Thursday, September 1, 2016

SEMANIS MADU SEPAHIT CEMBURU

Oleh : Nur A’isyah Humaira Ismail
Melayari kehidupan berumahtangga sahaja adalah cabaran baru seorang wanita, bertatih mengenal dunia baru. Mengenali sikap dan peribadi seorang lelaki yang baru dikenali. Tidak hairanlah jika orang kata, lima tahun pertama adalah ‘tahun kritikal’ dalam berumahtangga. Tempoh untuk mengenal kekurangan atau kelebihan pasangan masing-masing secara lebih dekat. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang ditaqdirkan menjadi isteri kedua. Ada dua insan baru yang secara sekaligus, perlu dikenali dan disantuni.

Suami dan madu.

Tidak terkecuali, anak-anak yang semakin membesar. Keluarga suami, keluarga madu dan keluarga sendiri pula mungkin ada yang memerhati. Seorang insan baru, seorang isteri yang sedang belajar mengenal dunia rumahtangga, seorang ibu baru dan seisi tanggungjawab yang tergalas padanya. Pada diri yang masih kontang pengalaman.
Hanya kepada Allah, tempat memohon kekuatan.
Hanya kepada Allah, tempat menyandarkan seluruh pengharapan.

HARGAI MADU DAN ANAK-ANAK

Seorang madu, apatah lagi isteri pertama dan anak-anaknya adalah insan yang telah banyak berkorban rasa. Jika kita ingin berhujah, siapa yang lebih banyak pengorbanannya setelah menjadi isteri, pasti debat itu tidak akan pernah habis sehingga akhir nyawa. Namun, memiliki seorang madu yang mampu menerima diri kita seadanya adalah satu kurniaan Allah yang besar. Dia seorang wanita yang terlebih dahulu mengisi hati dan hari-hari seorang lelaki yang kini juga menjadi suami dan ayah kepada sebuah keluarga baru. Cukuplah kita belajar meletakkan diri kita di posisinya, dengan segala cabaran menangani emosi yang bersilih ganti, ia satu pengorbanan yang besar yang hanya mampu didepani dengan iman dan aqal yang waras. Tidak rugi berbuat baik, jika benar kita ingin bersama suami, madu dan anak-anak hingga ke syurga. Syurgalah tempatnya, di mana tiada batas pada ruang dan jarak. Tempat berehat dan bercinta yang sebenar-benarnya. Taman di mana tiada lagi wujudnya cemburu, hanya gelak tawa dan bahagia bersumberkan daripada kepuasan dalam jiwa hadiah atas penat payah di atas muka bumi ini.

MENJAGA SENSITIVITI

Bagi seorang wanita muda, menjaga sensitiviti adalah perkara yang paling sukar dek kerana kurangnya pengalaman hidup yang boleh menjadi panduan. Namun, setelah berada dalam poligami, menjaga sensitiviti adalah antara perkara utama yang perlu dibimbangi setiap saat dan ketika. Apatah lagi ketika bersua wajah dan berbicara dengan madu yang dikasihi.
“Hmm, tak tahan betul dengan cuaca sejuk. Sakit kepala dan penat. Tak sabar nak balik Malaysia..” sepotong kata buat madu yang mungkin boleh mengurangkan kadar cemburu seorang isteri ketika kita dan suami jauh di bumi Eropah sana. Ia nampak sungguh ‘kecil’, namun boleh jadi besar impaknya pada kepayahan seorang wanita dalam bermujahadah menangani bermacam emosi yang bersilih ganti.
Usah dengan sengaja atau sengaja berbicara sesuatu perkara yang boleh mengundang cemburu, meskipun bagi kita ia perkara kecil. Kita tidak mahu perkara kecil ini tersimpan menjadi busut yang kelak akan membesar.

USAH MENJEMPUT CEMBURU

“ Semalam kakak ikut ke abang ke kenduri?” soalan ditanya, sedangkan sudah tahu jika ya jawapannya, hati akan diusik cemburu.
“ Assalamualaikum, tengah buat apa tu? Kakak ada kat mana?..” soalan di ruangan whatsapp ditujukan buat kakak, sedangkan maklum sekarang suami bersama kakak dalam gilirannya di hujung minggu. Boleh jadi sedang beraktiviti di luar rumah. Jawapan yang dibalas, mungkin boleh menyinggung. Jika tidak sekarang pun, mungkin pada masa akan datang ia akan hadir mengganggu.
Tahanlah duhai diri, tahan daripada menjemput cemburu dengan sengaja. Ia tidak berbaloi untuk kebahagiaan yang kita ingin cipta dalam kehidupan seharian.

JADI PROAKTIF

Saya belajar, bahawa tidak terlalu menjaga tepi kain pada perkara yang sewajarnya sangat membantu untuk kita dan suami menjadi pasangan yang bahagia. Usah ditanya dan dibanding-banding, apa aktiviti yang telah suami lakukan bersama madu dan anak-anak, sebaliknya jadilah proaktif menyusun atur aktiviti keluarga sendiri. Apa yang madu lakukan bersama suami tidak semestinya sesuai untuk kita lakukan juga. Sebaiknya, bantu suami mengemudi bahtera dengan idea-idea baru daripada kita sementelah suami sangat sibuk dalam urusan kerja dan memimpin dua keluarga. Sebagai contoh, ajaklah suami ke mana-mana dengan positif tanpa perlu ‘memaksa’ suami hanya kerana suami juga telah keluar bersama madu. Nikmati masa kita bersama dengan hanya memikirkan tentang keluarga sendiri tanpa perlu cemburu yang berlebihan sehingga merosakkan emosi sendiri dan suami.

IKHLAS DAN TIDAK DENGAN SENGAJA BERCAKAP BURUK TENTANG MADU

“ Hmm takpelah abang, ‘kakak’ memang macam tu. Sengaja nak pakai baju sama warna dengan abang bila kita keluar bersama…Saja nak buat saya sedih..”
Kita seharusnya sedar bahawa bercakap ‘buruk’ tentang madu tidak sesekali boleh menjadi salah satu cara ‘memikat’ suami agar lebih kasih akan diri kita. Malah, mungkin boleh mendinginkan lagi ikatan hati antara satu sama lain kerana suami boleh jadi berjauh hati dengan sikap kita yang gemar mengadu tentang pihak yang satu lagi. Suami yang beriman dan bijaksana sedar bahawa dia tidak seharusnya menjadi lalang, percaya dan terpengaruh dengan kata-kata isteri yang berada dalam luar kewarasan emosi.
Lebih daripada itu, bercakap buruk tentang madu sama ada dengan nada sinis atau tersirat boleh menjauhkan kita daripada ketenangan hati dan meraih keberkatan dalam hubungan suami isteri.
Saya akui kata-kata seorang kakak yang dikenali di alam maya, siapa yang paling mendalam cintanya kepada Tuhan, dialah yang paling mendalam cintaNya dengan pasangan. Kerana barakah dan ketenangan di dalam rumahtangga, semuanya anugerah daripada Tuhan yang Maha Penyayang. Tidak kiralah dalam monogami atau poligami, tidak kiralah isteri pertama atau kedua.
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebahagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menghina antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Surat al Hujurat (49) : 12

HARGAI KEBAIKAN SUAMI KEPADA MADU

Seorang suami yang baik dalam menjalankan amanahnya akan sedaya upaya berlaku adil kepada dua keluarga. Justeru, hargailah kebaikan yang dilakukan oleh suami kepada madu memandangkan ia juga boleh menjadi penanda aras kebaikan suami kepada isteri yang lain.

" Kakak kurang sihat. Abang cadang nak bawa kakak ke klinik.." Ujar sang suami ketika mungkin dalam giliran isteri yang lain. Usah dituruti nafsu dan cemburu yang menuduh suami mengutamakan madu sebaliknya fikirkan bahawa ia suatu usaha baik suami kepada madu dan juga mungkin kepada kita juga suatu hari nanti.

Ataupun mungkin ada hadiah yang diberikan oleh suami kepada madu, usah ditafsir bermacam sehingga menolak kebaikan suami yang banyak kepada kita. Sebaliknya, percayalah bahawa suami tahu apa yang sedang dilakukannya sedangkan kita mungkin hanya memerhati kelebihan yang diperoleh oleh pihak sebelah sana dan menutup mata pada kelebihan yang telah pun ada pada pihak kita.

BERSEDERHANA ADALAH KUNCI

Saya berjumpa dengan ramai wanita yang berpoligami yang mempunyai hubungan yang rapat dengan madu. Namun rata-rata percaya bahawa, hubungan yang rapat tidaklah menjadi lesen untuk kita meluahkan semua perkara kepada madu. Kerana dia juga adalah seorang manusia biasa sebagaimana kita, ada juga masanya cemburu datang menerpa biarpun ada masanya cemburu seolah tidak ada. Belajarlah memilih perkara yang ingin diluahkan demi menjaga sekeping hati. Sebaiknya, seorang suamilah tempat meluahkan perasaan kerana dia mendengar dengan cinta tanpa prejudis, berbeza pastinya dengan hati seorang wanita yang turun naik dalam cemburunya.
Sebagaimana, kita mungkin seronok ingin kerap berjumpa. Namun jika berjumpa, ada sahaja tingkah atau kata yang tak kena. Lantas, mendinginkan hubungan selain menjadi ‘modal’ untuk mengadu kepada suami mengenai madu mengenai silap tingkah dan kata sang madu ketika bersua. Walaupun, tiada niat asal untuk bercerita namun desakan cemburu seringkali boleh menutup mata daripada sebegitu banyak kebaikan yang telah dilakukan oleh madu.
Saya percaya bersederhana adalah kuncinya. Berjumpa apabila rindu, menahan daripada berjumpa apabila emosi tidak stabil. Memuji apabila hati senang, dan menahan diri daripada berkata buruk ketika hati diusik cemburu yang boleh merosakkan.
Cemburu umpama garam, sedikitnya menambah rasa, banyaknya merosakkan selera. Moga dikurnia cemburu yang benar, cemburu yang menjadi lambang cinta dan menguatkan lagi ikatan dua jiwa.


Aku menulis dan melakar tinta
Bukan kerana sudah sempurna
Namun sedar banyaknya cela
Hanya muhasabah diri semata


0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat