Tuesday, November 24, 2015

BIAR SIAPAPUN DIA

Oleh : Nur A’isyah Humaira binti Ismail

Hujan makin lebat. Angin yang menyapa tubuh kian kuat. Semua murid masih berkumpul di surau untuk program sempena awal muharram. Selepas kira-kira 15 minit berlalu, kelihatan air mula melimpahi longkang. “ Alamak, basah nanti kasut dan beg murid-murid…” seorang guru bersuara. Kami saling berpandangan. Spontan, semua guru yang ada di sekitar situ bingkas bangun menuju ke arah beg dan kasut sekolah yang diletakkan di tepi surau. Saya yang baru bertugas kira-kira 3 bulan termangu seketika. “ Cikgu-cikgu kena angkat semua kasut dan beg ni ke? Banyak ni..ada beratus-ratus..” detik hati saya. Namun mereka seakan sudah biasa. Saya menurut. Lantas mengharung air yang makin melimpah sehingga hampir separuh jubah dibasahi air.

“ Kasihannya budak-budak ni, habis nanti beg sekolah ni. Buku-buku pun rosak nanti..” seorang guru yang sedang sibuk mengalihkan beg bersuara. Suaranya tenggelam timbul kerana bunyi hujan yang semakin kuat. Sudah tidak dihiraukan air hujan yang membasahi tudung, dan kasut sendiri yang direndami air. Juga, tangan yang sudah lenguh mengangkat beg-beg yang berat.

Saya menginsafi sesuatu. Mengambil ibrah daripada para guru yang sudah lama berada dalam bidang ini. Kasihnya, melangkau wang gaji yang diterima. Ihsannya, meneladani anak orang lain seperti anak sendiri. Marahnya, tidak lain hanya kerana ingin membentuk seorang insan yang diamanahkan Tuhan. Minda menerawang jauh, mengingatkan kami sentiasa bermesyuarat berjam-jam, menyebut nama murid satu persatu yang memerlukan perhatian khusus dalam program membaca dan menulis. Para guru ini mampu mengenali setakat mana kemampuan dan boleh menghurai sejauh mana yang telah dicapai  oleh murid-murid mereka. Merencana modul dan juga membimbing secara individu. Semuanya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak kurang daripada anak sendiri. Lelah, penat sehingga tiada masa untuk bersembang kosong di meja guru. Namun, mereka masih boleh tersenyum, melayani pelbagai ragam murid seramai 40 orang pada satu masa. Ada masanya anak-anak ini bergaduh, menangis, malah ada yang membuang air kecil di dalam kelas. Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar, daripada jiwa-jiwa guru di sini.

Seorang guru, ada peranan yang besar pada pembentukan seorang anak. Mungkin ada ibu bapa mengharapkan seorang guru dapat memastikan semua murid dapat mencapai apa yang sepatutnya dicapai. Sedangkan realitinya, ada guru yang menitiskan air mata kerana ketidakmampuan dalam batas seorang manusia yang biasa dalam menangani anak-anak syurga ini. Bukan sahaja dalam bab skor mata pelajaran, jauh daripada itu adalah soal keyakinan kepada Tuhan dan akhlak islami.

Kerana itulah saya berhasrat mengajak agar anak-anak belajar menghormati guru, bukan hanya tahu mencari kurang sang guru semata-mata. Biarpun guru mungkin tidak berpendidikan tinggi, jauh ke bawah dibandingan dengan ibu dan ayah yang bekerjaya.

Tidaklah wajar seseorang mengecilkan seseorang atau kelompok lain, tidak wajar pula berprasangka buruk tanpa alasan, atau menceritakan keburukan seseorang, dan menyapa atau memanggilnya dengan sebutan buruk. Al-Hujurat [49]: 11-12).

JASA INSAN LAIN PADA INSAN KESAYANGANMU

“ Nanti bila ‘Ayyash dah besar, Aisyah beritahu pada dia ye, akak sayangkan dia…Akak sedih sebenarnya sebab dah lama jaga dia.” hati saya sebak membaca tulisan pengasuh anakanda di ruangan whatsapp. Akibat daripada kekangan jarak, saya memutuskan untuk menukar pengasuh baru setelah berpindah rumah. Saya mengalih pandangan pada anakanda yang sedang lena dalam dakapan. Saya memang terhutang budi pada seorang yang saya gelar Kak Anis ini meskipun tiada sebarang pertalian darah dengannya. Dia mula menjaga ‘Ayyash ketika masih sangat lembut, kecil dan perlukan perhatian. Dia sanggup bersusah-susah menguruskan bekalan susu ibu setiap yang dihantar setiap hari. Apatah lagi ketika itu, si anak kecil sangat manja dan sukar diletak. Hanya selesa didukung dan dilayani. Tanpa perlukan buai, pengasuh ini sangat bijak melayani anakanda, sehingga akhirnya saya tenang dan lega walaupun terpaksa berpisah dengannya separuh hari. Apatah lagi, si kecil ketika itu diuji dengan sakit eczema. Saban hari, dia perlu lebih perhatian dalam menguruskan ubat-ubatan dan kebersihan. Lima hari seminggu, terkadang enam hari seminggu, anakanda saya di bawah jagaan dia. Kini, si kecil makin mudah diasuh kerana sudah pandai bermain sendiri. Malah eczemanya juga sudah pulih. Namun, saya pula dengan berat hati terpaksa mengkhabarkan padanya tentang ingin bertukar pengasuh. Hati saya dirundung rasa bersalah.

Saya terpaksa akui, dalam melunasi amanah pada kerjaya, saya sebenarnya cukup terhutang budi kepada insan yang meneladani anakanda saya nan seorang ini. Biarpun dia diberi upah kerana mengasuh, namun masih lagi ada jasa yang besar kerana kebaikan dan kesungguhannya menjaga dengan baik dan menenangkan. Sungguh, anak itu terlalu besar nilaiannya, tidak dapat dibanding dengan upah yang dihulurkan saban bulan buatnya.

BIAR SIAPAPUN DIA
“ Ibu bapa terbeban. Terpaksa bawa anak ke tempat kerja”

Saya membaca patah ayat yang terpapar pada skrin televisyen. Hati saya seakan tercuit. Terbeban? Anak-anak menjadi beban apabila sekolah ditutup kerana bencana jerebu?. Saya menghela nafas berat. Saya tidaklah menghakimi apa yang ditulis kerana mungkin ia sekadar salah faham si penulis skrip, namun ya saya tidak dapat menerima ayat bebanan selayaknya diberikan buat sang permata hati amanah Ilahi. Siapa tahu masa-masa yang ada itu jika dimanfaatkan sebaiknya, ada masa emas yang akan diingati oleh anak hingga bila-bila. Setelah lima hari seminggu, daripada pagi hingga hampir malam murid-murid menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru dan rakan-rakan mereka di persekolahan agama mahupun biasa.

Setidak-tidaknya, antara hikmah kecil daripada penutupan sekolah ini memberi sedikit kesedaran bahawa tanpa kita sedar ada jasa orang lain dalam kita menghadapi kesibukan seharian.

Biar siapa pun dia, sebenarnya hidup ini saling berkaitan antara diri kita dengan insan lain. Ketika seorang anak yang makin bijak dan beradab sopan, ibu bapa mungkin merasakan merekalah insan yang telah berjaya membentuk anak mereka. Namun mungkin kita lupa, ada jasa sang guru yang saban hari bertemu wajah dengan anak-anak ini, menutur nasihat sama yang diulang-ulang semasa sesi persekolahan. Ataupun ketika bayi kecil kita sudah reti melambaikan tangan, kita gembira namun kita mungkin lupa mengucapkan terima kasih kepada si pengasuh yang dengan sabarnya mengajar pergerakan baru setiap hari.

Begitulah jua untuk semua yang bergelar manusia. Seorang peniaga atas talian, perlu bersyukur kerana ada posmen yang setiap hari menghantar barangan, meredah kesesakan trafik dan juga panas terik. Seorang kontraktor, bersyukur kerana memiliki pekerja yang mahir sehingga memudahkan urusannya. Seorang suami, bersyukur kerana memiliki isteri yang pandai menghiburkan hati dan juga mengasuh anak-anak. Seorang isteri, bersyukur kerana mempunyai seorang suami tempat berteduh kasih. Seorang anak, bersyukur kerana mempunyai ibu atau bapa yang sanggup menjaga dalam susah dan senang. Moga-moga dengan secebis kesyukuran ini melahirkan jiwa yang tunduk patuh dalam ketaatan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.

Subhanallah, kerana itulah agama nan suci ini mengajarkan kita agar berbuat baik sesama manusia. Biar siapapun mereka. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang angkuh dan sombong, dengan kelebihan yang direzekikanNya.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ (17) وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (19)
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Surah LUQMAN (31) ayat 17-19:

Kita semua tidak sempurna dan terlalu banyak kelemahan untuk diinsafi. Baik di posisi manapun kita berada, hanya kepadaNya kita bermohon agar diberikan petunjuk melalui jalan yang benar, meskipun jalannya sukar berupa bukit bukau mahupun padang pasir yang terik.


 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat