, tempat sehinggalah kepada cabaran-cabaran menyusukan si kecil. " Terima kasih dik, tak sangka boleh sebenarnya menyusukan anak walaupun bekerja. Dah anak ke-4 baru tahu ni.." dia menulis di ruang chat. Saya membalas dengan penuh rendah diri " Anak baru seorang, baru ingin mencecah 6 bulan, tak banyak yang boleh dikongsi. Tapi demi akak dan anak saudara tercinta, adik akan bantu mana yang termampu ye..". Dalam fikiran sudah mula berfikir-fikir ingin menghadiahkannya pengepam elektrik yang terbaik.

Kini saya yakin, ada bezanya antara hanya tahu menuding jari menghakimi dan berusaha untuk membantu dan memberi tahu.

Ya Allah, permudahkanlah dan berikan kepada kami kejernihan hati dalam menembusi ruang pandangan seorang hamba yang bertaqwa hanya demi meraih yang terbaik pada pandanganMu. Ameen ya robbal 'alamin.




Tuesday, November 24, 2015

BIAR SIAPAPUN DIA

Oleh : Nur A’isyah Humaira binti Ismail

Hujan makin lebat. Angin yang menyapa tubuh kian kuat. Semua murid masih berkumpul di surau untuk program sempena awal muharram. Selepas kira-kira 15 minit berlalu, kelihatan air mula melimpahi longkang. “ Alamak, basah nanti kasut dan beg murid-murid…” seorang guru bersuara. Kami saling berpandangan. Spontan, semua guru yang ada di sekitar situ bingkas bangun menuju ke arah beg dan kasut sekolah yang diletakkan di tepi surau. Saya yang baru bertugas kira-kira 3 bulan termangu seketika. “ Cikgu-cikgu kena angkat semua kasut dan beg ni ke? Banyak ni..ada beratus-ratus..” detik hati saya. Namun mereka seakan sudah biasa. Saya menurut. Lantas mengharung air yang makin melimpah sehingga hampir separuh jubah dibasahi air.

“ Kasihannya budak-budak ni, habis nanti beg sekolah ni. Buku-buku pun rosak nanti..” seorang guru yang sedang sibuk mengalihkan beg bersuara. Suaranya tenggelam timbul kerana bunyi hujan yang semakin kuat. Sudah tidak dihiraukan air hujan yang membasahi tudung, dan kasut sendiri yang direndami air. Juga, tangan yang sudah lenguh mengangkat beg-beg yang berat.

Saya menginsafi sesuatu. Mengambil ibrah daripada para guru yang sudah lama berada dalam bidang ini. Kasihnya, melangkau wang gaji yang diterima. Ihsannya, meneladani anak orang lain seperti anak sendiri. Marahnya, tidak lain hanya kerana ingin membentuk seorang insan yang diamanahkan Tuhan. Minda menerawang jauh, mengingatkan kami sentiasa bermesyuarat berjam-jam, menyebut nama murid satu persatu yang memerlukan perhatian khusus dalam program membaca dan menulis. Para guru ini mampu mengenali setakat mana kemampuan dan boleh menghurai sejauh mana yang telah dicapai  oleh murid-murid mereka. Merencana modul dan juga membimbing secara individu. Semuanya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak kurang daripada anak sendiri. Lelah, penat sehingga tiada masa untuk bersembang kosong di meja guru. Namun, mereka masih boleh tersenyum, melayani pelbagai ragam murid seramai 40 orang pada satu masa. Ada masanya anak-anak ini bergaduh, menangis, malah ada yang membuang air kecil di dalam kelas. Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar, daripada jiwa-jiwa guru di sini.

Seorang guru, ada peranan yang besar pada pembentukan seorang anak. Mungkin ada ibu bapa mengharapkan seorang guru dapat memastikan semua murid dapat mencapai apa yang sepatutnya dicapai. Sedangkan realitinya, ada guru yang menitiskan air mata kerana ketidakmampuan dalam batas seorang manusia yang biasa dalam menangani anak-anak syurga ini. Bukan sahaja dalam bab skor mata pelajaran, jauh daripada itu adalah soal keyakinan kepada Tuhan dan akhlak islami.

Kerana itulah saya berhasrat mengajak agar anak-anak belajar menghormati guru, bukan hanya tahu mencari kurang sang guru semata-mata. Biarpun guru mungkin tidak berpendidikan tinggi, jauh ke bawah dibandingan dengan ibu dan ayah yang bekerjaya.

Tidaklah wajar seseorang mengecilkan seseorang atau kelompok lain, tidak wajar pula berprasangka buruk tanpa alasan, atau menceritakan keburukan seseorang, dan menyapa atau memanggilnya dengan sebutan buruk. Al-Hujurat [49]: 11-12).

JASA INSAN LAIN PADA INSAN KESAYANGANMU

“ Nanti bila ‘Ayyash dah besar, Aisyah beritahu pada dia ye, akak sayangkan dia…Akak sedih sebenarnya sebab dah lama jaga dia.” hati saya sebak membaca tulisan pengasuh anakanda di ruangan whatsapp. Akibat daripada kekangan jarak, saya memutuskan untuk menukar pengasuh baru setelah berpindah rumah. Saya mengalih pandangan pada anakanda yang sedang lena dalam dakapan. Saya memang terhutang budi pada seorang yang saya gelar Kak Anis ini meskipun tiada sebarang pertalian darah dengannya. Dia mula menjaga ‘Ayyash ketika masih sangat lembut, kecil dan perlukan perhatian. Dia sanggup bersusah-susah menguruskan bekalan susu ibu setiap yang dihantar setiap hari. Apatah lagi ketika itu, si anak kecil sangat manja dan sukar diletak. Hanya selesa didukung dan dilayani. Tanpa perlukan buai, pengasuh ini sangat bijak melayani anakanda, sehingga akhirnya saya tenang dan lega walaupun terpaksa berpisah dengannya separuh hari. Apatah lagi, si kecil ketika itu diuji dengan sakit eczema. Saban hari, dia perlu lebih perhatian dalam menguruskan ubat-ubatan dan kebersihan. Lima hari seminggu, terkadang enam hari seminggu, anakanda saya di bawah jagaan dia. Kini, si kecil makin mudah diasuh kerana sudah pandai bermain sendiri. Malah eczemanya juga sudah pulih. Namun, saya pula dengan berat hati terpaksa mengkhabarkan padanya tentang ingin bertukar pengasuh. Hati saya dirundung rasa bersalah.

Saya terpaksa akui, dalam melunasi amanah pada kerjaya, saya sebenarnya cukup terhutang budi kepada insan yang meneladani anakanda saya nan seorang ini. Biarpun dia diberi upah kerana mengasuh, namun masih lagi ada jasa yang besar kerana kebaikan dan kesungguhannya menjaga dengan baik dan menenangkan. Sungguh, anak itu terlalu besar nilaiannya, tidak dapat dibanding dengan upah yang dihulurkan saban bulan buatnya.

BIAR SIAPAPUN DIA
“ Ibu bapa terbeban. Terpaksa bawa anak ke tempat kerja”

Saya membaca patah ayat yang terpapar pada skrin televisyen. Hati saya seakan tercuit. Terbeban? Anak-anak menjadi beban apabila sekolah ditutup kerana bencana jerebu?. Saya menghela nafas berat. Saya tidaklah menghakimi apa yang ditulis kerana mungkin ia sekadar salah faham si penulis skrip, namun ya saya tidak dapat menerima ayat bebanan selayaknya diberikan buat sang permata hati amanah Ilahi. Siapa tahu masa-masa yang ada itu jika dimanfaatkan sebaiknya, ada masa emas yang akan diingati oleh anak hingga bila-bila. Setelah lima hari seminggu, daripada pagi hingga hampir malam murid-murid menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru dan rakan-rakan mereka di persekolahan agama mahupun biasa.

Setidak-tidaknya, antara hikmah kecil daripada penutupan sekolah ini memberi sedikit kesedaran bahawa tanpa kita sedar ada jasa orang lain dalam kita menghadapi kesibukan seharian.

Biar siapa pun dia, sebenarnya hidup ini saling berkaitan antara diri kita dengan insan lain. Ketika seorang anak yang makin bijak dan beradab sopan, ibu bapa mungkin merasakan merekalah insan yang telah berjaya membentuk anak mereka. Namun mungkin kita lupa, ada jasa sang guru yang saban hari bertemu wajah dengan anak-anak ini, menutur nasihat sama yang diulang-ulang semasa sesi persekolahan. Ataupun ketika bayi kecil kita sudah reti melambaikan tangan, kita gembira namun kita mungkin lupa mengucapkan terima kasih kepada si pengasuh yang dengan sabarnya mengajar pergerakan baru setiap hari.

Begitulah jua untuk semua yang bergelar manusia. Seorang peniaga atas talian, perlu bersyukur kerana ada posmen yang setiap hari menghantar barangan, meredah kesesakan trafik dan juga panas terik. Seorang kontraktor, bersyukur kerana memiliki pekerja yang mahir sehingga memudahkan urusannya. Seorang suami, bersyukur kerana memiliki isteri yang pandai menghiburkan hati dan juga mengasuh anak-anak. Seorang isteri, bersyukur kerana mempunyai seorang suami tempat berteduh kasih. Seorang anak, bersyukur kerana mempunyai ibu atau bapa yang sanggup menjaga dalam susah dan senang. Moga-moga dengan secebis kesyukuran ini melahirkan jiwa yang tunduk patuh dalam ketaatan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.

Subhanallah, kerana itulah agama nan suci ini mengajarkan kita agar berbuat baik sesama manusia. Biar siapapun mereka. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang angkuh dan sombong, dengan kelebihan yang direzekikanNya.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ (17) وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (19)
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Surah LUQMAN (31) ayat 17-19:

Kita semua tidak sempurna dan terlalu banyak kelemahan untuk diinsafi. Baik di posisi manapun kita berada, hanya kepadaNya kita bermohon agar diberikan petunjuk melalui jalan yang benar, meskipun jalannya sukar berupa bukit bukau mahupun padang pasir yang terik.


Tuesday, August 18, 2015

SECAWAN ROS BUATMU



Saya membuka pintu bilik perlahan, lantas menghenyakkan tubuh di katil bujang. Penat. Usai memandu hampir sejam, akhirnya sampai jua di asrama kampus. Mata masih layu, mengantuk kerana kurang tidur pada malam sebelumnya. Beberapa jam lagi, saya akan mula menduduki peperiksaan akhir di semester yang terakhir. Namun entah kenapa, ‘mood’ seakan terganggu. Helaian kertas ulangkaji di tangan dipandang kosong.

Saya memejamkan mata. Ingin lena biarpun sebentar. Biar hilang kepenatan memandu, agar datang semangat ingin bertempur di dewan peperiksaan. Selepas terlena hampir 20 minit, saya terjaga. Ros? Saya melihat ada beberapa kuntum bunga ros yang disusun di dalam cawan kecil di atas meja sisi. “Secawan ros buatmu…selamat berjuang sayang!” saya membaca lakaran tulisan di atas sekeping kertas. “ eh, siapa letak kat sini?” saya tertanya-tanya sendiri. Entah kenapa, bibir menguntum senyuman, semangat datang dalam diri dengan tidak semena-mena. Saya cuba meneka, tidak lain ini pasti teman sebilik yang sangat baik dan sentiasa berbudi.

BALING BATU DIBALAS BUAH

Kehidupan seharian tidak lari daripada saling bermuamalah antara satu dan yang lain. Kita tidak hidup sendirian di atas muka bumi ini. Ada ibu ayah, ada pasangan, ada keluarga, ada anak-anak, teman, dan ramai lagi senarai panjang insan yang sentiasa bermuamalah dengan kita.

Dalam meniti pelbagai urusan seharian, semoga ALLAH memandu kita agar dapat menguruskannyq dengan cara yang terbaik bersama insan sekeliling.

Mengembalikan kebaikan buat insan yang telah berbuat baik kepada kita tidaklah sesukar menghulurkan kebaikan kepada insan yang pernah menyakiti. Namun, andainya segala kebaikan itu tidak lain hanyalah kerana Allah, kita pasti tetap mampu memberikan kebaikan meskipun segala usaha kita tidak berbalas dengan cara yang sewajarnya.

Ya, kita manusia biasa. Sudah menjadi lumrah jiwa akan mudah ‘cedera’ dan ‘sakit’ dibaling ‘batu’, lebih sukar lagi untuk membalasnya dengan ‘buah’, namun jika dipasakkan di dalam jiwa bahawa sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang berbuat kebaikan, kita pasti akan mampu bermujahadah. Alangkah bertuahnya.

Dan orang-orang yang berjuang untuk Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk kepada mereka pada jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah swt. beserta orang- orang yang berbuat kebaikan. (Q.S. 29:70)

USAH MERASA LEBIH
Saya menginsafi lumrah makhluk bergelar manusia, pasti ada terselit keegoan dalam diri. Namun perlu juga disedari bahawa ego yang berlebihan dan tidak bertempat adalah suatu sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Jika difikirkan apalah yang hendak dibangga-banggakan, sedangkan kita lahir ke muka bumi ini dengan tangan kosong. Kesemua yang dinikmati hanyalah titipan dan pinjaman daripada Allah semata-mata.
Firman Allah SWT :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]
" Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri (4:36)
Ada kalanya, gelaran dan status menjadikan kita merasa lebih daripada yang lain. Ada kalanya kelebihan yang ada pada diri menjadikan kita memandang rendah pada yang lain. Justeru, ketika orang lain mendapat sesuatu yang ketika itu bukan menjadi salah satu rezeki buat kita, kita mudah tersentak dan terasa kita juga mahukannya. Lantas, menjadikan hati tidak tenang, jauh daripada kepuasan. Seringkali kita lupa bahawa rezeki adalah sesuatu yang telah ditetapkan olehNya.
Ummu Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan Rasulullah s.a.w. 

Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda:
قَدْ سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة , وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا قَبْل حِلّه , أَوْ يُؤَخِّر شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ يُعِيذك مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَل
Ertinya: “Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya…..” (Sahih Muslim)

Percayalah, merasa cukup dengan apa yang ada, adalah kunci untuk menghulurkan kebaikan demi kebaikan buat insan sekeliling. Meskipun nampak kecil, sekecil senyuman yang terlukis pada sepasang bibir anugerah Ilahi.

SECAWAN ROS BUATMU
Saya menyelak lagi kertas yang bertulis itu. “ Saya berjalan-jalan di belakang blok asrama kita, dan melihat kuntuman ros yang sedang mekar…saya tahu awak sukakan ros. Moga terus bersemangat menempuhi hari-hari yang mendatang ye teman…” saya membaca tulisan yang kemas terlakar. Terbayang wajah manis rakan sebilik sedang menuturkannya.

Secawan ros. Ya, percuma dipetik. Mungkin tak seberapa tampaknya di mata. Namun, nilainya tak mampu dibayar ganti. Pada sebuah bahagia yang terbit di dasar hati, dan semangat yang hadir setelah menatapnya ada di sisi.

Sekecil manapun kebaikan, biarpun hanya dengan menghulurkan secawan ros, tetap memberi makna buat sekeping hati yang menerima. Apatah lagi memberi makna yang mendalam buat yang memberi, di SANA nanti.

"Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa. (Q.S. 2:178)

Saat saya melakar tinta ini, sesungguhnya saya sedang menginsafi diri sendiri yang sukar sekali untuk bermujahadah di alam realiti, tidak seindah bait tulisan yang dilakar rapi!.

PESAN UNTUK HATI

Pesan untuk hati,
Kebaikan itu mahal harganya,
Pesan untuk hati,
Usah jemu melakukannya lagi dan lagi.

Pesan untuk hati,
Adakala kita merasa tak mampu lagi,
Terasa tiada guna kebaikan yang diberi,
Namun pesanlah lagi pada hati,
Bangkitlah kembali genggamlah semangat diri.

Pesan pada hati,
Mungkin hari ini kita tak dipeduli,
Kurang terasa di sana sini,
Namun pesanlah pada hati,
Ada akhirat yang akan muncul nanti,
Membalas segala budi dan bakti!


MENCICIP BERKAT DALAM KEHIDUPAN



Sehari dua ini heboh diperkatakan mengenai isu tidak perlu balik kampung untuk jimat. Saranan ini diutarakan agar kita tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membayar tol, mengisi minyak dan pelbagai keperluan lain yang semakin meningkat naik kosnya. Saya tidak ingin mempersoalkan niat insan yang memberikan cadangan ini. Mungkin juga ia telah dimanipulasi atau disalahfahami di luar konteks para pendengar.

Namun saya terfikir, benarkah ia akan menjimatkan?

Ya, jimat. Jika diukur daripada ‘nombor’ dan ‘bilangan’ dalam kepingan wang kertas di tangan.
Tidak, tidak jimat. Jika dinilai daripada kaca mata hati seorang insan yang berisi iman dan taqwa.
Allah…sungguh kehidupan ini terlalu ‘bernilai’ untuk hanya diukur pada ‘nilai’ wang yang berkurang dan bertambah dalam tabungan.

Kerana itulah, mungkin ada yang terlalu kaya dan banyak simpanan di ‘sini’ tetapi dia tidak menyimpan untuk di ‘sana’. Wang yang ada semakin banyak menjadikan ia semakin berat untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, wang yang ada menjadikan diri semakin lokek untuk bersedeqah.

BERKAT, BUKAN HANYA PADA WANG.

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”. (Q.S Al Israa’, 17:23)

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Q.S Al Israa’, 17:24)

Ibu bapa adalah insan yang dituntut oleh Allah SWT agar kita menyantuni, menghormati dan menyayangi mereka dengan penuh kasih dan sayang. Keduanya adalah insan yang mencintai kita tanpa syarat. Kaya atau miskin, lebih atau kurang, cantik atau tidak, tidak sesekali menjadi alasan pada cinta yang mereka telah hulurkan sekian lama sejak kita masih dalam kandungan si ibu.
Berbakti kepada mereka, akan mengundang redha dan berkat Allah pada setiap perjalanan kehidupan yang mencabar. Menyenangkan hati mereka, sekaligus akan memberikan ketenangan yang berpanjangan dalam hari-hari sang anak.

SUATU MASA NANTI

Cukuplah jika tidak mampu berfikir soal berkat dan pahala, fikirkanlah jika kita berada di tempat mereka yang bergelar ibu dan bapa. Ataupun bayangkanlah suatu masa nanti, rambut ini akan mula ditumbuhi uban, langkah ini kian perlahan, wajah ini sudah dimamah kedut, tidak ada air matakah yang akan mengalir saat sang anak tidak pulang kerana pelbagai alasan?


Tepuk dada, tanyalah iman!

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat