Tuesday, August 18, 2015

SECAWAN ROS BUATMU



Saya membuka pintu bilik perlahan, lantas menghenyakkan tubuh di katil bujang. Penat. Usai memandu hampir sejam, akhirnya sampai jua di asrama kampus. Mata masih layu, mengantuk kerana kurang tidur pada malam sebelumnya. Beberapa jam lagi, saya akan mula menduduki peperiksaan akhir di semester yang terakhir. Namun entah kenapa, ‘mood’ seakan terganggu. Helaian kertas ulangkaji di tangan dipandang kosong.

Saya memejamkan mata. Ingin lena biarpun sebentar. Biar hilang kepenatan memandu, agar datang semangat ingin bertempur di dewan peperiksaan. Selepas terlena hampir 20 minit, saya terjaga. Ros? Saya melihat ada beberapa kuntum bunga ros yang disusun di dalam cawan kecil di atas meja sisi. “Secawan ros buatmu…selamat berjuang sayang!” saya membaca lakaran tulisan di atas sekeping kertas. “ eh, siapa letak kat sini?” saya tertanya-tanya sendiri. Entah kenapa, bibir menguntum senyuman, semangat datang dalam diri dengan tidak semena-mena. Saya cuba meneka, tidak lain ini pasti teman sebilik yang sangat baik dan sentiasa berbudi.

BALING BATU DIBALAS BUAH

Kehidupan seharian tidak lari daripada saling bermuamalah antara satu dan yang lain. Kita tidak hidup sendirian di atas muka bumi ini. Ada ibu ayah, ada pasangan, ada keluarga, ada anak-anak, teman, dan ramai lagi senarai panjang insan yang sentiasa bermuamalah dengan kita.

Dalam meniti pelbagai urusan seharian, semoga ALLAH memandu kita agar dapat menguruskannyq dengan cara yang terbaik bersama insan sekeliling.

Mengembalikan kebaikan buat insan yang telah berbuat baik kepada kita tidaklah sesukar menghulurkan kebaikan kepada insan yang pernah menyakiti. Namun, andainya segala kebaikan itu tidak lain hanyalah kerana Allah, kita pasti tetap mampu memberikan kebaikan meskipun segala usaha kita tidak berbalas dengan cara yang sewajarnya.

Ya, kita manusia biasa. Sudah menjadi lumrah jiwa akan mudah ‘cedera’ dan ‘sakit’ dibaling ‘batu’, lebih sukar lagi untuk membalasnya dengan ‘buah’, namun jika dipasakkan di dalam jiwa bahawa sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang berbuat kebaikan, kita pasti akan mampu bermujahadah. Alangkah bertuahnya.

Dan orang-orang yang berjuang untuk Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk kepada mereka pada jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah swt. beserta orang- orang yang berbuat kebaikan. (Q.S. 29:70)

USAH MERASA LEBIH
Saya menginsafi lumrah makhluk bergelar manusia, pasti ada terselit keegoan dalam diri. Namun perlu juga disedari bahawa ego yang berlebihan dan tidak bertempat adalah suatu sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Jika difikirkan apalah yang hendak dibangga-banggakan, sedangkan kita lahir ke muka bumi ini dengan tangan kosong. Kesemua yang dinikmati hanyalah titipan dan pinjaman daripada Allah semata-mata.
Firman Allah SWT :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]
" Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri (4:36)
Ada kalanya, gelaran dan status menjadikan kita merasa lebih daripada yang lain. Ada kalanya kelebihan yang ada pada diri menjadikan kita memandang rendah pada yang lain. Justeru, ketika orang lain mendapat sesuatu yang ketika itu bukan menjadi salah satu rezeki buat kita, kita mudah tersentak dan terasa kita juga mahukannya. Lantas, menjadikan hati tidak tenang, jauh daripada kepuasan. Seringkali kita lupa bahawa rezeki adalah sesuatu yang telah ditetapkan olehNya.
Ummu Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan Rasulullah s.a.w. 

Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda:
قَدْ سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة , وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا قَبْل حِلّه , أَوْ يُؤَخِّر شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ يُعِيذك مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَل
Ertinya: “Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya…..” (Sahih Muslim)

Percayalah, merasa cukup dengan apa yang ada, adalah kunci untuk menghulurkan kebaikan demi kebaikan buat insan sekeliling. Meskipun nampak kecil, sekecil senyuman yang terlukis pada sepasang bibir anugerah Ilahi.

SECAWAN ROS BUATMU
Saya menyelak lagi kertas yang bertulis itu. “ Saya berjalan-jalan di belakang blok asrama kita, dan melihat kuntuman ros yang sedang mekar…saya tahu awak sukakan ros. Moga terus bersemangat menempuhi hari-hari yang mendatang ye teman…” saya membaca tulisan yang kemas terlakar. Terbayang wajah manis rakan sebilik sedang menuturkannya.

Secawan ros. Ya, percuma dipetik. Mungkin tak seberapa tampaknya di mata. Namun, nilainya tak mampu dibayar ganti. Pada sebuah bahagia yang terbit di dasar hati, dan semangat yang hadir setelah menatapnya ada di sisi.

Sekecil manapun kebaikan, biarpun hanya dengan menghulurkan secawan ros, tetap memberi makna buat sekeping hati yang menerima. Apatah lagi memberi makna yang mendalam buat yang memberi, di SANA nanti.

"Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa. (Q.S. 2:178)

Saat saya melakar tinta ini, sesungguhnya saya sedang menginsafi diri sendiri yang sukar sekali untuk bermujahadah di alam realiti, tidak seindah bait tulisan yang dilakar rapi!.

PESAN UNTUK HATI

Pesan untuk hati,
Kebaikan itu mahal harganya,
Pesan untuk hati,
Usah jemu melakukannya lagi dan lagi.

Pesan untuk hati,
Adakala kita merasa tak mampu lagi,
Terasa tiada guna kebaikan yang diberi,
Namun pesanlah lagi pada hati,
Bangkitlah kembali genggamlah semangat diri.

Pesan pada hati,
Mungkin hari ini kita tak dipeduli,
Kurang terasa di sana sini,
Namun pesanlah pada hati,
Ada akhirat yang akan muncul nanti,
Membalas segala budi dan bakti!


MENCICIP BERKAT DALAM KEHIDUPAN



Sehari dua ini heboh diperkatakan mengenai isu tidak perlu balik kampung untuk jimat. Saranan ini diutarakan agar kita tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membayar tol, mengisi minyak dan pelbagai keperluan lain yang semakin meningkat naik kosnya. Saya tidak ingin mempersoalkan niat insan yang memberikan cadangan ini. Mungkin juga ia telah dimanipulasi atau disalahfahami di luar konteks para pendengar.

Namun saya terfikir, benarkah ia akan menjimatkan?

Ya, jimat. Jika diukur daripada ‘nombor’ dan ‘bilangan’ dalam kepingan wang kertas di tangan.
Tidak, tidak jimat. Jika dinilai daripada kaca mata hati seorang insan yang berisi iman dan taqwa.
Allah…sungguh kehidupan ini terlalu ‘bernilai’ untuk hanya diukur pada ‘nilai’ wang yang berkurang dan bertambah dalam tabungan.

Kerana itulah, mungkin ada yang terlalu kaya dan banyak simpanan di ‘sini’ tetapi dia tidak menyimpan untuk di ‘sana’. Wang yang ada semakin banyak menjadikan ia semakin berat untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, wang yang ada menjadikan diri semakin lokek untuk bersedeqah.

BERKAT, BUKAN HANYA PADA WANG.

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”. (Q.S Al Israa’, 17:23)

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Q.S Al Israa’, 17:24)

Ibu bapa adalah insan yang dituntut oleh Allah SWT agar kita menyantuni, menghormati dan menyayangi mereka dengan penuh kasih dan sayang. Keduanya adalah insan yang mencintai kita tanpa syarat. Kaya atau miskin, lebih atau kurang, cantik atau tidak, tidak sesekali menjadi alasan pada cinta yang mereka telah hulurkan sekian lama sejak kita masih dalam kandungan si ibu.
Berbakti kepada mereka, akan mengundang redha dan berkat Allah pada setiap perjalanan kehidupan yang mencabar. Menyenangkan hati mereka, sekaligus akan memberikan ketenangan yang berpanjangan dalam hari-hari sang anak.

SUATU MASA NANTI

Cukuplah jika tidak mampu berfikir soal berkat dan pahala, fikirkanlah jika kita berada di tempat mereka yang bergelar ibu dan bapa. Ataupun bayangkanlah suatu masa nanti, rambut ini akan mula ditumbuhi uban, langkah ini kian perlahan, wajah ini sudah dimamah kedut, tidak ada air matakah yang akan mengalir saat sang anak tidak pulang kerana pelbagai alasan?


Tepuk dada, tanyalah iman!

MEYAKINI SEBUAH PEMERGIAN


Usai bersalaman dengan kakak yang mesra disapa kak Anis itu, saya mengundur diri. Menapak perlahan menuruni anak tangga, sambil fikiran masih resah dan bercampur baur. Hari ini, hari pertama saya meninggalkan si anak kecil di rumahnya, sebagai percubaan dan membiasakan diri sang permata hati di tempat baru sebelum saya memulakan kerja lebih kurang seminggu lagi. Entah kenapa, minda terasa seakan kosong, tidak mampu menghadam perasaan sendiri. Sedang asyik memandu, tiba-tiba kereta saya di hon daripada belakang. Saya tersentak. Allah, rupa-rupanya saya sedang memandu dengan kelajuan yang sangat perlahan di jalanraya kota yang sibuk. Saya cuba mengembalikan fokus kepada pemanduan sambil beristigfar. Kelopak mata mulai basah, rindu seakan terbit menyentuh tangkai hati. Kali pertama, ya kali pertama. Kali pertama berjauhan setelah tiga bulan si kecil langsung tidak berenggang daripada tubuh ini.

Sampai sahaja di rumah, saya membuka televisyen. Laporan daripada pemberita mengenai kematian seorang anak yang menderita sejenis penyakit kulit menarik perhatian saya. Kelihatan si ibu meraung sambil cuba ditenangkan oleh orang sekeliling. Tidak lama kemudian, laporan lain menyusul. Mengenai kematian seorang remaja belasan tahun, dengan asbab kemalangan. Kematian demi kematian, yang mampu menghidupkan hati yang mungkin ‘mati’.

Mati.

INGAT MATI MENGHIDUPKAN HATI

Diriwayatkan bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70 sehingga 100 kali sehari. Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah, “Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”. Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.”

Antara kebaikan yang akan diperoleh kesan daripada mengingati mati adalah kita akan segera menyegerakan taubat, tidak akan ditangguh-tangguhkan. Boleh jadi, ini saat yang terakhir lantas tiada saat lain yang akan bertamu. Rasulullah SAW bersabda:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ تُوْبُوْا إِلَى اللهِ وَاسْتَغْفِرُوْهُ فَإِنِّيْ أَتُوْبُ فِيْ اليَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
  رواه مسلم.
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR. Muslim).
Selain itu, keinginan untuk menikmati maksiat dan dosa akan berkurang kerana diresahi rasa takut akan bagaimana keadaan kita apabila bertemu Allah kelak.

Allah SWT telah berfirman:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
“(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang melakukan kejahatan (maksiat dan dosa), nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.” (QS An Nisa’ 123)

Para sahabat Nabi SAW menyatakan bahawa inilah ayat Al Qur’an yang dirasakan paling berat bagi mereka, sebagaimana diriwayatkan  oleh Ibnu Abi Hatim bahawa saidatina Aisyah pernah mengatakan kepada Rasulullah SAW bahawa inilah ayat Al Qur’an yang terasa paling berat bagi dirinya.

Ada tiga golongan manusia yang hidup di muka bumi ini, yang lupa mati, yang takut mati dan yang ingat pada mati. Manusia yang lupa mati, boleh jadi manusia yang terlalu rakus mengejar dunia dan apa yang tidak pasti yang ada di dalamnya, sekaligus terlupa ada sesuatu yang pasti sedang menantinya. Adapun manusia yang takut mati, dibayangi keresahan dan diganggu ketakutan yang tak berpenghujung namun tidak melakukan apa-apa sebagai bekal untuk menghadapinya. Berdoalah duhai diri dan teman pembaca, agar dikurniakan hati yang ingat mati, iaitu hati yang memilih untuk berusaha bersedia untuknya dan menjadikan dunia sebagai jambatan untuk menuju ke arahnya dalam keadaan hati yang sejahtera.

What you see, is what you get, apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Positif ataupun negatif adalah bersumberkan apa yang dilihat oleh ‘mata’ hati dan perasaan. Kerana itulah walaupun ujian yang sama menimpa dua orang berbeza, akan dilihat dan didepani dengan cara yang berbeza. MATI, adalah perkara yang PASTI, namun terpulanglah bagaimana cara setiap hamba ingin bersedia untuknya.

SEBUAH KEHILANGAN
Membicarakan soal mati, ia berkait rapat jua dengan kehilangan. Andai belum sampai masa kita pulang bertemu Tuhan, mungkin ada insan sekeliling yang pergi dahulu ke ‘kampung’ asal mereka. Justeru, di sini hati dihadapkan dengan pilihan, untuk menyesali atau meredhai.

Redha tidaklah bererti tiada air mata, apatah lagi yang hilang itu adalah insan yang dikasihi. Seorang suami yang menjadi tempat bergantung, seorang isteri yang menjadi tempat berkasih sayang, seorang anak yang menjadi cahaya hati ataupun ibu bapa yang sangat dicintai. Andainya mereka pergi, hati pasti akan merasai sebuah kehilangan yang meruntun. Namun, indahnya menjadi seorang yang bernafas dalam jiwa bernama muslim, kehilangan ini perlu didepani dengan keredhaan yang akan menjadi semangat untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Menangisi kematian yang tidak dibolehkan adalah menangis meratap dengan kuat. Namun, menangis dengan air mata kerana kesedihan tidaklah dilarang di dalam agama rahmat ini. Ada suatu hadith yang diriwayatkan mengenai kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak Rasulullah SAW. Berkata Abdurrahman bin Auf;
أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا يرحم لا يرحم
Maksudnya;
“Nabi telah memegang tanganku, lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, Ibrahim yang sedang nazak. Lalu Nabi SAW mengambil Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda sehingga menitis air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdurrahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW, kamu menegah dari menangis. Jawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat kelalaian dan seruling syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka dan mengoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian) adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya dia tidak akan dikasihi”

Kehilangan juga sebenarnya boleh menjadi suatu titik permulaan kepada kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT, ataupun menjadi kekuatan yang melonjakkan taqwa kepadaNya. Diri seakan tersedar daripada mimpi, bahawa sedalam mana cinta kita kepada seseorang tetap tidak mampu menahan daripada kematian yang memisahkan.

NOTA UNTUK HATI

Saya melihat jam entah sudah kali keberapa dalam tempoh dua jam. Terasa begitu lambat masa berlalu. Sihatkah dia, selamatkah dia, kenyangkah dia?. Sudahnya, hanya dua jam mampu bertahan dan saya kembali menyarung pakaian dan bersiap untuk menjemputnya pulang. Sebaik sahaja bertemu, si dia merenung mata mama, menghadiahkan senyuman lantas melegakan hati seorang ibu. Tidak lama kemudian terus lena dalam dakapan setelah disusukan. Saya memeluknya erat. Rindu, rindu yang ada ubatnya. Namun akan ada suatu masa, rindu hanya mampu mencengkam, mungkin tidak akan mampu diselesaikan. Itulah sebuah kehilangan!. Saya menanam azam di dalam hati yang dhaif ini, moga masa-masa yang tersisa akan mampu dimanfaatkan untuk menyebarkan kasih dan cinta buat insan yang dikasihi, selagi dipinjamkan oleh Ilahi. Agar setiap kebaikan menjadi ibadah yang akan dibawa sebagai bekal bertemu Tuhan kelak.

Aku mendengar dan melihat,
Saban hari ada yang dijemput Ilahi,
Aku masih termangu di sini,
Entah bila kan tiba saat untukku.

Ada yang pergi meninggalkan haruman budi,
Tak kurang juga ada yang dikenangi bakti,
Namun ada yang perginya tak ditangisi,
Kerana terlalu ego dengan diri sendiri.

Aku tak ingin termangu sendiri lagi,
Ingin keluar mencurahkan budi dan bakti,
Agar pergiku kelak tak menjadi titik henti,
Biarlah ada pahala yang terus mengalir di sini.

Nur A’isyah Humaira Ismail

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPG Kampus Pendidikan Islam.

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat