Friday, January 25, 2013

Konvensyen Fiqh Wanita & Islam 2013

Assalamualaikum, apa khabar semua :)



Alhamdulillah, konvensyen Fiqh Wanita & Islam adalah konvensyen yang kedua sempat saya hadiri selepas konvensyen Fiqh Ummah pada tahun lepas. Kali ini diadakan di MAEPS Serdang, lebih dekat dengan kampus. Subhanallah, banyak sungguh ilmu & input yang diperoleh dengan izinNya jua. Paling best, dapat mendengar pengisian yang disampaikan oleh para asatizah.

Hari pertama pembentangan pertama dimulakan oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman dengan tajuk Wanita Solehah Pendamai Dunia. Antara point adalah perbezaan layanan dan tanggapan terhadap wanita semasa zaman jahiliyah dan setelah kedatangan Islam. Wanita akan dihalau keluar daripada rumah apabila haid, tidak layak mendapat perwarisan, tidak layak memberi pandangan, malah wanita boleh diperduakan tanpa sebarang tanggungjawab dan ikatan. Namun setelah datangnya Islam, wanita dijadikan persis mutiara, dimuliakan dan diletakkan di tempat yang selayaknya. Subhanallah, beruntungnya bergelar wanita muslimah. Seterusnya bagaimana ciri-ciri seorang wanita yang layak digelar solehah. Tanggungjawab pada suami, anak-anak, kejiranan, kerjaya, tempat kerja dan  masyarakat. Tertarik juga mengenai solehah seorang wanita pada kejiranan, iaitu apabila kehadirannya disenangi oleh masyarakat, untuk membantu menyelesaikan masalah dan sentiasa menjaga diri daripada perbuatan yang tidak elok. Kita? Agak-agak orang suka atau tidak dengan kehadiran kita di kawasan kejiranan kita :)

Seterusnya sidang panel pertama tentang Kedudukan Wanita dalam Islam : Antara Liberal & Ekstrim, oleh Dr Mohd Sukki Othman dan Dr Zahazan Mohamed. Antara yang diceritakan juga adalah tentang bagaimana kedudukan wanita sebelum dan selepas kedatangan Islam.

Selepas sesi soal jawab pembentangan dan sidang panel (yang menggunakan sistem SMS) adalah slot istimewa bersama pelakon Ketika Cinta Bertasbih, Oki Setiana Dewi. Terharu melihat bagaimana Oki memulakan hijrah untuk berhijab yang datang daripada keinginan sendiri bukannya dipaksa. Berbeza dengan kita yang sedari kecil disuruh untuk berhijab, apatah lagi orang di sekeliling kita juga berhijab, pastinya bukan sesuatu yang sukar untuk kita lakukan.




Waktu rehat, orang ramai mula membanjiri surau. Fuh, memang ramai dan suraunya tidak mampu untuk menampung jumlah peserta yang ramai. Sehingga ada yang solat di atas rumput. Pemandangan yang sangat menyentuh jiwa. Alhamdulillah, mujur saya dan kawan-kawan telah mengambil inisiatif untuk berwudhu' lebih awal sebelum masuk waktu, kalau tidak jenuh juga hendak beratur panjang :)

Pembentangan kedua dimulakan oleh Prof Dr Muhaya yang very inspiring! Dengan tajuk Rumahtangga dan Kerjaya : Celik Mata & Hati. Pesan Prof, tamaklah dalam dua perkara iaitu keampunan Allah dan mencari ilmu. Jika kita mencari syurga akhirat insya Allah syurga dunia pasti dalam genggaman. Fikiran yang positif akan menghasilkan emosi yang positif. Emosi yang positif akan menghasilkan tindakan yang positif. Tindakan yang positif akan melahirkan dunia luar yang positif juga. Subhanallah, let's be positif dear. Oh ye, satu lagi pesanan berharga daripada Prof, janganlah mencari kebahagiaan dalam rumahtangga tetapi bawalah kebahagiaan itu ke dalam rumahtangga yang ingin dibina. :)

Sidang panel kedua diteruskan dengan tajuk Wanita Jangan Teraniaya : Celik Undang-Undang Keluarga oleh Dr  Mohd Naim Hj Mokhtar. Alamak, tajuk undang-undang, memang agak menguji iman apatah lagi di waktu yang sangat 'ideal'. Tapi apapun, carilah ilmu, supaya kita tidak teraniaya.Antara penganiayaan yang biasa berlaku ke atas wanita adalah fizikal, psikologi, seksual, sosial dan kewangan. Saya pernah juga punya pengalaman ditanya dan mendengar wanita mengadu mengenai layanan tidak baik suami mereka. Hanya mampu mendengar almaklumlah belum bersuami, bimbang juga hanya tahu bercakap tapi tak merasa. Tapi punca utama, pastinya kerana kurangnya ilmu dalam bidang undang-undang Islam ini sendiri. Seterusnya adalah Pengamatan Prinsip dan Disiplin Kewanitaan Dalam Surah An Nur oleh Dr Sofiah Samsudin. 

Semasa sesi soal jawab pembentangan dan sidang panel, kami terpaksa keluar awal memandangkan ada urusan yang perlu diselesaikan di kampus. Tapi alhamdulillah, kami pulang dengan perasaan " Tak sabarnya tunggu esok!"

Manusia merancang tetapi perancangan Allah pastinya yang terbaik, rupanya ada mesyuarat perlu dihadiri sekitar jam 9-11pagi. Dengan berat hati terpaksa meninggalkan dewan semasa sesi bersama isteri para asatizah MURSHID. Sempat juga mendengar perkongsian daripada Ustazah Noraslina Jusin, Dr Nazhatul Muna dan Zawjah Ustaz Zamri (alamak, terlupa namanya). Ustazah Noraslina Jusin @ K.Ina berkongsi mengenai alhamdulillah, kesyukuran yang perlu sentiasa kita ucapkan atas segala nikmat yang telah diberikan. K.Muna pula berpesan untuk para isteri " Jadilah best friend kepada suami anda" :).

Dan terlepas part yang ditunggu-tunggu iaitu slot bersama Ustazah Norhafizah Musa mengenai kesaksamaan gender. Dan terlepas juga  slot bersama Ustaz Hasrizal ( serikandi sahabat) dan Ustaz Pahrol Juoi ( bukan sekadar aku terima nikahnya) . Sayangnya. Tetapi, belajar untuk positif dan redha :).

Semasa sesi bersama Dr  Harlina Siraj dengan tajuk Sihat Diri Keluarga, beliau banyak menekankan aspek kesihatan holistik iaitu menyeluruh. Kesihatan daripada segi emosi, mental, fizikal, spiritual dan reproduksi. Selain penekanan daripada segi kerohanian, beliau juga membentangkan penyakit fizikal yang biasa dihadapi oleh wanita. Seram sejuk juga melihat gambar-gambar pesakit barah yang ditunjukkan. Besarnya ujian yang Allah berikan kepada mereka, jika mereka redha pastinya syurga adalah ganjaran yang menanti.

Seterusnya setelah selesai sesi sidang panel ke-3, adalah slot yang agak sensitif. Forum Monogami & Poligami : Antara Kemahuan, Keperluan dan Sunnah. Panelnya adalah Ustazah Fatimah Syarha, Kapten Hafiz Firdaus dan Ustaz Khairuddin Aman Razali. Saya sudah biasa mengikuti perkembangan Ustazah Fatimah Syarha, malah memiliki kebanyakan daripada buku-bukunya, biasa juga membaca blog zawjah Kapten Hafiz Firdaus dan pernah mengikuti pengajian Fiqh Manhaji bersama Ustaz Khairuddin di Darul Fuqaha' pada tahun lepas. Dan moderatornya kakak yang baik, aktivis Ameerah yang aktif, kak Nurul. Subhanallah, saya sangat menghormati mereka semua sebagai murabbi. Meskipun kelihatannya seperti antara mereka memiliki sedikit perbezaan pandangan, namun ia adalah sebuah forum ilmiah, bukan debat untuk menentukan siapa menang, siapa kalah. Bukanlah Islam itu agama yang indah dan penuh toleransi? :)




Alhamdulillah, selesai k-fiqh Wanita & Islam 2013. Sesungguhnya ini hanyalah sebuah perkongsian biasa daripada insan dhaif ini. Semoga ada manfaatnya buat yang membaca, menulis sekadar mampu untuk membenihkan saham akhirat.

p/s : Esok insya Allah akan ke KUIS untuk Rally Tarbawi :)








Saturday, January 19, 2013

Sebuah kehidupan :)


Bismillahirahmanirahim

2012 telahpun berlalu, membawa pergi pelbagai cerita. Dan kini 2013 bertamu, bakal mencoret pelbagai cerita lagi. Benarlah hidup ini warna warni, ujian dan cabaran yang hadir kadang tak pernah terjangkau dalam minda. Mungkin mimpi pun tidak pernah.



Walaupun baru beberapa minggu 2013 muncul, terasa pelbagai perkara telah berlaku, ujian manifestasi cinta hamba kepada Allah Taala. Ada yang buat senyum tawa menterjemah rasa hati yang bahagia, ada gusar yang buat hati terganggu, ada tangis yang mewakilkan kesedihan yang dirasa, tidak lupa kesyukuran atas nikmat yang tidak mampu lagi untuk didustakan.

Apatah lagi tahun 2013 ini juga mencabar diri untuk lebih nekad bekerja, melunaskan tanggungjawab kepimpinan yang telah ditaklifkan. Semoga amanah ini tidak jadi satu kehinaan di sana kelak.Mengisi sebuah kemenangan, semoga sentiasa diberikan petunjuk dan hidayahNya.Dalam menerajui kepimpinan, pesan Dr Maimon dalam kuliah pagi tadi : " Letakkan Allah di tempat yang pertama" 

Ya Allah, janganlah Engkau hukum aku dengan sebab (pujian) yg mereka ucapkan,dan ampunilah aku dari (perbuatan dosa) yang tidak mereka ketahui (dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yg mereka sangka)"

(HR. Bukhari)

Ahlan Wasahlan 2013, semoga limpahan kasih sayangNya sentiasa bersama kita semua :)

Tuesday, December 4, 2012

(BICARA SELEBRITI) Puisi Ustaz Azhar Idrus : Maafkan Kami

MAAFKAN KAMI GAZA & SYRIA - UAI

Derita kita,
Derita kita menanti majunya negara,
Derita kita kerana jualan di kedai yang kurang memberangsangkan,
Derita kita belum dapat bantuan subsidi,
Derita kita kerana anak tidak lulus periksa.

Derita mereka,
Apabila anak-anak mereka menjadi kubu,
Daripada ditembusi oleh peluru-peluru Yahudi,
Yang merobek kulit mengeluarkan isi perut anak-anak kecil yang tidak berdosa,
Itulah derita para ibu,
Yang berada di bumi Gaza.

Para ibu di negara kita derita,
Belum sempat membeli gelang baru,
Belum sempat membeli rantai baru,
Belum sempat menempah siap pakaian baru,
Samakah kita dengan mereka.

Bumi Gaza 2012,
Menjadi tontonan cerita perang,
Dalam televisyen setiap umat islam,
Yang jumlahnya berbilion-bilion.

Wahai Gaza,
Kami saudara kamu,
Seagama denganmu,
Kami lelaki-lelaki sekuatmu juga.

Kami memohon ampun kepadamu wahai Gaza,
Kami memohon ampun kepadamu wahai Syria,
Kerana kami tidak menghantar kereta-kereta kebal kami,
Yang hanya kami gunakan pada Hari Kemerdekaan.

Minta maaf wahai rakyat Palestin,Syria,
Kami ada tentera,
Tetapi kami tidak mampu pergi kepada kamu.

Mohon kemaafan banyak-banyak,
Kami hanya menjadi penonton,
Di mana darah anak-anakmu isteri-isterimu,
Jatuh titisan demi titisan di atas bumi sangat suci.

Wahai Gaza,
Walaupun kami tidak dapat pergi dengan jasad,
Terimakanlah juga roh kami untuk bersemadi bersama para syuhadamu.

Wahai Syria,
Walaupun kami tidak sempat untuk berperang bersamamu,
Terimalah nyawa kami untuk terus menguatkan jasad-jasadmu,
Melawan segala yang jadi musuh Allah, al yahudu wal basyar.

Wahai Gaza,
Wahai Palestin,
Wahai Syria,
Maafkanlah kami,
Terimakanlah doa daripada kami,
Dan sudilah kiranya roh-roh kami bersemadi bersama jasad-jasadmu.

UAI
Bicara Selebriti ke-6
1 Disember 2012
Stadium Sultan Muhammad ke-4





http://www.youtube.com/watch?v=v5m7b7uFlyk&feature=youtu.be

Monday, November 19, 2012

Nasihat yang menggetarkan hati..

Bacalah dengan mata hatimu...

NASIHAT AS SYAHID SHEIKH AHMAD YASSIN 1938-2004




Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepadaALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mu1ia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.


Wahai para pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Aku ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.


Wahai puteriku aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian. 

Kepada semua, aku ingin kamu bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama danilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kamu untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.


Biasakan diri kamu agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kamu. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.

Friday, November 2, 2012

Kisah Persahabatan Agung




Persahabatan, adalah sesuatu yang sangat istimewa. Daripadanya lahir pelbagai ceritera yang menggamit perhatian. Kisah persahabatan Rasulullah SAW dan Abu Bakr. Kisah persahabatan yang agung dalam sirah baginda Rasulullah SAW.

Dalam Perang Tabuk misalnya, Rasulullah S.A.W. telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah. Maka datanglah Saiyidina Abu Bakr R.A. membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saiyidina Abu Bakar R.A., bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah S.A.W. menjadi terkejut lalu berkata kepadanya:

"Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua hanta bendamu kau korbankan apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?

Pertanyaan Rasulullah S.A.W. itu dijawab oleh Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (18) وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَى (21)

"Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)". ayat 18-21 Surah al-Lail.


Begitulah jiwa seorang sahabat yang ulung dan masyhur namanya dalam lipatan sejarah dunia. Kesolehannya mewangi sehingga ke hari ini, menusuk jiwa-jiwa yang cintakan kepada kebaikan. Tidak hairanlah Rasulullah mengiktirafnya dengan menuturkan sekiranya iman seluruh ummat ditimbang bersama iman Saiyidina Abu Bakr R.A. maka berat lagi iman Saiyidina Abu Bakr R.A. 

Subhanallah, wajarlah seorang sahabat yang soleh itu letaknya di sisi seorang insan yang agung iaitu Rasulullah SAW. Aku tertanya-tanya masihkan ada sahabat persis Abu Bakr lewat di penghujung zaman ini?

Aku melihat pula diriku yang dhaif ini, mampukah aku mencontohi sifat mulia sahabat baginda Rasulullah SAW ini?

Aku tidak mampu menjadi seorang sahabat yang meniupkan semangat kepada sahabatku saban masa, kerana sering kali aku yang terlebih dahulu yang kehilangan semangat itu. Aku tidak mampu juga menjadi seorang sahabat yang sentiasa menenangkan hati sahabatku kerana kerap kali aku yang masih meraba-raba mencari secebis ketenangan. Aku tidak mampu juga menjadi penglipur khabar gembira, kerana seringkali kamu yang terlebih dahulu memberikan ku sejuta cerita bahagia.

Maafkan ku teman, biar apa pun kelemahanku, aku ingin kau tahu, ku punya impian menjejak syurga bergandingan denganmu. Terima kasih teman :)

Wednesday, October 31, 2012

Life is beautiful in its own way.

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, praise be to Allah, the Almighty. He makes me strong when I feel week. He gives me guidance when I feel lost. He always been here, when I feel like no one is supporting me.


Just to share few simple things. Simple but not easy I guess. And obviously, I am trying my best to write in English language. I am sorry in advance for much grammatical error etc. Hehee. I am really sorry okay :)

I've gone through a few adaptive stages which sometimes really drain me out. But, I just quite sure that human always adapt. Making others people happy is fun, but leaving my own feeling is seriously hard. I am not that strong, but always realize that I’ve Allah, who can lend me strength. Alhamdulillah.

Today I came across a quote. “As we grow up, we learn that even the one person that wasn't supposed to ever let us down, probably will. You'll have your heart broken and you'll break others' hearts. You'll fight with your best friend or maybe even fall in love with them, and you'll cry because time is flying by. So take too many pictures, laugh too much, forgive freely, and love like you've never been hurt. Life comes with no guarantees, no time outs, no second chances”


 


I admit that life is not always a bed of roses but it is beautiful in its own way.  A wealthy person may feel beautiful for the money they gain, a healthy person may feel beautiful for the good health they own and every people may feel beautiful in their own perspective. Unfortunately, they feel the beautiful in a very limited time. But only religious person can feel the beautiful forever, the calmness and happiness forever until life after dead.

In this life, I learn that we should not get influenced with physical aspect too much. Or, we are going to stay unsatisfied, never ready to say ‘alhamdulillah’ for too many things that we already get before. Don't go for looks, because looks can deceive. Don't go for wealth, even that will fade away from you. Don’t go for someone who makes you smile because it takes only a smile. But go for the only one who creates you, He always know the best for you.

 

The happiest people don't necessarily have the best of everything in this world, they just make nice the most of everything that comes along their way. Yet, writing is easy, but to make it true in reality might be hard.

 




Last, but not least, when life gives you a hundred reasons to cry, show life that you have a thousand reasons to smile. Thank you Allah, for a very lovely family. Thank you Allah for a very kind friends. Thank you Allah for everything and everyone!


Thank you ALLAH ^___^

 

Sincere,

Wardah Maqsurah

11.05pm


Thursday, October 11, 2012

Ibrah daripada sirah : KISAH KA'AB BIN MALIK DIHUKUM RASULULLAH


Bismillahirahmanirahim..


Sejak akhir-akhir ini, sentiasa disua dengan kisah Ka'ab bin Malik ini. Dalam usrah, diceritakan oleh sahabat seusrah. Berturut-turut beberapa hari. Lalu hari ini terjumpa pula artikel ini. Seakan diberi peringatan oleh Allah Taala..

Penyesalan Ka'ab bin Malik ketika dihukum Rasulullah, kisah yang boleh mengalirkan air mata..

Bayangkan jika orang yang dekat dengan kita dan orang yang kita sayangi memulaukan kita dan enggan bercakap dengan kita..pasti akan rasa terseksa jiwa.

Inikan pula Ka'ab bin Malik, yang diuji dengan keengganan Rasulullah SAW untuk bercakap dengannya kerana tarbiyah Rasulullah kepadanya akibat kesilapan tidak mengikuti perang terakhir bersama Rasulullah. Sedangkan dia tidak pernah ketinggalan mengikuti siri-siri peperangan sebelumnya. Hanya kerana hartanya yang kian melimpah ketika itu.

Hanya Allah yang tahu tekanan rasa yang dihadapinya.

Sahabat-sahabat, hayatilah kisah ini. Ambillah ibrah daripada kisah Ka'ab bin Malik yang boleh mengalirkan air matamu. Ketika lidah mula mengatur alasan demi alasan, bacalah kisah penuh ibrah ini. Ambillah sedikit ruang masamu untuk meneladani sirah. Bacalah dengan mata hati yang ikhlas dan sakinah.

Di mana tabukmu?

Siapapun dipecat, siapapun dihukum, siapapun dikenakan tindakan serta merta pasti akan mengalami kejutan yang luar biasa. Fitrah manusia lahirnya pasti akan merasa marah bukan kepalang, dibayangi kesumat yang mencengkam apabila menghadapi tindakan sedemikian. Namun, bagi mereka yang jiwanya kental, niatnya berjuang semata-mata kerana Allah dan Rasul, pastilah tidak merasa sempit dada kerana jalan perjuangan masih panjang. Hukuman bukanlah bererti perjuangan terhenti ditengah jalan, tetapi harus terus konsisten berada di lapangan yang diredhai Allah dan RasulNya.

Itulah Ka'ab bin Malik, biarpun dihukum kerana tidak hadir di medan perang yang tertangguh di Tabuk. Ia bukan menjadi peluang untuk berpaling dari terus berada di dalam nakhoda yang diketuai oleh Rasulullah S.A.W. Peristiwa ini berlaku ketika terdapat ramai puak munafiqin yang tidak menyertai gerakan jihad ke Tabuk. Mereka bukan sahaja gagal menyahut seruan Nabi, bahkan cuba mempengaruhi orang lain supaya menguzurkan diri. Hal ini dirakamkan di dalam surah at Taubah ayat 81 :


"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad); Api neraka Jahannam lebih panas membakar, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami."

Orang munafik berkata, "Janganlah berpergian dalam keadaan panas." 

Lantaran itu Baginda menjawab, "Api neraka Jahannam lebih panas membakar."

Ketika orang-orang munafik menguzurkan diri dari peperangan tersebut, mereka langsung tidak dikenakan tindakan oleh Rasulullah S.A.W. Tetapi, ketika tiga orang Sahabat Nabi berhadapan dengan Baginda, mereka langsung dikenakan hukuman dari Allah iaitu pemulauan untuk beberapa tempoh yang ditentukanNya. Di antara orang-orang beriman yang tidak menyertai tentera Muslimin ke Tabuk ialah Murarah bin Rabi', Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik.

Murarah bin Rabi' tidak bersama-sama pasukan Nabi Muhammad S.A.W kerana hasil tanaman tamar dikebunnya sedang masak dan terpaksa dikutip. Lalu beliau menyangka penyertaannya dalam lain-lain peperangan sebelum ini, dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang seterusnya bakal dihadapi oleh kaum Muslimin.

Manakala Hilal bin Umayyah pula sibuk mendampingi kaum keluarganya yang baharu pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Seperti Murarah, Hilal juga menyangka penyertaannya di dalam beberapa peperangan terdahulu bersama Rasulullah S.A.W, mengizinkan sebab keuzurannya.

Ka'ab bin Malik pula saat itu sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya, kebunnya subur, unta-untanya beranak-pinak. Hal itu menyebabkan Ka'ab telah tertinggal kebelakang dari turut bersama pasukan Rasulullah S.A.W di Tabuk. Hal ini disedari oleh Rasulullah apabila Baginda bertanya kepada Para Sahabat, di mana Ka'ab bin Malik? Menyedari reaksi Rasulullah S.A.W tertanya-tanya, Para Sahabat meminta Ka'ab menemui Baginda sejurus sampai ke Madinah.

"Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?", tanya Rasulullah S.A.W kepada Ka'ab.

Lantas Ka'ab menjawab, "Ya RasulAllah S.A.W, kalau orang lain sudah tentu aku memberikan alasan-alasan yang munasabah kerana Allah mengurniakanku kefasihan. Tetapi kepada Baginda Rasulullah, walaupun aku dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang mampu memuaskan hati, sudah tentu Allah akan memurkaiku. Oleh itu aku bercakap benar. Demi Allah! Aku tiada sebarang alasan pun sedangkan pada waktu itu hidupku mewah dan jauh dari sebarang keuzuran." 

Kesalahan Ka'ab bin Malik, Murarah bin Rabi' dan Hilal bi Umayyah tidaklah begitu serius jika hendak dibandingkan dengan seruan-seruan supaya tiadanya wala' dalam jamaah, ataupun menubuhkan pasukan lain untuk menyaingi pasukan Rasulullah S.A.W. Lagi pula pertempuran sebenarnya tidak berlaku di Tabuk, bahkan pasukan Rasulullah S.A.W kembali ke Madinah dalam keadaan tidak berperang. Tetapi mereka tidak berdolak-dalih dan redha terhadap hukuman yang dikenakan oleh Rasulullah. Mereka bertiga dipulaukan untuk beberapa tempoh yang ditentukan. Tidak ada seorang pun yang boleh bergaul dengan mereka bertiga, kerana itu arahan Rasulullah S.A.W.

Ketika itu dunia yang begitu luas menjadi sempit kepada mereka bertiga akibat hukuman ini. Hal ini lebih membimbangkan lagi jika di antara mereka menemui ajal, pastilah Nabi Muhammad S.A.W tidak akan mengimami solat jenazah mereka. Sebaliknya pula jika Baginda S.A.W wafat, sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas mereka berterusan sehingga ke akhir hayat.

Kekhuatiran itu menyebabkan Ka'ab bin Malik sering memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad S.A.W sambil memberikan salam. Ka'ab menunggu-nunggu jawapan Baginda S.A.W dengan penuh penyesalan dan harapan, namun kerapkali pertemuannya membuahkan kehampaan. Pernah satu ketika Ka'ab memanjat pagar kebun sepupunya, Qatadah. Ka'ab mengucapkan salam kepadanya tetapi tidak berjawab. Lantaran itu Ka'ab menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Ka'ab bertanya, "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah dan RasulNya?" 

Soalan itu diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiga baharulah Qatadah menjawab, "Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui." 

Mendengar jawapannya itu Ka'ab menangis lalu meninggalkannya.

Di suatu sudut lain ketika Ka'ab dikenakan pemulauan tersebut, banyak suara yang membelanya, banyak suara empati tentang hukumannya, bahkan ada juga suara yang memujuk dan mengajaknya agar berpaling dari kumpulan Rasulullah S.A.W. Pujukan itu berupa tawaran-tawaran jawatan, jabatan, kedudukan, kemuliaan yang mungkin akan diberikan oleh seorang raja dari Ghassan yang beragama Nasrani dari negeri Syam. Ini kerana kewibawaan yang dimiliki oleh Ka'ab dianggap memiliki daya tarikan yang cukup kuat, pengaruh yang cukup hebat, yang mampu memberikan kepentingan apapun yang diinginkan oleh pihak lain terhadapnya.

Itulah apa yang dialami oleh Ka'ab bin Malik setelah berita pemulauannya sampai ke pengetahuan Raja Ghassan. Raja Ghassan kemudiannya menyerahkan sepucuk surat yang berbunyi, "Kami telah mengetahui penganiayaan yang kamu perolehi dari pemimpinmu (Nabi Muhammad). Allah tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Ada baiknya kamu menyertai kami, dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu." 

Luar biasa perhatian Raja Ghassan kepada Ka’ab bin Malik. Ketika posisi Ka'ab berada dalam keadaan kritikal kerana dihukum oleh Nabi, seorang Raja yang punya kerajaan, punya harta dan takhta memberikan perhatian khusus kepadanya. Pada saat semua Sahabat tidak peduli kepada Ka'ab, ternyata masih ada orang yang ingin menyapanya, bahkan ia adalah seorang Raja.

Mujurlah yang mendapat surat itu Ka'ab bin Malik, seorang mujahid yang hebat. Beliau bukan orang yang mudah dipujuk rayu. Beliau bukan orang yang mudah diajak melakukan bangkangan terhadap gerakan yang dipimpin Rasulullah S.A.W. 


Tidak ada ungkapan pembandingan yang keluar dari mulut Ka’ab seperti, "Orang luar pula yang memberikan perhatian kepada nasibku. Sahabat-sahabatku, jiran tetanggaku, orang yang satu jama’ah denganku, langsung tidak peduli dengan diriku".

Tidak ada garis kalimat seperti itu yang tercetus dari mulut Ka’ab bin Malik. Beliau menyedari, surat Raja Ghassan itu adalah ujian berikutnya yang harus dihadapi dengan sepenuh kesedaran dan kefahaman. Adapun matlamat dunia dan akhirat yang diinginkannya adalah keredhaan Allah dan RasulNya. Bukan pengakuan orang, bukan apresiasi Raja Ghassan. Surat Raja Ghassan itu benar-benar merupakan sebuah ujian keikhlasan yang datang tepat pada waktunya, dan Ka’ab mampu melalui ujian ini dengan sempurna.

Ka'ab bin Malik memasukkan surat Raja Ghassan itu ke dalam relung api dan membakarnya. Lalu Ka'ab terus berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W sambil berkata, "Ya RasulAllah S.A.W, hampir-hampir aku tergelincir ke dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat, sehinggakan orang-orang kafir menyangka aku akan murtad."

Mendengar keluhan Ka'ab bin Malik itu, Rasulullah S.A.W tetap berdiam, bahkan tidak memberi respon ke atas apa yang berlaku kepada Ka'ab.

Selepas 40 hari pemulauan itu berjalan, dan harapan agar berita berakhirnya masa hukuman ke atas tiga orang Sahabat Nabi segera diutuskan, seorang utusan Nabi Muhammad S.A.W mendatangi Ka'ab dengan membawa satu perintah baharu, iaitu perintah supaya ketiga-tiga orang Sahabat yang dipulau ini berjauhan dengan isteri. Utusan yang datang bukan utusan pengampunan, justeru menambahkan lagi hukuman berikutnya iaitu berpisah tempat tinggal dengan isteri. Hidup dirasakan seperti di dalam penjara, tanpa teman, tanpa anak dan isteri yang menemani.

Lengkap sudah kesunyian ini, ketiga-tiga Sahabat Nabi ini menjalani babak baharu dalam hukumannya. Mereka adalah mujahid sejati, mereka tidak memberontak dan menolak hukuman berikutnya. Kata Ka'ab yang akur dengan arahan ini kepada isterinya, "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orang tuamu sehingga Allah menentukan sesuatu hukuman lain bagiku." 


Justeru bersantai sahaja di rumah dan tidak bersama-sama kaum Muslimin ke medan perang bukanlah kesalahan yang ringan. Buktinya hukuman masih ditambah dan ditingkatkan.

Di antara tiga orang Sahabat yang dikenakan tindakan pemulauan ini, Hilal sahaja yang memiliki masalah yang berbeza kerana usianya yang sudah terlalu tua jika dibandingkan dengan Ka’ab dan Murarah. Lantarn itu, isteri Hilal bin Umaiyah datang menghadap Rasulullah S.A.W dan mengadu bahawa suaminya sudah tua dan tidak memiliki pembantu untuk merawatnya. Isterinya tidak sanggup membiarkan Hilal yang sudah tua itu menjalani kehidupan sendiri. Lantaran kebijaksanaan Baginda Nabi S.A.W, permintaan isteri Hilal bin Umaiyah diperkenankan.

Begitulah mulianya adab Para Sahabat. Bila arahan dikeluarkan oleh Nabi S.A.W, mereka mendengar dan taat. Ketika hukuman itu terasa memberatkan bagi orang seusia Hilal bin Umaiyah, isterinya pula mengusahakan keringanan bagi suaminya. Menghadap Nabi S.A.W dengan penuh akur terhadap arahan dan mengharapkan belas dari Baginda disebabkan kondisi suaminya itu. Itu semua merupakan hak yang diakui oleh Baginda Nabi S.A.W, dan ia bukan suatu keaiban dan kesalahan. Sesungguhnya ini adalah contoh interaksi yang sangat mulia, antara orang-orang beriman, yang sangat mencintai Allah dan RasulNya.

Pemulauan terhadap tiga orang Sahabat Baginda S.A.W berakhir sebaik sahaja terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit, "Ada berita gembira buat kamu wahai Ka'ab!" 

Sebaik sahaja mereka bertiga mendengar berita pengampunan itu, mereka masing-masing bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah. Seluruh Sahabat mengucapkan tahniah kepada mereka dan ketika itu wajah Baginda S.A.W berseri-seri dengan cahaya kegembiraan.


Inilah kesan tarbiyah dari peristiwa yang sangat mustahak diambil pengajarannya. Peristiwa menarik seperti ini hanya dapat kita saksikan dari generasi terbaik di zaman Baginda Nabi S.A.W. Ia memberikan pelajaran kepada kita semua, sekalipun pengajaran itu melalui kesilapan orang-orang soleh terdahulu. Ini kerana, jika generasi keemasan Islam tidak pernah ada orang bersalah, untouchable, maka kita tidak dapat mengambil ibrah dari kesilapan mereka.

Semua orang memiliki peluang melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang bersalah adalah yang bersedia mengakui kesalahan itu dan melakukan perbaikan. Salah satu usaha perbaikan itu adalah dengan jalan menerima hukuman, dan menjalaninya dengan sepenuh kesedaran dan kerelaan.




 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat