Friday, August 11, 2017

4 years and still counting



Lamanya tak menconteng kat blog kesayangan hamba ni. Ada je ni, buat-buat sibuk dengan kehidupan seharian. Alhamdulillah atas nikmat kesibukan yang menjadikan setiap hari lebih bermakna dan berbaloi untuk dilalui. Terima Kasih ya ALLAH.

Saja nak menulis santai santai petang hari ini di kala cuaca redup sejuk. Ditemani Ahla yang sedang baik ragam. Ayyash pula keluar berjalan dengan sepupu sejak pagi. Anak-anak soleh dan bijak syukur alhamdulillah. Dan pastinya ditemani jua si kecil yang sangat ditunggu-tunggu untuk lahir ke dunia. Cant wait to see u, dear!.

Syukur atas rezeki usia untuk melalui hari ulangtahun ke4. Rasa ingin jadi pengantin baru selalu, oh masa, kenapa begitu pantas kurasakan berlalu.

Dan syukur dapat luangkan masa hari ini sebelum suami keluar bermesyuarat jam 4 petang tadi. Rasanya 3 tahun sebelum ini, hari anniversary atau birthday sama ada berkuliah di kampus atau kerja di sekolah. Huhu. Tapi tak apa, bukan itu yang jadi keutamaan. Yang penting pastinya moga dikurnia sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga yang dibina.

Dalam dunia poligami yang sangat unik dan istimewa anugerah Allah untuk diri insan, ada sangat banyak perkara yang perlu diperhalusi. Banyak masanya, diri yang khilaf ini terlepas pandang. Moga-moga usia yang kian meningkat membantu diri ini untuk lebih matang dan bijaksana mengurus diri dan hati ini ameen ya Robb.

Tulisan seterusnya, mungkin sesuai dibaca oleh mereka yang berpoligami sebagai perkongsian bersama.

Antara perkara yang saya muhasabahkan untuk diri sendiri adalah, adab bersembang dan berbicara dengan madu (muhasabahkan dan pastinya banyak yang perlu diperbaiki). Banyak masanya, kita perlu belajar meletakkan had dalam percakapan. Kadang-kadang tanpa disedari dan tanpa niat, kita menyinggung hati madu yang dikasihi.

Antaranya, menyebut-nyebut inti perbualan dengan suami kepada madu. Ada kemungkinan, suami belum sempat, terlupa atau merasa tiada keperluan untuk bercerita kepada madu sebagaimana apa yang suami ceritakan kepada kita. Lantas, madu yang mengetahuinya daripada kita akan cemburu ( bukan sengaja ingin cemburu, namun kita maklum syaitan akan sangat pantas merasuk dan menggoda). Begitu juga sebaliknya, mungkin ada yang suami ceritakan pada madu, dan tidak kepada kita.

Saya memuhasabah, agar tidak perlu banyak bersembang tentang suami ( tanpa keperluan, kalau ada keperluan lain cerita. Jangan generalise). Usah sengaja menyebut “ abang beritahu…” “abang ada kata…” etc etc.

Malah, jika kita dapat mengagak bahawa madu belum mengetahui tentang apa yang kita tahu, cukup berikan ruang biar suami sendiri yang beritahu agar madu tidak merasa tersisih. Tidak perlu kita jadi ‘orang tengah’ yang menyampaikan, apatah lagi jika berita itu tidak bersifat urgent atau kecemasan.

Ataupun, jika madu bercerita kepada kita apa yang kita sudah maklumi, cukup dengan hanya mengiyakan dan meraikan apa yang diberitahu tanpa perlu memberitahu bahawa seolah-olah kita sudah tahu.

Mungkin ia nampak hanya perkara-perkara remeh, tapi saya percaya orang yang berpoligami pasti tahu apa impak perkara yang dianggap ‘remeh temeh’ ini kan?. Hehe. Sepertimana mulut boleh ucap “ saya tak kisah pun….(tentang sesuatu)” tapi hakikatnya bila ia berlaku, sebenarnya kisah...

Antara lain juga, kita mungkin tak sedar ralit menyebut  tentang apa yang pernah kita lalui dengan suami. Mungkin kita pernah mengembara, melancong atau tinggal di mana-mana di luar atau di dalam negara, yang sering kita sebut mungkin mengundang cemburu madu yang tiada kesempatan untuk melalui masa-masa sebegitu atau pergi ke tempat itu. Alangkah baik, cukup ia menjadi privasi antara kita suami isteri. Mudah untuk kita berkata, tidak perlulah cemburu, tapi hati wanita pasti akan lebih memahami hati wanita yang lain. Ada masa turun, ada masa naik.  Biarlah, Allah Maha Tahu niat kita.

Namun, sebagai madu, tetaplah kena belajar untuk cuba berlapang dada, bersangka baik bahawa madu tidak berniat menyinggung namun hanya sekadar berkongsi pengalaman mahupun ibrah daripada apa yang dibualkan. Tidak ada guna berfikir-fikir negatif tentang madu, sebaliknya istighfar dan kembali membuka hati agar memandang semua kebaikannya yang banyak. Sebab madu bukanlah sengaja berniat tidak baik, namun sebagai manusia biasa pasti terlepas pandang atau merasa ia bukan suatu yang sensitif.

“ Habis tu, nak berbual apa dengan madu??”
Banyak yang boleh dibualkan. Tentang anak-anak. Tentang kain baju, cuaca panas hujan hihi. Tentang tips dan info-info bermanfaat. Bukan perbualan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih, siapa yang kurang.

Bantu diri sendiri untuk menjadi isteri yang solehah, dan bantu suami untuk jadi suami yang baik. Suami pasti akan sangat menghargai isteri yang menyenangkan dan tidak sengaja ‘mengusahakan’ perkara-perkara yang tidak perlu yang boleh mengundang suasana negatif.

Apa yang saya coretkan pada kali ini lebih saya tujukan kepada mereka yang bergelar isteri kedua (atau ketiga, atau keempat). Kenapa? Kerana secara peribadi, saya rasakan isteri pertama lebih ‘berhak’ mungkin jika ingin bercerita kerana mereka lebih lama bersama suami, lebih dahulu menjadi isteri,  dan perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah sekian lama menjadi satu-satunya isteri. Sebagai isteri yang hadir kemudian, kena banyakkan bersabar… ( ini yang sukar). 

Meskipun dalam agama, tiada yang berbeza antara isteri biar di status nombor berapa sekalipun namun hakikat kehidupan di dunia, kita tetap kena terima sentimen yang sebenarnya tetap wujud.
Tiada yang benar-benar adil untuk kita di dunia, moga Allah kurniakan kita kebaikan di akhirat yang kekal abadi.

Muhasabah diriku si pendosa.
Yang sering khilaf.
Dan akan terus khilaf.



Ummu Ayyash
11.08.2017













0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat