Friday, April 27, 2012

Usrah : Hurun Maqsurah

Bismillahirahmanirahim


 كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali `Imran: 110) 

Alhamdulillah ya ALLAH atas nikmat usrah dan ukhuwwah yang Kau titipkan kepada hambaMu ini. Penulisan kali ini bukan berniat menyentuh konsep usrah dan sebagainya. Sekadar berkongsi sebuah kisah usrah yang biasa-biasa sahaja.Walaupun tidak mampu menjadi seorang naqibah terbaik buat adik-adik namun semoga ALLAH kurniakan kekuatan supaya tidak berputus asa menyumbang jasa kepada agama walaupun hanya dengan usaha kecil ini sahaja kerana lemahnya diri ini dalam mengurus perkara yang lebih besar. 

Alhamdulillah Allah kurniakan kepada saya 8 orang adik usrah yang amat saya kasihi dan cintai. Adik usrah yang sangat dekat dan sentiasa saya ingati setiap detik. Hanya Allah yang tahu betapa mendalamnya cinta kepada mereka. Barulah saya tahu pentingnya ukhuwwah dalam sesebuah usrah kerana hanya dengannya istiqamah melaksanakan usrah itu akan hadir. Menerima kekurangan, melengkapi kelemahan, menyempurnakan kecacatan antara satu sama lain. Masing-masing punya karakter sendiri yang perlu difahami. Usah bicara tentang visual, auditori ataupun kinestatik dalam menguruskan sebuah usrah, check dahulu apakah niat kita yang sebenarnya? 


Bukan mudah menghadirkan rasa percaya dalam usrah. Tidak semudah mengungkap atau menulisnya menjadi bait yang indah tersusun. Bukan tidak pernah terduduk lemah, tewas hingga akhirnya air mata menjadi peneman tidur. Namun, atas rasa percaya bahawa usaha kecil ini bukanlah suatu yang sia-sia. 

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah 
Along beruntung punyai adik-adik yang solehah. Yang sentiasa memaafkan ketika Along bersalah. Yang sentiasa mengambil berat tentang Along. Yang sentiasa memberi idea untuk usrah kita. Yang aktif dan sentiasa cuba menyuburkan ukhuwwah di dalam usrah. Yang sentiasa konsisten hadir usrah daripada hari ke hari. Sehingga kini, prestasi adik-adik sangat baik sehingga datang lebih awal daripada along sewaktu usrah dan Along meninggalkan usrah lebih awal kerana ada urusan dan lain-lain. Maafkan Along ye! 

Semoga ALLAH menaungi kita semua di Mahsyar nanti. Amin

PENGORBANAN 
Setiap sesuatu pasti menuntut pengorbanan. Seawal usia usrah setahun jagung bukan sedikit pengorbanan yang diperlukan. Jangan berat melabur sedikit wang. Ada yang pernah berkata “ Hm, kalau ada duit lebih, bolehlah selalu belanja adik usrah aje”. Berbelanjalah ikut kemampuan. Kata orang ukur baju di badan sendiri. Islam itu mudah dan tidak memberatkan. Maka apakah yang menggerakkan hati ini jika bukan dengan keyakinan bahawa pasti ada balasan yang ALLAH sediakan buat hambaNya. Saya yakin begitu ramai naqibah yang banyak berkorban demi anak-anak usrah mereka walaupun tanpa diketahui. Ada sahabat saya yang berjalan dari bilik ke bilik adik usrahnya yang tidak datang usrah. Subhanallah. Cukuplah hanya ALLAH menjadi penilai paling tepat. 

Ingatlah tawaran ALLAH dalam surah As Soff [10] 

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? [11] Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [12] (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. 

 KREATIFKAN GAYA USRAH 

Adik-adik, Usrah itu sungguh mahal harganya. Rugilah jika paradigma kita pada usrah tidak lebih daripada sebuah bulatan semata-mata. Tanamkan dalam diri bahawa teori usrah itu dalam halaqah tetapi pelaksanaan usrah itu adalah di luar halaqah. Cuba wujudkan kemesraan di luar halaqah usrah itu adalah lebih realiti berbanding di dalam halaqah usrah. Usaha yang mudah untuk melahirkan kemesraan adalah sentiasa mesej ahli usrah dengan mesej nasihat, santai dan bertanya khabar. Awas, jangan kecewa jika tidak berbalas. Positifkan perasaan. Jangan cepat bersangka buruk, kerana sangka buruk itu mungkin boleh jadi suatu hijab yang menjauhkan hati antara kita dan mereka.

Antara cara yang cuba saya praktikkan adalah halaqah usrah diadakan secara bergilir-gilir di bilik mereka. Mereka akan berasa lebih dihargai. Namun, lebih elok minta keizinan mereka lebih awal terlebih dahulu supaya tidak ada masalah di kemudiaan hari. Secara tidak langsung kita dapat melihat suasana kehidupan mereka seharian. Kewujudan alam siber seperti group facebook pun tidak boleh dipandang sepi. Antara aktiviti menarik adalah menggalakkan ahli usrah sharekan gambar keluarga masing-masing supaya kita saling mengenali. Selain itu, kadang-kadang saya meminta pendapat supaya mereka berkongsi idea. Tanpa sedar, sebenarnya usrah sedang berjalan. 

4 WATAK NAQIB

Saya masih ingat watak naqib itu ada 4 menurut Hassan Al Banna : 
1. Watak seorang ayah (yang mesti tegas dalam didikan) 
2. Watak seorang ibu (yang memahami dan prihatin akan welfare, kewangan, kesihatan, keadaan ahli usrah) 3. Watak seorang mursyid (yang sangat menitikberatkan tarbiyah- spiritual etc) 
4. Watak Qa’id (bagi arahan/task) 

Jadi saya harap saya tidak terlupa untuk mempraktikkan watak seorang qa’id. Pada awal dahulu, saya ada menyediakan jadual pembentangan dan aktiviti sewaktu usrah. Namun, memandangkan tampak terlalu skema dan terikat akhirnya saya memutuskan untuk memberikan tugasan secara individu setiap seminggu lebih awal. Sebagai contoh, saya akan mesej kepada sesiapa yang perlu untuk mengetahui tugas mereka. 

Sebagai tarikan dalam usrah, setiap kali usrah pastikan ada sesuatu yang istimewa untuk diberikan, walaupun murah. Sebagai contoh, bookmark, handouts, keychain dll. 

Selain daripada keluar rehlah secara individu, boleh juga mengajak adik usrah keluar secara individu. Tidak semestinya secara berkumpulan. Sebagai contoh, ajak seorang adik usrah untuk menjadi peneman ketika keluar mencari keperluan. Tanpa disedari ukhuwwah akan terpupuk. Insya Allah. Bukankah Islam menganjurkan keluar musafir bersama untuk lebih mengenali seseorang. Alhamdulillah baru-baru ini berkesempatan menjejak Kota Singapura bersama adik usrah. Benarlah, musafir bersama itu boleh mengeratkan hubungan. Dengan izinNya jua. 

TANGGUNGJAWAB 
Daripada contoh usrah sahabat saya, saya telah menggunakan panggilan kekeluargaan dalam usrah seperti along, ayong,angah dan sebagainya. Pada awalnya kekok juga, almaklumlah tidak biasa, tapi lama-lama insya ALLAH lebih mesra. Insya Allah dengan panggilan ini menyedarkan mereka akan tanggungjawab memelihara usrah (keluarga) ini. Bahawa tanggungjawab itu bukan terpikul pada bahu naqibah semata-mata tetapi semua ahli keluarga berganding bahu memikirkan yang terbaik untuk sebuah keluarga. Seperkara yang sentiasa saya tekankan kepada adik-adik adalah usrah ini berjalan bukan hanya kerana adanya saya. Andainya suatu hari nanti ALLAH memanggil saya terlebih dahalu, adik-adik, teruskan perjuangan usrah ini. Semoga ada saham pahala yang tempias buat kakakmu ini . Latih mereka menguruskan usrah seperti banyakkan berikan ruang untuk mereka bersama tanpa kita. Sebagai contoh, rancang usrah tanpa kehadiran kita namun pastikan usrah itu berjalan. Mungkin ada antara ahli usrah yang boleh meng’conduct’ usrah dengan baik. 

JANGAN KEKOK MENGUCAPKAN PERKATAAN SAYANG & BERGURAU
Fitrah manusia adalah untuk menyayangi dan disayangi. Sebagaimana kita ingin disayangi begitulah kita wajar menyayangi. Walaupun seorang adik itu adalah kader dakwah sekalipun, dia masih seorang adik yang punyai hati dan perasaan. Jangan salahkan dia jika dia makin jauh daripada kita kerana gersangnya daripada ucapan bahawa kita menyayangi dia. Ucapan sayang tidak perlukan modal wang, cukuplah kesudiaan meluangkan sedikit masa untuk mengatakan sayang. Latih diri ahli usrah saling berkasih sayang, moga-moga mereka menjadi subur dengan perasaan kasih sayang. Gurauan yang berbatas juga penting supaya usrah tidak menjadi terlalu rigid dan skema. Teringat kisah Nabi Muhammad, seorang pemimpin paling sibuk namun masih meluangkan masa melayani karenah isterinya yang suka bercerita dan bermain. Subhanallah. 

PERSEDIAAN ROHANI

Pesan Naqibah saya sewaktu berusrah di surau an-nur tempoh hari jangan lupakan hubungan kita dengan ALLAH. Pastikan ada persediaan rohani sebelum bertemu wajah dengan ahli usrah. Antaranya, qiyamullail pada malam sebelum diadakan usrah. Bukankah jiwa yang mentarbiyah itu perlu ditarbiyah terlebih dahulu? 

MUDAHKAN. JANGAN SUKARKAN

Jika sekiranya tugas yang diberikan tidak dapat dilakukan, jangan cepat menghukum atau mengubah persepsi. Kata orang putih “ Take It Easy”. Jangan kerana tugasan yang kita berikan, kita membina jurang dalam usrah. Sekiranya ada sesuatu yang tidak dilaksankan dengan baik oleh ahli usrah, cubalah berlapang dada dan tersenyum. Setelah itu, nasihatilah mereka dengan cara yang baik dan tidak merendah-rendahkan mereka di hadapan orang lain. 

BERDOALAH 
Akhirnya, berdoalah. Jangan berhenti berdoa...sesungguhnya sehebat manapun usaha kita , hanya Allah pemegang hati mereka. Ikatlah hati dengan doa rabithah.

Buat, ahli usrah Hurun Maqsurah ( Bidadari Syurga yang Terpelihara) adik-adik yang along yang solehah, Ayong,Angah, Achik, Uda, Ateh, Acu, Alang, Adik.. Kita sentiasa mengulang-ulang perkataan berusrah hingga ke syurga. Semoga ALLAH memperkenankannya. Padanya ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Sama-sama menasihati, sama-sama mengingati, sama-sama melengkapi, sama-sama berlapang dada, sama-sama memaafkan barulah boleh bersama-sama di Taman Syurga. 

Along bukanlah insan sempurna. Sentiasa khilaf dalam tindakan, sentiasa terlebih, sentiasa juga terkurang. Hanya kalianlah sebenarnya warna-warna indah yang menyinarkan Hurun Maqsurah. Tanpa Along, usrah masih bersinar, tanpa kalian kelamlah usrah. 

Tiadalah niat lain selain daripada berkongsi usaha yang amat sedikit ini. Saya memohon ampun daripada ALLAH Taala andai ada yang tersilap, tersalah, terkurang dalam coretan kali ini. Semoga ALLAH sentiasa menyelimuti kita dengan kasih sayangNya yang tidak bertepi



 27/4/2012

Monday, February 20, 2012

Konvensyen Fiqh Ummah

Bismillahirahmanirahim

Asas Wasatiy di ambil firman Allah swt :-
كَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Ertinya : Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.. (Al-Baqarah : 143)
zaharuddin.net

Masya Allah masih terasa  barakah dan rahmat pada program yang dinaungi oleh para malaikat ini. Berada dalam satu majlis bersama para ilmuwan Islam dalam dan luar negara menjadikan setiap saat sangat berharga. Bagi saya konvensyen ini adalah satu konvesyen yang sangat berjaya sama ada daripada aspek dalaman ataupun luarannya. Tanpa perlu ucapan pengerusi yang terlalu skema, tanpa perlu usher yang mengiringi VIP sepanjang masa bangun duduk, malah tanpa perlu dihadkan itu ini dalam sebuah program mega, Konvensyen Fiqh Ummah ini masih gah dengan keistimewaan tersendiri. Ditambah dengan keilmuaan para ulama' sudah cukup membuatkan konvensyen ini berjalan dengan sangat lancar dan mengikut tentatif yang telah dicetak cantik dalam buku program yang sangat kemas. Apatah lagi, semua kertas kerja telah dirangkum dalam satu buku hijau yang sangat praktikal untuk dijadikan bahan rujukan apabila pulang dari dewan konvensyen.

Antara konsep wasatiy yang telah dibentangkan oleh para asatizah adalah seperti berikut.



  • Aqidah dan pendekatan ilmunya
  • Ibadah
  • Kefahaman teks Al-Quran dan Al-hadith
  • Kewangan dan ekonomi
  • Penyucian jiwa (Tazkiyatun Nafs)
  • Politik (Siyasah)
  • Gaya Hidup
  • Pendidikan
  • Kefahaman khazanah silam (turath)
  • Dakwah




  • Mendengar kepada setiap patah ucapan yang keluar daripada para asatizah membuatkan saya terasa kerdil dan dhaif. Terlalu banyak ilmu yang tidak terjangkau oleh diri saya. Subhanallah, sesungguhnya konvensyen ini mengajar saya untuk menjadi lebih insaf untuk mengiktiraf semua ulama' yang bekerja keras demi ummah. Belajarlah wasatiy dalam urusan ikhtilaf. Jangan terlalu mudah menghukum sebaliknya raikanlah semua pandangan ulama' dengan penghormatan kepada ketinggian ilmu mereka. Belajarlah menerima dan berlapang dada. Menolak pendapat para ulama' bukan beerti sewenang-wenangnya menyisihkan adab-adab kepada mereka. Jasa dan sumbangan mereka sangatlah besar dibandingkan dengan diri kita yang serba tidak tahu ini. Jangan membanding-bandingkan antara mereka kerana sesungguhnya semua ulama' sama ada zaman dahulu ataupun sekarang merupakan golongan yang dibukakan oleh Allah kepada mereka akan ilmu.


    "Pendekatan wasatiyyah adalah pendekatan sederhana dan seimbang. Ia bukan hanya sederhana, tetapi sebenarnya yang terbaik,terpilih, adil dan mampu menyatukan seluruh ummat manusia, jauhilah ghuluw (melampau) dalam beragama "

    Sekadar pandangan daripada kaca mata seorang pendengar setia pada Fiqh Konvensyen ini, wasatiyyah mengajar ummah menjadi lebih adil dan berlapang dada. Sepakat pada yang usul dan bertoleransi pada yang furu'. Menghadapi isu akidah dengan  menerima pendapat yang lain dengan tidak saling kafir-mengkafirkan, tidak saling sesat menyesatkan. Mendepani isu ekonomi dengan melihat kepada waqi' semasa. Tidak bermudah-mudah melabelkan perbankan Islam itu tidak syar'ie dan sebagainya tetapi pada masa yang sama masih menggunakan sistem itu dengan rela. Takut kepada Allah untuk walaupun ditawarkan dengan bahagian dunia yang berlebih-lebihan. Menghayati ibadah dengan adil dan seimbang antara ibadah umum dan khusus dengan tidak melampau dalam satu aspek sahaja. Melihat zakat bukan hanya pada pandangan zahir sahaja tetapi selitkan juga hikmah yang batin. Tidak melagukan al Quran semata-mata tanpa mengambil berat akan ilmu utamanya iaitu tafsir dan sebaliknya. Tidak menumpukan kepada fakta saintifik sebagai satu mukjizat al Quran kerana tafsir yang berlebihan dalam sains boleh membuka ruang kesilapan dalam mentafsir. Jika berpolitik, berpolitiklah berpaksikan al Quran dan as Sunnah sebagai panduan sebenar dan tidak mengabaikan politik dengan kedudukan yang penting sebagai satu sistem kehidupan. Jangan keterlaluan dalam berbelanja namun jangan pula terlalu kedekut sehingga kelihatan kotor dan selekeh. Jadilah golongan yang berhias. Namun jangan dilupa batas dan panduan dalam berhias. Memasuki realiti kehidupan dengan gaya hidup terbaik dan terpilih supaya dunia tidak tercicir, akhirat tidak terseksa. 

    Seperti kata Mufti Ismail Menk "Dont let the dunya take over the degree of our consious to the akhirah" dan "I work 5 days to enjoy holiday for 2 days. But, akhirah is infinity, no limit, no time

    Bekerjalah di dunia untuk akhirat yang kekal abadi. 

    Terlalu banyak kefahaman yang diperoleh tentang cara memandang kehidupan sebagai gaya wasatiyyah. Supaya wasatiyyah membantu kita menjadikan muslim yang adil pada kehidupan dalam rangka seorang hamba Allah dan khalifah Allah.


    Kami sangat kagum kepada semua asatizah yang telah membentangkan kertas kerja dengan sangat baik dan mudah difahami. Memang bergegar PWTC dengan lontaran idea yang telah diberikan. Tambahan pula, apabila mereka semua sangat sporting memberikan pelbagai contoh dan berkongsi cerita pengalaman yang menarik. Mereka sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu pernyataan. Benarlah apabila mereka berkumpul, mereka sebenarnya saling melengkapi. Subhanallah, semoga Allah memberikan kemudahan kepada mereka untuk membantu ummah taqarrub kepada ALLAH dalam cara terbaik dan terpilih.

    Antara yang istimewa juga adalah pidato mufti Ismail Musa Menk yang sangat menyentuh hati. Beliau memberikan contoh yang mudah dengan bahasa Inggeris yang senang difahami. Sesekali diselitkan dengan humor menambahkan perhatian yang mendengar.


    Wasatiy dalam hiburan, bermakna dalam rangka hiburan yang dipersetujui syarak, maka penganjur telah menjemput Ustaz Akhil Hay dan Sham Kamikaze untuk bersama-sama dalam program fiqh ini. Sham Kamikaze sendiri telah meluahkan perasaanya mengenai tanggungjawab dan amanah yang telah dipegang dalam mengajak anak muda mencintai ALLAH kerana agama itu menaungi semua, bukan hanya pada mereka yang kakinya lekat di surau masjid sahaja.

    Insya Allah, saya nak kongsikan persepakatan para asatizah sempena Konvensyen Fiqh Ummah ini :
    Kami sepakat kami perlu berakhlak dalam mengendalikan perbezaan idea, pendekatan dan analisa hukum.
    Kami sepakat jiwa yang luhur, ikhlas lagi bersih amat penting dalam melahirkan ilmuwan yang soleh dan masyarakat yang baik.
    Kami sepakat bahawa guru-guru kami memainkan peranan penting dan memberi bekas terhadap cara gaya dan pendekatan dakwah kami, justeru carilah ramai guru agar tidaklah kita terikut hanya dengan satu acuan dan pendekatan, agar kita mampu melakukan perbandingan yang lebih adil. Membuka minda tidak tertutup.
    Kami sepakat bahawa hal yang asas dan prinsip khususnya di dalam bab aqidah dan ibadat tidak boleh bersifat anjal dalam banyak perkara.
    Kami juga yakin dan seakat bahawa kemahiran, penghayatan dan kedalaman seseorang ilmuwan di dalam ilmu Usul Fiqh (khususnya dalalah al-alfaz) dalam memahami Al-Quran & Al-Hadis mampu memberi kesan yang besar kepada pendekatannya, sama ada di dalam bab aqidah, ibadah, siyasah, muamalat dan lainnya. 
    Kami juga sepakat lagi menyedari bahawa ilmu kami adalah sederhana, namun dengan pertemuan kerap di antara para ustaz dan dai’ ini diharap mampu menampung sebahagian besar kelemahan kami di antara satu sama lain, seterusnya mampu mencipta persepakatan , menambat ukhuwwah dan memudahkan jalan untuk menggerakkan dakwah kepada ummah yang kini semakin ramai yang mendambakan bimbingan dan ilmu.


    * Sedikit gambar yang sempat diambil sepanjang Fiqh Konvensyen sebagai perkongsian.

    BARISAN ASATIZAH DAN ULAMA'






    KERTAS KERJA YANG SANGAT KEMAS


    MUFTI ISMAIL MUSA MENK


    PERSEMBAHAN AKHIL HAYY




    DR ZAHARUDDIN DAN DR AB BASIT




    USTAZ IMAM MUDA ASYRAF




    USTAZ IZHAR ARIFF




    PARA ASATIZAH MELONTARKAN IDEA




    USTAZ ROSLAN


    USTAZ HUSNI


    USTAZ ABDULLAH BUKHARI


    DR MASZLEE MALIK


    SESI SIDANG PANEL


    DR ZAHAZAN


    Insya Allah
    21/2/12

    Tuesday, February 14, 2012

    Pemuda yang kucintai

    Bismillahirahmanirahim

    Ku kenal seorang pemuda


    Yang istimewa


    Tanpa perlu ditatap wajahnya

    Tanpa perlu dilihat dengan mata yang zahir


    Wajahnya digambarkan tampan disinari cahaya keagungan


    Tingkahnya diceritakan santun penuh kemuliaan


    Insan yang dulu pernah merinduiku


    Insan yang dulu pernah risaukan diriku


    Ku terpanah pada cinta pemuda berjasa ini


    ya Allah


    Aku jadi cemburu


    Pada Saidatina Khadijah yang hartawan


    Pada Saidatina Aishah yang ilmuwan


    Pada Saidatina Safiyyah yang jelitawan


    Pada semua wanita mukminah di sisinya


    ya Allah

    Apakah ada peluang untukku bertemu dengan pemuda istimewa ini?

    Apakah ada peluang untukku menikmati keindahan parasnya?

    Apakah ada peluang untukku meminta agar dia membawaku keluar daripada keperihan dunia?

    ya Allah

    Aku insan hina

    Jahil terpalit dosa

    Namun aku jua hamba

    Yang ingin dicintai olehnya

    Mendamba syafaat daripadanya

    ya Allah

    Ku mencintainya

    Muhammad bin Abdullah

    ya Allah

    Ampunkan dosa-dosaku

    Redhakanlah jannah buatku

    Amin

    Monday, January 23, 2012

    Seminar Pengurusan Kehidupan 21 & 22 Januari 2012



    Bismillahirahmanirahim.






    Alhamdulillah ya Wahhab atas segala nikmat yang terus Kau alirkan buat hambaMu yang dhaif ini. Alhamdulillah atas kesempatan menghadiri satu seminar yang sangat mantap dan wajar dihadiri oleh semua orang ingin belajar mengurus kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumiNya. Terasa tidak cukup masa yang diperuntukkan.

    Alhamdulillah, last minute sehari sebelum program, ditakdirkan oleh Allah, saya menerima mesej dan e mel berkenaan tajaan untuk mengikuti Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Al Kahfi selama 4 hari di UPM Serdang selama 4 hari iaitu 21,22,28 dan 29 Januari '12 anjuran Akademi Sinergi. Yuran yang sepatutnya dibayar adalah sebanyak RM250. Mujur ada pihak yang sudi menaja dengan izinNya. Tajaan yang disertai harapan dan seharusnya sebagai pihak yang ditaja, ada tanggungjawab yang perlu digalas supaya tajaan tidak mengalir sia-sia.

    Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, baginda bersabda, “BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA” [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]

    Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al Kahfi bermula dengan pengurusan spiritual. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menerangkan mengenai beberapa kandungan pengenalan surah yang menjadi subjek utama seminar ini, Al Kahfi sebelum membawa kami masuk meneliti satu persatu ayat yang terkandung di dalam al Kahfi. Sebuah surah yang diturunkan ketika ancaman pemikiran kepada baginda Nabi Muhammad SAW dan diturunkan selepas 15 hari baginda menunggu wahyu untuk menjelaskan 3 persoalan kaum musyrik iaitu mengenai :

    1.     Sekumpulan anak muda yang hilang secara ghaib
    2.     Seorang lelaki yang mengelilingi dunia antara timur dan barat
    3.     Berkenaan roh

    4 kisah yang bakal dibongkar selama 4 hari seminar, diceritakan serba ringkas di awal slot. 4 kisah tersebut adalah

    1.     Kisah Ashaab Al Kahf
    2.     Kisah Pemilik Dua Kebun & Sahabatnya yang Mukmin
    3.     Kisah Musa dan Hamba yang Soleh
    4.     Kisah Dzulqarnain

    Hidup ini adalah sebuah ujian. Namun sejauh mana seorang hamba itu memahami soalan apakah yang ditanya daripada ujian-ujian yang dihadapi. Jika di zaman nenek kita dahulu, diuji dengan ujian fizikal, kesusahan demi kesusahan dalam meneruskan kehidupan di era serba kekurangan, maka di zaman anak muda sekarang diuji pula dengan ujian spiritual. Cabaran yang berbeza, ujian yang berbeza. Mana mungkin golongan lebih berusia boleh mengatakan zaman mereka lebih mencabar, sedangkan anak cucu akan datang lebih dekat dengan fitnah dajjal.

    3 lapisan dalam diri yang perlu difahami oleh semua orang iaitu aqidah, cara memandang kehidupan dan sistem nilai. Kesemua lapisan inilah yang melahirkan corak perbuatan yang zahir pada diri seseorang. So, let’s check and balance!

    Cara Memandang Kehidupan

    Saya pada awalnya, tidak memahami dengan jelas bagaimana cara memandang kehidupan yang sepatutnya. Namun Alhamdulillah Ustaz merumuskan dengan satu sifir yang sangat mudah dan ringkas.

    “Apa-apa sahaja yang menjadikan aku hamba Allah, maka ianya bernilai”

    Ya, apa-apa sahaja yang terjadi dalam setiap inci kehidupan kita. Bukan hanya ketika solat sahaja sebaliknya dalam semua perbuatan dengan niat meraih redha Allah.

    Agama tidak berdiri atas keajaiban, Agama berdiri atas hujjah

    أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا

    Atau kamu mengira bahwa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) raqim itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan?
    Al Kahf 18 : 9
    “Ada nama Allah pada ikan!”
    “Ada nama Allah pada awan!”

    Dan pelbagai keajaiban yang terus menarik perhatian peminat kisah ajaib. Sebenarnya agama Islam tertegak dalam diri seseorang kerana hujjah dan keyakinan pada sumber yang berasas. Bermakna, jika tiada keajaiban sekalipun, bukan alasan untuk meninggalkan agama suci ini. Sepertimana Al Qur’an diiktiraf sebagai satu mukjizat besar berbanding mukjizat kecil seperti bulan terbelah dan sebagainya.

    Kisah Anak Muda

    Antara tema utama kisah ashaab al kahf adalah peranan anak muda. Surah ini menolak dakwaan bahawa anak muda merupakan satu golongan yang lemah dan cetek pemikirannya kerana muda bukanlah alasan untuk ditolak hujjahnya sebagaiman firman Allah dalam surah al Kahf

    نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

    Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk;

    Al Kahf 18 : 13
    Zaman muda merupakan zaman yang sentiasa dicemburui. Sebagaimana anak-anak kecil berangan untuk menjadi dewasa dan orang-orang tua terbayang-bayang apa yang telah dilakukan pada waktu muda yang tidak mungkin akan kembali lagi. Melihat anak muda pada zaman sekarang adalah cerminan apa yang telah dilakukan orang tua pada suatu ketika dahulu dan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Kata Ustaz Hasrizal juga “ Jika anak muda bertindak, dan tindakannya adalah salah, adalah lebih baik daripada anak muda yang langsung tidak bertindak”. Bukanlah beerti menerima bulat-bulat kesalahan yang telah dilakukan oleh anak muda, sekurang-kurangnya kesalahan yang ada diperbaiki dan kehebatan yang ada ditambah baik lagi.

    Apa yang penting? Mulakan langkah pertama dalam setiap perkara. Banyak persoalan akan berlegar-legar di fikiran yang tidak mampu diselesaikan kecuali setelah langkah pertama diambil. Yang kedua insya Allah, Allah akan terus memberikan kemudahan dan pertolongan. Dan terakhir insya Allah, keazaman akan diikat kemas dalam hati.

    Membina karakter adalah satu isi yang sangat ditekankan sewaktu seminar. Sesuatu yang bukan senang, sekurang-kurangnya bagi saya. Banyak cara membina karakter, antaranya sentiasa memuji diri sendiri dengan niat positif supaya kita akan sentiasa melakukan kebaikan. Islam tidak mengajar ummatnya riya’, ujub, takabur, namun tidak beerti menggalakkan kita lemah dan lesu. Bagi ibu bapa, penting memberi peluang kepada mereka menyuarakan idea sebagaimana kisah Nabi Ibrahim yang bersoal jawab terlebih dahulu dengan Nabi Ismail dalam sebuah kisah yang masyhur. 


    Kewujudan karakter yang lemah membolehkan sesetengah pihak beranggapan aktivis yang aktif di kampus, akan diam  dan terus diam apabila hanya mendapat sebuah myvi setelah bekerja. Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah  saya mampu membina karakter apabila pulang dari seminar ini, tidak lama kemudian Ustaz Hasrizal menjawab dalam ceramahnya. Beliau menjelaskan karakter tidak terus terbentuk sebaik sahaja pulang daripada seminar, sebaliknya ia adalah sebuah proses yang memerlukan masa. Alhamdulillah.


    Uzlah

    Oh ya, kisah Ashaab Al Kahf merupakan kisah pemuda yang beruzlah. Dan mereka adalah golongan mulia dan terpuji. Adakah kita perlu beruzlah sebagaimana mereka? Ustaz menjelaskan ada 3 perbezaan antara kita dan mereka. Syariat yang berbeza, kelebihan untuk kita dalam mencampuri masyarakat dan persekitaran yang berbeza di mana mereka dikelilingi kaum yang kufur.

    “Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

    Mencampuri masyarakat merupakan satu tuntutan untuk kita semua menyebarkan Islam. Beruzlahlah dalam aspek spiritual, jangan beruzlah secara fizikal. Seperti pesan Nabi dalam hadith, ke mana sahaja seseorang itu pergi, beliau harus mencari tiga perkara. Jamaah, Orang Ramai, dan Masjid. Masuk ke dalam masyarakat bererti kita meredhai diri untuk dicederakan secara emosi. Berhati-hatilah dalam menghukum kerana takut dengan peringatan Nabi Muhammad SAW.

    إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُم

    Jika kamu mendengar seseorang berkata “ semua orang (masyarakat) rosak” , maka dialah orang yang paling rosak

    -Hadith Riwayat Muslim-

    Masalah pasti wujud, namun lebih baik jika disebutkan masalah dengan optimis bukan pesimis.
    Surah Al Kahf juga banyak menceritakan mengenai sifat seorang mukmin yang wajar ada pada mereka. Sekadar beberapa contoh. Berlemah lembut, jangan bersikap tegar, menumpaskan kekerasan dengan kelembutan, low profile. Semuanya dihurai dengan mudah difahami oleh Ustaz Hasrizal sewaktu pembentangan.

    وَكَذَلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

    Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari". Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seseorang pun.

    Dan kepentingan perlunya menjangkakan risiko :

    إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَنْ تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

    Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya".

    Lupa

    Manusia itu sifatnya lupa, malah Nabi juga ada terlupa. Namun lupa nabi bukanlah menunjukkan kekurangan, tetapi sebaliknya pengiktirafan kelemahan itu yang akhirnya akan menonjolkan kekuatan diri. Tapi sahabat-sahabat sekalian, jangan lupa 7 perkara penting.

    1.     Allah
    2.     Insya Allah
    3.     Permusuhan Syaitan
    4.     Kewajipan
    5.     Tujuan Hidup
    6.     Mati
    7.     Akhirat

    Inilah serba sedikit perkongsian daripada seminar yang telah dihadiri. Maafkan saya kerana perkongsian yang tidak sistematik dan tersusun. Semoga ada secebis mutiara ilmu yang mampu memberi manfaat. Semoga diizinkan oleh Allah untuk menadah ilmu pada minggu hadapan pada 3 pengurusan penting iaitu pengurusan harta, kuasa dan ilmu. Insya Allah. Mohon ampun dan maaf atas kekurangan dan saya bertawakal kepadaNya. Ameen.

    p/s : Jangan lupa sentiasa sebut ‘Insya Allah’ ye :)

    وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا
    إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لأقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

    Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi,
    kecuali (dengan menyebut): "Insya-Allah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini".

    Al Kahf 18 : 23-24

    Best Quotes @ Seminar Pengurusan Kehidupan :

    "Infiniti kebahagian di syurga sepatutnya boleh menjadikan kita tidak hairan dengan sedikit kesusahan di dunia"

    "Tanda Islam itu ‘function’ dalam diri seseorang adalah Islam memberi ummatnya untuk bangkit"

    "Menjadi manusia yang hebat merupakan satu perjuangan bukan pilihan"


    "Rasa tenang itu hadir daripada rahmat Allah Taala"


    "Tarbiyah adalah seni membentuk manusia" - Syed Qutb


    "Jangan jadi lilin, jadilah pelita yang menerangi orang lain dan diri sendiri tidak terbakar"


    "Orang muda yang aktif, ada potensi mengalami kecederaan emosi, perlu ada masa untuk menyendiri dan muhasabah"


    "Perkataan menyampaikan 10 % daripada mesej, intonasi menyampaikan 30 % daripada mesej dan body language menyampaikan 60 % daripada mesej!"


    "Membetulkan kesalahan manusia tanpa memaafkan tidak berkesan kerana telah putus hubungan antara kita dan mereka"


    "Antara rahmat Allah kepada hambaNya adalah sifat tenang, memaafkan, lemah lembut dan lapang dada"


    "Masalah boleh bertukar menjadi peluang"


    "Orang yang sentiasa fikir tentang mati akan tidak merasa rugi kehilangan dunia"


    "Jika tidak percayakan akhirat, dunia tidak akan memberikan keadilan"


    "Orang Islam adalah satu pakej unik yang mempunyai identiti tersendiri"


    "Halal lihatlah pada ingredient tapi thoyyiban lihatlah pada nutritious food "


    "Muhasabahlah jika tetamu tidak datang ke rumahmu, telah hilang satu saluran rahmat Allah kepadamu"


    "Rasa tenang adalah cuaca hati, walaupun tiada tempat kondusif, hati masih juga tenang"


    "Uzlah zaman sekarang bukan uzlah fizikal tetapi uzlah intelek, emosi dan spiritual"


    " Menyendiri untuk sharpen the saw "

    Seminar Pengurusan Kehidupan 21 & 22 Januari '12

     

    Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat