Tuesday, October 31, 2017

Diari mama ; Ayyash demam 😌

30 Oktober 2017

Mama teringin nak menulis diari utk dibaca anak lelaki mama bila besar nanti.

Mama balik sekolah jam 6.10 petang, tak ada suara yg menyambut. Biasanya ‘ yeayyy mama dah balik’ pastu dengar orang naik tangga ke ruang tamu. Kita pun berpelukan macam orang lama tak jumpa. Hehe

Mama jarang-jarang sangat belikan mainan sebenarnya tp petang tu mama tergerak hati nak beli. Mama memang excited nak bagi pada awak tau.

Mama turun bawah ke bilik helper. Tengok awak tengah tidur. Mama kejutkan awak. Terkejut sangat rasa badan sangat-sangat panas. Mama gosok2 badan awak kejutkan tunjuk mainan. Awak langsung tak excited. Mata susah nak buka. Helper kata sejak tengahari awak tidur. Tak makan dan tak minum. Memang tak pernah awak demam macam tu.

Allah.. risau mama tak tahu nak cerita.

Sebelum ni awak demam, mama memang tak risau sgt sbb awak biasanya  tetap aktif, tetap nak makan minum walau badan panas. Jarang mama bawa ke klinik, sehari dua lepas makan ubat, awak okay. 

6.10-8.30 malam awak just terbaring. Suara tak keluar. Mama bukak tv, tp awak suruh tutup. ‘ mama tutup la tv, abang sakit’. Allahu. Badan makin panas.

Mama tak boleh tahan lg. Mama bersiap. Dukung awak ke klinik. Sepanjang di klinik mama dukung dengan perut mama sendiri yg dah boyot.. awak muntah-muntah atas lantai klinik.

Allah.. mama mmg rasa tak kuat. Mama call ciktok.. sayu bila ciktok kata, kalau ciktok dekat, ciktok pasti akan datang tengok kita. Keluarga kita di setiu semua risaukan kita. Mama memang tak dapat bendung air mata lagi. Mama dah tak fikir diri sendiri lg. Mama cuma fikir awak, syg.

Sebab awak tak pernah demam panas sangat sampai badan lembik terketar-ketar dan mata pun tak mampu buka. Mama jadi takut.

Doc masukkan ubat punggung. Doc agak risau sebab awak tak aktif dan tak makan minum...hampir doc nk minta refer ke hospital.

Tadaaaaa, ajaib lepas 15min masuk ubat punggung, demam awak dah berkurang sikit. Awak tiba-tiba dah nak main dan nak makan minum. Hehe mama lega yang teramat.

Walaupun malam awak masih terjaga-jaga tak selesa dan awak masih demam hingga keesokannya tapi at least mama tengok senyuman awak. Awak tak ada la lesu sampai mata pun tak mampu buka. Awak nak main, awak nak makan. Mama tahu awak okay.

Kita akan berjuang sama-sama ye syg. Tolong jangan mengalah, walau awak masih kecil, mama cuma ada awak untuk temani mama. Jangan buat mama risau lagi ye syg.

Anak-anak mama semuanya, terima kasih sebab kuat sejak pertama kali celik mata tengok dunia dengan mama. Kalian anak-anak hebat. Hebat di hati mama.. ♥️

Coretan mama,
6.52 pg.
30 weeks pregnant
31 Okt 2017

Wednesday, September 20, 2017

Yang dinanti :)

Sepanjang perjalanan pulang dari membuat checkup bulanan, senyuman tidak lekang dari bibir setelah melihat hasil scan uri yang sebelum ini dikesan berada di bawah, sudah pun kembali di tempat yang sepatutnya. Syukur , gembira dan kena terus berdoa. Setiap pengalaman mengandung dan melahirkan pastinya berbeza-beza.

'Abang tau tak masa anak sulung, saya doa nak anak lelaki. Alhamdulillah Allah rezekikan...' saya bercerita, saja mengisi masa dalam kereta.

Masa anak kedua nak sangat-sangat anak perempuan. Ingat lagi masa scan mula-mula doc kata lelaki, tapi alhamdulillah scan bulan seterusnya doc kata perempuan. Happy sangat. Orang kata seronoknya dah ada sepasang!' Saya teruja. Masih bercerita meluahkan apa yang di dalam hati.

'Anak ketiga ni alhamdulillah tak kisah dah. Cuma ada la doa juga nak lelaki pulak hehe. Orang dulu-dulu kata, silang bunga. Tapi tadi doktor kata perempuan' saya gelak. Bersahaja, tidak serius dengan apa yang diutarakan.

Suami diam tidak segera menyambut. Hanya selepas beberapa minit suami bersuara " Abang tak pernah doa tentang jantina anak. Yang penting doakan kebaikan dan kesihatan dia..Apa yang kita nak tak semestinya baik untuk kita.."

Saya tersentak. 

" Alaa, bukannya tak bersyukur, bang. Biasalah manusia kan ada keinginan, apa yang tak menyalahi syarak, kita doa lah. Tapi mestilah doa juga untuk kesihatan anak. Tapi dapat anak jantina apa pun, tak berkurang rasa gembira dan syukur.." sang isteri ni 'membela diri'. 

Perbualan berlanjutan, cerita tentang seorang kawannya disebut lagi, saya mengiyakan walaupun sebenarnya sudah beberapa kali cerita yang sama singgah ke pendengaran ini. 

" Hmm, Allah nak uji tetap uji kan abang..."

Saya mengalih topik. Tak selesa ingin meneruskan.

Pulang ke rumah, dua anakanda sudah menunggu di pintu. Senyuman yang menyambut memberi sejuta kebahagiaan yang sukar diungkap. Gelak tawa dan gurau sang bijak soleh solehah yang dirindui walaupun baru sekejap ditinggalkan. Entah kenapa tiba-tiba, apa yang dibincangkan dalam kereta tadi cukup mengusik hati. Terasa benarnya apa yang dinasihatkan suami. 

Ada orang berbelas tahun menunggu cahaya mata.
Malah, ada orang yang masih menanti jodohnya siapa.

Kita? Pantas dan tegarkah masih mengatur apa yang sudah direzekikan?

" Maafkan mama sayang. Biarpun memang mama tidak serius memaksudkannya dan hanya bergurau namun mama tersilap dalam gurauan yang tidak sepatutnya.." permata hati yang kian membesar di dalam rahim saya usap.

" Mama tak sabar nak jumpa awak, sayang!"

Doakan agar dipermudahkan dan dikurniakan kebaikan untuk cahaya mata ke-8 keluarga kami ini. Ameen ya Robb.

Ummu Ayyash
20.09.2017
4.15PM


Friday, August 11, 2017

4 years and still counting



Lamanya tak menconteng kat blog kesayangan hamba ni. Ada je ni, buat-buat sibuk dengan kehidupan seharian. Alhamdulillah atas nikmat kesibukan yang menjadikan setiap hari lebih bermakna dan berbaloi untuk dilalui. Terima Kasih ya ALLAH.

Saja nak menulis santai santai petang hari ini di kala cuaca redup sejuk. Ditemani Ahla yang sedang baik ragam. Ayyash pula keluar berjalan dengan sepupu sejak pagi. Anak-anak soleh dan bijak syukur alhamdulillah. Dan pastinya ditemani jua si kecil yang sangat ditunggu-tunggu untuk lahir ke dunia. Cant wait to see u, dear!.

Syukur atas rezeki usia untuk melalui hari ulangtahun ke4. Rasa ingin jadi pengantin baru selalu, oh masa, kenapa begitu pantas kurasakan berlalu.

Dan syukur dapat luangkan masa hari ini sebelum suami keluar bermesyuarat jam 4 petang tadi. Rasanya 3 tahun sebelum ini, hari anniversary atau birthday sama ada berkuliah di kampus atau kerja di sekolah. Huhu. Tapi tak apa, bukan itu yang jadi keutamaan. Yang penting pastinya moga dikurnia sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga yang dibina.

Dalam dunia poligami yang sangat unik dan istimewa anugerah Allah untuk diri insan, ada sangat banyak perkara yang perlu diperhalusi. Banyak masanya, diri yang khilaf ini terlepas pandang. Moga-moga usia yang kian meningkat membantu diri ini untuk lebih matang dan bijaksana mengurus diri dan hati ini ameen ya Robb.

Tulisan seterusnya, mungkin sesuai dibaca oleh mereka yang berpoligami sebagai perkongsian bersama.

Antara perkara yang saya muhasabahkan untuk diri sendiri adalah, adab bersembang dan berbicara dengan madu (muhasabahkan dan pastinya banyak yang perlu diperbaiki). Banyak masanya, kita perlu belajar meletakkan had dalam percakapan. Kadang-kadang tanpa disedari dan tanpa niat, kita menyinggung hati madu yang dikasihi.

Antaranya, menyebut-nyebut inti perbualan dengan suami kepada madu. Ada kemungkinan, suami belum sempat, terlupa atau merasa tiada keperluan untuk bercerita kepada madu sebagaimana apa yang suami ceritakan kepada kita. Lantas, madu yang mengetahuinya daripada kita akan cemburu ( bukan sengaja ingin cemburu, namun kita maklum syaitan akan sangat pantas merasuk dan menggoda). Begitu juga sebaliknya, mungkin ada yang suami ceritakan pada madu, dan tidak kepada kita.

Saya memuhasabah, agar tidak perlu banyak bersembang tentang suami ( tanpa keperluan, kalau ada keperluan lain cerita. Jangan generalise). Usah sengaja menyebut “ abang beritahu…” “abang ada kata…” etc etc.

Malah, jika kita dapat mengagak bahawa madu belum mengetahui tentang apa yang kita tahu, cukup berikan ruang biar suami sendiri yang beritahu agar madu tidak merasa tersisih. Tidak perlu kita jadi ‘orang tengah’ yang menyampaikan, apatah lagi jika berita itu tidak bersifat urgent atau kecemasan.

Ataupun, jika madu bercerita kepada kita apa yang kita sudah maklumi, cukup dengan hanya mengiyakan dan meraikan apa yang diberitahu tanpa perlu memberitahu bahawa seolah-olah kita sudah tahu.

Mungkin ia nampak hanya perkara-perkara remeh, tapi saya percaya orang yang berpoligami pasti tahu apa impak perkara yang dianggap ‘remeh temeh’ ini kan?. Hehe. Sepertimana mulut boleh ucap “ saya tak kisah pun….(tentang sesuatu)” tapi hakikatnya bila ia berlaku, sebenarnya kisah...

Antara lain juga, kita mungkin tak sedar ralit menyebut  tentang apa yang pernah kita lalui dengan suami. Mungkin kita pernah mengembara, melancong atau tinggal di mana-mana di luar atau di dalam negara, yang sering kita sebut mungkin mengundang cemburu madu yang tiada kesempatan untuk melalui masa-masa sebegitu atau pergi ke tempat itu. Alangkah baik, cukup ia menjadi privasi antara kita suami isteri. Mudah untuk kita berkata, tidak perlulah cemburu, tapi hati wanita pasti akan lebih memahami hati wanita yang lain. Ada masa turun, ada masa naik.  Biarlah, Allah Maha Tahu niat kita.

Namun, sebagai madu, tetaplah kena belajar untuk cuba berlapang dada, bersangka baik bahawa madu tidak berniat menyinggung namun hanya sekadar berkongsi pengalaman mahupun ibrah daripada apa yang dibualkan. Tidak ada guna berfikir-fikir negatif tentang madu, sebaliknya istighfar dan kembali membuka hati agar memandang semua kebaikannya yang banyak. Sebab madu bukanlah sengaja berniat tidak baik, namun sebagai manusia biasa pasti terlepas pandang atau merasa ia bukan suatu yang sensitif.

“ Habis tu, nak berbual apa dengan madu??”
Banyak yang boleh dibualkan. Tentang anak-anak. Tentang kain baju, cuaca panas hujan hihi. Tentang tips dan info-info bermanfaat. Bukan perbualan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih, siapa yang kurang.

Bantu diri sendiri untuk menjadi isteri yang solehah, dan bantu suami untuk jadi suami yang baik. Suami pasti akan sangat menghargai isteri yang menyenangkan dan tidak sengaja ‘mengusahakan’ perkara-perkara yang tidak perlu yang boleh mengundang suasana negatif.

Apa yang saya coretkan pada kali ini lebih saya tujukan kepada mereka yang bergelar isteri kedua (atau ketiga, atau keempat). Kenapa? Kerana secara peribadi, saya rasakan isteri pertama lebih ‘berhak’ mungkin jika ingin bercerita kerana mereka lebih lama bersama suami, lebih dahulu menjadi isteri,  dan perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah sekian lama menjadi satu-satunya isteri. Sebagai isteri yang hadir kemudian, kena banyakkan bersabar… ( ini yang sukar). 

Meskipun dalam agama, tiada yang berbeza antara isteri biar di status nombor berapa sekalipun namun hakikat kehidupan di dunia, kita tetap kena terima sentimen yang sebenarnya tetap wujud.
Tiada yang benar-benar adil untuk kita di dunia, moga Allah kurniakan kita kebaikan di akhirat yang kekal abadi.

Muhasabah diriku si pendosa.
Yang sering khilaf.
Dan akan terus khilaf.



Ummu Ayyash
11.08.2017













Sunday, June 11, 2017

Ramadhan 2017

Syukur pada ALLAH..

Atas anugerah kehidupan dan seluruhnya. Terasa kerdil dan malu diri ini yang tidak banyak bersyukur, namun masih lagi ALLAH kurniakan bermacam nikmat dan kebaikan.

Ramadhan 2017, tidak banyak beza dengan keadaan kesihatan diri pada 2015 :) Kena banyak bersabar, meski terlepas beberapa perkara penting tentang Ramadhan. Namun kena yakin dan percaya pada kasih sayang Allah pada setiap hambaNya.

Lamanya tak menulis. Lepas dah privasikan blog, saya menerima beberapa mesej bertanyakan kenapa privatekan blog. Ada juga yang memujuk agar kembali menulis. Tak sangka ada juga pembaca setia blog yang tak ada apa-apa ni, sekadar tulisan kosong dan santai je.

Alhamdulillah anakanda Abdullah 'Ayyash dah menginjak usia 2 tahun 3 bulan dan bidadari solehah Ayesha Ahla sekarang dah berusia 9 bulan.

Berbeza? Ya memang sangat berbeza anak seorang dan anak dua orang. Hehe.

Dan insha Allah suatu hari nanti, bakal menjengah pula anakanda ke3. Sungguh besar kurnia Tuhan ini pada kami. Moga kami jadi hamba yang bersyukur.

Ummu Ayyash 
11.06.17 / 8.51am
Teratak syurga HG


 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat