Thursday, September 22, 2016
MASIHKAH ADA ESOK?
Saya memandu perlahan, menyelusuri jalan kampung yang belum pernah
dilalui untuk menyelesaikan beberapa urusan di kawasan berkenaan sambil
sesekali anak mata melihat ke kiri dan kanan. Cuaca kian mendung, menunjukkan
tanda-tanda ingin hujan. Saya mengeluh sendirian, risau jika tersesat dalam
hujan dan kesesakan lalu lintas dalam perjalanan pulang ke rumah nanti. Bateri
telefon bimbit pula sudah kehabisan, tidak memungkinkan saya menggunakan
bantuan aplikasi waze, seperti kebiasaannya. Setelah agak lama berpusing
di kawasan yang sama, akhirnya saya menemui tempatnya. Rasa lega mengambil
alih. Saya menuju ke bonet kereta, ingin mengambil dokumen yang perlu disiapkan
di situ.
“Allah…” entah rasa apa yang menjalar dalam hati. Ingin marah, tidak
tahu pada siapa. Ingin menyesal, salah siapa?. Dokumen itu tertinggal!. Setelah
penat menempuh perjalanan jauh, susah payah mencari tempat, hujan pula mula
menampakkan diri dalam rintik-rintik halus, saya tidak mampu menahan sebak.
Entah mengapa air mata ini mengalir tanpa dipinta. Saya terkilan, dan sesal.
Kenapa saya boleh meninggalkan perkara sebegitu penting hanya kerana terlalu
risaukan masa yang suntuk dan tempat yang belum dikenali. Saya melangkah masuk
semula ke dalam kereta, tanpa kata. Hanya meneruskan kembali perjalanan pulang
ke rumah, sambil menahan rasa sesal yang belum reda.
Menyesal.
MENYESAL
Pernahkah dalam kehidupan, setelah terjadinya sesuatu, ada rasa
sesal yang menghantui. Tidak kiralah sama ada perkara itu berlaku setelah diri
kita sendiri yang memilih, ataupun berlaku tanpa kerelaan.
Menyesal, kerana tidak memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya
sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
Menyesal, kerana sudah berada di tahun akhir jurusan sains,
sedangkan minat pada sastera.
Menyesal, kerana mengisi borang penempatan di Johor, sedangkan
hasrat sebenar ingin tinggal di kota Kuala Lumpur.
Menyesal, kerana ditaqdirkan menjadi pelajar perubatan, dan terpaksa
mengharungi kesukaran demi kesukaran di alam pekerjaan.
Menyesal, kerana berhenti daripada minat dan kerjaya yang stabil
suatu ketika dahulu sedangkan kini hidup dalam serba kekurangan.
Menyesal, memilih untuk berkahwin sedangkan merasa perkahwinan tidak
memberikan kebahagiaan sebagaimana yang pernah diimpikan.
Renungilah sebaris kata daripada Dr ‘Aidh al Qarni yang menyebutkan
“Allah SWT menghendaki dunia ini sebagai tempat
bertemunya dua perkara yang saling berlawanan, dua kubu yang saling berhadapan
dan dua pandangan yang saling bertentangan, yang baik dengan yang buruk,
kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan.”
Sebagai hambaNya yang serba lemah dan tidak tahu, kita seringkali
‘terpaksa’ menghadapi ‘kubu’ kesilapan yang menjadikan ada rasa sesal yang
bertandang tanpa dijemput. Biarpun kesilapan itu berupa sesuatu yang berkait
dengan hanya diri sendiri ataupun orang di sekeliling. Natijahnya, kesilapan
ini mungkin membuahkan kesan yang positif atau sebaliknya dalam kehidupan yang
dilalui seharian. Namun jika kita bertindak hanya untuk mempertahankan diri
agar sentiasa tampak sempurna dalam setiap pilihan, kita sebenarnya hanya
memilih untuk menjadikan diri kita lemah ketika kita diuji dengan kesilapan hasil
daripada ‘keputusan yang disesali’ itu. Sebagai contoh, kita mungkin akan lemah
ketika diuji dalam bahtera perkahwinan yang dahulunya kita impikan begitu
sempurna umpama dua insan bercinta. Sedangkan kita perlu hadamkan bahawa dalam
setiap pilihan yang telah kita pilih, sebenarnya adalah celupan aturan taqdir
yang telah Allah SWT tetapkan dalam alur perjalanan seorang insan. Biarpun ia
hadir bersulamkan kesukaran dan cabaran tersendiri.
Memilih untuk percaya dan mengimani taqdir Tuhan sebagai aturan yang
terbaik, lebih daripada hanya merasa diri kita yang tersilap memilih suatu
ketika dahulu akan menjadi suatu kekuatan yang terus melonjakkan keyakinan dan
usaha untuk terus bangkit biarpun jatuh berulang kali. Kita mungkin disua kata
“ Kalaulah begini, kalaulah begitu….”, sedangkan siapa tahu sebenarnya memang
itu adalah jawapan doa kita saban masa yang sedang dikabulkan oleh Allah dalam
rencanaNya yang sungguh cantik dan tersusun sempurna. Sedangkan anak mata kita
yang kecil itu tidak pernah mampu memandang apa yang ada di belakang mata,
bagaimana mungkin aqal kita yang terhad ini mampu ‘membaca’ semua kerja Tuhan
yang Maha Besar.
Justeru renungkanlah, jika penyesalan yang hadir itu dirasa tidak
berguna pada sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan positif, apa perlunya
untuk menyesal?
Adakah semata-mata untuk berkeluh kesah? Menyesali taqdir? Mengugat
iman dan keyakinan?
Alangkah malangnya!
Namun, sekiranya ‘penyesalan’ itu adalah sesuatu yang positif yang
mampu menjadikan kita kembali membetulkan keadaan serta menginsafi dosa
pastinya ia adalah sesuatu yang berbeza.
KEMBALIKAN KAMI
Sesungguhnya setiap penyesalan yang dirasai di dunia ini bukan
sebenar-benar penyesalan sebagaimana di akhirat kelak ketika semua sesalan
langsung tiada lagi gunanya. Malah, pendosa yang sedang menanti akan datangnya
azab Allah ini merayu-rayu agar dikembalikan ke dunia bagi menebus segala masa
yang telah dibazirkan suatu masa yang telah berlalu. Namun, pastinya tiada lagi
ruang kedua.
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang
berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu
dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar
dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka
kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik;
sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah as
Sajadah ayat 12)
Begitulah jua yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Az-Zumar 58
dan 59.
“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali
ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan! Bahkan
telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau
telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan
engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”
Untuk menghindarkan diri dari sesalan yang berpenjangan itu, renungilah
sedalamnya titipan ayat cinta daripadaNya ini melalui Surah az Zumar 54 dan 55, “Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan
bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab;
kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. “Dan turutlah –
Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan
kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak
menyedarinya.
MASIHKAH ADA ESOK?
Esok, saya akan kembali semula ke tempat itu, andai panjang usia
akan ada kesempatan untuk menyelesaikannya. Mengapa perlu sebegitu sesal?
Sedangkan masih mungkin akan terhampar peluang yang kedua. Nafas panjang
ditarik, esok-esok di ‘sana’ nanti, sesal dan air mata langsung tiada guna.
Takkan ada peluang kedua untuk kembali ke dunia. Agaknya bagaimana rasa sesal
yang tiada bernoktah itu?
Allahu Allah, peliharalah kami dan kurniakanlah kami hidayah untuk
terus bernafas dengan penuh ketaatan hanya untukMu.
Posted by Wardah Maqsurah at 5:25 PM 0 comments
Labels: Majalah i
Jiran yang baik
Sejak datang ke sekolah
jam 11.30 pagi tadi untuk bermesyuarat, kira-kira jam 4 petang barulah saya
berpeluang duduk di atas kerusi melepaskan lelah. Jari jemari mula bergerak
membuka mesej whatsapp dan facebook yang belum sempat
dijengah sejak pagi. Tiba-tiba fikiran mula teringatkan artikel majalah I yang
belum disiapkan untuk dihantar kepada kakak editor yang gigih bekerja dan
berdakwah. Sedang asyik berfikir-fikir idea tema penulisan, tiba-tiba whatsapp berbunyi lagi. Kali ini, bunyi notification itu datangnya daripada group
whatsapp muslimah kejiranan.
“ Weekend ini kita berkumpul makan durian nak?
Di rumah saya. Jom!” satu mesej terpampang di ruang whatsapp.
“ Nak, jom!. Saya
sediakan pulut dan sediakan serawa durian. Boleh?” mesej tadi bersambut positif.
“ Saya bawa manggis dan
buah mata kucing ya..”
“ Kita kumpul duit la ye
untuk buat kenduri buah-buahan ni. Kasihan pula nanti tuan rumah, ramai yang
nak join ni…”
Dan perbualan berlarutan
panjang. Saya yang hanya membaca, mula kecur air liur dengan bermacam cadangan.
Akhirnya,saya memberikan ikon thumbs
up dan ikon senyum sebagai
mewakili diri. Terbayang wajah sahabat-sahabat muslimah di kejiranan yang
sangat manis dan ramah. Kakak di hadapan rumah, seorang suri rumah anak lima
yang kerapkali menawarkan diri jika perlukan pertolongan. Kakak selang beberapa
rumah di sebelah kiri yang selalu mengirim makanan dan kuih. Dan ramai lagi
insan-insan bergelar jiran yang berada di sekitar.
Terbayang juga,
kemeriahan waktu petang dan hujung minggu anak-anak jiran saling bermain dan
bermesra di kawasan rumah. Anak-anak lelaki yang berjalan kaki dan berbasikal
ke surau berdekatan beramai-ramai terutama apabila azan Maghrib dan Isya’
kedengaran jelas berkumandang, semuanya adalah suasana yang sangat saya syukuri.
KEDUDUKAN JIRAN DALAM
ISLAM
Jiran mempunyai kedudukan
yang besar di dalam Islam dan tidak wajar dipandang enteng oleh seorang muslim
yang baik. Mengasihi dan memuliakan jiran merupakan salah satu kewajipan di
dalam Islam sebagaimana disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW :
“ Demi zat yang jiwaku berada dalam
genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya
atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” . (Riwayat Muslim
no. 45).
Disebut di dalam hadith
dari riwayat Ismail Ibn Muhammad Ibn Saad Ibn Abi Waqas daripada bapanya
daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah salallahualaihiwasalam
:
اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح
والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب
السوء
“Empat perkara
daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang
lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda
daripada keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat,
isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang
buruk” .
(Hadith sahih riwayat Ibn
Hibban dalam sahihnya no. 4032 )
Allah swt juga telah
berfirman :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ
وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ
“Sembahlah Allah dan
janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua
ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang
berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).
Islam juga telah memberi
garis panduan akan keutamaan jiran yang perlu disantuni sebagaimana yang
diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah radiallahuanha: “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya
aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan
hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah
kamu”
Had lingkungan jiran di
dalam Islam dapat difahami melalui kata-kata Khalifah Ali ra yang telah
menyebut: “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Ini adalah
bermakna, jiran adalah mereka yang berada dalam lingkungan jarak yang dekat
yang memungkinkan tetangga dapat mendengar azan daripada masjid yang sama.
Menurut Saidatina ‘Aisyah r.a pula, jiran berada dalam lingkungan empat puluh
buah rumah dari seluruh sisi penjuru rumah. Secara mudahnya, jiran adalah
mengikut uruf adat setempat kerana setiap kawasan memiliki adat yang berbeza.
Sekurang-kurangnya adalah 40 buah rumah daripada seluruh penjuru.
HAK JIRAN YANG PERLU
DIPENUHI
Semua manusia yang hidup
di atas muka bumi ini secara fitrahnya akan hidup bermasyarakat dan saling
memerlukan antara satu sama lain. Justeru, kerana itulah Islam sangat
mengutamakan keperluan untuk menghormati dan melunasi hak jiran. Antara hak
jiran yang dianjurkan adalah :
1. Berkenal-kenalan dan
berkasih sayang antara jiran mengikut syariat Islam.
Sabda Rasulullah SAW :
“Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti
sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.
(Hadith sahih riwayat
Muslim no. 2625).
2. Menghormati kehidupan berjiran seperti menjaga kebersihan kawasan kejiranan.
3. Mengimarahkan kawasan kejiranan dengan amalan mulia seperti solat berjemaah di surau dan bertegur sapa apabila bertemu.
4. Membantu jiran yang berada dalam kesempitan dan kesusahan, sebagaimana sabda Rasulullah : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”
5. Tidak mencari-cari aib jiran dan menyebarkannya.
6. Tidak mengajak jiran
kepada perkara mungkar seperti mengumpat, memfitnah dan saling mengadu domba.
7. Bersangka baik dan
positif sesama jiran.
8. Mengutamakan
percakapan dan tingkah laku yang baik semasa bermuamalah.
9. Menjaga rahsia jiran.
10. Bersabar dan menegur
dengan hikmah sekiranya perlu ditegur demi kebaikan bersama.
11. Tidak menyusahkan
jiran dengan sengaja seperti membuang sampai dalam kawasan rumah jiran.
12. Beradab semasa
menziarahi rumah jiran.
13. Tidak mengambil hak
jiran (mencuri)
Sabda Rasulullah :
“Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah
lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga
apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu
daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah
jirannya” .(Hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905
MULIAKAN DAN SYUKURI
KEHADIRAN JIRANMU
Dalam
menyantuni jiran, kita perlu menginsafi bahawa jiran bukanlah malaikat yang
sunyi daripada dosa. Pasti ada khilaf dalam tingkah dan kata-kata. Kita
perlulah berlapang dada, bertoleransi dan syukurilah kehadiran mereka sebagai
insan yang dianugerahkan dalam persekitaran dan kehidupan kita meskipun tiada
pertalian kekeluargaan. Ringan-ringankan hati memberi maaf dan menyua maaf
dalam berhubungan agar sentiasa kekal baik dan harmoni. Saya menutup tinta
mengenai jiran ini dengan sepotong nasyid Sendu Sendawa yang berbunyi :
'Adakah kau tahu siapakah
mereka jiran tetangga mu
Pernahkah kau melihat
apakah dalam sendu atau sendawa
Kenalilah dan bertegurlah
sapa dengan akhlak yang mulia
Hidup berjiran susah dan
senang, suka duka dirasa bersama..'
'Jiran tetangga, berkenal
bermesra
Jiran tetangga, menganali
rakannya
Jiran tetangga, bertanya
khabarnya, makan minumnya...semua..
Jiran tetangga, menutup
aibnya
Jiran tetangga, doakan
mereka
Jiran tetangga, menjaga
hartanya, sakit demam nya...'
Posted by Wardah Maqsurah at 5:25 PM 0 comments
Labels: Majalah i
Wednesday, September 7, 2016
Anakanda yang mentarbiyah bonda :D
Serius tak muka saya? Muka baru bangun tidur. Semalam tidur jam 8 malam dan bangun semula 9.30 malam. Tp ajak tidur semula tak nak. Sebenarnya sejak habis pantang, alhamdulillah Ayyash jenis tidur lepas maghrib dan straight sampai esok pagi. Mama tak merasa sangat berjaga malam. Tapi...sejak akhir-akhir ni dah umur setahun setengah, dia macam ada jadual baru dan mama rasa macam kejutan budaya pun ada bila pukul 12 lebih baru nak tidur. Selalu 'gaduh' dengan dia bila dah lewat sebab mama mengantuk. Mama biasanya tutup lampu dan paksa dia tidur. Dia pun mula lah macam-macam, nak suruh potong kuku dia, nak suruh sapu ubat, nak itu nak ini. Alasan dia sebab tak nak tidur lg. Tapi, semalam mama berazam tak nak 'gaduh' dan bawak dia turun ruang tamu tengok tv sama-sama supaya mama tak rasa mengantuk
Anak oh anak, tarbiyah mama selalu.
Anakku, bila anakanda berkesempatan baca post ni kelak, ketahuilah, mama sangat sayangkan dirimu sepenuh hati! Sebulan lagi nak bergelar abang, yeayy
Budak kecil kesayangan ramai. Kalau balik setiu, mama ayah tak sempat nak dukung, berebut orang nak layan dan bawa berjalan. Jangan lupakan kebaikan semua insan sekeliling padamu nak.
Hehehee, sebenarnya ni la motif post ni, dik. Adik kan duta Soleh Kids. Jom promote pada kawan-kawan untuk dapatkan produk berkhasiat dan berkualiti tinggi ini, ok!
Mama, nakkkkk
Jom sokong dan gantikan makanan gula-gula yang tidak menyihatkan yang kerap dimakan oleh anak-anak kita dengan makanan yang lebih sihat tetapi sedap dan lazat untuk mereka.
Nour's Soleh Kids Chewable Tablet
Untuk Kanak-kanak.
✔ Tablet ini mempunyai pelbagai iaitu 9 jenis vitamin yang bagus termasuk DHA dan Omega 3.
✔ Ia juga bersaiz 1000 mg (terkandung pelbagai vitamin dengan komposisi seimbang bagi setiap vitamin dalam sebiji) bagi sebiji tablet yang merangkumi pelbagai khasiat dan bukan kecil seperti produk lain.
✔ Juga ia terhasil dari bahan hebat seperti kismis, madu, kurma, aprikot, delima dan lain-lain.
✔ Bukan berperisa tiruan buah-buahan tetapi ia adalah hasil rasa sebenar dari jus sebenar Oren dan Strawberry.
✔ Turut mengandungi Kalsium, Zat Besi dan Protin.
✔ Rasa yang lazat dan sedap..pasti disukai anak-anak..Insha Allah
Makanan yang sihat dan baik lagi berkat banyak peranannya dalam pembentukan tubuh dan minda serta spiritual anak-anak. Mari kita berusaha memberikan mereka makanan yang terbaik mengantikan jajan dan gula-gula yang kurang khasiat dan tidak bagus untuk kesihatan.
Dapatkan sebotol segera, harga pengenalan hanya RM 49 sebotol ( Harga biasa RM 59.90).
Pos PERCUMA.
Whatsapp atau hubungi kami di 0133247241 atau hubungi 0133857915
dan boleh juga melayari FB
* AGENT DIPERLUKAN
* AGENT DIPERLUKAN
* AGENT DIPERLUKAN
JUS SOLEH KIDS UNTUK KANAK-KANAK
Jus Soleh Kids
Posted by Wardah Maqsurah at 10:31 AM 0 comments
Labels: cahaya mata, solehkids
Thursday, September 1, 2016
Pengalaman bersalin anak pertama
Bismillah
Jam di dinding sudah 9.50 pagi. Si anakanda yang soleh dan bijak belum lagi membuka mata sejak semalam. Lena sungguh. Si mama pula ambil kesempatan membuka blog dan mencatat sesuatu, untuk perkongsian bersama. Teringat semasa sebelum melahirkan anakanda pertama, rasanya semua blog pengalaman bersalin mama baca dan hadam, sebagai persediaan. Semoga ALLAH mengganjari pahala buat semua blogger yang tak lokek berkongsi.
Semasa membaca blog-blog mereka ( hanya google sahaja tajuk pengalaman bersalin anak pertama dan akan keluar banyakkkk sangat), mama mendapat banyak maklumat tentang detik bersalin. Bermacam perkataan yang ketika itu masih asing, mula difahami. Epidural, VE, induce, analgesia for pain relief dan bermacam lagi yang sangat membantu mama untuk kata 'ya' atau 'tidak' semasa ditanya di LR.. TQ buat para blogger!
Mama menulis sambil-sambil mengusap perut yang makin membesar, si kecil kedua kini sudah 34 minggu. Terasa sangat baru masuk ke LR tahun lepas bulan 3, tahun ini bakal mengulangi detik yang sama lagi. Debar tak berkurang, meskipun ini sudah yang ke 2. Hehe. Debar namun sangat tak sabar...untuk bertemu dengannya yang mama sudah jatuh kasih dan cinta meski belum pernah bersua.
Eh..meleret ke lain pula. Ok back to tajuk entry. Mama tulis kronologi ye. Risau kan terjaga daripada tidur si abang yang kecil comel tu, lama pulak nanti mama nak sambung menulis. Entah bila.
Mama borong banyak buku baby masa pergi big bad wolf. Gigih masa ni dah 9 bulan tapi pergi ke mines, seri kembangan sebab excited nak dapatkan bahan bacaan sesuai esp tentang breastfeeding. Maghrib baru sampai rumah. Hujan lebat lagi. Memang memori sungguh. Thanks sayang temankan mama dalam perut :D
Can't wait
Mama borong banyak buku baby masa pergi big bad wolf. Gigih masa ni dah 9 bulan tapi pergi ke mines, seri kembangan sebab excited nak dapatkan bahan bacaan sesuai esp tentang breastfeeding. Maghrib baru sampai rumah. Hujan lebat lagi. Memang memori sungguh. Thanks sayang temankan mama dalam perut :D
8 Mac 2015
Hehehe, birthday mama!
Mama cakap kat baby, jangan keluar hari ni ye, tak mau la share tarikh sama sebab nanti beli kek 1 je kena share. Baby sangat behave, tendang sikit tanda setuju dengan mama.
Mama tak nak hadiah, tak nak kek, cuma nak jalan-jalan supaya cepat bersalin huhu. Banyak sangat rehat dalam rumah.
11 Mac 2015
Ciktok call daripada kampung. Mama kata masih okay, sihat dan belum ada tanda-tanda. Mama yang minta ciktok bertenang. Tapi naluri seorang ibu..seringkali sungguh tepat. Ciktok sangat tak tenang dan kata mama dah nak bersalin. Mama ikutkan sahaja dan akhirnya ciktok kata nak datang keesokannya. Che Wer sekeluarga datang bawa Ciktok daripada Terengganu ke Gombak. Terima kasih Che Wer yang sentiasa bersedia.
12 Mac 2015
Memandangkan masa ni mama surirumah yang belum ada anak, jadi honestly mama sangat banyak masa untuk berehat. Kerja rumah pun tidak ada banyak. Bila mengantuk tidur, bila badan penat boleh terus rebahkan diri atas katil. So mama sedikit risau sebab orang kata kena banyak berjalan.Memandangkan Ciktok akan sampai malam nanti, mama mula cari kerja.
Mama basuh semua toilet di rumah. Mama vacuum satu rumah walaupun hakikatnya karpet semua tak berhabuk sangat. Mama lap semua meja, kerusi, cermin. Mama masak dua tiga jenis lauk. Mama buat cheese cake untuk tetamu walaupun tak pernah buat. Mama turun naik tangga kemas semua bilik sementara menanti tetamu.
Dan perut mama asyik mengeras je, biasanya tak pernah. Tapiii, sebab ini pengalaman pertama, jadi mama tak tahu itu adalah sebenarnya contraction. ( Tapi anak kedua kali ni 30 minggu ke atas tu mengeras perut dan jadi perkara biasa, bila mama naik turun tangga di sekolah, dari satu blok ke blok paling hujung, menjerit-jerit dalam kelas seramai 40 orang sepanjang hari..Kadang-kadang on the way ke kelas tingkat 3, terpaksa berhenti 5 minit agar perut reda dan lega. Jadi, pengalaman berbeza, kandungan kedua mama tak hairan dah dengan perut mengeras huhu)
Jam 10 malam, Ciktok sampai. Happynya mama tapi mulut masih potpet kat ciktok kata kenapa awal sangat datang sebab nanti mama nak ciktok duk lama masa mama pantang.Ini pengalaman pertama mama. Pastu ciktok janji, akan jaga mama sampai mama kata okay. Thank you cik tok. Ciktok pun bawa tilam, bantal untuk baby yang 100% handmade. Terharu mama. Huhu.
Jam 11 malam, mama ada rasa tak selesa. Mengiring ke kiri, ke kanan. Tapi belum sakit. Cuma badan lenguh. Mama rasa sebab banyak sangat cari kerja sepanjang hari. Mama cuba lelapkan mata.
13 Mac 2015
Awal-awal pagi mama dah bangun. Gorengkan mee untuk ayah, ciktok, tokki, dan tetamu. Sebab jam 8 pagi tu, mama dan ayah nak ke Pusat Perubatan Naluri sebab memang tarikh ni untuk checkup. Tapi entah kenapa rasa hiba semacam nak meninggalkan rumah. So, mama sambung sikit lagi kemas rumah dan salam dengan ciktok tokki. " Doakan adik..." sambil senyum ditambah debar yang belum surut sejak semalam kerana seolah dapat rasa saatnya makin hampir.
Sampai di PP Naluri, Dr Zarina scan dan tiba-tiba tunjukkan wajah bimbang. Mama mula tak keruan. Katanya " Eh, air ketuban awak sangat kurang ni. Bahaya untuk baby. Awak kena warded sekarang. Kena bersalin hari ni jugak..Kalau belum ada bukaan, kena induce"
Dan, memang tepat keputusan ciktok nak datang 12hb!
Bila mama masuk wad, mama belum ada rasa sakit. Cuma perut mengeras sahaja. Rasa macam bercuti je dalam wad. Rilek-rilek, tengok phone, baca majalah, baca Qur'an. Lebih kurang jam 10 pagi, ayah keluar ke mesyuarat dan terus sambung solat Jumaat. Lepas solat Jumaat, baru ayah datang semula. Lepas zohor, dr check dan bukaan masih 1cm. Iye lah, mama pun belum ada rasa sakit apa-apa. Graf bacaan jantung baby ok, tak ada masalah. Mama lega.
Jam 6 pm , ayah ada live di radio. Mama dah berat hati nak lepaskan sebab rasa macam akan bersalin dalam tempoh tu. Tapi mama diam je, biar ayah buat keputusan :)
Mama praktikkan apa yang mama belajar dalam seminar kehamilan, bagaimana mengawal emosi, nafas, fikiran etc. Dan bagi mama, ia sangat membantu. Nikmati momen indah menanti anakanda yang ditunggu-tunggu. Mama rasa mama sangat tenang sehingga jam 3 pm, dr check bukaan sudah 3 cm. Dan jam 4 pm, bukaan 4 cm. Masa ni bermula rasa sakit contraction. Dr suruh ready untuk masuk ke LR tapi mama minta izin nak solat asar dulu dalam wad, tunggu waktu asar masuk. Tapi sudah sangat sakit masa ni. Masa solat pun kena duduk dan terhenti-henti bila datang contraction.
Mama semat dalam hati, sakit memang sakit. Penawar dosa mama yang banyak. Namun, mama yakin ia adalah sakit yang mampu ditanggung, didesign oleh ALLAH untuk tubuh seorang ibu yang pasti mampu dengan izinNya.
Ayah khabarkan, ayah akan buat live radio melalui telefon sahaja. Jadi ayah akan stay di wad. Alhamdulillah, mama lega.
Lepas solat asar, nurse datang bawa mama ke LR. Pasang CTG untuk monitor jantung baby agar semuanya ok.
Pukul 6-7, mama dalam LR, ayah pasang siap-siap radio dalam handphone letak di sebelah supaya mama boleh dengar ceramah ayah. Tapi of course mama hanya 30% dengar dan lagi 70% layan sakit contraction yang datang.
Mama mesej ayah supaya pergi solat dan makan dulu lepas selesai live sebab dah nak masuk Maghrib. Terketar-ketar jugak mama mesej menahan sakit. Tapi mama masih cuba senyum, dan bertenang. Paling penting, mama cuba tidak mengerang kesakitan atau menjerit setiap kali contraction datang.
Mama masih ingat, mama pandang baby coat di hujung bilik dan cakap dalam hati " Sabar, kejap lagi ada seorang baby yang dirindui akan ada dalam babycoat tu!" Mama lega setiap kali bermonolog sendiri. Paling tak tahan, mama akan cakap pada ayah " Allah... sakitnya..." bila ayah angguk-angguk pun boleh buat mama lega sedikit.
Bila seorang nurse datang dan cakap " Awak ni anak sulung. Pukul 12 atau 1 pagi baru bersalin ni, sakit lama sikit biasanya sebab belum ada laluan..." mama 'tolak' kata-kata nurse tu. Mama tak masukkan dalam hati. Mama doa pada ALLAH, agar dipercepatkan urusan.
Alhamdulillah 8.45 PM, anak mama Abdullah 'Ayyash selamat keluar.
Nurse letakkan baby atas mama untuk mama cium, tapi mama sangat risau sebab baby tak menangis, dan sangat biru. Nurse segera bawa baby ke atas babycoat tadi. Ayah menurut mengikut baby. Mama nampak ayah risau. Baby belum menangis, tidak bergerak. Nurse menepuk-nepuk punggung baby, membersihkan hidung baby. Daripada petang mama tahan sakit contraction, mama tak menangis. Tapi kali ini air mata mama mengalir. Mama risau. Sakit sedang dijahit dr mama tak hiraukan.
" Anak saya bernafas tak nurse?" soalan itulah yang mama ulang beberapa kali...Mama baru seperti putus nyawa ingin mengeluarkannya dan sekarang seperti ingin putus nyawa menanti tangisan anak mama. Ayah di sebelah babycoat masih belum tersenyum. Mama rasa ingin bangun daripada katil.
Tidak lama, kedengaran suara yang ditunggu-tunggu. Tangisan nyaring seorang bayi lelaki. Mama sebak. Terima kasih ya Allah. Mama pejam mata, sangat bersyukur dengan anugerah indah ini. Ayah azankan baby dan nurse bawa baby sekali lagi dekat dengan mama sebelum bawa ke baby room.
Alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH. Air mata mama terus mengalir.
Tidak lama, kedengaran suara yang ditunggu-tunggu. Tangisan nyaring seorang bayi lelaki. Mama sebak. Terima kasih ya Allah. Mama pejam mata, sangat bersyukur dengan anugerah indah ini. Ayah azankan baby dan nurse bawa baby sekali lagi dekat dengan mama sebelum bawa ke baby room.
Alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH. Air mata mama terus mengalir.
Gambar di PP Naluri
Suara ayah azan dan mengaji adalah suara terawal pada pendengaran sayang mama ni.
Dengan abang Khalil yang happy :)
Pantang time, budak bijak ni 44 hari berjaga malam menangis. Mama sampai demam sebab malam-malam berjalan macam orang tak berpantang nak bagi dia diam. Huhu. Panjang cerita kalau dalam pantang hehe. Tapi alhamdulillah habis je pantang rutin tidur jam 8 malam straight sampai esoknya.
Ni pula keluarga Che Ngah. Alhamdulillah tak putus-putus keluarga dari Setiu datang menziarah si kecil ni.
Kenangan berpantang di rumah Ciktok di Setiu selama seminggu lebih je, di akhir pantang.
Macam-macam surprise untuk mama dan Ayyash.
Masa untuk kembali ke KL. Habis pantang huhu.
Thank you Ciktok sentiasa di sisi sepanjang tempoh sukar berpantang. Pastinya terima kasih jua insan-insan tersayang di sisi.
1st day dihantar ke rumah pengasuh.Belum biasa dengan carseat. Masa ni dah umur 3 bulan. Comel susunan Allah, mama dapat posting masa adik dah 3 bulan.
Ayyash dan car seat tak dapat dipisahkan. Habis je pantang, mama heret dia ke mana-mana. Ke kedai, ke rumah kawan, pendek kata tak boleh berpisah dengan mama. Hehe. Behave ye sayang. Bukan mudah, tapi alhamdulillah.
Dengan lecturer mama
Passport si bijak mama.
Oh ya, sekarang dia sudah besar. 1 tahun 6 bulan
Anakku, bila anakanda berkesempatan baca post ni kelak, ketahuilah, mama sangat sayangkan dirimu sepenuh hati!
You're sooooo special, no doubt.
Budak kecil kesayangan ramai. Kalau balik setiu, mama tak sempat nak dukung, berebut orang nak layan dan bawa berjalan. Jangan lupakan kebaikan semua insan sekeliling padamu nak.
Ayyash dan car seat tak dapat dipisahkan. Habis je pantang, mama heret dia ke mana-mana. Ke kedai, ke rumah kawan, pendek kata tak boleh berpisah dengan mama. Hehe. Behave ye sayang. Bukan mudah, tapi alhamdulillah.
Dengan lecturer mama
Passport si bijak mama.
Oh ya, sekarang dia sudah besar. 1 tahun 6 bulan
Anakku, bila anakanda berkesempatan baca post ni kelak, ketahuilah, mama sangat sayangkan dirimu sepenuh hati!
You're sooooo special, no doubt.
Budak kecil kesayangan ramai. Kalau balik setiu, mama tak sempat nak dukung, berebut orang nak layan dan bawa berjalan. Jangan lupakan kebaikan semua insan sekeliling padamu nak.
Posted by Wardah Maqsurah at 12:45 AM 0 comments
SEMANIS MADU SEPAHIT CEMBURU
Oleh : Nur A’isyah Humaira Ismail
Melayari kehidupan berumahtangga
sahaja adalah cabaran baru seorang wanita, bertatih mengenal dunia baru.
Mengenali sikap dan peribadi seorang lelaki yang baru dikenali. Tidak hairanlah
jika orang kata, lima tahun pertama adalah ‘tahun kritikal’ dalam berumahtangga.
Tempoh untuk mengenal kekurangan atau kelebihan pasangan masing-masing secara
lebih dekat. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang ditaqdirkan menjadi isteri
kedua. Ada dua insan baru yang secara sekaligus, perlu dikenali dan disantuni.
Suami dan madu.
Tidak terkecuali, anak-anak yang
semakin membesar. Keluarga suami, keluarga madu dan keluarga sendiri pula
mungkin ada yang memerhati. Seorang insan baru, seorang isteri yang sedang
belajar mengenal dunia rumahtangga, seorang ibu baru dan seisi tanggungjawab
yang tergalas padanya. Pada diri yang masih kontang pengalaman.
Hanya kepada Allah, tempat memohon
kekuatan.
Hanya kepada Allah, tempat
menyandarkan seluruh pengharapan.
HARGAI MADU DAN ANAK-ANAK
Seorang madu, apatah lagi isteri
pertama dan anak-anaknya adalah insan yang telah banyak berkorban rasa. Jika
kita ingin berhujah, siapa yang lebih banyak pengorbanannya setelah menjadi
isteri, pasti debat itu tidak akan pernah habis sehingga akhir nyawa. Namun,
memiliki seorang madu yang mampu menerima diri kita seadanya adalah satu
kurniaan Allah yang besar. Dia seorang wanita yang terlebih dahulu mengisi hati
dan hari-hari seorang lelaki yang kini juga menjadi suami dan ayah kepada
sebuah keluarga baru. Cukuplah kita belajar meletakkan diri kita di posisinya,
dengan segala cabaran menangani emosi yang bersilih ganti, ia satu pengorbanan
yang besar yang hanya mampu didepani dengan iman dan aqal yang waras. Tidak
rugi berbuat baik, jika benar kita ingin bersama suami, madu dan anak-anak
hingga ke syurga. Syurgalah tempatnya, di mana tiada batas pada ruang dan
jarak. Tempat berehat dan bercinta yang sebenar-benarnya. Taman di mana tiada
lagi wujudnya cemburu, hanya gelak tawa dan bahagia bersumberkan daripada
kepuasan dalam jiwa hadiah atas penat payah di atas muka bumi ini.
MENJAGA SENSITIVITI
Bagi seorang wanita muda, menjaga
sensitiviti adalah perkara yang paling sukar dek kerana kurangnya pengalaman
hidup yang boleh menjadi panduan. Namun, setelah berada dalam poligami, menjaga
sensitiviti adalah antara perkara utama yang perlu dibimbangi setiap saat dan
ketika. Apatah lagi ketika bersua wajah dan berbicara dengan madu yang
dikasihi.
“Hmm, tak tahan betul dengan cuaca
sejuk. Sakit kepala dan penat. Tak sabar nak balik Malaysia..” sepotong kata
buat madu yang mungkin boleh mengurangkan kadar cemburu seorang isteri ketika
kita dan suami jauh di bumi Eropah sana. Ia nampak sungguh ‘kecil’, namun boleh
jadi besar impaknya pada kepayahan seorang wanita dalam bermujahadah menangani
bermacam emosi yang bersilih ganti.
Usah dengan sengaja atau sengaja berbicara
sesuatu perkara yang boleh mengundang cemburu, meskipun bagi kita ia perkara
kecil. Kita tidak mahu perkara kecil ini tersimpan menjadi busut yang kelak
akan membesar.
USAH MENJEMPUT CEMBURU
“ Semalam kakak ikut ke abang ke
kenduri?” soalan ditanya, sedangkan sudah tahu jika ya jawapannya, hati akan
diusik cemburu.
“ Assalamualaikum, tengah buat apa
tu? Kakak ada kat mana?..” soalan di ruangan whatsapp ditujukan buat
kakak, sedangkan maklum sekarang suami bersama kakak dalam gilirannya di hujung
minggu. Boleh jadi sedang beraktiviti di luar rumah. Jawapan yang dibalas,
mungkin boleh menyinggung. Jika tidak sekarang pun, mungkin pada masa akan
datang ia akan hadir mengganggu.
Tahanlah duhai diri, tahan daripada
menjemput cemburu dengan sengaja. Ia tidak berbaloi untuk kebahagiaan yang kita
ingin cipta dalam kehidupan seharian.
JADI PROAKTIF
Saya belajar, bahawa tidak terlalu
menjaga tepi kain pada perkara yang sewajarnya sangat membantu untuk kita dan
suami menjadi pasangan yang bahagia. Usah ditanya dan dibanding-banding, apa
aktiviti yang telah suami lakukan bersama madu dan anak-anak, sebaliknya
jadilah proaktif menyusun atur aktiviti keluarga sendiri. Apa yang madu lakukan
bersama suami tidak semestinya sesuai untuk kita lakukan juga. Sebaiknya, bantu
suami mengemudi bahtera dengan idea-idea baru daripada kita sementelah suami
sangat sibuk dalam urusan kerja dan memimpin dua keluarga. Sebagai contoh,
ajaklah suami ke mana-mana dengan positif tanpa perlu ‘memaksa’ suami hanya
kerana suami juga telah keluar bersama madu. Nikmati masa kita bersama dengan
hanya memikirkan tentang keluarga sendiri tanpa perlu cemburu yang berlebihan
sehingga merosakkan emosi sendiri dan suami.
IKHLAS DAN TIDAK DENGAN SENGAJA
BERCAKAP BURUK TENTANG MADU
“ Hmm takpelah abang, ‘kakak’ memang
macam tu. Sengaja nak pakai baju sama warna dengan abang bila kita keluar
bersama…Saja nak buat saya sedih..”
Kita seharusnya sedar bahawa bercakap
‘buruk’ tentang madu tidak sesekali boleh menjadi salah satu cara ‘memikat’
suami agar lebih kasih akan diri kita. Malah, mungkin boleh mendinginkan lagi
ikatan hati antara satu sama lain kerana suami boleh jadi berjauh hati dengan
sikap kita yang gemar mengadu tentang pihak yang satu lagi. Suami yang beriman
dan bijaksana sedar bahawa dia tidak seharusnya menjadi lalang, percaya dan
terpengaruh dengan kata-kata isteri yang berada dalam luar kewarasan emosi.
Lebih daripada itu, bercakap buruk
tentang madu sama ada dengan nada sinis atau tersirat boleh menjauhkan kita
daripada ketenangan hati dan meraih keberkatan dalam hubungan suami isteri.
Saya akui kata-kata seorang kakak
yang dikenali di alam maya, siapa yang paling mendalam cintanya kepada Tuhan,
dialah yang paling mendalam cintaNya dengan pasangan. Kerana barakah dan
ketenangan di dalam rumahtangga, semuanya anugerah daripada Tuhan yang Maha
Penyayang. Tidak kiralah dalam monogami atau poligami, tidak kiralah isteri
pertama atau kedua.
Hai orang-orang yang beriman,
jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebahagian dari purba-sangka
itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menghina
antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan
bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha
Penyayang.
Surat al Hujurat (49) : 12
HARGAI KEBAIKAN
SUAMI KEPADA MADU
Seorang
suami yang baik dalam menjalankan amanahnya akan sedaya upaya berlaku adil
kepada dua keluarga. Justeru, hargailah kebaikan yang dilakukan oleh suami
kepada madu memandangkan ia juga boleh menjadi penanda aras kebaikan suami
kepada isteri yang lain.
"
Kakak kurang sihat. Abang cadang nak bawa kakak ke klinik.." Ujar
sang suami ketika mungkin dalam giliran isteri yang lain. Usah dituruti
nafsu dan cemburu yang menuduh suami mengutamakan madu sebaliknya fikirkan
bahawa ia suatu usaha baik suami kepada madu dan juga mungkin kepada kita juga
suatu hari nanti.
Ataupun
mungkin ada hadiah yang diberikan oleh suami kepada madu, usah ditafsir
bermacam sehingga menolak kebaikan suami yang banyak kepada kita. Sebaliknya,
percayalah bahawa suami tahu apa yang sedang dilakukannya sedangkan kita
mungkin hanya memerhati kelebihan yang diperoleh oleh pihak sebelah sana dan
menutup mata pada kelebihan yang telah pun ada pada pihak kita.
BERSEDERHANA ADALAH KUNCI
Saya berjumpa dengan ramai wanita
yang berpoligami yang mempunyai hubungan yang rapat dengan madu. Namun
rata-rata percaya bahawa, hubungan yang rapat tidaklah menjadi lesen untuk kita
meluahkan semua perkara kepada madu. Kerana dia juga adalah seorang manusia
biasa sebagaimana kita, ada juga masanya cemburu datang menerpa biarpun ada
masanya cemburu seolah tidak ada. Belajarlah memilih perkara yang ingin
diluahkan demi menjaga sekeping hati. Sebaiknya, seorang suamilah tempat
meluahkan perasaan kerana dia mendengar dengan cinta tanpa prejudis, berbeza
pastinya dengan hati seorang wanita yang turun naik dalam cemburunya.
Sebagaimana, kita mungkin seronok
ingin kerap berjumpa. Namun jika berjumpa, ada sahaja tingkah atau kata yang
tak kena. Lantas, mendinginkan hubungan selain menjadi ‘modal’ untuk mengadu
kepada suami mengenai madu mengenai silap tingkah dan kata sang madu ketika
bersua. Walaupun, tiada niat asal untuk bercerita namun desakan cemburu
seringkali boleh menutup mata daripada sebegitu banyak kebaikan yang telah
dilakukan oleh madu.
Saya percaya bersederhana adalah
kuncinya. Berjumpa apabila rindu, menahan daripada berjumpa apabila emosi tidak
stabil. Memuji apabila hati senang, dan menahan diri daripada berkata buruk
ketika hati diusik cemburu yang boleh merosakkan.
Cemburu umpama garam, sedikitnya
menambah rasa, banyaknya merosakkan selera. Moga dikurnia cemburu yang benar,
cemburu yang menjadi lambang cinta dan menguatkan lagi ikatan dua jiwa.
Aku menulis dan melakar tinta
Bukan kerana sudah sempurna
Namun sedar banyaknya cela
Hanya muhasabah diri semata
Posted by Wardah Maqsurah at 12:32 AM 0 comments
Labels: Majalah i
Subscribe to:
Posts (Atom)


































