Wednesday, September 20, 2017

Yang dinanti :)

Sepanjang perjalanan pulang dari membuat checkup bulanan, senyuman tidak lekang dari bibir setelah melihat hasil scan uri yang sebelum ini dikesan berada di bawah, sudah pun kembali di tempat yang sepatutnya. Syukur , gembira dan kena terus berdoa. Setiap pengalaman mengandung dan melahirkan pastinya berbeza-beza.

'Abang tau tak masa anak sulung, saya doa nak anak lelaki. Alhamdulillah Allah rezekikan...' saya bercerita, saja mengisi masa dalam kereta.

Masa anak kedua nak sangat-sangat anak perempuan. Ingat lagi masa scan mula-mula doc kata lelaki, tapi alhamdulillah scan bulan seterusnya doc kata perempuan. Happy sangat. Orang kata seronoknya dah ada sepasang!' Saya teruja. Masih bercerita meluahkan apa yang di dalam hati.

'Anak ketiga ni alhamdulillah tak kisah dah. Cuma ada la doa juga nak lelaki pulak hehe. Orang dulu-dulu kata, silang bunga. Tapi tadi doktor kata perempuan' saya gelak. Bersahaja, tidak serius dengan apa yang diutarakan.

Suami diam tidak segera menyambut. Hanya selepas beberapa minit suami bersuara " Abang tak pernah doa tentang jantina anak. Yang penting doakan kebaikan dan kesihatan dia..Apa yang kita nak tak semestinya baik untuk kita.."

Saya tersentak. 

" Alaa, bukannya tak bersyukur, bang. Biasalah manusia kan ada keinginan, apa yang tak menyalahi syarak, kita doa lah. Tapi mestilah doa juga untuk kesihatan anak. Tapi dapat anak jantina apa pun, tak berkurang rasa gembira dan syukur.." sang isteri ni 'membela diri'. 

Perbualan berlanjutan, cerita tentang seorang kawannya disebut lagi, saya mengiyakan walaupun sebenarnya sudah beberapa kali cerita yang sama singgah ke pendengaran ini. 

" Hmm, Allah nak uji tetap uji kan abang..."

Saya mengalih topik. Tak selesa ingin meneruskan.

Pulang ke rumah, dua anakanda sudah menunggu di pintu. Senyuman yang menyambut memberi sejuta kebahagiaan yang sukar diungkap. Gelak tawa dan gurau sang bijak soleh solehah yang dirindui walaupun baru sekejap ditinggalkan. Entah kenapa tiba-tiba, apa yang dibincangkan dalam kereta tadi cukup mengusik hati. Terasa benarnya apa yang dinasihatkan suami. 

Ada orang berbelas tahun menunggu cahaya mata.
Malah, ada orang yang masih menanti jodohnya siapa.

Kita? Pantas dan tegarkah masih mengatur apa yang sudah direzekikan?

" Maafkan mama sayang. Biarpun memang mama tidak serius memaksudkannya dan hanya bergurau namun mama tersilap dalam gurauan yang tidak sepatutnya.." permata hati yang kian membesar di dalam rahim saya usap.

" Mama tak sabar nak jumpa awak, sayang!"

Doakan agar dipermudahkan dan dikurniakan kebaikan untuk cahaya mata ke-8 keluarga kami ini. Ameen ya Robb.

Ummu Ayyash
20.09.2017
4.15PM


 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat