Thursday, April 30, 2015

Maafkan mama, sayang


Bismillah,

Hanya kesyukuran kepada Dia yang menganugerahkan sebuah kehidupan mampu menterjemah rasa hati ini. Bukan sedikit air mata yang tumpah, sejak kali pertama mendengar suara tangis si kecil itu setelah hampir 10 bulan dikandung di dalam rahim ini.

Sensitif. Jiwa makin sensitif.

Menangis apabila renung wajah baby. Sebab rasa sangat bersyukur.

Menangis apabila tengok baby senyum dalam tidur. Sebab sangat gembira.

Menangis apabila malam-malam peluk baby yang sedang lena, sebab masih tak percaya dia kini dalam dakapan.

Menangis apabila melihat ada yang kurang pada kesihatan dirinya, kerana terlalu risau.

Menangis apabila rasa tak mampu menenangkan dirinya yang kecil itu.

Menangis...macam-macam sebab :)

Memilikinya, memang memberi kebahagiaan yang tak terungkap. Namun ada banyak perkara juga yang perlu dikorbankan, dan sedang dalam fasa untuk disesuaikan dengan diri ini.

Dengan hadirnya dia, kehidupan kini sudah berubah corak dan gaya.

Moga ALLAH sentiasa menunjukiku jalan, mengurniakanku kekuatan, memberiku keberkatan. Ameen.


MAAFKAN MAMA, SAYANG

Dalam hening dan dingin malam ini,

Mama merenung wajahmu yang suci,
Mama mengucup jemarimu yang halus,
Mama mendakap erat tubuhmu yang kecil,
Tanpa diundang, ada rasa sebak yang bertandang.

Maafkan mama sayang,
Mama tahu kamu pasti merindukan,
Sebuah tempat terindah,
Yang paling selamat untuk didiami,
Yang paling tenang untuk dinikmati,
Yang paling lena mengulit mimpimu,
Di suatu daerah sunyi lagi damai,
Sebaik-baik jagaan Dia,di dalam rahim mama.

Di sana,
Daripada tiada, Allah menjadikan dirimu ada.
Di sana,
Daripada segumpal darah, akhirnya dirimu terbentuk sempurna,
Di sana,
Tiada kerisauan dan kesukaran,
Buat seorang anak kecil tiada daya sepertimu sayang.

Maafkan mama sayang,
Andainya dakapan ini tidak seerat seperti di tempatmu dulu,
Maafkan mama sayang,
Andainya sentuhan ini tidak selembut yang pernah kau rasai di sana dulu,
Maafkan mama sayang,
Andai panas sejuk di sini tidak menyenangkan tubuhmu yang masih kecil itu,
Maafkan mama sayang,
Andai gelap terang di sini mengganggu lenamu yang panjang,

Maafkan mama sayang,
Andai bunyi-bunyian yang menjengah tidak enak di pendengaranmu,
Maafkan mama sayang,
Andai tangismu tak selalu mampu untuk mama tenangkan...
Kerana jagaan mama pasti takkan sehebat jagaan Dia di alam sana dahulu.
Namun,
Inilah dunia yang telah kau jejaki,
Penuh cabaran untuk terus berdiri,
Tempat ujian insan kecintaan Ilahi,
Sebagai bukti keimanan untuk bekalmu nanti.
Pandanglah nak, mata penuh cinta ini,
Mama akui diri ini serba kekurangan,
Namun mama akan sentiasa di sisimu sayang,
Saling menguatkan dan saling merasai,
Selagi ada nafas yang masih dipinjamkan,
Sebelum akhirnya jasad ini kembali bertemu Tuhan.
Nukilan rasa,
Ummu 'Ayyash
3.30 AM | 210415


Mencari Siti Hajar

Siapa yang tidak pernah mendengar kisah Siti Hajar r.a, yang terkenal dan mewangi daripada dulu hingga ke akhir zaman ini. Beliau adalah lambang wanita sejati, yang taat dan patuh kepada ALLAH dan suami yang dikasihi. Semua kesusahan dan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau semasa ditinggalkan di tanah gersang bersama si anak kecil adalah lambang kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Diuji dengan fitrah cemburu, akhirnya tersingkap hikmah besar buat perjuangan seorang wanita yang bernama Siti Hajar ra. 

Nabi Ibrahim as bukanlah calang-calang suami. Baginda adalah seorang Nabi yang tahu tanggungjawab terhadap keluarga dan mempunyai belas kasihan yang tinggi. Namun, tiada yang lebih tinggi daripada keutamaan untuk menunaikan setiap perintah ALLAH SWT yang telah ditetapkan. Keyakinan dan tawakal baginda kepada ALLAH adalah lebih besar bahawa isteri tercinta akan selamat dalam jagaanNya. Setelah menempuh perjalanan yang sukar dan panjang, akhirnya sampai di suatu tempat dan Nabi Ibrahim menguatkan dirinya untuk mengkhabarkan kepada isterinya bahawa dia akan ditinggalkan di tanah kontang itu.

Siti Hajar yang terpaku mendengarnya akhirnya menagih simpati suami, lantas menyuarakan isi hati. Namun setelah diberitahu bahawa semua yang dilakukan adalah perintah daripada Allah, maka terdiamlah wanita mulia itu. Lidahnya kelu untuk terus merayu. Kini, dirinya menyerahkan sepenuhnya nasib mereka kepada Allah swt. Hatinya terpujuk kembali.

Nabi Ibrahim menadah tangan, mendoakan buat kedua insan yang terpilih itu : “Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.” Surah Ibrahim ayat 37
Setelah agak lama ditinggalkan, Siti Hajar berdepan dengan cabaran baharu. Bayi yang masih merah belum mengerti apa-apa kini kehausan.Susunya kian susut kerana beliau sendiri yang kekurangan air. Tanpa berputus asa, wanita tabah ini berlari-lari dalam kepayahan dan kepenatan untuk mencari setitis air. Beliau terus berlari berulang alik sebanyak 7 kali antara Safa dan Marwah. Tubuhnya kian keletihan, namun tiada air yang kelihatan pada pandangan mata. Anak kecil yang kehausan itu pula terus menghentak-hentakkan kaki ke bumi. Dengan izin Allah, terpancutlah sumber air yang suci dan diberkati. Yang mengalir tanpa henti dan dikenali dengan nama zam zam. Itulah air di sisi Kaabah yang dinikmati jutaan insan sehingga kini.

Subhanallah, maha suci Allah yang menjadikan tiap sesuatu itu penuh dengan hikmah.

SECEBIS PENGAJARAN

1.     1.Memiliki pergantungan yang kuat hanya kepada Allah SWT.

Siti Hajar menunjukkan contoh keimanan dan ketaqwaan dirinya yang mendorongnya menyerahkan urusannya hanya kepada Allah. Bayangkan, beliau ditinggalkan di tapak gersang. Jika diikutkan logik akal, beliau dan anaknya akan mati kehausan setelah beberapa hari di kawasan panas dan kontang itu. Namun, benarlah jagaan Allah itu lebih baik daripada jagaan ribuan makhluknya. Tanah yang tandus akhirnya menjadi subur dan selamat untuk didiami. Apa jua yang telah direzekikan tidak akan terhalang walaupun kelihatan mustahil di mata manusia.
Ummu Habibah r.a pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan Rasulullah SAW. Namun nabi menasihatinya dengan kata-kata baginda yang bermaksud: Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya (Sahih Muslim).

2. Mentaati suami, selagi mana suami mentaati Allah
Siti Hajar sangat mentaati suaminya yang diyakini merupakan seorang insan soleh yang tidak akan menganiaya dirinya dan anaknya tanpa sebab. Beliau sentiasa percaya setiap apa yang dilakukan oleh suaminya adalah bersandarkan kepada perintah Allah SWT. Justeru, beliau akur dengan keputusan suaminya untuk meninggalkannya di situ berdua hanya bersama anaknya sahaja.
Hari ini, kita melihat tidak ramai isteri yang mampu taat kepada suami. Hanya kerana mereka lebih bekerjaya, ataupun sudah tidak mampu meyakini keutamaan mentaati suami sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith yang sering didengari :
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”(H.R. Ahmad dan Tabrani )

3. Berusaha dan tidak mudah menyerah kalah.
Ya, Siti Hajar tahu beliau berada di tanah yang kering daripada air. Beliau tahu apa yang dilihatnya sebagai air hanyalah fatamorgana semata-mata. Namun, beliau tidak berhenti berusaha. Sebaliknya terus berulang-alik sehinggalah akhirnya Allah menganugerahkan air zam zam buat dirinya dan anak kecil yang semakin kehausan.
Biarpun kini kita mungkin teruji dengan pelbagai cabaran dan masalah dalam kehidupan termasuklah isu kesukaran kos sara hidup dan sebagainya, namun saya yakini dan insafi ujian kita tidaklah sehebat ujian yang dihamparkan buat seorang wanita bernama Siti Hajar ini. Semoga kita takkan mudah mengalah dan andainya jatuh, kembalilah bangkit atas namaNya.

4. Bersikap positif dengan suami
Ditinggalkan oleh suami yang dicintai di sebuah kawasan yang sukar bukanlah suatu perkara yang mudah dan menggembirakan. Namun, ia sesekali tidak menjadi alasan untuk Siti Hajar membenci dan bersangka buruk dengan suaminya, Nabi Ibrahim. Sebaliknya keputusan Nabi Ibrahim itu telah melonjakkan keimanan Siti Hajar dan mengajarkan dirinya untuk semakin tabah dan yakin dengan arahan Allah SWT.
Siti Hajar menunjukkan contoh kepada kita agar sentiasa melihat kebaikan dan kelebihan dalaman yang ada pada diri suami melebihi apa yang hanya mampu dilihat secara zahir semata-mata.

5. Kejayaan suami mendidik isteri
Kekuatan hati dan diri Siti Hajar tidak lahir dalam masa sehari semasa ditinggalkan di bawah panas terik, sebaliknya ia menunjukkan usaha didikan Nabi Ibrahim terhadap isterinya agar memiliki keimanan yang boleh menjadikannya seorang wanita dengan semangat yang luar biasa walaupun ditimpa ujian yang besar.
Seorang suami yang bertanggungjawab, perlu sentiasa mengislah diri dan keluarga agar dekat dengan Allah dan jauh daripada api neraka walaupun berhadapan dengan kesukaran dan kesusahan di dunia ini.
Allah Taala berfirman:

يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا وقودها الناس والحجارة

Mafhumnya: "Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" [Surah al-Tahrim, ayat 6].

MENCARI SITI HAJAR

Menyelusuri kisah Siti Hajar r.a mengingatkan kembali kenangan ketika di Tanah Suci Makkah al Mukarramah baru-baru ini. Pengalaman menyempurnakan saei ketika usia kandungan telah mencecah 8 bulan benar-benar  dirasakan telah menguji fizikal dan mental. Namun, ketika teringat kembali kisah Siti Hajar r.a yang hanya berdua ditemani anak tercinta, berlari-lari anak di tanah gersang tanpa air itu benar-benar menjentik hati ini. Sesungguhnya dialah wanita yang tabah dan terpilih, jasa dan pengorbanannya sentiasa harum mewangi di bumi penuh barakah itu. Tiadalah lagi Siti Hajar yang kedua di dunia ini, hanya sahaja sisa semangatnya perlu dicari buat pedoman dan contoh terulung bagi yang bergelar wanita. Berbahagialah para wanita solehah di dunia, yang dijanjikan untuk menjadi lebih baik daripada bidadari.

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak berganjak sama-sekali. Kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya,” (Riwayat al-Tabrani).


 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat