Tuesday, November 24, 2015
BIAR SIAPAPUN DIA
Oleh : Nur A’isyah Humaira
binti Ismail
Hujan makin
lebat. Angin yang menyapa tubuh kian kuat. Semua murid masih berkumpul di surau
untuk program sempena awal muharram. Selepas kira-kira 15 minit berlalu, kelihatan
air mula melimpahi longkang. “ Alamak, basah nanti kasut dan beg murid-murid…”
seorang guru bersuara. Kami saling berpandangan. Spontan, semua guru yang ada
di sekitar situ bingkas bangun menuju ke arah beg dan kasut sekolah yang
diletakkan di tepi surau. Saya yang baru bertugas kira-kira 3 bulan termangu
seketika. “ Cikgu-cikgu kena angkat semua kasut dan beg ni ke? Banyak ni..ada
beratus-ratus..” detik hati saya. Namun mereka seakan sudah biasa. Saya
menurut. Lantas mengharung air yang makin melimpah sehingga hampir separuh
jubah dibasahi air.
“ Kasihannya budak-budak ni,
habis nanti beg sekolah ni. Buku-buku pun rosak nanti..” seorang guru yang
sedang sibuk mengalihkan beg bersuara. Suaranya tenggelam timbul kerana bunyi
hujan yang semakin kuat. Sudah tidak dihiraukan air hujan yang membasahi
tudung, dan kasut sendiri yang direndami air. Juga, tangan yang sudah lenguh
mengangkat beg-beg yang berat.
Saya menginsafi sesuatu.
Mengambil ibrah daripada para guru yang sudah lama berada dalam bidang ini.
Kasihnya, melangkau wang gaji yang diterima. Ihsannya, meneladani anak orang
lain seperti anak sendiri. Marahnya, tidak lain hanya kerana ingin membentuk
seorang insan yang diamanahkan Tuhan. Minda menerawang jauh, mengingatkan kami
sentiasa bermesyuarat berjam-jam, menyebut nama murid satu persatu yang
memerlukan perhatian khusus dalam program membaca dan menulis. Para guru ini
mampu mengenali setakat mana kemampuan dan boleh menghurai sejauh mana yang
telah dicapai oleh murid-murid mereka. Merencana
modul dan juga membimbing secara individu. Semuanya dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, tidak kurang daripada anak sendiri. Lelah, penat sehingga
tiada masa untuk bersembang kosong di meja guru. Namun, mereka masih boleh
tersenyum, melayani pelbagai ragam murid seramai 40 orang pada satu masa. Ada
masanya anak-anak ini bergaduh, menangis, malah ada yang membuang air kecil di
dalam kelas. Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar, daripada jiwa-jiwa
guru di sini.
Seorang guru, ada peranan yang
besar pada pembentukan seorang anak. Mungkin ada ibu bapa mengharapkan seorang
guru dapat memastikan semua murid dapat mencapai apa yang sepatutnya dicapai.
Sedangkan realitinya, ada guru yang menitiskan air mata kerana ketidakmampuan
dalam batas seorang manusia yang biasa dalam menangani anak-anak syurga ini.
Bukan sahaja dalam bab skor mata pelajaran, jauh daripada itu adalah soal
keyakinan kepada Tuhan dan akhlak islami.
Kerana itulah saya berhasrat
mengajak agar anak-anak belajar menghormati guru, bukan hanya tahu mencari
kurang sang guru semata-mata. Biarpun guru mungkin tidak berpendidikan tinggi,
jauh ke bawah dibandingan dengan ibu dan ayah yang bekerjaya.
Tidaklah wajar seseorang mengecilkan seseorang atau
kelompok lain, tidak wajar pula berprasangka buruk tanpa alasan, atau
menceritakan keburukan seseorang, dan menyapa atau memanggilnya dengan sebutan
buruk. Al-Hujurat [49]: 11-12).
JASA INSAN LAIN PADA INSAN
KESAYANGANMU
“ Nanti bila ‘Ayyash dah besar,
Aisyah beritahu pada dia ye, akak sayangkan dia…Akak sedih sebenarnya sebab dah
lama jaga dia.” hati saya sebak membaca tulisan pengasuh anakanda di ruangan whatsapp.
Akibat daripada kekangan jarak, saya memutuskan untuk menukar pengasuh baru
setelah berpindah rumah. Saya mengalih pandangan pada anakanda yang sedang lena
dalam dakapan. Saya memang terhutang budi pada seorang yang saya gelar Kak Anis
ini meskipun tiada sebarang pertalian darah dengannya. Dia mula menjaga ‘Ayyash
ketika masih sangat lembut, kecil dan perlukan perhatian. Dia sanggup
bersusah-susah menguruskan bekalan susu ibu setiap yang dihantar setiap hari. Apatah
lagi ketika itu, si anak kecil sangat manja dan sukar diletak. Hanya selesa
didukung dan dilayani. Tanpa perlukan buai, pengasuh ini sangat bijak melayani
anakanda, sehingga akhirnya saya tenang dan lega walaupun terpaksa berpisah
dengannya separuh hari. Apatah lagi, si kecil ketika itu diuji dengan sakit
eczema. Saban hari, dia perlu lebih perhatian dalam menguruskan ubat-ubatan dan
kebersihan. Lima hari seminggu, terkadang enam hari seminggu, anakanda saya di
bawah jagaan dia. Kini, si kecil makin mudah diasuh kerana sudah pandai bermain
sendiri. Malah eczemanya juga sudah pulih. Namun, saya pula dengan berat hati terpaksa
mengkhabarkan padanya tentang ingin bertukar pengasuh. Hati saya dirundung rasa
bersalah.
Saya terpaksa akui, dalam
melunasi amanah pada kerjaya, saya sebenarnya cukup terhutang budi kepada insan
yang meneladani anakanda saya nan seorang ini. Biarpun dia diberi upah kerana mengasuh,
namun masih lagi ada jasa yang besar kerana kebaikan dan kesungguhannya menjaga
dengan baik dan menenangkan. Sungguh, anak itu terlalu besar nilaiannya, tidak
dapat dibanding dengan upah yang dihulurkan saban bulan buatnya.
BIAR SIAPAPUN DIA
“ Ibu bapa terbeban. Terpaksa bawa anak ke tempat kerja”
Saya membaca patah ayat yang
terpapar pada skrin televisyen. Hati saya seakan tercuit. Terbeban? Anak-anak
menjadi beban apabila sekolah ditutup kerana bencana jerebu?. Saya menghela
nafas berat. Saya tidaklah menghakimi apa yang ditulis kerana mungkin ia
sekadar salah faham si penulis skrip, namun ya saya tidak dapat menerima ayat
bebanan selayaknya diberikan buat sang permata hati amanah Ilahi. Siapa tahu
masa-masa yang ada itu jika dimanfaatkan sebaiknya, ada masa emas yang akan
diingati oleh anak hingga bila-bila. Setelah lima hari seminggu, daripada pagi
hingga hampir malam murid-murid menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru
dan rakan-rakan mereka di persekolahan agama mahupun biasa.
Setidak-tidaknya, antara hikmah
kecil daripada penutupan sekolah ini memberi sedikit kesedaran bahawa tanpa
kita sedar ada jasa orang lain dalam kita menghadapi kesibukan seharian.
Biar siapa pun dia, sebenarnya
hidup ini saling berkaitan antara diri kita dengan insan lain. Ketika seorang
anak yang makin bijak dan beradab sopan, ibu bapa mungkin merasakan merekalah
insan yang telah berjaya membentuk anak mereka. Namun mungkin kita lupa, ada
jasa sang guru yang saban hari bertemu wajah dengan anak-anak ini, menutur
nasihat sama yang diulang-ulang semasa sesi persekolahan. Ataupun ketika bayi
kecil kita sudah reti melambaikan tangan, kita gembira namun kita mungkin lupa
mengucapkan terima kasih kepada si pengasuh yang dengan sabarnya mengajar
pergerakan baru setiap hari.
Begitulah jua untuk semua yang
bergelar manusia. Seorang peniaga atas talian, perlu bersyukur kerana ada
posmen yang setiap hari menghantar barangan, meredah kesesakan trafik dan juga
panas terik. Seorang kontraktor, bersyukur kerana memiliki pekerja yang mahir
sehingga memudahkan urusannya. Seorang suami, bersyukur kerana memiliki isteri
yang pandai menghiburkan hati dan juga mengasuh anak-anak. Seorang isteri,
bersyukur kerana mempunyai seorang suami tempat berteduh kasih. Seorang anak,
bersyukur kerana mempunyai ibu atau bapa yang sanggup menjaga dalam susah dan
senang. Moga-moga dengan secebis kesyukuran ini melahirkan jiwa yang tunduk
patuh dalam ketaatan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.
Subhanallah, kerana itulah agama
nan suci ini mengajarkan kita agar berbuat baik sesama manusia. Biar siapapun
mereka. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang angkuh dan sombong,
dengan kelebihan yang direzekikanNya.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ
الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
(17) وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ
اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ
مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (19)
Hai anakku, dirikanlah solat
dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan
janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu
dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah
suara keldai. Surah LUQMAN (31) ayat 17-19:
Kita semua tidak sempurna dan
terlalu banyak kelemahan untuk diinsafi. Baik di posisi manapun kita berada,
hanya kepadaNya kita bermohon agar diberikan petunjuk melalui jalan yang benar,
meskipun jalannya sukar berupa bukit bukau mahupun padang pasir yang terik.
Posted by Wardah Maqsurah at 11:00 AM 0 comments
Labels: Majalah i
Tuesday, August 18, 2015
SECAWAN ROS BUATMU
Saya membuka pintu bilik perlahan, lantas menghenyakkan tubuh di katil bujang. Penat. Usai memandu hampir sejam, akhirnya sampai jua di asrama kampus. Mata masih layu, mengantuk kerana kurang tidur pada malam sebelumnya. Beberapa jam lagi, saya akan mula menduduki peperiksaan akhir di semester yang terakhir. Namun entah kenapa, ‘mood’ seakan terganggu. Helaian kertas ulangkaji di tangan dipandang kosong.
Saya memejamkan mata. Ingin lena
biarpun sebentar. Biar hilang kepenatan memandu, agar datang semangat ingin
bertempur di dewan peperiksaan. Selepas terlena hampir 20 minit, saya terjaga.
Ros? Saya melihat ada beberapa kuntum bunga ros yang disusun di dalam cawan
kecil di atas meja sisi. “Secawan ros buatmu…selamat berjuang sayang!” saya
membaca lakaran tulisan di atas sekeping kertas. “ eh, siapa letak kat sini?”
saya tertanya-tanya sendiri. Entah kenapa, bibir menguntum senyuman, semangat
datang dalam diri dengan tidak semena-mena. Saya cuba meneka, tidak lain ini
pasti teman sebilik yang sangat baik dan sentiasa berbudi.
BALING BATU DIBALAS BUAH
Kehidupan seharian tidak lari daripada saling bermuamalah
antara satu dan yang lain. Kita tidak hidup sendirian di atas muka bumi ini.
Ada ibu ayah, ada pasangan, ada keluarga, ada anak-anak, teman, dan ramai lagi
senarai panjang insan yang sentiasa bermuamalah dengan kita.
Dalam meniti pelbagai urusan
seharian, semoga ALLAH memandu kita agar dapat menguruskannyq dengan cara yang
terbaik bersama insan sekeliling.
Mengembalikan kebaikan buat insan
yang telah berbuat baik kepada kita tidaklah sesukar menghulurkan kebaikan
kepada insan yang pernah menyakiti. Namun, andainya segala kebaikan itu tidak
lain hanyalah kerana Allah, kita pasti tetap mampu memberikan kebaikan meskipun
segala usaha kita tidak berbalas dengan cara yang sewajarnya.
Ya, kita manusia biasa. Sudah
menjadi lumrah jiwa akan mudah ‘cedera’ dan ‘sakit’ dibaling ‘batu’, lebih
sukar lagi untuk membalasnya dengan ‘buah’, namun jika dipasakkan di dalam jiwa
bahawa sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang berbuat kebaikan, kita pasti
akan mampu bermujahadah. Alangkah bertuahnya.
Dan orang-orang yang berjuang
untuk Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk kepada mereka pada jalan
Kami. Dan sesungguhnya Allah swt. beserta orang- orang yang berbuat kebaikan.
(Q.S. 29:70)
USAH MERASA LEBIH
Saya menginsafi lumrah makhluk
bergelar manusia, pasti ada terselit keegoan dalam diri. Namun perlu juga
disedari bahawa ego yang berlebihan dan tidak bertempat adalah suatu sifat yang
dibenci oleh Allah SWT. Jika difikirkan apalah yang hendak dibangga-banggakan,
sedangkan kita lahir ke muka bumi ini dengan tangan kosong. Kesemua yang
dinikmati hanyalah titipan dan pinjaman daripada Allah semata-mata.
Firman Allah SWT :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ
إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ
وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ
ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا [٤:٣٦]
" Sembahlah
Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat
baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang
miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu
sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
sombong dan membangga-banggakan diri (4:36)
Ada kalanya, gelaran dan status
menjadikan kita merasa lebih daripada yang lain. Ada kalanya kelebihan yang ada
pada diri menjadikan kita memandang rendah pada yang lain. Justeru, ketika
orang lain mendapat sesuatu yang ketika itu bukan menjadi salah satu rezeki
buat kita, kita mudah tersentak dan terasa kita juga mahukannya. Lantas,
menjadikan hati tidak tenang, jauh daripada kepuasan. Seringkali kita lupa
bahawa rezeki adalah sesuatu yang telah ditetapkan olehNya.
Ummu Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah
berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan
Rasulullah s.a.w.
Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda:
قَدْ سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ
مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة , وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا
قَبْل حِلّه , أَوْ يُؤَخِّر شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ
يُعِيذك مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَل
Ertinya: “Engkau telah meminta
dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah
dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada
diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya…..” (Sahih Muslim)
Percayalah, merasa cukup dengan
apa yang ada, adalah kunci untuk menghulurkan kebaikan demi kebaikan buat insan
sekeliling. Meskipun nampak kecil, sekecil senyuman yang terlukis pada sepasang
bibir anugerah Ilahi.
SECAWAN ROS BUATMU
Saya menyelak lagi kertas yang
bertulis itu. “ Saya berjalan-jalan di belakang blok asrama kita, dan melihat
kuntuman ros yang sedang mekar…saya tahu awak sukakan ros. Moga terus
bersemangat menempuhi hari-hari yang mendatang ye teman…” saya membaca tulisan
yang kemas terlakar. Terbayang wajah manis rakan sebilik sedang menuturkannya.
Secawan ros. Ya, percuma dipetik.
Mungkin tak seberapa tampaknya di mata. Namun, nilainya tak mampu dibayar
ganti. Pada sebuah bahagia yang terbit di dasar hati, dan semangat yang hadir
setelah menatapnya ada di sisi.
Sekecil manapun kebaikan, biarpun
hanya dengan menghulurkan secawan ros, tetap memberi makna buat sekeping hati
yang menerima. Apatah lagi memberi makna yang mendalam buat yang memberi, di
SANA nanti.
"Bukanlah kebaikan bahwa
kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya
kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan
malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan
kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin,
dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba
sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan
orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang
sabar dalam kesusahan dan kesengsaraan,
dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah
orang-orang yang bertakwa. (Q.S. 2:178)
Saat saya melakar tinta ini,
sesungguhnya saya sedang menginsafi diri sendiri yang sukar sekali untuk
bermujahadah di alam realiti, tidak seindah bait tulisan yang dilakar rapi!.
PESAN UNTUK HATI
Pesan untuk hati,
Kebaikan itu mahal harganya,
Pesan untuk hati,
Usah jemu melakukannya lagi dan
lagi.
Pesan untuk hati,
Adakala kita merasa tak mampu
lagi,
Terasa tiada guna kebaikan yang
diberi,
Namun pesanlah lagi pada hati,
Bangkitlah kembali genggamlah
semangat diri.
Pesan pada hati,
Mungkin hari ini kita tak
dipeduli,
Kurang terasa di sana sini,
Namun pesanlah pada hati,
Ada akhirat yang akan muncul
nanti,
Membalas segala budi dan bakti!
Posted by Wardah Maqsurah at 9:46 AM 0 comments
MENCICIP BERKAT DALAM KEHIDUPAN
Sehari dua ini heboh diperkatakan mengenai isu tidak perlu balik kampung untuk jimat. Saranan ini diutarakan agar kita tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membayar tol, mengisi minyak dan pelbagai keperluan lain yang semakin meningkat naik kosnya. Saya tidak ingin mempersoalkan niat insan yang memberikan cadangan ini. Mungkin juga ia telah dimanipulasi atau disalahfahami di luar konteks para pendengar.
Namun saya terfikir, benarkah ia
akan menjimatkan?
Ya, jimat. Jika diukur daripada
‘nombor’ dan ‘bilangan’ dalam kepingan wang kertas di tangan.
Tidak, tidak jimat. Jika dinilai
daripada kaca mata hati seorang insan yang berisi iman dan taqwa.
Allah…sungguh kehidupan ini
terlalu ‘bernilai’ untuk hanya diukur pada ‘nilai’ wang yang berkurang dan
bertambah dalam tabungan.
Kerana itulah, mungkin ada yang
terlalu kaya dan banyak simpanan di ‘sini’ tetapi dia tidak menyimpan untuk di
‘sana’. Wang yang ada semakin banyak menjadikan ia semakin berat untuk
dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, wang yang ada menjadikan diri semakin
lokek untuk bersedeqah.
BERKAT, BUKAN HANYA PADA WANG.
“Dan Tuhanmu telah
memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu
berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di
antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,
maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan
janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.
(Q.S Al Israa’, 17:23)
“Dan rendahkanlah dirimu
terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku,
kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu
kecil.” (Q.S Al Israa’, 17:24)
Ibu bapa adalah insan yang
dituntut oleh Allah SWT agar kita menyantuni, menghormati dan menyayangi mereka
dengan penuh kasih dan sayang. Keduanya adalah insan yang mencintai kita tanpa
syarat. Kaya atau miskin, lebih atau kurang, cantik atau tidak, tidak sesekali
menjadi alasan pada cinta yang mereka telah hulurkan sekian lama sejak kita
masih dalam kandungan si ibu.
Berbakti kepada mereka, akan
mengundang redha dan berkat Allah pada setiap perjalanan kehidupan yang
mencabar. Menyenangkan hati mereka, sekaligus akan memberikan ketenangan yang
berpanjangan dalam hari-hari sang anak.
SUATU MASA NANTI
Cukuplah jika tidak mampu
berfikir soal berkat dan pahala, fikirkanlah jika kita berada di tempat mereka
yang bergelar ibu dan bapa. Ataupun bayangkanlah suatu masa nanti, rambut ini
akan mula ditumbuhi uban, langkah ini kian perlahan, wajah ini sudah dimamah
kedut, tidak ada air matakah yang akan mengalir saat sang anak tidak pulang
kerana pelbagai alasan?
Tepuk dada, tanyalah iman!
Posted by Wardah Maqsurah at 9:45 AM 0 comments
Labels: Nasihat
MEYAKINI SEBUAH PEMERGIAN
Usai
bersalaman dengan kakak yang mesra disapa kak Anis itu, saya mengundur diri.
Menapak perlahan menuruni anak tangga, sambil fikiran masih resah dan bercampur
baur. Hari ini, hari pertama saya meninggalkan si anak kecil di rumahnya,
sebagai percubaan dan membiasakan diri sang permata hati di tempat baru sebelum
saya memulakan kerja lebih kurang seminggu lagi. Entah kenapa, minda terasa
seakan kosong, tidak mampu menghadam perasaan sendiri. Sedang asyik memandu,
tiba-tiba kereta saya di hon daripada belakang. Saya tersentak. Allah,
rupa-rupanya saya sedang memandu dengan kelajuan yang sangat perlahan di
jalanraya kota yang sibuk. Saya cuba mengembalikan fokus kepada pemanduan
sambil beristigfar. Kelopak mata mulai basah, rindu seakan terbit menyentuh
tangkai hati. Kali pertama, ya kali pertama. Kali pertama berjauhan setelah
tiga bulan si kecil langsung tidak berenggang daripada tubuh ini.
Sampai sahaja
di rumah, saya membuka televisyen. Laporan daripada pemberita mengenai kematian
seorang anak yang menderita sejenis penyakit kulit menarik perhatian saya.
Kelihatan si ibu meraung sambil cuba ditenangkan oleh orang sekeliling. Tidak
lama kemudian, laporan lain menyusul. Mengenai kematian seorang remaja belasan
tahun, dengan asbab kemalangan. Kematian demi kematian, yang mampu menghidupkan
hati yang mungkin ‘mati’.
Mati.
INGAT MATI MENGHIDUPKAN HATI
Diriwayatkan
bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70
sehingga 100 kali sehari. Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan
oleh Ibnu Majjah, “Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki
daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah
mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”.
Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?”
Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik
adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.”
Antara
kebaikan yang akan diperoleh kesan daripada mengingati mati adalah kita akan
segera menyegerakan taubat, tidak akan ditangguh-tangguhkan. Boleh jadi, ini
saat yang terakhir lantas tiada saat lain yang akan bertamu. Rasulullah SAW
bersabda:
يَاأَيُّهَا النَّاسُ تُوْبُوْا إِلَى اللهِ وَاسْتَغْفِرُوْهُ فَإِنِّيْ
أَتُوْبُ فِيْ اليَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
رواه مسلم.
“Wahai sekalian manusia,
bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku
bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR. Muslim).
Selain itu, keinginan untuk
menikmati maksiat dan dosa akan berkurang kerana diresahi rasa takut akan
bagaimana keadaan kita apabila bertemu Allah kelak.
Allah SWT telah berfirman:
لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ
سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
“(Pahala dari Allah) itu bukanlah
menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli
Kitab. Barangsiapa yang melakukan kejahatan (maksiat dan dosa), nescaya akan
diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan
tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.” (QS An Nisa’ 123)
Para sahabat
Nabi SAW menyatakan bahawa inilah ayat Al Qur’an yang dirasakan paling berat
bagi mereka, sebagaimana diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Hatim bahawa saidatina Aisyah pernah mengatakan kepada
Rasulullah SAW bahawa inilah ayat Al Qur’an yang terasa paling berat bagi
dirinya.
Ada tiga
golongan manusia yang hidup di muka bumi ini, yang lupa mati, yang takut mati
dan yang ingat pada mati. Manusia yang lupa mati, boleh jadi manusia yang
terlalu rakus mengejar dunia dan apa yang tidak pasti yang ada di dalamnya,
sekaligus terlupa ada sesuatu yang pasti sedang menantinya. Adapun manusia yang
takut mati, dibayangi keresahan dan diganggu ketakutan yang tak berpenghujung
namun tidak melakukan apa-apa sebagai bekal untuk menghadapinya. Berdoalah
duhai diri dan teman pembaca, agar dikurniakan hati yang ingat mati, iaitu hati
yang memilih untuk berusaha bersedia untuknya dan menjadikan dunia sebagai
jambatan untuk menuju ke arahnya dalam keadaan hati yang sejahtera.
What you
see, is what you get, apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat.
Positif ataupun negatif adalah bersumberkan apa yang dilihat oleh ‘mata’ hati
dan perasaan. Kerana itulah walaupun ujian yang sama menimpa dua orang berbeza,
akan dilihat dan didepani dengan cara yang berbeza. MATI, adalah perkara yang
PASTI, namun terpulanglah bagaimana cara setiap hamba ingin bersedia untuknya.
SEBUAH KEHILANGAN
Membicarakan soal mati, ia
berkait rapat jua dengan kehilangan. Andai belum sampai masa kita pulang
bertemu Tuhan, mungkin ada insan sekeliling yang pergi dahulu ke ‘kampung’ asal
mereka. Justeru, di sini hati dihadapkan dengan pilihan, untuk menyesali atau
meredhai.
Redha tidaklah bererti tiada air
mata, apatah lagi yang hilang itu adalah insan yang dikasihi. Seorang suami
yang menjadi tempat bergantung, seorang isteri yang menjadi tempat berkasih
sayang, seorang anak yang menjadi cahaya hati ataupun ibu bapa yang sangat
dicintai. Andainya mereka pergi, hati pasti akan merasai sebuah kehilangan yang
meruntun. Namun, indahnya menjadi seorang yang bernafas dalam jiwa bernama
muslim, kehilangan ini perlu didepani dengan keredhaan yang akan menjadi
semangat untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.
Menangisi kematian yang tidak
dibolehkan adalah menangis meratap dengan kuat. Namun, menangis dengan air mata
kerana kesedihan tidaklah dilarang di dalam agama rahmat ini. Ada suatu hadith
yang diriwayatkan mengenai kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak
Rasulullah SAW. Berkata Abdurrahman bin Auf;
أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال
فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله
وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت
عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا
يرحم لا يرحم
Maksudnya;
“Nabi telah memegang tanganku,
lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, Ibrahim yang sedang nazak. Lalu Nabi
SAW mengambil Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda sehingga menitis
air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdurrahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW,
kamu menegah dari menangis. Jawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari
menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat
kelalaian dan seruling syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka
dan mengoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian)
adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya dia
tidak akan dikasihi”
Kehilangan
juga sebenarnya boleh menjadi suatu titik permulaan kepada kebergantungan yang
tinggi kepada Allah SWT, ataupun menjadi kekuatan yang melonjakkan taqwa
kepadaNya. Diri seakan tersedar daripada mimpi, bahawa sedalam mana cinta kita
kepada seseorang tetap tidak mampu menahan daripada kematian yang memisahkan.
NOTA UNTUK HATI
Saya melihat
jam entah sudah kali keberapa dalam tempoh dua jam. Terasa begitu lambat masa berlalu.
Sihatkah dia, selamatkah dia, kenyangkah dia?. Sudahnya, hanya dua jam mampu
bertahan dan saya kembali menyarung pakaian dan bersiap untuk menjemputnya
pulang. Sebaik sahaja bertemu, si dia merenung mata mama, menghadiahkan
senyuman lantas melegakan hati seorang ibu. Tidak lama kemudian terus lena
dalam dakapan setelah disusukan. Saya memeluknya erat. Rindu, rindu yang ada
ubatnya. Namun akan ada suatu masa, rindu hanya mampu mencengkam, mungkin tidak
akan mampu diselesaikan. Itulah sebuah kehilangan!. Saya menanam azam di dalam
hati yang dhaif ini, moga masa-masa yang tersisa akan mampu dimanfaatkan untuk
menyebarkan kasih dan cinta buat insan yang dikasihi, selagi dipinjamkan oleh
Ilahi. Agar setiap kebaikan menjadi ibadah yang akan dibawa sebagai bekal
bertemu Tuhan kelak.
Aku
mendengar dan melihat,
Saban hari
ada yang dijemput Ilahi,
Aku masih
termangu di sini,
Entah bila
kan tiba saat untukku.
Ada yang
pergi meninggalkan haruman budi,
Tak kurang
juga ada yang dikenangi bakti,
Namun ada
yang perginya tak ditangisi,
Kerana
terlalu ego dengan diri sendiri.
Aku tak
ingin termangu sendiri lagi,
Ingin
keluar mencurahkan budi dan bakti,
Agar
pergiku kelak tak menjadi titik henti,
Biarlah ada
pahala yang terus mengalir di sini.
Nur
A’isyah Humaira Ismail
Lulusan
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPG Kampus Pendidikan Islam.
Posted by Wardah Maqsurah at 9:44 AM 0 comments
Labels: Majalah i
Thursday, April 30, 2015
Maafkan mama, sayang
Bismillah,
Hanya kesyukuran kepada Dia yang menganugerahkan sebuah kehidupan mampu menterjemah rasa hati ini. Bukan sedikit air mata yang tumpah, sejak kali pertama mendengar suara tangis si kecil itu setelah hampir 10 bulan dikandung di dalam rahim ini.
Menangis apabila renung wajah baby. Sebab rasa sangat bersyukur.
Menangis apabila tengok baby senyum dalam tidur. Sebab sangat gembira.
Menangis apabila malam-malam peluk baby yang sedang lena, sebab masih tak percaya dia kini dalam dakapan.
Menangis apabila melihat ada yang kurang pada kesihatan dirinya, kerana terlalu risau.
Menangis apabila rasa tak mampu menenangkan dirinya yang kecil itu.
Menangis...macam-macam sebab :)
Memilikinya, memang memberi kebahagiaan yang tak terungkap. Namun ada banyak perkara juga yang perlu dikorbankan, dan sedang dalam fasa untuk disesuaikan dengan diri ini.
Dengan hadirnya dia, kehidupan kini sudah berubah corak dan gaya.
Moga ALLAH sentiasa menunjukiku jalan, mengurniakanku kekuatan, memberiku keberkatan. Ameen.
MAAFKAN MAMA, SAYANG
Dalam hening dan dingin malam ini,
Mama merenung wajahmu yang suci,
Mama mengucup jemarimu yang halus,
Mama mendakap erat tubuhmu yang kecil,
Tanpa diundang, ada rasa sebak yang bertandang.
Maafkan mama sayang,
Mama tahu kamu pasti merindukan,
Sebuah tempat terindah,
Yang paling selamat untuk didiami,
Yang paling tenang untuk dinikmati,
Yang paling lena mengulit mimpimu,
Di suatu daerah sunyi lagi damai,
Sebaik-baik jagaan Dia,di dalam rahim mama.
Di sana,
Daripada tiada, Allah menjadikan dirimu ada.
Di sana,
Daripada segumpal darah, akhirnya dirimu terbentuk sempurna,
Di sana,
Tiada kerisauan dan kesukaran,
Buat seorang anak kecil tiada daya sepertimu sayang.
Maafkan mama sayang,
Andainya dakapan ini tidak seerat seperti di tempatmu dulu,
Maafkan mama sayang,
Andainya sentuhan ini tidak selembut yang pernah kau rasai di sana dulu,
Maafkan mama sayang,
Andai panas sejuk di sini tidak menyenangkan tubuhmu yang masih kecil itu,
Maafkan mama sayang,
Andai gelap terang di sini mengganggu lenamu yang panjang,
Maafkan mama sayang,
Andai bunyi-bunyian yang menjengah tidak enak di pendengaranmu,
Maafkan mama sayang,
Andai tangismu tak selalu mampu untuk mama tenangkan...
Kerana jagaan mama pasti takkan sehebat jagaan Dia di alam sana dahulu.
Namun,
Inilah dunia yang telah kau jejaki,
Penuh cabaran untuk terus berdiri,
Tempat ujian insan kecintaan Ilahi,
Sebagai bukti keimanan untuk bekalmu nanti.
Pandanglah nak, mata penuh cinta ini,
Mama akui diri ini serba kekurangan,
Namun mama akan sentiasa di sisimu sayang,
Saling menguatkan dan saling merasai,
Selagi ada nafas yang masih dipinjamkan,
Sebelum akhirnya jasad ini kembali bertemu Tuhan.
Nukilan rasa,
Ummu 'Ayyash
3.30 AM | 210415
Posted by Wardah Maqsurah at 3:50 PM 0 comments
Labels: cahaya mata
Mencari Siti Hajar
Siapa yang tidak
pernah mendengar kisah Siti Hajar r.a, yang terkenal dan mewangi daripada dulu
hingga ke akhir zaman ini. Beliau adalah lambang wanita sejati, yang taat dan
patuh kepada ALLAH dan suami yang dikasihi. Semua kesusahan dan pengorbanan
yang dilakukan oleh beliau semasa ditinggalkan di tanah gersang bersama si anak
kecil adalah lambang kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Diuji dengan fitrah
cemburu, akhirnya tersingkap hikmah besar buat perjuangan seorang wanita yang bernama
Siti Hajar ra.
Nabi Ibrahim
as bukanlah calang-calang suami. Baginda adalah seorang Nabi yang tahu
tanggungjawab terhadap keluarga dan mempunyai belas kasihan yang tinggi. Namun,
tiada yang lebih tinggi daripada keutamaan untuk menunaikan setiap perintah
ALLAH SWT yang telah ditetapkan. Keyakinan dan tawakal baginda kepada ALLAH
adalah lebih besar bahawa isteri tercinta akan selamat dalam jagaanNya. Setelah
menempuh perjalanan yang sukar dan panjang, akhirnya sampai di suatu tempat dan
Nabi Ibrahim menguatkan dirinya untuk mengkhabarkan kepada isterinya bahawa dia
akan ditinggalkan di tanah kontang itu.
Siti Hajar
yang terpaku mendengarnya akhirnya menagih simpati suami, lantas menyuarakan
isi hati. Namun setelah diberitahu bahawa semua yang dilakukan adalah perintah
daripada Allah, maka terdiamlah wanita mulia itu. Lidahnya kelu untuk terus
merayu. Kini, dirinya menyerahkan sepenuhnya nasib mereka kepada Allah swt.
Hatinya terpujuk kembali.
Nabi Ibrahim
menadah tangan, mendoakan buat kedua insan yang terpilih itu : “Ya Tuhan
kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon
berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan
mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka,
kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka
bersyukur kepada-Mu.” Surah Ibrahim ayat 37
Setelah agak
lama ditinggalkan, Siti Hajar berdepan dengan cabaran baharu. Bayi yang masih
merah belum mengerti apa-apa kini kehausan.Susunya kian susut kerana beliau
sendiri yang kekurangan air. Tanpa berputus asa, wanita tabah ini berlari-lari
dalam kepayahan dan kepenatan untuk mencari setitis air. Beliau terus berlari
berulang alik sebanyak 7 kali antara Safa dan Marwah. Tubuhnya kian keletihan,
namun tiada air yang kelihatan pada pandangan mata. Anak kecil yang kehausan
itu pula terus menghentak-hentakkan kaki ke bumi. Dengan izin Allah,
terpancutlah sumber air yang suci dan diberkati. Yang mengalir tanpa henti dan
dikenali dengan nama zam zam. Itulah air di sisi Kaabah yang dinikmati jutaan
insan sehingga kini.
Subhanallah,
maha suci Allah yang menjadikan tiap sesuatu itu penuh dengan hikmah.
SECEBIS
PENGAJARAN
1. 1.Memiliki pergantungan yang
kuat hanya kepada Allah SWT.
Siti Hajar
menunjukkan contoh keimanan dan ketaqwaan dirinya yang mendorongnya menyerahkan
urusannya hanya kepada Allah. Bayangkan, beliau ditinggalkan di tapak gersang.
Jika diikutkan logik akal, beliau dan anaknya akan mati kehausan setelah
beberapa hari di kawasan panas dan kontang itu. Namun, benarlah jagaan Allah
itu lebih baik daripada jagaan ribuan makhluknya. Tanah yang tandus akhirnya
menjadi subur dan selamat untuk didiami. Apa jua yang telah direzekikan tidak
akan terhalang walaupun kelihatan mustahil di mata manusia.
Ummu Habibah
r.a pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari
perkahwinannya dengan Rasulullah SAW. Namun nabi menasihatinya dengan kata-kata
baginda yang bermaksud: Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut
yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki
yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya,
atau dilewatkan dari masanya (Sahih Muslim).
2. Mentaati
suami, selagi mana suami mentaati Allah
Siti Hajar
sangat mentaati suaminya yang diyakini merupakan seorang insan soleh yang tidak
akan menganiaya dirinya dan anaknya tanpa sebab. Beliau sentiasa percaya setiap
apa yang dilakukan oleh suaminya adalah bersandarkan kepada perintah Allah SWT.
Justeru, beliau akur dengan keputusan suaminya untuk meninggalkannya di situ
berdua hanya bersama anaknya sahaja.
Hari ini, kita
melihat tidak ramai isteri yang mampu taat kepada suami. Hanya kerana mereka
lebih bekerjaya, ataupun sudah tidak mampu meyakini keutamaan mentaati suami
sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith yang sering didengari
:
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima
waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah
mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”(H.R. Ahmad dan Tabrani )
3. Berusaha
dan tidak mudah menyerah kalah.
Ya, Siti Hajar
tahu beliau berada di tanah yang kering daripada air. Beliau tahu apa yang
dilihatnya sebagai air hanyalah fatamorgana semata-mata. Namun, beliau tidak berhenti
berusaha. Sebaliknya terus berulang-alik sehinggalah akhirnya Allah
menganugerahkan air zam zam buat dirinya dan anak kecil yang semakin kehausan.
Biarpun kini
kita mungkin teruji dengan pelbagai cabaran dan masalah dalam kehidupan
termasuklah isu kesukaran kos sara hidup dan sebagainya, namun saya yakini dan
insafi ujian kita tidaklah sehebat ujian yang dihamparkan buat seorang wanita
bernama Siti Hajar ini. Semoga kita takkan mudah mengalah dan andainya jatuh,
kembalilah bangkit atas namaNya.
4. Bersikap
positif dengan suami
Ditinggalkan
oleh suami yang dicintai di sebuah kawasan yang sukar bukanlah suatu perkara
yang mudah dan menggembirakan. Namun, ia sesekali tidak menjadi alasan untuk
Siti Hajar membenci dan bersangka buruk dengan suaminya, Nabi Ibrahim.
Sebaliknya keputusan Nabi Ibrahim itu telah melonjakkan keimanan Siti Hajar dan
mengajarkan dirinya untuk semakin tabah dan yakin dengan arahan Allah SWT.
Siti Hajar
menunjukkan contoh kepada kita agar sentiasa melihat kebaikan dan kelebihan
dalaman yang ada pada diri suami melebihi apa yang hanya mampu dilihat secara
zahir semata-mata.
5. Kejayaan
suami mendidik isteri
Kekuatan hati
dan diri Siti Hajar tidak lahir dalam masa sehari semasa ditinggalkan di bawah
panas terik, sebaliknya ia menunjukkan usaha didikan Nabi Ibrahim terhadap
isterinya agar memiliki keimanan yang boleh menjadikannya seorang wanita dengan
semangat yang luar biasa walaupun ditimpa ujian yang besar.
Seorang suami
yang bertanggungjawab, perlu sentiasa mengislah diri dan keluarga agar dekat
dengan Allah dan jauh daripada api neraka walaupun berhadapan dengan kesukaran
dan kesusahan di dunia ini.
Allah Taala
berfirman:
يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا وقودها
الناس والحجارة
Mafhumnya:
"Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu
dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" [Surah
al-Tahrim, ayat 6].
MENCARI
SITI HAJAR
Menyelusuri
kisah Siti Hajar r.a mengingatkan kembali kenangan ketika di Tanah Suci Makkah
al Mukarramah baru-baru ini. Pengalaman menyempurnakan saei ketika usia
kandungan telah mencecah 8 bulan benar-benar dirasakan telah menguji fizikal dan mental.
Namun, ketika teringat kembali kisah Siti Hajar r.a yang hanya berdua ditemani
anak tercinta, berlari-lari anak di tanah gersang tanpa air itu benar-benar
menjentik hati ini. Sesungguhnya dialah wanita yang tabah dan terpilih, jasa
dan pengorbanannya sentiasa harum mewangi di bumi penuh barakah itu. Tiadalah
lagi Siti Hajar yang kedua di dunia ini, hanya sahaja sisa semangatnya perlu
dicari buat pedoman dan contoh terulung bagi yang bergelar wanita.
Berbahagialah para wanita solehah di dunia, yang dijanjikan untuk menjadi lebih
baik daripada bidadari.
Daripada Umm
Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah
wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia
lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang
batin.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab,
“Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan
muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna
putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning, sanggulnya mutiara dan
sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, kami hidup abadi dan tidak mati.
Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan
tidak berganjak sama-sekali. Kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama
sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya,”
(Riwayat al-Tabrani).
Posted by Wardah Maqsurah at 3:47 PM 0 comments
Thursday, February 26, 2015
Bagaimana nanti?
Bismillahirahmanirahim
Sejak akhir-akhir ini, bermacam-macam perkara yang bermain di fikiran. Jauh termenung, berfikir, berimpian, berkhayal :)
Bagaimana agaknya saya nanti sebagai seorang ibu setelah lahirnya khalifah kecil ini.
Saya memang sejak dahulu, 'bergelumang' dengan kanak-kanak, anak saudara yang ramai. Maklumlah, sejak saya sebelum lahir, anak saudara dah lahir dulu. Waktu di sekolah menengah dah memiliki 30 lebih anak saudara.
Sejak kecil walaupun bergelar bongsu, tapi ramai anak kecil lain di rumah bonda. Saban tahun melihat kakak-kakak bersalin, malah berpantang di rumah. Sudah biasa, malam-malam tidur bertemankan bunyi tangis bayi. Bayi berusia seminggu saya sudah mandi dan siap-siapkan, keluarga saya memang tidak kisah dan harap pada saya. Saya juga sudah biasa mengambil alih menjaga si kakak kecil atau abang kecil yang baru menerima kehadiran adik baru. Kadang-kadang yang baru berusia setahun sudah saya jaga berhari-hari, berminggu-minggu kerana ditinggalkan oleh ibu mereka di rumah bonda. Terutama waktu cuti sekolah.
Ya, cuti sekolah bukan cuti untuk saya :). Lagi sibuk berbanding hari sekolah. Waktu cuti biasanya waktu bergilir-gilir ke rumah kakak atau abang, membantu mereka menjaga anak-anak kecil. Ataupun mereka yang akan pulang ke rumah saya. Saya dalam ngantuk dan malas di tengah malam, beberapa kali bangun membancuh susu, menukar diapers dan mendukung si kecil yang menangis.
Ya, cuti sekolah bukan cuti untuk saya :). Lagi sibuk berbanding hari sekolah. Waktu cuti biasanya waktu bergilir-gilir ke rumah kakak atau abang, membantu mereka menjaga anak-anak kecil. Ataupun mereka yang akan pulang ke rumah saya. Saya dalam ngantuk dan malas di tengah malam, beberapa kali bangun membancuh susu, menukar diapers dan mendukung si kecil yang menangis.
TAPI, kata orang, TAKKAN PERNAH SAMA dengan menjaga anak sendiri.
Jaga anak orang, bila penat boleh undur diri. Bila habis tempoh, say goodbye.
Jaga anak sendiri, penat atau tidak, tiada bertempoh untuk say goodbye.
Jaga anak orang, kalau malas boleh mengelat.
Jaga anak sendiri, no way.
Saya bukan jenis lemah lembut dengan anak-anak saudara. Garang. Kalau yang kecil memang saya suka melayan. Bila dah besar, saya dah mula tegas. Hehe. Anak-anak saudara suka cakap '" Su a ni bekeng lah...". Saya marah bila mereka tak kemas rumah, saya marah bila dengar mereka bergaduh, saya marah bila mereka main handphone saya, saya marah bila solat pun masih kena suruh, saya marah kalau mereka tak ikut cakap saya, saya marah bila mereka tengok TV padahal saya nak tengok siaran lain. Hoho.
Kadang-kadang saya merajuk dengan mereka, diam tak bercakap, masuk bilik kunci pintu. Susah payah selepas itu mereka kena memujuk dengan macam-macam cara. Tersenyum sendiri saya bila teringat semula. Bila saya ada mood, saya rajin melayan mereka minta nak tengok itu ini di laptop, tapi time tiada mood, tak berani mereka nak sentuh laptop.
Antara sebab lain, kakak abang saya memang tidak kisah, melihat saya dengan cara saya melayani dan menjaga anak mereka.
Tapi, tak sangka, dalam saya garang tu, merekalah yang menangis di hari perkahwinan saya dulu, takut kehilangan kata mereka. Merekalah yang selalu cerita hati ke hati, masalah di sekolah dengan penuh pengharapan. Merekalah yang sentiasa mengalirkan air mata, selepas bersalaman untuk kembali pulang ke KL sejak di kampus hinggalah kini saya sudah menetap di sini. Merekalah yang kini selalu kata, sayang pada saya. Merekalah yang call dan sms, menggamit satu rasa dalam hati saya.
Mereka kata mereka rindu, untuk berusrah dengan saya. Mereka kata mereka rindu, untuk naik kereta bila saya bawa mereka jalan-jalan di waktu petang. Rindu saya di rumah, melayan bersembang dengan mereka. Rindu gurau-gurau, makan dan bergambar bersama.
Mereka kata mereka rindu, nak dengar saya marah-marah. Erk, ni pun ada? Kini mereka selalu mengadu, saya sudah tidak macam dulu. Saya sudah lain, dan tidak lagi ada masa untuk mereka.
Saya pun rindukan mereka, sebenarnya. Sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Pejam celik pejam celik, mereka sudah makin membesar. Sekolah menengah, sekolah rendah dan masih ramai juga yang belum bersekolah.
Dulu saya sering marah-marah bila mereka berbuat silap, kini bila sesekali pulang ke kampung, saya sudah tak marah-marah lagi. Saya semakin dewasa, dan mesra. Tapi mereka tetap rindukan saya yang seperti dahulu. Benarlah, kadang-kadang kita tak perlu menjadi terlalu sempurna untuk dikasihi. Cukup menjadi diri kita dengan tulus dan ikhlas daripada hati.
Dan kini,
Kurang daripada sebulan, insya ALLAH, akan hadir seorang anak kecil daripada rahim ini. Yang akan dijaga sepenuhnya sendiri. Bagaimanakah nanti?
Mampukah saya menjadi ibu yang baik?
Kuatkah saya menghadapi hari-hari bersamanya nanti?
37 w 4 d
260215 6:00PM
ST Utama
Posted by Wardah Maqsurah at 5:45 PM 0 comments
Labels: cahaya mata
Subscribe to:
Posts (Atom)



