Sunday, May 29, 2016

JADI DIRI SENDIRI!


Oleh : Nur A’isyah Humaira binti Ismail / Majalah I Vol 164

Cuaca kian dingin, hujan yang sedari tadi hanya renyai-renyai kini mulai lebat. Sementara menemani si kecil yang sedang ralit bermain di ruang tamu, saya membelek beberapa buah buku yang telah lama dibeli namun belum dikhatamkan. Saya membaca beberapa jajaran kisah sirah yang membuktikan bahawa Saidatina ‘Aisyah menjadi wanita yang mewangi namanya biarpun tiada cahaya mata yang pernah tumbuh dalam rahimnya. Maryam r.a menjadi antara wanita terbaik, meskipun tidak dikurnia suami sebagai pelindung dalam hidupnya. Malah Asiah r.a menjadi wanita terpuji meskipun menjadi suri kepada seorang lelaki yang paling dilaknati Tuhan kerana keangkuhannya. Saya menginsafi, ternyata kita tidak perlu memiliki semua kesempurnaan pada pandangan manusia untuk menjadi seorang yang sempurna dalam mensyukuri nikmat Ilahi.

Kita sebenarnya telah cukup sempurna sebagai manusia ketika saatnya jiwa kita mampu mensyukuri setiap kurniaanNya. Meskipun sebagai manusia sebenarnya kita seringkali sukar merasa puas dengan apa yang ada lebih-lebih lagi jika jiwa kita tidak dikekang daripada keterlaluan dalam ‘mencemburui’ nikmat yang ada pada diri orang lain. Sedangkan kita tidak pernah tahu pergelutan dalam mujahadahnya sebelum dia akhirnya mencapai perkara yang kita cemburui secara negatif itu. Kita berhak cemburu, kerana itu fitrah yang hadir tanpa kita pinta. Namun berdoalah kepada Tuhan agar cemburu itu menjadi sesuatu yang positif, menambahbaik kekurangan diri dan memberi jalan apa yang kita tidak tahu.

SAYANGI DIRI SENDIRI

1 Bersyukur dan sentiasa bersyukur
Saya teringat satu status di laman mukabuku yang ditulis oleh sahabat saya, cukup ringkas namun mendalam dan berkesan di hati
“ Kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Orang lain pula percaya kehidupan kita lebih baik daripada mereka. Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu dalam kehidupan kita. Iaitu ; qanaah yakni merasa cukup”
Merasa cukup itulah sebenar-benar erti kesyukuran.
Percaya atau tidak, adakala kita merasa rumput di sana lebih hijau segar berbanding rumput di laman sendiri. Siapa tahu jika sebenarnya di sana bukan rumput yang memberi udara selain hanya rumput palsu ditampal pada tanah kontang agar tampak cantik semata.

2 Jadi hamba ALLAH yang terbaik!
Terbaik, dalam batas kemampuan diri yang ada tidak bermakna sempurna dan ‘terbaik’ pada mata insan lain yang memandang. Namun, ketika hati masih kuat meyakini bahawa Allah itu ada dan diri masih kuat melunasi semua kewajipan yang disuruh olehNya. Biarpun mungkin ketika itu kita sedang bermujahadah menghampar sejadah dan bersujud ketika sakit.
Terbaik bagi kita mungkin belum dikira terbaik pada insan lain, namun usah gundah duhai hati kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil, setiap secebis usaha dan rasa akan diperhitung tanpa dibanding-banding antara seorang dengan yang lain. Kerana itulah kita diingatkan agar sering risaukan diri sendiri, lebih daripada memandang kekurangan yang pada tingkah dan batang tubuh orang lain.

3 Menghargai diri sendiri
Percayalah, insan yang tidak mampu menghargai diri sendiri tidak akan mampu menghargai insan lain di sekelilingnya. Sedarilah wahai diri, Allah telah menciptakan kita dengan sangat indah dan bermakna. Sebagaimana kehadiran kita cukup dinanti oleh kedua ayah bonda suatu ketika dahulu. Dibelai dimanja, dikasihi dan dicintai tanpa syarat. Hanya sahaja bagaimana kita menghargai diri sendiri yang membezakan bagaimana diri kita sekarang, setelah meniti usia dewasa. Usah dibiarkan apa sekalipun yang meruntuhkan keyakinan dan merosak diri secara senyap dan berdikit.

4 Percaya bahawa orang di sekeliling juga menyayangi
Benar sekali bahawa menghargai diri sendiri adalah senjata paling utuh buat bekal kita melangkah. Namun dengan rasa dihargai dan percaya bahawa diri disayangi oleh orang sekeliling terutama insan kesayangan seperti suami dan anak-anak juga adalah sebenarnya salah satu kekuatan yang melonjakkan keyakinan diri dalam menempuhi hari yang mendatang.
Mereka juga manusia biasa, punyai kekurangan dan kelebihan tersendiri dalam mengekspresi cinta. Namun percayalah, selagi mereka sudi di sisi mereka sebenarnya sangat mengasihi.

5 Banyakkan memberi
Semakin banyak ‘memberi’ pada orang lain, tidaklah bererti kita akan semakin banyak kehilangan. Sedangkan dengan ‘memberi’ itu, kita sebenarnya sedang memberi pada diri sendiri berupa ‘pemberian’ pahala yang disimpan untuk diperhitung di akhirat kelak dan anugerah kepuasan dalam hati sebagai ganjaran di dunia. Itu adalah hadiah termahal pada diri kita, tanda kita benar-benar cinta dan kasih pada diri sendiri.
Mujahadah, adalah kata kunci untuk ingin memberi. Apatah lagi jika ia tidak selari dengan keinginan dan kehendak diri. 

4 Buat sesuatu untuk diri
Reward diri sendiri dan rasai kepuasannya. Jangan lupa untuk buat sesuatu untuk diri sendiri. Melayani keperluan dan kebebasan diri. Meskipun hanya berupa berjalan-jalan di tepi tasik melepaskan tekanan yang menghambat. Mahupun mencari masa untuk menenangkan diri. Percayalah, ia bukan masa yang sia-sia sebaliknya lima minit untuk diri boleh jadi telah mengecas semangat untuk terus berbakti dengan jiwa yang lapang dan bahagia. Kerana kita adalah manusia yang sarat dengan emosi dan limitasi.

JADI DIRI SENDIRI
Lirik lagu Kun Anta oleh Humood Al Khudher
Ketika ingin bersaing dengan mereka,
Aku telah meniru apa yang ada pada mereka
Lalu aku mula menjadi seperti orang lain, supaya aku boleh berbangga
Dan aku sangka jika aku lakukan seperti itu aku akan dapat kelebihan
Namun aku dapati yang aku perolehi hanyalah kerugian. Itulah yang nyata.
Tidak..Tidak...Kita tidak memerlukan harta, agar bertambah cantik.
Permata kita ada di sini, di dalam hati yang bersinar-sinar
Tidak..Tidak...
Kita bukan di terima orang lain dengan apa yang tidak ada.
Kita diterima adalah kerana perbuatan (akhlak) kita.
Itulah kecantikan kita. Yang sangat tinggi dan mulia
Jadilah diri kamu sendiri
Pasti akan bertambah lagi kecantikan yang sedia ada
Sungguh aku menerima mereka, dan aku tidak perlu meniru perwatakan mereka
Melainkan apa yang aku terima itu aku telah redha.
Aku akan menjadi diriku sendiri. Seperti diriku sepenuhnya. Inilah aku.
Sifat qanaah sudah cukup untuk ku. Itulah keyakinanku
Aku akan menjadi diriku sendiri, mengikut kemampuan diriku.
Aku tidak perlukan orang lain untuk menerimaku
Aku akan jadi seperti diriku.
Apa yang aku inginkan. Untuk diriku dan bukan untuk keredhaan mereka

“ Kenapa agaknya ye ramai sangat suka lagu ni..?” saya melontar soalan spontan ketika stesen radio kegemaran saya memutarkan lagu Kun Anta yang diminati ramai . “ Agaknya sebab semua orang sekarang sedang mencari-cari mencari keyakinan diri, lirik lagu ini boleh membuatkan orang yakin diri..” suami yang sedang memandu juga menjawab spontan.

“ Just be yourself. Let people see the real, imperfect, flawed, quirky, weird, beautiful and magical person you are”

Saya membaca patah tulisan yang ditaip di atas sekeping poster, memberi makna yang mendalam pada sekeping hati kurniaan Ilahi ini. Saya percaya, sebagai manusia kita perlu menghargai diri sendiri sebagai tanda kita menghargai kurniaan Ilahi. Biarpun kita sering merasa terlalu banyak kekurangan, tetapi sentiasalah belajar menyayangi diri sendiri dan mensyukurinya.
Biarpun pada wajah yang ada noda, atau pada anggota tubuh yang tidak sempurna, sayangilah diri sendiri kerana ia adalah kekuatan untuk terus melangkah dan memberi yang terbaik.




DIA LELAKI DAN AKU WANITA



Oleh : Nur A’isyah Humaira Ismail / Majalah I vol 162

"One of the biggest differences between men and women is how the cope with stress"

Saya membaca butir tulisan yang dikarang sang penulis John Gray pada buku bestseller bertajuk “Mens are from Mars and Women are from Venus” tentang perbezaan yang besar antara seorang lelaki dan wanita. Buku yang sama, sudah pernah saya baca dan hadam sebelum bergelar seorang isteri. Kini, saya kembali membacanya dengan perspektif kefahaman yang sedikit berbeza, setelah belajar mengenali suami yang dikasihi selepas berkahwin.

MARS

Men become increasingly focused and withdrawn while women become increasingly overwhelmed and emotionally involved.

Menurut kajian yang dibuat oleh penulis buku ini, saya dapat simpulkan bahawa apabila menghadapi tekanan, cara untuk menghadapinya adalah berbeza menurut gender. Lelaki akan lebih fokus kepada macam mana untuk mencari penyelesaian tentang masalah yang dihadapi. Dan sebagai lelaki, kerapkali mereka akan lebih puas jika dapat menyelesaikan sesuatu tanpa bantuan. Sekadar contoh jika sesat, mereka lebih puas jika mereka sendiri yang menemui jalan untuk ke destinasinya.

" They (men) are always doing things to prove themselves and develop their power and skill". Achieving goals is very important to a martian (men) because it is a way for him to prove his competence and thus feel good about himself. (John Gray)

Dan seringkali menawarkan bantuan kepada lelaki, tanpa alasan dan masa yang munasabah akan menyebabkan mereka merasakan bahawa mereka tidak mampu untuk melakukannya. Justeru, menjadi seorang wanita yang seolah-olah serba tahu juga bukanlah suatu tindakan yang bijak dalam memikat hati seorang lelaki.

" To offer a man unsolicited advice is to presume that he doesn't know what to do or that he can't do it on her own" ( John Gray)

Apabila lelaki menghadapi sesuatu tekanan, segelintir akan memilih untuk masuk ke dalam gua  mereka. Sendirian. Gua yang dimaksudkan adalah mereka akan diam dan berfikir. Berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cara mengasingkan mereka dalam kotak-kotak tertentu agar ia lebih rasional.

" They need to learn that no one is allowed in that cave, not even the man's bestfriends. They need to gradually to learn that if you just let men go into the caves, after a while they will come out and everything will be fine"
Tugas wanita ketika itu? Faham, sabar dan doakan supaya mereka cepat bertemu dengan jawapannya!
Barangkali kita boleh imbas semula kisah agung Saidatina Khadijah ra ketika Rasulullah SAW pulang daripada menerima wahyu di Gua Hira' dalam keadaan cemas dan ketakutan. Isteri yang solehah ini tidak langsung menebak persoalan baginda dengan kembali menyoal sebaliknya diselimuti tubuh yang mengigil ketakutan itu agar perasaannya lega dan kembali tenang. Suatu ketika dahulu Saidatina Khadijah ra telahpun menunjukkan teladan sifat seorang wanita yang bertaqwa sebagai panduan untuk kita pada hari ini.

Lelaki telah dikurniakan oleh Allah rasa tanggungjawab dan kepimpinan terhadap kaum wanita dan tanggungannya. Kerana itulah, mereka mempunyai ‘ego’ yang positif yang mendorong mereka bertindak dan membuat keputusan yang terbaik. Sebagaimana firman Allah di dalam ayatNya yang mulia pada surah An Nisaa’ 4:34;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara diri (maksudnya tidak berlaku serong ataupun curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara “(mereka; maksudnya, Allah telah mewajibkan kepada suami untuk mempergauli isterinya dengan baik).

Menurut Abu As-Su’ud pula di dalam Irsyaadul ‘Aqlis Saliim, 1/339

“Dan pengutamaan bagi kaum lelaki itu kerana kesempurnaan akal, kepimpinan yang bagus, pandangan yang bersungguh, dan kelebihan kekuatannya. Oleh kerana itu ada kekhususan bagi lelaki iaitu mengenai an-nubuwwah (kenabian), al-imamah (kepemimpinan), al-wilayah (kewalian), as-syahadah (kesaksian ) dan hal-hal lainnya.


VENUSIANS
Sebagaimana lelaki mempunyai ‘ego’ positif yang mendorong mereka memimpin, maka wanita pula dianugerahkan dengan kekuatan emosi dan perasaan. Dua fitrah inilah yang banyak menggerakkan wanita untuk tetap kuat menguruskan rumahtangga demi keluarga tercinta. Meskipun dalam kudrat tubuh yang lemah, namun cinta dan kasih sayang menjadi sumber yang melonjakkan semangat luar biasa seorang wanita dalam mengharungi kehidupan.  Wanita adalah insan ciptaan Tuhan yang sangat menghargai cinta, komunikasi, keindahan dan perhubungan. Setiap perkara mengenainya pasti menjadi keutamaan dan tidak mungkin hanya dilayan acuh tidak acuh semata.

"Venusians ( women) have different values. They value love, communication, beauty, and relationship. They spend a lot of time supporting, helping and nurturing one another." ( John Gray)


Apabila menghadapi tekanan, wanita tidak cenderung untuk menyelesaikan masalah semata-mata sebaliknya cukup dengan sentuhan dan kata-kata yang dapat meredakannya. Soal masalah mungkin boleh diselesaikan selepas itu dalam tempoh yang munasabah setelah bertenang. Kerana apa yang didambakan seorang wanita, tidak lain hanyalah ketenangan dan rasa kasih yang menambah yakin dalam jiwa.

Seorang isteri yang kepenatan menguruskan rumah atau bekerja, seringkali tidak mengharapkan suami membantu secara fizikal namun cukup dengan perhatian dan anggukan faham suami tentang cerita kerja sudah cukup banyak melegakan. Ia seumpama pengecas yang menjadikan bateri dan tenaga bertambah dengan sendirinya.

Wanita, makhluk Tuhan yang cukup berseni. Halus dan indah. Justeru, menanganinya juga perlu dengan tatarias terbaik pada bicara dan tingkah laku. Untuk cepat membuatnya sejuk dan terpujuk. 


SALING MELENGKAPI

Saya masih memegang buku yang ditulis oleh ‘orang putih’ ini sambil menginsafi bahawa buku ini hanyalah sebuah karya ilmiah, bukan hujjah atau dalil daripada al Quran dan hadith. Ia semata-mata adalah suatu kajian yang dilakukan demi membantu agar dua gender ini lebih mengenali dan mampu hidup bersama dengan saling melengkapi. Justeru terpulang pada kebijaksaan pembaca untuk menyesuaikannya dengan kehidupan seharian.

Walau apa pun, ingatlah firman Allah Taala di dalam kitabNya yang mulia mengenai peranan lelaki dan wanita  :

Orang-orang mukmin lelaki dan perempuan saling tolong-menolong menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran” 
(at-Taubah : 71) 
Wallahualam


Tuesday, April 12, 2016

Limitasi fikir kita


Ideal pada mata kita kadangkala terlalu terhad
Pada kesukaan dan minat kita semata
Pada perancangan dan plan hidup kita cuma
Sedangkan bukan kita yang berkuasa segalanya

Idea bagi kita apabila berkahwin awal
Usai keluar universiti dilamar dan diakad pemuda soleh nan musleh
Sedangkan Tuhan mungkin mengatur jodoh datang lambat
Kerana itu saatnya diri kita sudah bersedia menggalas tanggungjawab
Dan menjadi sang pasangan yang betah dengan cabaran kehidupan

Ideal pada mata kita mungkin memiliki 3 anak
Tidak terlalu sedikit tidak terlalu ramai
Bijak diurus pada perancangan, masa dan wang,
Kelak senang diajak bersama berjalan dekat dan jauh,
Namun rezeki Tuhan tidak pada limitasi fikir kita
Setiap anak datang menjanjikan barakah nan tersendiri
Sedang ada anak atau tiada sekali pun belum tentu
Semuanya Dia atur dengan cinta.

Ideal pada mata kita mungkin sentiasa bersama
Dengan pasangan dan anak-anak tercinta
Sedangkan perancangan Tuhan mungkin berbeza
Kerana yang lebih mahal adalah,
Menganugerahkan kita cinta,
Bukan hanya pada jasad si pencinta.

Ideal pada kita mungkin menjadi pekerja yang cekap
Dipuji disanjung dan disayangi majikan
Jua disenangi rakan sekerja akan tingkah dan kata
Sedang kita takkan mampu memuaskan semua hati
Dalam batas kekurangan yang sentiasa ada
Hanya mampu memberi yang terbaik
Pada ruang kemampuan yang dikurniakan

Memang sukar menebak apa yang terbaik,
Memang mustahil meneka semua perkara yang akan menjelma,
Namun apa yang pasti tidak mustahil,
Adalah untuk menjadi insan yang percaya,
Bahawa Tuhan itu Ada,
Dan Dia sungguh Maha Saksama.

Nescaya
Tenanglah jiwa
Lerailah kekusutan
Lapanglah pengertian
Pada sebuah kehidupan

Kerana...
Kita tidak membuat kerja Tuhan.





Obsesi dalam fasa kehidupan :)

Manusia memang aneh..

Kadang-kadang suatu perkara yang istimewa pada sesuatu masa itu, boleh jadi sudah tidak lagi istimewa di masa yang lain.

Air coklat panas yang dicicah roti atau air coklat kotak sejuk, ia seakan kena dan lazat pada lidah. Seawal sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah menjejak institusi tinggi. Daripada aneka coklat di papan kertas digantung di kedai tepi jalan, sehinggalah choc-pearl coolblog, pasti akan menjadi pilihan. Sehingga selepas berkahwin, rasa masih sama sehingga suami sudah pasti apa pilihan isterinya yang ini. Namun, siapa tahu suatu masa ia sudah menjadi biasa. Masih enak namun tidak istimewa. Sehingga ia tidak lagi menjadi satu obsesi. Dan pilihan makin luas, pada segelas jus tembikai atau green tea blended yang kian serasi dengan rasa.

Warna ungu yang anggun. Saya si obsesi warna ungu nan menawan sejak daripada sekolah menengah. Daripada pencil case sehingga hiasan di kamar asrama, sungguh menyenangkan mata bermula pandang pertama di rak pameran kedai. Sehinggalah tanpa ragu, warna nan satu ini menjadi pilihan di hari bahagia dengan gabungan putih yang suci (tidak sempat berbincang sudah memberi kata putus hehe). Namun siapa tahu sekarang, ia menjadi warna yang biasa. Masih cantik dan menyenangkan cuma bukan suatu kemestian. Apa jua warna lain, apatah lagi dengan minat suami, kini warna coklat kian menjadi pilihan hati. Jua warna hitam dan kelabu yang kian mengambil posisi.

Dulu di kampus, sangat minat berniaga. Bermula daripada jualan aneka produk makanan halal HPA, sehinggalah jubah yang bervariasi. Sehinggalah kakak taukey kedai jubah berikan saya 100 helai jubah tanpa perlu bayaran terlebih dahulu! Kerana dia sudah percaya pada sale yang saya capai. Saya teruja. Berniaga bilik ke bilik, mesej kawan-kawan untuk datang ke bilik, dan menggayakannya sendiri sebagai tarikan. Tapi ya, saya berniaga tanpa langsung obsesi dengan untung. Hanya minat semata. Hingga akhirnya bukan untung, tetapi rugi..kerana tak sampai hati, suka jual murah dan bagi free pada kawan-kawan...:). Sikap itu bukan sikap yang baik seorang peniaga. Saya berhenti dan minat pada perniagaan makin merudum. Namun, siapa tahu selepas 3-4 tahun, minat itu kembali muncul dan tanpa fikir banyak saya terus memulakan perniagaan dropship Ummu 'Ayyash Shoppe, yang mengajar saya lebih 'prihatin' pada aliran keluar masuk wang jualan. Dan hingga kini, masih ada regular customer. Cuma...masa sungguh mencemburui. Saya sedang perlu bijak mengalih perhatian antara anak kecil yang menagih kasih sentiasa, kewajipan pada kerja dan minat pada business.

Begitulah...setiap perkara berubah..pada situasi dan hati :D

Sebagaimana juga,

Di luar sana, mungkin ada seorang isteri yang seawal hari-hari awal perkahwinan, 'memujuk' dan 'membiasakan' suaminya untuk menggelarnya dengan panggilan 'sayang'. Namun selepas beberapa tempoh ketika, dia merasakan panggilan itu tidak lagi terlalu istimewa. Akhirnya dia meminta agar sang suami agar hanya memanggilnya dengan nama sahaja kerana merasakan ia lebih istimewa untuk dirasai. Panggilan sayang, masih bahagia untuk didengari pada saat dan ketikanya. Sayang, istimewa nampak pada semua orang, tapi berbeza 'rasanya' bagi setiap insan.

Kerana itulah, sekeping gambar pada bingkainya mungkin lebih berharga daripada kalungan emas mewah pada leher. Kerana, ia memberi moment dan kepuasan yang takkan mampu digambarkan!

Kita miliki gaya kita sendiri, tidak perlu menagih sesuatu yang bukan menjadi apa yang diperlukan oleh kesukaan dan minat kita. Kita mencorakkan kehidupan kita dengan keyakinan dan personaliti sendiri, tanpa perlu dipengaruhi orang lain. Dalam batas syar'ie dan tidak berlebihan, insya ALLAH.

Tolong aku, ya Robb..Sungguh aku sedang mencari kepuasan pada hati yang mencintai, seluruhnya 100% hanya padaMu!

Ummu Ayyash
Teratak cinta HM
28012016 5:47PM

si cinonet

Bismillah

Pejam celik pejam celik, tidak terasa dah setahun rupanya usia si cinta hati intan payung saya. Serasa baru semalam je sakit melahirkan dia.

Alhamdulillah, syukur pada Allah

Moga terus membesar anakku, menjadi insan yang kuat dan tabah menempuhi apa jua ujian hidup yang bakal menjelma dalam kehidupan kita.

Terima kasih sayang, memilikimu buat hidupku serba sempurna!

Tuesday, January 19, 2016

Sejuk dan Terpujuk...:)



Saya merenung langit senja daripada tingkap kamar beradu yang terletak tinggi. Pemandangan awanan yang cantik dan saujana mata memandang menambah rasa tenang yang sedang mengulit hati. " Ma..mama..." si kecil yang sudah menginjak 10 bulan menarik-narik baju yang dipakai, minta didukung. Saya tersenyum seraya menarik langsir agar menutupi suasana luar yang kian gelap. Sebentar lagi maghrib akan menjengah. Saya mendukung si kecil, lantas menuruni anak tangga untuk memastikan semua pintu berkunci. 'Tanggungjawab' itu saya galas, apabila suami tiada di rumah berselang malam.

Apabila suasana makin gelap, saya akui hati saya mula disapa rasa tidak selesa jika berada bersendirian biarpun sudah masuk tahun ketiga dalam dunia poligami ini. Namun, semakin bertambah hari, saya semakin dapat menyesuaikan diri. Apatah lagi, hidup sudah jauh berbeza dan bertambah baik dengan hadirnya sang teruna permata hati yang makin 'bising' dan lasak.

Antara 'cabaran' besar poligami yang saya rasakan adalah 'terpaksa' tinggal sendirian semasa suami tiada. Ia bukan mudah. Ya, sangat sukar jika boleh saya berkata jujur kerana saya bukan 'pemilik hati' yang kental  seperti wanita lain. Kerana itulah ia menjadi cabaran tersendiri untuk saya hadapi. Bukan sedikit air mata yang tumpah, dalam 'struggle' sehari-harian. Hanya Allah...dan suami tempat untuk meluahkan.

Pernah sekali saya meluahkan kepada seorang kakak nun jauh di setiu, mengenai 'cabaran' ini. Dengan bersahaja dia memberitahu " Alaa..kakak dulu pun macam tu, masa suami belum dapat pindah duduk sekali..." 

Saya mencubit lengannya dan berkata.." Tak adil! Tak adil nak banding-bandingkan kakak yang dahulu, dengan adik yang sekarang..." Saya jujur memberitahu. Iya, kita seringkali dipesan dan diingat-ingat agar tidak sesekali membanding-bandingkan namun seringkali juga kita membandingkan dua situasi dalam sebuah nasihat. Jujur, saya ingin didengari, dan ingin merasa difahami agar saya semakin selesa bercerita. Saya kerapkali rasa tidak difahami, pada 'cabaran' yang satu ini.

Kakak yang manis itu tersenyum, memeluk saya. " Kakak faham...." hanya sepotong katanya mengalirkan rasa difahami dan menumbuhkan rasa percaya untuk bercerita. Ya, bukan kita tidak mahu 'menerima' akan kesukaran isteri lain yang mungkin terpisah dengan suami kerana kerja, belajar dan sebagainya. Namun kita sedang bercerita agar hati kita merasa tidak sendiri, dalam pelbagai perkara baru yang sedang kita pelajari dalam sekolah kehidupan ini seperti bab pelajaran menjadi ibu, dengan anak yang masih kecil dan perlukan perhatian. Dan poligami, ia adalah komitmen hidup yang berterusan selagi ada nyawa. Berbeza pastinya dengan monogami daripada segi rasa dan situasi.

Begitulah juga antara suami dan isteri. Terkadang, isteri tidak perlukan seratus orang untuk menemaninya, namun dengan rasa 'prihatin, 'kerisauan' dan 'ambil tahu' suami mengenai sang isteri yang sedang bersendiri tidak sukar untuk membantu isteri menghadapi cabaran itu. Malah, mungkin dengan sebaris patah ayat penghargaan dan ambil peduli daripada suami, jauh lebih mudah untuk membuatkan hati ini sejuk...dan terpujuk :)

Menjadi seorang isteri, kita perlu belajar menyuarakan isi hati, yang perlu dan yang dimahu. Sekitar awal perkahwinan, saya ingin 'nampak hebat' di mata suami, menjadikan saya banyak ketikanya kelu meluahkan apa yang dilalui saban hari ketika ketiadaannya. Sendiri. Setahun dengan rutin yang sama, pulang ke rumah ketika sudah gelap, saya menjejak lantai rumah dengan debar, dan sedikit kerisauan. Namun, saya tidak selalu menyuarakan kepada suami dengan alasan tidak mahu suami risau sementelah kami dipisah oleh jarak yang bukan dekat ketika itu.

Terkadang ada hari kita lelah bersabar, dan ingin 'memberontak' tentang cabaran tinggal keseorangan!

Namun, setelah berpindah semakin dekat, saya semakin jujur. Dan ternyata ia jauh lebih menenangkan. 

Saya belajar, bahawa kita ingin merasa 'ditemani' biarpun jasadnya kita sedang bersendiri. Tanpa teman bicara, hanya dinding yang kelu tiada rasa. Kita ingin merasa 'dipeduli, biarpun tanpa sesiapa di sisi. Kita ingin tahu, agar air mata 'struggle' kita tidak sia-sia. Dan kejujuran pada meluahkan sebenarnya banyak membantu suami, yang tidak sepanjang masa mampu menebak dan membaca apa yang ada dalam fikiran kita.

Berceritalah, bercakaplah dengan nada jujur tanpa prasangka buruk. Berilah kepercayaan, bahawa seorang suami adalah manusia yang mampu untuk memahami hati isterinya. 

" Rasa lebih bermakna bila ayah ada di rumah kan nak..?" bicaralah pada si anak, di hadapan suami yang dikasihi. Agar dia tahu, setiap saat yang direzekikan oleh Allah semasa bersama adalah  sebuah nikmat yang sangat disyukuri. Bahagia.

" Semalam macam tak best, tapi hari ini dah lupa dah apa yang tak best pasal semalam..." yakini suami bahawa kita masih mampu menjalani hari ini selepas perginya semalam yang menduga.

Dan suami yang baik, sentiasa membantu isterinya menghadapi hari-hari yang sukar tanpa teman yang membantu dan bersembang melepaskan kesukaran. Ajari isteri doa-doa pelindung, zikir-zikir yang menguatkan dan tazkirah tentang kehidupan. Ia pasti akan menjadikan si isteri, semakin kuat dan yakin untuk hari esok seandainya masih ada nyawa yang dipinjamkan Tuhan. Ameen ya robbal 'alamin.

Alhamdulillah, hari-hari lepas yang telah berlalu adalah pengajaran, hari ini sedang dinikmati dan hari esok adalah sebuah harapan agar lebih baik.

" Alhamdulillah, sekarang dah ada seorang anak kecil yang menemani. Kelak dia makin besar, insha Allah keadaan akan jadi lebih baik dan meriah..." bicara suami itu saya aminkan di dalam hati.

Alhamdulillah terima kasih ya ALLAH, atas bahagia yang beriring cabaran yang mendekatkan insan  nan lemah ini kepada Tuhannya.

18012016
Teratak cinta HM
Rumahku Syurgaku 

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat