Friday, September 12, 2014

Harta Berjuta





“Assalamualaikum, K. Teh. Amni dan Izzah sihat? Adik mimpikan mereka tadi. Rindu kot lama tak berjumpa…” tulis saya di ruangan whatsapp kepada kakanda nun jauh di kampung mengenai anak-anaknya. Rindu sehingga terbawa-bawa ke mimpi.  

 “ Semalam baru hantar mereka berdua ke asrama. Hmm, Alhamdulillah, bahagia bila teringatkan mereka berdua…” balas kakak saya. Ada nada sayu dan syukur yang dapat saya rasai daripada balasannya.

“ Alhamdulillah, adik pun rasa K. Teh sangat bertuah dikurniakan dua anak dara seperti Amni dan Izzah…” saya membalas ringkas, sebelum menghentikan perbualan.

Sejenak, saya terkenang dua anak saudara yang dikasihi itu. Amni sudah menjejak tingkatan 3 dan Izzah di tingkatan 1. Syukur pada Allah, kedua-duanya terpilih ke Sekolah Menengah Imtiaz, masing-masing di Kuala Terengganu dan Besut, setelah melalui pelbagai ujian dan tapisan kerana terlalu banyak permohonan untuk memasuki sekolah sains hafazan itu.

Dalam usia yang masih muda semenjak sekolah rendah, kedua-duanya sungguh rajin membantu. Masih saya ingat pujian bonda merangkap nenek mereka. “ Kalau Izzah ada, selamatlah ayam di sinki, semua selesai dibersihkan sehingga disimpan di dalam peti. Amni pula, tak henti membantu mengemas rumah, pantang betul dia melihat rumah bersepah. Sehingga tak sedar kadang kala mainan adik-adiknya pun tak diizinkan bersepah. Kena diingatkan supaya dibiarkan sahaja agar adik-adiknya boleh bermain…” saya tersenyum. Benar sekali setiap kata-kata bonda.

“ Su a, doakan Izzah. Hmm Izzah rasa sukar nak menghafal. Izzah rasa tak mampu…” ada tangisan mengiringi luahannya kepada saya di melalui corong telefon awam di sekolahnya semasa mula-mula memasuki alam sekolah menengah. Tekanan yang mungkin tidak pernah dirasai semasa sekolah rendah.

“ Allah tahu Izzah mampu, sebab itu Izzah ada di sana. Sabar ye sayang. Setiap rasa kesusahan Izzah, ada pahala yang sentiasa mengiringi. Itu yang lebih penting. Dulu kan, Izzah yang bersungguh ingin belajar di Imtiaz, seperti Su a dan kakak Amni? Lagipun, Izzah boleh bincang dengan kakak Amni, dia kan sudah lama mula menghafal…” saya memberi cadangan. Benarlah, tidak lama kemudian, dia semakin ceria dan akhirnya semakin kuat menghadapi hari-hari dengan rutin yang baru.

Saya akui, dilahirkan menjadi anak bongsu, saya bukan seorang ‘rajin’ membantu di rumah. Sementelah, saya memiliki 7 orang kakak perempuan yang rajin serba serbi. Maka bertambah lagi kekaguman saya pada dua anak remaja ini, Amni dan Izzah. Mereka cukup ringan tulang membantu, malah sangat mudah disuruh. Benarlah, barangkali di situ ada keberkatan untuk pelajarannya jua. Meskipun saya maklum, kakak saya tidaklah terlalu tegas dan cerewet dalam soal pembelajaran anak-anak.

“ Su a, nanti bawa balik tudung-tudung labuh yang su a dah tak pakai lagi ye. Kami nak pakai. Kasihan Ummi nak beli banyak sangat.…” pesan mereka kepada saya sewaktu pulang baru-baru ini. Allah, kian sayu hati ini sambil mengemaskan beberapa helai tudung labuh ke dalam beg yang ingin dibawa pulang ke kampung. 

Sekilas, teringat pula anak-anak dara k. Ta, iaitu Dania (Tingkatan 1) dan Sufi (tahun 6). Adik-adik ramai yang masih kecil diuruskan dengan baik. Pampers dan susu menjadi teman harian, membantu mama mereka. Sungguh, saya sendiri tak pernah mampu menjadi seperti mereka di usia sementah itu. Saya tidak pasti, apakah suasana yang mendesak mereka menjadi ‘rajin’ sebegitu, tetapi yang saya pasti, mereka tahu hidup ini bukan hanya tempat bersenang lenang, tetapi saling berkhidmat apatah lagi kepada ayah dan ibu tercinta. 

Saya masih ingat sewaktu baru-baru ini membawa Amni, Izzah, Dania, Sufi dan beberapa lagi anak saudara yang masih kecil ke sebuah pasaraya, saya memberikan mereka kebebasan untuk mengambil apa sahaja keperluan asrama yang mereka mahukan, dan akhirnya saya sedar, tiada satu pun di tangan mereka!. Dan mereka menolak mengatakan tidak ingin menyusahkan saya. Seusia mereka sudah tahu budi, yang saya sendiri malu dengan diri ini. Balik ke rumah, saya menceritakan situasi itu kepada ibunya, dan benarlah mereka seringkali risau akan menyusahkan terutama melibatkan wang. " Kadang-kadang perlu ditanya, barulah diberitahu apa yang tidak cukup..." cerita kakak saya. Pernah sekali saya tanyakan " Amni nak handset Su a yang dah tak digunakan ni?" Dia pantas menggeleng sambil dijawab dengan suara rendah bimbang didengari umminya. " Ummi tak bagi.."

Lantas, membawa saya menyelusuri kisah dahulu sewaktu saya di asrama, seringkali tanpa segan meminta itu dan ini dengan ibu ayah untuk dibawa ke asrama.

 Dan sedemikian ramai anak-anak saudara yang lain, tidak cukup untuk ditinta di dalam tulisan yang ringkas ini. Mereka yang kadangkala sering beralah antara satu sama lain, ketika 'berebut' makanan, mainan, jua giliran menggunakan komputer. Juga tak dilupakan, gaduh-gaduh manja tanda mereka masih anak kecil :D

Anak itu benarlah adalah anugerah yang menyejukkan hati. Mereka tak punyai harta berjuta, tapi dikurniakan anak yang nilaiannya jauh daripada sejuta. Mereka tak hidup dalam kesenangan yang berlimpah, namun hati cukup senang dengan keluarga yang sederhana.

Maklum akan cabaran masa kini, saya diasak rasa yang bermacam. Apakah nanti, anak yang bakal lahir ini mampu kudidik dengan baik? Saya terasa seakan lemah tak berdaya. Takut dengan cabaran menjadi ibu. Bukan sekadar ibu, tetapi ibu yang mendidik. Kerana setelah melihat para ibu ini berjuang, saya tahu ia tak pernah mudah semudah melakar tulisan ini. Tetapi penuh dengan jerih payah dan tangisan yang menemani. Sedari anak sekecil tapak tangan, sehingga akhirnya semakin mencecah usia dewasa, cukuplah hanya kepada Allah disandarkan kekuatan dan harapan.

Kalau dulu, kebanyakan masa saya di rumah banyak dihabiskan bersama mereka dengan pelbagai aktiviti bersama, kini setelah saya berkahwin, saya akui banyak yang kian berubah. Masa dan jarak yang semakin mencemburui, apatah lagi tanggungjawab yang sudah berbeza. Namun, doa dan ingatan untuk mereka tak pernah terhenti, kerana mereka antara insan penting yang suatu ketika dahulu cukup akrab dengan diri ini.

Allah, sungguh saya rindu, pada wajah mulus mereka tersenyum. Serta bantuan demi bantuan yang ditawarkan setiap kali pulang ke kampung. Juga saya rindu, akan santun bicara mereka kepada ibu saudara bongsu ini.

Benar, perjalanan masih jauh. Masih banyak yang belum teruji. Jua mungkin masih belum ‘bertemu’ sebenar-benar ‘wajah’ dunia yang akan menguji dan sukar difahami. Namun, bertahanlah kalian. Dunia ini cukup sebentar, moga kesukaranmu menjadi asbab kunci pintu syurga. Allahumma amen.

120914 @ 8.19pm





Sunday, August 17, 2014

EKSPRESI ‘JAWATAN’




" Risau betul kalau suka duduk di samping keluarga je di hujung minggu.."
" Sungguh menyedihkan tidak sanggup bekerja overtime.."
" Kenapa tidak stay lama di pejabat, bukankah kerjaya adalah satu amanah...?"
" Teruknya, bila ada cuti, fikir nak balik kampung sahaja..."

Terngiang-ngiang kata-kata yang menjengah pendengaran sewaktu menghadiri satu kursus baru-baru ini. Benar, tidak dapat dinafikan bahawa besarnya amanah sesuatu jawatan dalam bidang pekerjaan. Sesuatu yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Sekalung rasa hormat dan kagum pada insan yang berkorban masa dan harta dalam bidang kerjaya masing-masing. Semoga ada barakah yang mengiringi setiap usaha yang bersungguh-sungguh sedemikian.

Namun alangkah...kita adalah insan yang sering lupa. Ketika kita bimbang mengenai amanah 'jawatan formal', kita seringkali lupa kita ada banyak jawatan lain yang juga kelak akan dipersoalkan di sana nanti. Jawatan ‘tidak formal’ yang boleh jadi ia lebih besar dan penting. 

Allah SWT telah menganugerahkan kita dengan peranan pelbagai yang perlu dipertanggungjawabkan. Kita juga ada 'jawatan' sebagai anak, suami, isteri, ibu, bapa, sahabat, jiran, saudara dan pelbagai lagi yang tak kurang pentingnya. Justeru, setelah kita berpenat payah di tempat kerja, kita pulang jua dengan amanah lain yang perlu dilunasi. Bukanlah jika kita tidak sudi berlama-lama di sesuatu tempat bererti ia tidak penting, cuma di luar sana masih ada tugas yang perlu dilaksanakan sebagai hamba dan khalifah Allah.
SALING BERSANGKA BAIK
" Risau betul kalau suka duduk di samping keluarga je di hujung minggu.."
Fikirkanlah kembali, mungkin dia adalah seorang ibu yang sedang memikirkan rencana terbaik untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama anak-anak di hujung minggu setelah berhempas pulas di sekolah pada hari biasa. Pada anak-anak mereka ada hak yang perlu dilunasi lebih daripada sekadar menyuap nasi setiap hari.
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا (٩)
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (Surah An Nisaa’ 9)

" Sungguh menyedihkan bila tidak sanggup bekerja overtime.."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang isteri yang ingin pulang menyediakan keperluan suami kerana menginsafi bahawa ada hak besar pada diri seorang suami seperti yang telah disampaikan oleh baginda Rasulullah.

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ النِّسَاءَ أَنْ يَسْجُدْنَ لأَزْوَاجِهِنَّ لِمَا جَعَلَ اللَّهُ لَهُمْ عَلَيْهِنَّ مِنَ الْحَقِّ

Seandainya aku memerintahkan seseorang untuk sujud pada yang lain, maka tentu aku akan memerintah para wanita untuk sujud pada suaminya karena Allah telah menjadikan begitu besarnya hak suami yang menjadi kewajiban isteri” (HR. Abu Daud no. 2140, Tirmidzi no. 1159, Ibnu Majah no. 1852 dan Ahmad 4: 381. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pula berkata,
وليس على المرأة بعد حق الله ورسوله أوجب من حق الزوج
Tidak ada hak yang lebih wajib untuk ditunaikan seorang wanita –setelah hak Allah dan Rasul-Nya- daripada hak suami” (Majmu’ Al Fatawa, 32: 260)

" Kenapa tidak stay lama di pejabat, bukankah kerjaya itu adalah satu amanah...?"
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang lelaki yang telahpun selesai menunaikan amanahnya di sekolah dan ingin pulang berkhidmat kepada masyarakat setempat pula. Di sana sini ada amanah!
" Teruknya, bila ada cuti je, fikir nak balik kampung sahaja..."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang anak yang ingin berbakti buat kedua orang tua di usia emas mereka dan memilih untuk pulang bertemu mereka dengan lebih kerap. Apatah lagi ada yang memotivasi dirinya bahawa redha Allah itu adalah pada redha ibu bapa sebagaimana hadith baginda Rasulullah SAW : Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.

Ayuh kita jadi insan yang saling bersangka baik, bukan hanya tahu melabel dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Selagi mana tugas yang ada dilaksanakan dengan baik, janganlah cepat memandang buruk kerana kita tidak pernah tahu situasi seseorang yang tidak sama seperti kita. Justeru, ketika kita memilih untuk cemerlang di tempat kerja lebih daripada komitmen di rumah, semoga kita menjadi orang yang berlapang dada dengan mereka yang memilih sebaliknya. Jika kita adalah orang yang memilih untuk cemerlang di rumah lebih daripada kerjaya, semoga kita bersangka baik dengan mereka yang memilih sebaliknya. Dan jika kita adalah insan yang cemerlang di kedua-dua lapangan, bersyukurlah dan teruskan usaha untuk istiqamah memberikan yang terbaik diniatkan hanya kerana Allah.

DEFINISI KEJAYAAN
Tugasan yang banyak dan sukar dijangka di alam pekerjaan tidak sesekali akan membebaskan diri kita daripada tanggungjawab menguruskan kehidupan dan keluarga. Jadilah cemerlang dalam menguruskan kehidupan dunia dengan harapan untuk memperoleh kejayaan di akhirat, itulah kejayaan yang hakiki.
Setiap orang berbeza cara mendefinisi kejayaan dalam hidup. Terlalu besar dan luas maknanya. Semoga Allah meluruskan cara kita memandang amanah di dunia ini dengan sebaik-baiknya, bukan hanya dari kaca mata dunia semata. Setelah kita membuat pilihan akan keutamaan dalam hidup kita, tenang dan serahkanlah kepada Allah, cukuplah Dia menjadi sebaik-baik Hakim yang menilai setiap usaha sepanjang jalan mencari mardhatillah.

Thursday, August 14, 2014

Izinkan hatiku bicara...:)


Izinkan hatiku bicara,
Merungkai apa yang di jiwa,
Apabila saat sukar dan payah menjelma,
Sungguh aku tak lagi berdaya.

Izinkan hatiku bicara,
Memang benar aku wanita,
Yang tampak kuat dan seakan tak punya,
Apa yang sesak di dalam dada.

Izinkan hatiku bicara,
Realitinya aku wanita yang tak sempurna,
Dan sesekali takkan pernah sempurna,
Kerana aku hamba yang tak punya apa-apa.

Izinkan hatiku bicara,
Ada masanya ku henyakkan diri,
Sambil mengeluh duduk di atas para,
Lalu tangan kuhulurkan minta dari Dia.

Izinkan hatiku bicara,
Namun kekuatan takkan ku lupa,
Ada pada wahyu bicara Dia,
Selembar naskhah al Qur’an seakan bernyawa.

Izinkan hatiku bicara,
Dia jua mengurniakan doa,
Sebagai senjata agar kita tak lupa,
Dia lebih dekat adanya daripada sesiapa jua.

Izinkan hatiku bicara,
Mengapa seringkali rasa sukar yang ada,
Menutup mata kita semua,
Daripada nikmatNya yang tak terkira.

Izinkan hatiku bicara,
Dalam saat terasa tak punya,
Kenapa tidak lihat yang lebih tak kuasa,
Kurang di sini sana tetap tersenyum tawa.

Izinkan hatiku bicara,
Syukurilah insan di sisi kita,
Sentiasa kasih dan peduli tak pernah berkira,
Biarpun kita insan kurang segalanya.

Izinkan hatiku bicara,
Bukankah Dia Ilahi sentiasa ada,
Menghulurkan kasih dan cinta sentiasa,
Membuka ruang dan pintu syurgaNya.

Lantas, apa lagi yang kita damba?
Jika bukan nikmat kekal abadi di sana.
Hatiku diam tak lagi bicara,
Ingin bicara hanya dengan Dia.

Nur A'isyah Humaira binti Ismail
12:06 a.m / 140814

Sunday, June 22, 2014

JAGA AURAT JAGA IMAN



ونساءٌ كاسياتٌ عارياتٌ مميلاتٌ مائلاتٌ . رؤوسُهنَّ كأسنِمَةِ البختِ المائلةِ . لا يدخلْنَ الجنةَ ولا يجدْنَ ريحَها . وإن ريحَها لتوجدُ من مسيرةِ كذا وكذا
 Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Merenung ayat ini pasti akan menghadirkan rasa gerun dalam hati wanita yang beriman kerana bimbang jika benar belum sempurna tatacara berpakaian yang diamalkan sejak baligh. Wanita dan aurat, sentiasa menjadi topik perbincangan yang tidak pernah terhenti. Semakin lama semakin ramai wanita yang sedar akan kewajipan melindungi aurat. Semakin ramai juga wanita memilih untuk berhijab. Namun masih banyak yang perlu diperhalusi agar menutup aurat tidak dianggap hanya selesai dengan bertudung semata-mata tanpa mengambil berat tentang syarat-syarat menutup aurat yang sebenarnya menurut perspektif Islam. Begitu jua dengan saiz dan material hijab dan pakaian yang dipilih.

Dalam kebanjiran variasi fesyen kini, setiap wanita perlu peka dan tahu untuk mengukur baju di badan sendiri. Sebagai contoh, material kain yang sesuai dengan seseorang yang bertubuh kurus dan sederhana belum tentu akan sesuai juga dengan yang bertubuh besar. Begitu juga sebaliknya. Selain itu, warna, corak dan fesyen yang digayakan juga hendaklah tidak berlebihan dan terlalu menarik perhatian, lebih-lebih lagi jika ia tidak dijadikan kebiasaan dalam suasana dan kawasan berkenaan.

Biasanya kain yang dipakai bukan sahaja belum cukup tebal untuk melindungi aurat, malah berpotensi untuk terselak ketika bergerak. Untuk memastikan usaha kita melindungi aurat menjadi lebih sempurna, ada hadith Nabi Muhammad SAW yang menceritakan mengenai seorang wanita yang memakai seluar panjang di sebelah dalam.

"Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang" (Riwayat Al-Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245 ; Hadis ini dhoif namun menurut Imam As-Suyuti kepelbagaian jalan periwayatnya menjadikannya naik ke taraf Hasan) .

Hadith ini disebut di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi saw memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata, dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu Rasulullah saw memuji dan menyebut hadith di atas.

Subhanallah, betapa kasihnya Allah pada muslimah yang sentiasa cuba bermujahadah untuk menyempurnakan kewajipan menutup aurat dengan sebaik-baiknya. Memakai seluar panjang di sebelah dalam bukan hanya untuk membantu dirinya menjaga maruah dan aib diri, namun lebih utama ia mampu mendatangkan rahmat Allah ke atas dirinya.

Lebih-lebih lagi pemakaian seluar panjang di sebelah dalam ini adalah sangat perlu diamalkan oleh wanita masa kini yang sentiasa aktif di luar rumah. Antaranya ia diperlukan untuk memastikan kain tidak terselak hingga menampakkan betis ketika naik turun kenderaan, naik turun tangga, membetulkan kedudukan ketika duduk di atas kerusi dan terlihat di sebalik pancaran terang matahari. Juga untuk memastikan auratnya sentiasa terpelihara sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti terjatuh, kemalangan dan sebagainya. Pemakaian seluar panjang ini dapat membantu agar aurat dapat kekal dijaga dengan baik dalam apa juga situasi yang mungkin akan berlaku.

Ramai muslimah yang mengambil ringan dengan pemakaian seluar panjang di sebelah dalam malah memilih untuk memakai kain dalam nipis yang masih menampakkan bentuk kaki terutama ketika terkena cahaya matahari. Ini adalah suatu kesilapan yang tanpa sedar boleh menjejaskan penyempurnaan dalam melindungi aurat.

Memang tidak dapat dinafikan, memakai seluar panjang di sebelah dalam masih belum menjadi kebiasaan para muslimah kini. Biasanya, persepsi pertama adalah rasa tidak selesa seperti tebal, panas dan sebagainya. Namun saya percaya, banyak perkara yang sukar pada awalnya akan menjadi salah satu perkara yang mudah dan senang setelah dibiasakan. Antara tips mudah untuk membiasakan diri dengan pemakaian seluar panjang adalah seperti berikut :

1. Menjadikan hadith Nabi seperti yang di atas sebagai motivasi spiritual untuk mujahadah dan istiqamah.
2. Mengajak ahli keluarga perempuan atau sahabat perempuan yang lain untuk sama-sama bermujahadah untuk memakainya.
3. Menyediakan seluar panjang yang selesa dan bersesuaian untuk dipakai di sebelah dalam seperti seluar palazzo. Ataupun mengikut keselesaan masing-masing.
4. Bersabar, pada awal-awal percubaan untuk memakainya dan tidak cepat berputus asa. Akan tiba masanya, ia tidak lagi menjadi sesuatu yang berat untuk diamalkan.
5. Berdoa, supaya diberikan kekuatan untuk istiqamah dengan amalan yang menjemput rahmat Allah.

Semakin tebal tidaklah bererti semakin panas. Saya masih ingat ketika menaiki sebuah bas ketika pulang daripada program kampus, saya dan beberapa orang rakan duduk sebaris dengan seorang wanita bukan Islam di baris paling belakang. Dengan keadaan penghawa dingin bas yang rosak, suasana di dalam bas memang agak panas. Namun wanita bukan Islam yang tidak bertudung tadi kelihatan sungguh tidak selesa dengan peluh yang membasahi wajahnya. Sedangkan kami yang bertudung dan berjubah tebal tidak pula dibanjiri peluh sepertinya. Ketika itu kami bermuhasabah sendiri. Ternyata, sifir manusia tidaklah semudah yang dinyatakan. Semakin tebal tidaklah bererti semakin panas. Hanya sahaja, didiklah hati untuk ikhlas dan tenang dalam beramal kerana hati yang tenang pasti boleh mendinginkan. Apatah lagi, jika pakaian yang dikenakan diniatkan untuk meraih redha Allah semata-mata, bukan hanya untuk tampil cantik digayakan di hadapan orang yang tidak sewajarnya.

Sungguh membimbangkan, apabila para muslimah lebih seronok melabur wang yang banyak untuk membeli pakaian yang cantik di mata manusia tetapi belum pasti serasi dengan syariat Dia. Lebih membimbangkan apabila cantiknya pakaian yang dipakai dirasakan jauh lebih penting daripada niat sebenar untuk melindungi aurat demi meraih cinta Ilahi.

Berdoalah teman muslimahku, agar kita tak tergolong dalam mereka yang berlebih-lebihan dalam berpakaian. Sehingga akhirnya terhijab mata hati daripada melihat pakaian yang dikenakan sebagai salah satu ladang pahala yang dianugerahkan oleh Allah buat para muslimah yang berjuang mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya di dunia ini. Berdoalah agar dijauhkan rasa riya’ dan bangga dengan pakaian cantik yang dikenakan. “Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).


Semoga kita semua dikurniakan hati yang tabah untuk beristiqamah dengan kebaikan sama ada besar atau kecil hingga ke hujung nyawa kerana pengakhiran hiduplah yang akan menentukan segalanya. Buat akhirnya, renungilah sabda baginda Nabi SAW "Sesungguhnya (keadaan) amalan itu (boleh dilihat) pada penghujungnya (keadaan kematiannya)".

Nur A'isyah Humaira Ismail
220614. 4:12 pm

Sunday, May 11, 2014

Pesona wanita bergelar ibu


Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” . Al Isra 23 dan 24

" Terima kasih ibu, kerana telah menjadi ibu yang terbaik buat adik selama ini dan selamanya hingga ke akhir hayat.." saya meluahkan rasa sepenuh perasaan di corong telefon. Bonda di sana terdiam sebelum membalas. " Ya Allah, terima kasih jua adik kerana menjadi anakanda yang terbaik selama ini". Kami sama-sama larut dalam sebak dan sayu. Meskipun jarak antara kami kian mencemburui, namun dia, seorang ibu sentiasa dekat dalam hati ini. Sentiasa. Sukar diluahkan, sukar digambarkan, cukuplah hanya Allah yang tahu rasa ini.

" Maafkan adik atas bebanan perasaan dan fikiran yang terpaksa ibu lalui selama ini kerana diri ini. Doakan adik ye..."

" Ibu sentiasa doakan adik, kebahagiaan kehidupan adik, kebahagiaan rumahtangga adik seluruhnya sehingga ke syurga.."

Saya makin dihambat pilu. Entah kenapa, malam ini sayu sungguh rasanya, berbanding hari-hari sebelum ini kami sentiasa berbicara ceria.

" Biarpun ada orang yang bersangka tidak baik, biarpun ada orang yang tidak menghargai, adik di sini tetap memandangmu dengan penuh kesempurnaan seorang ibu. Yang mengandung, melahirkan dan membesarkan diri ini dengan sebaik mungkin. Sehingga akhirnya diri ini mampu berjalan sendiri di bumi yang mencabar ini.." hati saya bermonolog sendiri usai berbicara panjang dengan bonda yang dikasihi. Mengenangkan wajahnya yang kian dimamah usia, saya semakin sebak. Pada wajahnya yang masih cantik sempurna di usia emas, terbayang jerih perih kepayahannya yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada sesiapa jua. Kesusahan suatu ketika dahulu dalam serba kekurangan, namun tegar dan tabah demi cinta dan kasih buat seluruh ahli keluarga yang terpikul di bahunya.

Dialah yang bangun seawal sebelum subuh, menyiapkan kami ke sekolah, dalam malas dan bising kami adik beradik. Dialah yang membersihkan rumah dan halaman rumah setiap hari sebaik mentari menampakkan diri. Dialah yang menanti kami di pintu rumah, dengan senyuman dan hidangan tengahari, setiap hari. Dialah yang menyiapkan kelengkapan sekolah, dan meminta kami menyiapkan kerja sekolah. Di tengah malam, dialah yang terus menjahit menyiapkan tempahan, bagi membantu ayahanda mencari nafkah kami sekeluarga. Dialah yang terus menerus berbakti pada rumah kami. Hanya dengan sentuhan tangannya, tanpa dibantu oleh sesiapa.

" Entah bila waktu rehat dan tidurnya ketika itu, saya pun tak tahu...!" cerita seorang saudara kepada saya ketika dia datang menziarahi rumah kami. Saya terdiam kerana saya tidak pernah tahu. Kerana, ibu kami tak pernah menceritakan kepada kami. Bahawa seluruh kehidupannya ketika itu dihabiskan dengan melunasi tanggungjawab Tuhan kepada dirinya.

" Ketika itu, kawasan kampung ini belum meriah begini. Hanya ada beberapa rumah, itupun jauh daripada sini. Gelap dan sunyi. Tapi ibu kalian memang berani, tengah malam pun masih keluar daripada rumah jika ada keperluan. Siang hari pula membasuh di sungai sana...Tidak ada beza tugas yang dilakukan ketika mengandung ataupun tidak" Saudaraku itu terus menyambung cerita. Anak matanya seakan memandang jauh, kisah dahulu. Ketika diri ini masih belumpun wujud dalam rahim bonda.

Bermula sejak kecil hinggalah semakin dewasa, terlalu banyak jasa seorang ibu. Dialah yang berusaha susah payah agar diri ini dapat belajar di sekolah agama, dan dialah jua yang memberi sokongan untuk terus menyambung di bidang agama. Biarpun ketika ini diri ini masih berbolak balik dengan keinginan diri sendiri. Ternyata pilihan ibu jua yang menepati taqdir Ilahi, hanya lafaz tahmid buat mewakili diri yang bertuah memiliki ibu yang berfikiran jauh seperti dirinya. 

Dia tidak ada segulung ijazah, jua tidak memiliki pelajaran yang tinggi, namun kesungguhannya terbukti apabila kami semua seramai 11 orang memiliki kerjaya dan kehidupan yang baik. Semoga kami takkan pernah lupa, bahawa di sebalik semuanya adalah seorang ibu yang tak pernah lelah mengalirkan air mata dalam doa dan sujud buat semua anaknya yang terkasih. Jua pandangan dan ideanya yang hampir kesemuanya menjadi pilihan kami dalam membuat keputusan sama ada dalam pelajaran mahupun kehidupan seharian. Dia jua, insan yang menjadi pendengar buat kami ketika kami gelisah dan resah, setiap katanya menjadi penawar dan menyejukkan hati.

Dialah seorang insan, yang tak pernah membuatkan air mata ini mengalir kerana terluka, tetapi dialah jua yang tak lepas daripada dibebani sesak perasaan kerana anak-anaknya.

Dialah seorang ibu, seorang wanita yang cukup dicintai, ketabahannya sukar digambarkan oleh bait kata, hanya mampu dirasai jauh di dalam sudut hati. Terima kasih Bonda, sehingga kini setelah bergelar isteri, diri ini tak pernah merasai kehilanganmu, tetap jua dirimu menjadi kasihku yang istimewa. Justeru,dalam waktu bersisa, kami adik beradik sentiasa cuba memastikan kesenangan dan senyum di bibir bonda. Namun, sebanyak manapun kami memberi, takkan pernah mampu untuk kami balas segala jasanya di masa lalu. Hanya Allah jua yang tahu, dan hanya Dia sebaik-baik pemberi balasan.

Semoga kita semua menjadi anak yang mensyukuri kecil atau besar kebaikan ibu. Temanku, sementara masih ada masa yang tersisa, berbaktilah buat ibu. Jika dia telah pergi, titipkanlah doa buatnya di alam sana. Pada sebahagian dirimu, ada kasih dan cintanya yang tulus dan membara. Bukan harta dan kesenangan yang dia impikan, tetapi pengertian dan perhatian, bahawa dia adalah insan yang sentiasa dikasihi dan dicintai sehingga akhir usianya.

aisyahumaira 110514 / 8.45 am


Wednesday, May 7, 2014

Impian yang sempurna




Dalam conteng-conteng pada kali ini, terasa ingin berkongsi dengan teman yang dikasihi, bahawa Allah sentiasa menyediakan aturan terbaik untuk kita semua. Semuanya sebenarnya bergantung kepada diri kita sejauh mana kita berusaha untuk menghargai diri sendiri. 

Kalaulah kita bangun pagi, dan melapangkan waktu untuk merenung...dengan ikhlas dan penuh penghayatan.. Subhanallah, Maha Suci Allah yang masih memberikan pinjaman nafas untuk kita. Itulah salah satu nikmat besar yang menjadi tanda bahawa Allah masih menyediakan ruang untuk kita mencari bekal amal soleh dan insaf akan dosa-dosa yang lalu. Jua menjadi peluang untuk kita memaknai kehidupan dengan lebih cemerlang menurut acuan hati yang fitrah. Kita sebenarnya tak pernah tahu, bahagian mana dalam kehidupan kita yang menjadi asbab untuk kita menjadi ahli syurgaNya. Allahurabbi, terasa berat menyebut syurga kerana tahu kerdilnya diri ini untuk menyimpan hasrat menjejaknya. Namun, tetap ia bukan alasan untuk kita melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini sebaiknya.


Kita berimpian untuk ada kehidupan yang sempurna, subhanallah betapa kita lupa pada syurga yang lebih sempurna.
Kita berimpian untuk ada wajah yang cantik, subhanallah betapa kita lupa wajah cantik yang dijanjikan Allah buat penghuni syurga.

Kita berimpian untuk ada tubuh langsing menggoda, subhanallah betapa kita lupa tubuh bidadari syurga itu sangat mempesona.
Kita berimpian untuk untuk memiliki rumah dan kereta yang selesa, sehingga lupa segala keselesaan kekal di syurga sana.
Kita berimpian untuk memiliki keluarga dan teman yang baik, sehingga kita sukar menerima dunia sebagai ladang ujian sementara.

Impian-impian kita kadangkala menutup mata hati kita daripada mengejar yang kekal di sana nanti. Impian-impian kita jua biasanya hanya tersekat pandangnya di dunia semata. Alangkah ruginya, jika saatnya penyesalan tak lagi berguna, ketika itu segala impian hancur musnah dan peluang kedua tiada lagi.

Kalaulah jua pada malam hari sebelum menutup mata....kita merenungkan lagi, seandainya masih ada esok untuk diri ini, semoga esok itu adalah hari yang lebih baik dan barakah. Hari untuk menyebarkan kasih sayang dan kebaikan, kepada seluruh insan kesayangan dan sesiapa jua.

Dan ketika ujian bertamu, biarlah didepani dengan seluruh keyakinan di dalam hati, bahawa Allah sentiasa ada dan mengabulkan doa hambaNya. 

Saya menasihati diri saya sebenarnya, dalam hening petang yang dingin ini. Juga semoga dapat menjadi manfaat buat kalian teman pembaca. Semoga kasih sayang antara kita ini menjadi salah satu amal soleh di sisi Tuhan.

aisyahumaira 070514 / 3.01pm

Monday, May 5, 2014

pelabuhan yang dicari



Aku berada di celah keriuhan manusia, namun tetap aku tertunduk akur akan kesunyian diri.

Aku bicara sendiri pada ruang kamar hati, ke mana ia harus terpenuhi.
Aku mendongak melihat sebentar pada mentari, ke mana erti cahaya di hati.
Aku merenung pula rembulan yang hadir dalam kedinginan, ke mana tumpahnya ketenangan.

Kenapa jiwa ini terasa kosong, dalam nikmat yang kian melimpah.
Kenapa resahnya sukar berhenti, lalu aku diam tak mampu berbicara lagi.

Lantas ku merantau lagi. Berlabuh di pelabuhan demi pelabuhan. Mencari di mana ertinya kebahagiaan dan di mana puncaknya kepuasan.
Lalu akhirnya pelabuhan yang sama ku jejak lagi, ternyata ke mana jua ku pergi, tetap tak ku temui.

Akhirnya aku kembali ke kamar hati, mencari-cari di dalamnya yang pasti. Ku jenguk pula di sisi, ada cahaya sebenar yang sentiasa menyinari. Itulah sekeping naskhah wahyu dari Ilahi. Ku pandang pula lantai yang dijejak dahi, tempat istimewa paling utama.

Ternyata tak perlu ku tanya mentari di mana cahaya, tak perlu ku tanya rembulan di mana ketenangan. Kerana ternyata dalam lembaran suci dan sujud itu terangkum segala kebahagiaan yang abadi.



Kini ku menarik nafas perlahan, dengan senyum terindah ku ukirkan. Ternyata kepuasan itu tidak hadir dalam berlimpahnya materi, tetapi hadirnya menghiasi hati yang sukar diganggu lagi. Biarpun esok kan hadir berjuta cabaran, dengan iman dan keyakinan, kan ku tempuhi dengan jiwa yang tak berbagi lagi.


aisyahumaira 050514

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat