Lamanya tak menconteng kat blog kesayangan hamba ni. Ada je ni, buat-buat sibuk dengan kehidupan seharian. Alhamdulillah atas nikmat kesibukan yang menjadikan setiap hari lebih bermakna dan berbaloi untuk dilalui. Terima Kasih ya ALLAH.
Saja nak menulis santai santai petang hari ini di kala cuaca redup sejuk. Ditemani Ahla yang sedang baik ragam. Ayyash pula keluar berjalan dengan sepupu sejak pagi. Anak-anak soleh dan bijak syukur alhamdulillah. Dan pastinya
ditemani jua si kecil yang sangat ditunggu-tunggu untuk lahir ke dunia. Cant wait
to see u, dear!.
Syukur atas rezeki usia untuk melalui hari ulangtahun ke4. Rasa
ingin jadi pengantin baru selalu, oh masa, kenapa begitu pantas kurasakan
berlalu.
Dan syukur dapat luangkan masa hari ini sebelum suami keluar bermesyuarat jam 4 petang tadi. Rasanya 3 tahun sebelum
ini, hari anniversary atau birthday sama ada berkuliah di kampus atau kerja di
sekolah. Huhu. Tapi tak apa, bukan itu yang jadi keutamaan. Yang penting pastinya moga dikurnia sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga yang dibina.
Dalam dunia poligami yang sangat unik dan istimewa anugerah Allah
untuk diri insan, ada sangat banyak perkara yang perlu diperhalusi. Banyak
masanya, diri yang khilaf ini terlepas pandang. Moga-moga usia yang kian
meningkat membantu diri ini untuk lebih matang dan bijaksana mengurus diri dan
hati ini ameen ya Robb.
Tulisan seterusnya, mungkin sesuai dibaca oleh mereka yang
berpoligami sebagai perkongsian bersama.
Antara perkara yang saya muhasabahkan untuk diri sendiri adalah,
adab bersembang dan berbicara dengan madu (muhasabahkan dan pastinya banyak
yang perlu diperbaiki). Banyak masanya, kita perlu belajar meletakkan had dalam
percakapan. Kadang-kadang tanpa disedari dan tanpa niat, kita menyinggung hati
madu yang dikasihi.
Antaranya, menyebut-nyebut inti perbualan dengan suami kepada madu.
Ada kemungkinan, suami belum sempat, terlupa atau merasa tiada keperluan untuk
bercerita kepada madu sebagaimana apa yang suami ceritakan kepada kita. Lantas,
madu yang mengetahuinya daripada kita akan cemburu ( bukan sengaja ingin
cemburu, namun kita maklum syaitan akan sangat pantas merasuk dan menggoda).
Begitu juga sebaliknya, mungkin ada yang suami ceritakan pada madu, dan tidak
kepada kita.
Saya memuhasabah, agar tidak perlu banyak bersembang tentang suami
( tanpa keperluan, kalau ada keperluan lain cerita. Jangan generalise). Usah
sengaja menyebut “ abang beritahu…” “abang ada kata…” etc etc.
Malah, jika kita dapat mengagak bahawa madu belum mengetahui
tentang apa yang kita tahu, cukup berikan ruang biar suami sendiri yang
beritahu agar madu tidak merasa tersisih. Tidak perlu kita jadi ‘orang tengah’
yang menyampaikan, apatah lagi jika berita itu tidak bersifat urgent atau
kecemasan.
Ataupun, jika madu bercerita kepada kita apa yang kita sudah
maklumi, cukup dengan hanya mengiyakan dan meraikan apa yang diberitahu tanpa
perlu memberitahu bahawa seolah-olah kita sudah tahu.
Mungkin ia nampak hanya perkara-perkara remeh, tapi saya percaya orang
yang berpoligami pasti tahu apa impak perkara yang dianggap ‘remeh temeh’ ini
kan?. Hehe. Sepertimana mulut boleh ucap “ saya tak kisah pun….(tentang
sesuatu)” tapi hakikatnya bila ia berlaku, sebenarnya kisah...
Antara lain juga, kita mungkin tak sedar ralit menyebut tentang apa yang pernah kita lalui dengan
suami. Mungkin kita pernah mengembara, melancong atau tinggal di mana-mana di
luar atau di dalam negara, yang sering kita sebut mungkin mengundang cemburu
madu yang tiada kesempatan untuk melalui masa-masa sebegitu atau pergi ke
tempat itu. Alangkah baik, cukup ia menjadi privasi antara kita suami isteri.
Mudah untuk kita berkata, tidak perlulah cemburu, tapi hati wanita pasti akan
lebih memahami hati wanita yang lain. Ada masa turun, ada masa naik. Biarlah, Allah Maha Tahu niat kita.
Namun, sebagai madu, tetaplah kena belajar untuk cuba berlapang
dada, bersangka baik bahawa madu tidak berniat menyinggung namun hanya sekadar
berkongsi pengalaman mahupun ibrah daripada apa yang dibualkan. Tidak ada guna
berfikir-fikir negatif tentang madu, sebaliknya istighfar dan kembali membuka
hati agar memandang semua kebaikannya yang banyak. Sebab madu bukanlah sengaja berniat tidak baik, namun sebagai manusia biasa pasti terlepas pandang atau merasa ia bukan suatu yang sensitif.
“ Habis tu, nak berbual apa dengan madu??”
Banyak yang boleh dibualkan. Tentang anak-anak. Tentang kain baju,
cuaca panas hujan hihi. Tentang tips dan info-info bermanfaat. Bukan perbualan
untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih, siapa yang kurang.
Bantu diri sendiri untuk menjadi isteri yang solehah, dan bantu
suami untuk jadi suami yang baik. Suami pasti akan sangat menghargai isteri
yang menyenangkan dan tidak sengaja ‘mengusahakan’ perkara-perkara yang tidak
perlu yang boleh mengundang suasana negatif.
Apa yang saya coretkan pada kali ini lebih saya tujukan kepada mereka
yang bergelar isteri kedua (atau ketiga, atau keempat). Kenapa? Kerana secara
peribadi, saya rasakan isteri pertama lebih ‘berhak’ mungkin jika ingin
bercerita kerana mereka lebih lama bersama suami, lebih dahulu menjadi
isteri, dan perlu masa untuk
menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah sekian lama menjadi satu-satunya
isteri. Sebagai isteri yang hadir kemudian, kena banyakkan bersabar… ( ini yang
sukar).
Meskipun dalam agama, tiada yang berbeza antara isteri biar di status
nombor berapa sekalipun namun hakikat kehidupan di dunia, kita tetap kena
terima sentimen yang sebenarnya tetap wujud.
Tiada yang benar-benar adil untuk kita di dunia, moga Allah
kurniakan kita kebaikan di akhirat yang kekal abadi.
Muhasabah diriku si pendosa.
Yang sering khilaf.
Dan akan terus khilaf.
Ummu Ayyash
11.08.2017
0 comments:
Post a Comment