Tuesday, January 22, 2019

Pengalaman di Menara Kuala Lumpur

Kali ni kali ke4 ke menara Kuala Lumpur. Kali pertama masa zaman kecil lawatan sekolah, kali kedua dengan keluarga makan di restoran Atmosphere 360 dan kali ketiga dengan suami bawa cik ayah berjalan-jalan di sini.

Kali ini bawa anak-anak saudara dengan misi nak naik ke skybox  dan skydeck. Alang-alang esoknya cuti Thaipusam. Di samping memang niat nak bawa mereka berjalan lepas mereka dah sangat banyak all out membantu saya terutama untuk urusan kedai sejak akhir-akhir ini.

Masa mula-mula sampai, masuk ke mini zoo dulu sekejap untuk bawa anak-anak main dengan binatang. Mama pula kali pertama tengok Alpaca depan mata, sebelum ni dalam lagu Omar Hana je hehe. Ok juga kat sini sebab boleh pegang dan berinteraksi dengan haiwan-haiwan kat sini. Boleh latih keberanian anak-anak.

Lepas tu kami ke kaunter tiket untuk beli tiket naik menara. Saya pilih pakej sekali dengan ke skybox. Lebih kurang RM71 seorang. Anak-anak bertiga semua free.

Tapi bila naik rasa macam kurang berbaloi dengan harga tu sebab rupanya skybox tu sangat-sangat kecil je. Dan paling kecewa sebab ada masa yang terhad untuk kita ada atas tu. Anak-anak memang seronok sangat siap meniarap nak tengok ke bawah. Berani! Belum puas, dah habis masa tapi staff situ sporting bagi extra masa untuk kami sebab tengok anak-anak yang super excited.

Sebelum balik rasa nak masuk rumah upside down , rumah terbalik di situ tapi melihatkan saiznya yang kecil dan lagipun sudah lewat, rasa tak berbaloi nak masuk.


Skybox


Mini zoo

Alpaca







Friday, January 11, 2019

Pengalaman Musim Sejuk Sapporo Jepun Disember 2018

Dah lama teringin nak travel ke negara Jepun, cuma suami agak risau katanya negara sakura tu terkenal dengan gempa bumi. Sehinggalah suami tanya tempat untuk bercuti, terus saya usulkan Sapporo Jepun. 

Tempat ramai orang kata saljinya sebagai 'the best powder in the world'. Alhamdulillah, kali ni suami setuju.

Lepas dah beli tiket flight, saya mula buat itinerary, cari tempat-tempat menarik dan berbaloi dilawati dalam masa terhad. Saya cuba plan dari awal supaya percutian ini cukup rehat dan santai.

Saya juga cuba sedaya upaya pastikan cukup persediaan untuk kawasan sejuk seperti winter jacket, thermal wear, touchscreen gloves, snowcap, seluar jeans dan macam-macam lagi. Untuk diri sendiri, saya banyak membeli barang keperluan online sahaja. Dan syukur alhamdulillah, dengan harga jimat dan murah, semua barang berkenaan dapat berfungsi dengan sangat baik sepanjang di sana. Winter boot berharga rm60 yang saya beli direct dari China sangat berkualiti dan dapat memanaskan kaki dalam cuaca sejuk.  Siapa kata perlu mahal untuk dapatkan kualiti yang baik :)

Ada juga beberapa barang yang saya dapatkan di Daiso, seperti hot pack. Hot pack ini sangat membantu di sana terutama untuk memastikan handphone tidak cepat off sendiri kerana sejuk. Dan juga membantu memanaskan tangan. Ada dua jenis hot pack iaitu yang jenis stick ( untuk tampal di mana-mana) dan tanpa sticker ( untuk dipegang dalam poket).

Makanan saya bawa penuh satu bag roda yang besar. Sebab kena ingat kat sana agak susah nak dapatkan makanan halal dan jika ada pun mahal. Saya bawa pelbagai jenis Brahim, roti, biskut, maggi cup, air kurma kotak kecil dan macam-macam lagi.

Mula-mula tu, saya rasa macam terlebih semangat tapi rupanya saya rasa apa yang saya sediakan sangat berbaloi dan membantu.

Macam-macam 'ujian' kena tempuh sebelum pergi. Sehinggalah yang paling besar waktu hampir ke tarikh penerbangan, Allah uji dengan kesihatan suami hingga ketika itu saya dah pasrah tak dapat pergi. Mujur saya ada ambil Etiqa takaful travel, jadi jika batalkan pun boleh dapat full refund setiap belanja yang dah dikeluarkan.

Namun, benarlah kalau Allah kata dah rezeki, akan tetap jadi rezeki. Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya sepanjang di sana.

Misi saya kali ni adalah mencari salji. Saya pilih Sapporo, sebab ianya adalah seperti sebuah pekan kecil yang bersih, bebas dari kesesakan lalulintas dan tenang. Malah, rumah-rumahnya semua cantik dan kemas. Saya memang tak cari bandar dengan pasaraya besar sebab tak berniat shopping sakan, tak cari themepark atau kemodenan yang dah selalu dapat di tempat lain. Satu lagi keistimewaan Sapporo, tempat-tempat menarik banyak di sekitar berdekatan dan tak perlu jauh dari satu tempat ke tempat yang lain. 

Bila suami cadangkan untuk ke Tokyo dan ambil penerbangan balik dari Tokyo ke KL, saya rasa tak perlu sebab tak nak  bercuti dalam keadaan tergesa-gesa dan risau tak cukup masa di Sapporo. Lagipun setelah buat carian, tak jumpa apa yang menarik hati saya untuk ke bandar Tokyo.

Kami pilih penerbangan  Airasia sebab satu-satunya direct flight Kuala Lumpur ke San-Chitose, 40 minit perjalanan ke bandar Sapporo. Jam 11.30 malam berlepas dari Kuala Lumpur dan sampai di San-Chitose Airport pagi esoknya.

Sampai di airport, terus beli travel simkad, sangat penting untuk kami guna google maps sepanjang di sana. Kemudian terus ke kaunter sewa kereta di airport, suami booking kereta  Subaru berwarna putih dari company Nippon Car Rental. Dari airport, kami dibawa dengan bas ke pusat Nippon Car Rental berkenaan untuk urusan ambil kereta sewa.Ketika ini suhu lebih kurang -2 celcius. Sejuk. Salji kelihatan sedikit di mana-mana. Saya tidak bersedia dengan pakaian sesuai kerana agak underestimate kesejukan dan rupanya sangat sejuk hingga saya cepat-cepat masuk ke kereta semasa suami sedang memeriksa kereta sewa. Setelah selesai semuanya, kami menghala ke Kota Sapporo. 

Oh ya, plan asal memang hendak berjalan-jalan menaiki train, namun suami memilih untuk menyewa kereta bagi memudahkan perjalanan dan juga kerana pengalamannya sebelum itu ke Osaka dan Tokyo menggunakan pengangkutan awam yang agak mencabar kerana perlu banyak berjalan. Tapi jika memilih untuk menaiki train, pastinya ada kelebihan-kelebihan lain seperti lebih menjimatkan. Saya pun dah menyediakan itinerary lengkap tentang pengangkutan awam agar tidak perlu banyak berfikir bila di sana, tapi akhirnya tak digunakan sebab dah sewa kereta. Alhamdulillah ala kulli hal.

Dalam perjalanan, kami disajikan dengan keindahan pemandangan kiri dan kanan. Teruja usah cerita sebab ini pengalaman kali pertama saya melihat salji memutih depan mata.  Sampai di Eniwa, suami singgah di tepi jalan kerana melihat pemandangan yang cantik. Masya Allah, salji turun ketika kami berhenti. Rasa sebak sebab saya rasakan Allah hadiahkan salji yang seumpama menyambut kedatangan saya di sana. Macam over kan, tapi memang itu yang saya rasakan :D.

Kami memang rasa apa yang dinikmati oleh mata tak mampu dicapture oleh kamera. Saya banyak ambil video kat sana sebab bila balik dapat tengok suasana lebih dari hanya gambar. Gambar pun ada banyak sangat, tapi memang tak larat untuk pilih jadi saya cuma ambil je mana-mana untuk share ye. Lagipun tak banyak gambar yang sesuai untuk dikongsi umum.

Kami berhenti di beberapa tempat lagi apabila jumpa pemandangan menarik kerana mungkin sukar nak kembali ke tempat yang sama. Suami ternampak signboard Lake Shikotsu. Lake Shikotsu ni antara tempat kegemaran rakyat Malaysia bila datang ke Sapporo, namun tiada dalam itinerary saya. Kami segera memutuskan nak ke sana sebab masa untuk check in hotel pun lama lagi. Namun, dalam perjalanan, google maps bermasalah dan kami akhirnya ikut signboard untuk ke Sapporo sahaja kerana hari pertama memandu, suami agak risau dengan prestasi tayar kereta untuk ke tempat yang tidak pasti.

Sampai di Sapporo, kami singgah di 7 eleven dan membeli buah-buahan seperti pisang, kacang dan susu segar. Sepanjang di sana, setiap hari kami beli stok buah dan kacang untuk dimakan. Cuaca sejuk, perut memang cepat lapar.

Saya tempah hotel Resol Nakajima-Koen atas banyak faktor. Antaranya adalah 3 minit berjalan kaki ke subway berdekatan iaitu Nakajima Koen Station (sebab plan asal nak travel naik train), dan sekitarnya ada kedai-kedai runcit dan taman-taman yang cantik. Harga bilik corner double deluxe jika booking awal adalah sangat berpatutan dan ketika tarikh lain, harga bilik berkenaan boleh mencecah RM1500 untuk satu malam! Saya gunakan Agoda setelah dapat harga murah dibandingan dengan Expedia, Trivago dan Booking.com.

Selepas merehatkan diri di hotel, kami ke Tanukikijo Shopping Arcade. Berjalan santai sambil tengok apa yang menarik. Malam pertama kami dah membeli beberapa buah tangan untuk keluarga tercinta. 



Ketika mula-mula sampai, salji kelihatan sedikit di tepi jalan

Tak faham apa yg mereka sampaikan, suami dah risau. Rupanya ada baiki jalan.

Hentian tepi jalan yang pertama dari airport ke Sapporo, lepas ni tiba-tiba salji turun. Buat kali pertama merasai salji

Hentian kedua




HARI KEDUA

Pagi hari kedua ke Nakajima Park. Kemudian menghala ke Takino Suzuran untuk beberapa aktiviti salji. Dalam perjalanan, terjumpa sebuah taman Takino Toge yang ada pemandangan yang cantik. Kat sini ambil kesempatan berbaring atas salji sebab taman ini tak ada orang dan kedalaman salji hingga ke peha!. Ada orang sekejap lalu lalang dan berhenti bergambar sahaja.

Kemudian ke Takino Suzuran, di sana masuk percuma dan kebanyakan aktiviti dalamnya juga adalah percuma. Antara aktiviti yang dicuba adalah tube sledding, tobogganing. Kami bercadang datang ke sini lagi esoknya untuk mencuba ski dan menaiki lift. 

Lepas tu, menghala pula ke Mount Moiwa Ropeway untuk menaiki morris car dan cable car untuk melihat pemandangan Bandar Sapporo pada waktu malam dari atas gunung. Ianya pengalaman baru yang berbaloi untuk dirasai. Namun saya rasa lebih berbaloi jika datang waktu petang ketika masih cerah dan bila berada di atas baru menginjak waktu malam. Pasti lebih seronok lagi sebab bila waktu malam, susah nak dapat gambar elok.

Pulang dari Mount Moiwa, singgah di Asahiyama Memorial Park. Suami yang sukakan pemandangan di sini dan ajak datang lagi esok paginya untuk melihat pemandangan waktu siang. Saya sendiri kurang gemar mengulang datang tempat sama sebab rasa rugi masa tapi akur dengan permintaan suami.

Seperti biasa sebelum pulang ke hotel, singgah di mart yang banyak di tepi jalan. Antara mart yang biasa jumpa adalah Soicema Mart, Family Mart, 7E, Aeon Mart. Suasana kedai runcit di Sapporo nampak kemas tersusun.

Sampai hotel, panaskan Nasi Briyani dan Nasi Goreng Kampung Brahim sebagai hidangan makan malam.


Pemandangan dari bilik hotel

Minum Chocodates Splash yummeh :))

Jalan-jalan taman sekitar hotel




Takino Toge

Takino Toge


Dalam kereta, menyelusur jalan dalam Takino Toge


Ada patung binatang-binatang di Takino Toge




Trademark atas Mount Moiwa Ropeway

Pemandangan dari atas bukit Moiwa


HARI KETIGA




Bangun pagi, suami panaskan Sambal Bilis Brahim dimakan dengan roti putih dan susu segar. Alhamdulillah harapnya cukup kenyang untuk bertahan hingga tengahari. Tapi rupanya tak, jadi sepanjang jalan tetap singgah beli buah dan kacang.

Seperti dirancang, kami singgah di Asahiyama Memorial Park sekali lagi untuk menikmati pemandangan dan bergambar. 


Asahiyama Memorial Park



Kemudian, kami ke Takino Suzuran untuk ke Ashiribetsu Frozen Falls. Tak sabar menikmati pemandangan air terjun beku. Dari parking kereta ke sana agak jauh namun perjalanannya berbaloi apabila dapat menjamu mata dengan keindahan air terjun beku. Sebaik sahaja sampai, Allah hadiahkan dengan salji turun dengan agak lebat. Bila bergambar, rasa macam background gambar scenery je. Padahal realiti. Subhanallah, terima kasih ya Allah.





Ashiribetsu Frozen Fall



Selepas itu, kami mengambil peluang bermain ski. Rasanya cukup sekali ni je kot main ski. Tak nak ulang dah sebab tak reti jadi tak rasa enjoy. Tapi untuk pengalaman, berbaloi mencuba.






Balik dari Takino Suzuran, kami ke hotel untuk solat sebelum keluar lagi ke Sapporo Factory Mall untuk makan di restoran halal, Taj Mahal Restaurant. Saya beli nasi biryani ayam dan suami beli makanan lain yang saya lupa namanya. Makanannya sedap cuma harganya memang mahal. Kami jalan-jalan dalam tu sekejap sebelum sekali lagi ke Tanukikoki Shopping Street dan Underground Shopping Centre untuk mencari buah tangan untuk dibawa pulang memandangkan esoknya kami akan meninggalkan kota Sapporo dan bertolak ke Westin Rusutsu Resort.





HARI KE-4

Suami ada beritahu saya, paling sejuk dia pernah rasa adalah suhu sekitar -10 celcius. Saya tengok ramalan cuaca, suhu paling sejuk cuma -5. Apa lagi, saya terus berdoa sungguh-sungguh pada Allah, agar hari akhir ini saya dapat merasa sejuk -10. Benarlah doa orang musafir itu mustajab. Allah berikan hadiahnya -13 pada hari akhir dan saya cakap pada suami, seronoknya dapat pecahkan rekod dia hehe. 

Dalam perjalanan ke Rusutsu, kami singgah untuk merasai salji dan kesejukan -13 itu. Suami kata agak berdebar untuk memandu dalam keadaan heavy snow. Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya.

Sampai sahaja di Westin Rusutsu, kami segera ke tempat aktiviti snowmobile, snowrafting dan lift. Kesejukan memang sangat menggigit sampai ke tulang dan akhirnya kali ini masing-masing mula rasa kesejukan masuk ke kaki. Pemandangan di sini sangat cantik namun tak dapat kami nikmati hingga puas kerana sangat sejuk. Selesai tandem snowmobile, kami masuk dalam bangunan dan cari sudut sesuai untuk solat jamak qasa zohor dan asar. Kami tidak meneruskan snowrafting kerana sejuk dan tambahan pula sudah lewat. Suami luahkan rasa risau jika masuk waktu malam dan memandu dalam keadaan gelap. Waktu malam di Jepun panjang dan siangnya pendek. Jam 4 lebih sudah masuk waktu maghrib.

Waktu kembali ke parking, kereta sudah ditutupi salji. Pengalaman paling hebat apabila mengharung salji mencecah pinggang. Dalam dan sejuk. Saya sengaja membuka gloves, bermain salji hingga tangan rasa beku. Salji yang turun pula makin lebat. Seluruh kawasan nampak memutih, tebal dengan salji.

Saya mula rasa bersyukur kerana sepanjang sebelum hari itu, suhu cuma sekitar -3 hingga 3, suhu yang sesuai untuk berjalan. Tak dapat bayangkan kalau sepanjang di sana, salji lebat dengan suhu ekstrem macam tu, pasti dah tak seronok.

Dari Rusutsu, kami bergerak ke Bandar Chitose untuk check in hotel Chitose Airport. 













 Westin Rusutsu Resort




HARI KE-5

Hari terakhir, selesai checkout hotel, kami ke Nippon Car Rental untuk serahkan kereta sewa dan terus ke airport menaiki mini bas yang mereka sediakan. Bersedia untuk berlepas ke Bangkok untuk transit dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur. 

Saya rasa gembira bila suami kata saya dah dapat banyak pengalaman salji. Pengalaman suami merantau bertahun-tahun di negara salji, pastinya banyak kenangan tersendiri dan alhamdulillah Allah rezekikan untuk saya merasai pengalaman di negara salji walaupun cuma sekejap.

Antara cabaran besar adalah rasa rindu pada anak-anak isu utama bila kat sana, tapi tak banyak saya ceritakan di sini. Setiap hari sebut nama anak-anak. Sangat merindu. Apatah lagi setiap hari ada jadual pumping untuk si kecil Afiya :).  

2015,2016 dan 2017, setiap tahun bersalin dan fokus penuh pada anak-anak, pasti ada hikmahnya Allah izinkan di akhir tahun 2018, suami bawa saya berjalan-jalan. 

Kalau ada orang tanya, menyesal tak tinggal anak? Saya akan jawab tak. Sebabnya suasana tempat itu sangat tak sesuai dengan umur anak-anak saya. Di sana sini nampak anak-anak meragam dan menangis tidak selesa dan kesejukan. Saya sendiri dah cuba bawa anak-anak ke snowalk ICT, seronok mereka cuma sekejap dan akhirnya menangis ingin keluar. Tapi bagi mereka yang nak bawa anak kecil, ia pastinya akan jadi pengalaman yang berbeza, tetap bermakna tak ada kurangnya. Suatu hari nanti, ada rezeki dan kesempatan pasti Allah akan berikan kesempatan untuk mereka pula bila tiba masanya. Insha Allah.

Anak-anak pun ditinggalkan dengan keluarga sendiri. Saban hari padat dengan aktiviti,nampak happy dan tak hanya terperuk di rumah. Alhamdulillah. Mama recharge sekejap je ye.


Terima kasih ya Allah atas peluang ini. Terima kasih suami yang sudi bawa, terima kasih anak-anak yang ditinggalkan, terima kasih keluarga yang meneladani anak-anak dan terima kasih Sapporo untuk kenangan yang takkan dilupakan.

Bye-bye Sapporo :)


Ummu 'Ayyash
11/1/2019

Tuesday, November 13, 2018

Momcation : KLCC, DORSETT, BERJAYA TIMES SQUARE

Post kali ni saja mama nak abadikan kenangan mama bawa anak-anak berjalan.Syukur alhamdulillah, mama dan kawan yang beranak dua saja kami plan nak keluar bersama. Keluar dengan suami dah selalu, sesekali keluar dengan kawan memang best. Apapun kena berterima kasih pada suami-suami yang sporting dan izinkan.

Kami memang plan short escape je, sebab masing-masing ada komitmen. Ada rezeki lain kali boleh plan untuk bercuti lama sikit pula.

Tips pertama mama nak share, bila kita nak bercuti dengan anak-anak kecil comel ni, kita kena expect lebih. Masukkan expectation contohnya anak meragam, mengantuk, jadual berubah dan sebagainya. Kami memang plan percutian ini memfokuskan untuk anak-anak.

Kami start buat itinerary seminggu sebelum pergi iaitu sebaik sahaja dah book hotel. Sebab memang tak nak main terjah je. Kena plan supaya semuanya tersusun dan kita pun puashati. Kami pilih hotel Dorsett Residence selepas survey beberapa hotel lain. Antara yang diambil kira adalah kids pool. Kami pilih bilik yang ada 2 bedrooms. Memang berpuas hati. Ada dapur, ruangtamu,mesin basuh baju , peti ais, tv dan sebagainya. Lengkap macam sebuah rumah. 

Kami berjumpa di KLCC, untuk memulakan aktiviti kat sana. Buat kali pertama ke waterpark dan playground KLCC. MasyaAllah tempat percuma tapi sangat digemari anak-anak. Playground KLCC memang sangat luas dan besar. Waterpark pula sangat sesuai untuk anak kecil. Waterpark ni cuma tutup pada hari Isnin untuk pembersihan. Anak-anak mandi sehingga menangis tak nak keluar. Layan anak-anak di sini hingga tak sedar dah jam 5.30. Lepas mandi, kami makan malam sebab semua dah kelaparan. Sedar tak sedar dah jam 7 pm. Dalam itinerary, kami sepatutnya ke KL Tower pula untuk beberapa aktiviti di sana, tapi mama-mama dah mula rasa penat. Anak-anak pula nampak sudah mengantuk. Kami batalkan plan ke KL Tower dan tak sabar nak balik hotel je. Sebab malamnya, kami plan untuk bersembang. Hehe.

Malam itu , kami makan nasi ayam di hotel. Mata dan mengantuk tapi sempat lagi bersembang. Anak-anak tidur awal dan semuanya lena hingga ke pagi, Alhamdulillah.

Esoknya jam 9 pagi , kami breakfast di hotel dan kemudian mandi di kolam hotel. Kali ni kurang best sebab air agak dalam dan anak-anak agak terhad. Tidak lama kami luangkan masa di sini sebab ingin bergegas ke Berjaya Times Square.

Sampai di BTS, syukur alhamdulillah kami awal dan dapat bermain semua permainan dengan mudah. Seronok dan enjoy. Mama-mama pun sempat main mainan untuk adults. Hehe dah lama tak main, zaman bujang dulu je pernah. Tengahari selepas makan kami masuk sekali lagi tapi kali ni agak tak best sebab orang dah mula ramai dan kena beratur panjang.

Seronok keluar dengan kawan yang sama-sama tak kisah, dia ikut je apa kita suka, dan kita pun ikut je apa dia suka. Sama-sama enjoy. Anak-anak pun usah cerita, sangat teruja. Kecuali si kecil Afiya sebab dia kecil lagi, banyak tidur je. :D. Dan semuanya berjalan lebih baik dari apa yang dah mama expect.

Petang tu rasa tak puas tapi dah kena pulang kembali ke rutin. 

Alhamdulillah, jangan rasa bersalah sesekali nk reward diri setelah rutin harian setiap hari. Kesibukan dan kepenatan yang tak kunjung habis. Emosi dan perasaan yang sentiasa penat dan teruji. Kalau bukan kita yang rancang dan mencari masa untuk mencipta memori, siapa lagi?

Ok, jom start menabung semula untuk next vacation hihi :D.

p/s : Tak banyak ambil gambar elok. Rugi pulak sebab boleh masukkan dalam photobook. Huhu padahal baru je siap photobook untuk 2018. Gambar-gambar ni rawak tak ikut timeline pun ye, sebab mama ni tengah curi masa rehat je kejap update blog.

Tipu kalau tak penat, tapi sangat berbaloi!

Jalan-jalan KLCC



Dorsett Residences 2 bedrooms


Anak-anak suka mandi tab :D

Breakfast kat hotel, semua behave alhamdulillah

2 orang ni menunggu kakak abang mandi pool hotel

Saya kecil lagi, layan je la.



Tewas :D

Part ni lucu, biarlah jadi kenangan haha



Waterpark KLCC, tak banyak gambar ambil. Layan anak je.

Tuesday, August 14, 2018

Perjalanan Mama : Breastfeeding Journey

Post ini sesuai dibaca untuk golongan ibu-ibu yang sedang ingin mencari perkongsian pengalaman mengenai penyusuan untuk dibaca, atau motivasi . Please tolong jangan teruskan pembacaan jika anda bakal skeptik dengan apa yang dibaca 😌

Alhamdulillah sepanjang mengandungkan anakanda sulung, Abdullah ‘Ayyash, mama berazam nak menyusukan dia selama 2 tahun, dengan izin Allah.

Percayalah, ia suatu perjalanan yang sangat sukar dan berliku. Sangat mencabar dan penuh air mata juga. Tak berbaloi jika mama nak lakukan semua ini jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau dipuja dipuji. Percayalah juga, ia bukan perjalanan yang penuh dengan wangian dan bunga-bunga.

Tapi ia perjalanan ‘cinta’, demi amanah Allah yang sedang mama galas.

Dan mama berjaya ke? Ya, mama berjaya. Bukan sebab mama berjaya penuh menyusukan mengikut kacamata orang, tapi mama yakin mama berjaya lakukan apa yang dalam kemampuan mama. Mama yakin hanya apa yg dalam kemampuan itulah yang Allah akan tanya.

13 Mac 2017, Ayyash lahir dan perjalanan itu bermula. Permulaan yang tak mudah untuk seorang ibu baru. Menahan juga saranan orang sekeliling yang meminta agar Ayyash diberi susu formula kerana dia asyik menangis pada 44 hari pertama dia dilahirkan.

Mama 'sakit', pada fizikal dan emosi. Tapi 'keras hati' mama ini, untuk tetap berusaha.

Dan mula mengumpul stok sejak dalam cuti. Dalam cuti ye, bukan dalam pantang. Dalam pantang, adalah bonding time yg sangat ekslusif antara ibu dan bayi. Direct feeding (df) adalah pilihan terbaik ketika itu. Kecuali pump ketika sangat diperlukan sahaja. Selesai pantang 44 hari, kena mula konsisten mengumpul stok untuk mula bekerja.

Masa ini, sejujurnya sangat seronok tengok peti ais dah penuh. Sampai freezer tak muat. Sampai ada susu yg terpaksa dibuang. Orang kata, betulkan niat susukan anak ye, bukan penuhkan peti untuk menunjuk-nunjuk. 

3 bulan pertama tak susah insha Allah. Selepas 3 bulan, mula masuk kerja, jadual mengepam mula tak menentu. Susu biasanya mula terjejas terutama jika kerja seperti guru yang tak menentu masa free berbanding kerja ofis yang memungkinkan untuk mengepam sambil bekerja. Tapi tolong, kena yakinkan diri susu cukup untuk anak. 

Pernah ada masanya, mama rasa sangat lemah semangat sebab mengais susu hari ini untuk esok. Hampir sahaja ingin membeli susu formula, namun pengasuh memaklumkan 'Ayyash banyak makan dan kurang minum, jadi susu cukup! Mengalir air mata sebak, anak mama faham!

9 bulan usia ‘Ayyash, upt bertukar positif lagi. Tanda ada cabaran baru yang menanti. Mama cuba positif. Genap umur ayyash setahun 3 bulan, ebm mula berkurang, mama mula risau., ‘Ayyash mula minum susu segar Farm Fresh, tapi masih Ayyash menyusu badan seperti biasa sehinggalah adiknya lahir. Dan terus berkongsi susu dengan adiknya sehingga dia genap 2 tahun.  

Usah cerita tempoh tandem nursing tu, tidur mama memang tak pernah menentu. Sebelum pergi kerja dan selepas balik kerja, fokus mama yang itu. Demi untuk memberikan hak mereka. Mama penat, letih. Mata mama penuh eyebag, badan mama sampai turun berkilo-kilo. Mama jujur memberitahu. Mama tak kisah disokong atau tidak, yang pasti mama tahu keinginan mama yang satu itu.


Genap 2 tahun, dengan berat hati mama lepaskan Ayyash. Mama memang ingin menyusukan anak hingga usia 2 tahun sahaja seperti yang disarankan al Qur'an, lagipun bila berhenti, akan memberikan tidur yang lebih berkualiti untuk anak yang sudah tak menyusu badan kerana dia tidak lagi kerap ingin menyusu. Dan mama raikan ikut saranan orang untuk menggunakan pelbagai cara walaupun sebenarnya mama tahu, cara yg paling berkesan ketika itu hanyalah untuk tidak berhelah menipu dan berterus terang bahawa sudah sampai masa untuk dia berhenti. Sebab semua cara yg lain tak berkesan utk Ayyash. Dia tak pernah kisah dengan asam jawa atau sirap.

Mama kembali tenang lepas hanya menyusukan Ayesha Ahla seorang. Ayyash sudah berdikari tidur sendiri. Dia sangat mudah diurus bila malam hari.

Bila Ahla berumur 7 bulan, khabar untuk menerima orang baru dalam keluarga kami datang lagi. Mama mula alah, syukur alhamdulillah stok yang banyak membantu untuk Ahla tetap dapat susu ibu. Bila Ahla berusia setahun 2 bulan, mama mula terpaksa mencari ikhtiar kerana tidak mampu lagi menyediakan stok yang cukup kerana dia sangat banyak menyusu. Ahla allergik dengan susu segar Farm Fresh, maka susu kambing Karihome menjadi pilihan. Pada masa yang sama dia masih direct feed seperti biasa bila di rumah. 

Mama pernah terfikir, jika tidak kerana mama bekerja, pasti tiada masalah untuk terus menyusukan anak-anak secara direct, tapi cepat-cepat mama tepis sesalan yang mengganggu.

Dan semasa mama hampir melahirkan anakanda ke3, mama mula berhenti dari menyusukan Ahla secara direct atas beberapa faktor. Namun, alhamdulillah dia terus mendapat bekalan susu ibu melalui botol, walaupun tidak sepenuhnya bergantung kepada stok susu yang ada kerana perlu berkongsi dengan adik. Maha suci Allah.

Dan kini, perjuangan untuk menyusukan Afiya dan memberikan stok untuk Ahla masih sedang berjalan. Setidaknya sehingga setahun, mama berazam untuk takkan berputus asa menyediakan stok susu dan Afiya mesti fully breastfeed. Positif!

Sejak Mac 2015 hingga sekarang Ogos 2018, perjalanan panjang ini belum pernah berhenti, tiga kali berganti pam, dengan berjuta cabaran, kepenatan, dan kesakitan, saban hari tanpa alasan dan mengelat..mama tak pernah menyesal. Mama anggap ini perjuangan besar, ibadah dan ruang pahala yang mama usahakan. 

Dan buat awak, yang membaca, yang sedang mencari semangat dan motivasi, saya faham ada masa awak rasa ingin berhenti, penat, pening, stress, tidak dipeduli..tapi awak..tolong, jangan berhenti. Menangislah...tapi bangkit semula dengan semangat. Bila di tempat kerja, tatap gambar anak-anak. Minta semangat dari pasangan. Luahkan...

Awak mungkin takkan pernah dipuji, tapi itulah kemuncaknya awak ikhlas demi anak-anak yang tercinta. Dan moga-moga, Allah menilainya sebagai amal yang terpuji.

Jom kita sama-sama kuat, okay!

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat