Wednesday, January 29, 2014

APA YANG DISIMPAN?



“Kali ini, ustazah nak ajak anak-anak untuk berimaginasi. Bayangkan suatu hari nanti, ditaqdirkan awak semua mendapat duit dalam jumlah yang besar iaitu satu juta. Ustazah nak awak semua fikirkan apa yang boleh dibuat dengan wang satu juta yang awak dapat itu. Ustazah pasti semua daripada kamu memiliki impian masing-masing. ”

Saya memandang mereka satu persatu. Ada wajah yang berkerut, barangkali masih menghadam soalan yang dilontarkan. Saya tersenyum. Memang sukar untuk murid tahun lima untuk membahagikan wang satu juta kepada impian mereka. Namun, saya berharap setidak-tidaknya ia boleh menguji minda mereka. 

“ Jangan bimbang, tidak ada impian yang salah selagi ia adalah impian yang tidak menyalahi apa yang digariskan oleh Allah dan Rasulullah. Ustazah akan menerima semua impian kalian dengan terbuka” saya meneruskan bicara setelah melihatkan mereka seolah berbisik sesama mereka akan kesukaran untuk menggunakan wang satu juta ini. Alhamdulillah, selepas itu mereka kelihatan kembali ceria dan segera menulis impian masing-masing di kertas yang diberikan.

Akaun 1 juta Muaz
Membeli rumah : RM500 000.00
Membeli BMW : RM300 000.00
Melancong dan mengerjakan haji : RM100 000.00
Memberikan bantuan kepada orang miskin : RM100 000.00

Akaun 1 juta Hani
Memberikan kepada ahli keluarga : RM50 000.00
Bercuti di Paris dan Korea : RM100 000.00
Membuka butik pakaian : RM300 000.00
Membeli rumah dan keperluan : RM300 000.00
Membeli kereta : RM250 000.00

“ Alhamdulillah, ustazah dah baca beberapa impian kalian. Semua bagus. Dan ustazah sangat kagum sebab semua pandai membahagikan wang 1 juta. Ok baiklah. Daripada jawapan Muaz, tahniah sebab Muaz dan simpan RM100000. Daripada jawapan Hani pula, tahniah sebab Hani dah ada simpanan sebanyak RM50000” cetus saya sambil memandang Muaz dan Hani dengan senyuman.
“ Eh, mana ada ustazah, Muaz dan Hani dan belanjakan semua satu juta. Dah tak ada yang berbaki.” Tegur ketua kelas, Naim. “ Betul tu, ustazah” Muaz menyetujui. Hani mengangguk. Ahli kelas yang lain memandang saya kehairanan.
“ Ustazah tetap kata mereka ada simpanan. Alhamdulillah. Boleh sesiapa jelaskan kenapa ustazah kata begitu?” saya masih ingin menguji. Mereka masih diam, namun menunjukkan wajah ingin tahu.
“ Beginilah, mudahnya untuk difahami. Apa yang kita beri, itulah simpanan kita. Simpanan akhirat” saya memberi idea. Lalu beberapa orang murid saya pilih untuk mereka menjustifikasikan jawapan saya.

HEBATNYA KUASA MEMBERI


Allah berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." [QS.Ali 'Imran/3:92]

Sedeqah bagaikan satu syarat yang melengkapi semua kehidupan insan. Malah ia menjadi lumrah alam tidak kira muslim ataupun non-muslim. Di barat, seseorang masih belum cukup kaya jika belum mampu menghulur tangan untuk memberikan bantuan kepada yang memerlukan. Maka lebih-lebih lagi sewajarnya orang Islam mengambil berat soal sedeqah ini. Supaya setiap kebaikan yang lain membulat sempurna dengan hadirnya sedeqah dalam kehidupan seharian.

Sedeqah dapat membentengi diri manusia daripada api neraka. Walaupun sedeqah yang diberikan bukan dalam jumlah yang besar, namun bersedeqahlah kerana sepotong kurma yang disedeqahkan juga boleh menyelamatkan daripada api neraka yang menjulang tinggi.

Rasulullah SAW bersabda, ertinya: "Bentengilah diri kalian dari neraka walau dengan sebuah kurma." [HR.Al Bukhari & Muslim]

Bersedeqah juga adalah sumber kekuatan dan bantuan. Kerana apabila kita mampu membantu manusia yang lain, Allah pasti tidak akan menjadikan setiap usaha hambaNya adalah sia-sia. Pasti akan ada kemudahan dalam urusan di dunia dan akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda, ertinya:
"Barangsiapa menyelesaikan kesulitan seorang Mukmin di dunia, niscaya Allah akan menyelesaikan satu masalahnya di akhirat kelak. Dan barangsiapa memudahkan urusan orang yang sedang dalam kesulitan (terjerat hutang), niscaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat." [HR Bukhari & Muslim]

Sedeqah juga adalah penawar dosa buat mereka yang merindui pengampunan Ilahi. Sebagai hamba, kita tidak akan dapat lari daripa melakukan dosa dalam kehidupan seharian kerana lemahnya mengurus diri sendiri. Maka sedeqah adalah satu solusi untuk orang bertaqwa menyucikan hati. Justeru, janganlah memandang enteng pada pelaksanaannya.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada surga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." [QS.Ali 'Imran/3:133-134]

Rasulullah bersabda, ertinya: "Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api." [HR.at Tirmidzi]


TINGKATKAN KUALITI SEDEQAH

Sedeqah, namanya sudah menjadi satu kemuliaan. Setelah diri dididik untuk rajin dan lapang untuk bersedeqah, maka jangan dilupai untuk mendidik hati supaya kualiti sedeqah tidak terjejas.

Pupuklah sifat ikhlas dalam diri, supaya bersedeqah bukan untuk tampil mulia di mata manusia. Lahirkanlah rasa tulus bersedeqah secara sembunyi dan sedaya mungkin elakkanlah sedeqah daripada diketahui oleh orang ramai.

Allah SWT berfirman, ertinya: "Jika kamu menampakkan sedekah(mu) maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu." [QS.Al Baqarah/2:271]

Imam Ibnu Kathir berkata: "Dalam ayat ini terkandung pelajaran bahwa menyembunyikan sedekah itu lebih baik daripada menampakkannya. Sebab jauh dari riya’, kecuali bila pemberian sedekah secara terang-terangan mengandung kemashalatan yang jelas (misalnya mendorong orang lain untuk bersedekah pula,)."

Rasulullah SAW bersabda, ertinya: "Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu memadamkan kemurkaan Allah." [Hadits hasan, Shahiihul Jaami’'no.3797]

Selain itu, kualiti sedeqah juga boleh terjejas jika sedeqah yang dilakukan sengaja disebut-sebut. Ia boleh mempamerkan sifat tidak ikhlas dan juga mengguris perasaan penerima sedeqah. Sepertimana yang difirmankan oleh Allah ;

Allah SWT berfirman, ertinya: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)."  [QS.Al Baqarah/2:264]



4 SEDEQAH YANG AFDHAL

Keadaan yang cukup menguji kita untuk bersedeqah, adalah sebenarnya keadaan dan waktu yang afdhal untuk bersedeqah.
1. Ketika sihat
2.Ketika bakhil ( ketika banyak memerlukan duit untuk diri dan keluarga)
3.Ketika ingin jadi kaya
4.Ketika takut untuk menjadi faqir 

Kerana sebaik-baik sedeqah adalah mampu memberi walaupun hartanya sedikit. Audit diri dan hati, carilah keikhlasan meskipun ianya sesukar melihat semut di hitam di malam yang gelita.

UTAMAKANLAH KELUARGAMU

Allah menyebut hak keluarga, seperti firman-Nya dalam banyak ayat, di antaranya adalah: "Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya." [QS.al Isra'/17:26].

Justeru kepada para suami dan ayah terutamanya, jangan menjadi hero di luar rumah tetapi zero di dalam rumah. Tunaikanlah hak isteri dan anak-anak dengan nafkah yang wajar. Juga kepada keluarga yang memerlukan. Kerana pada mereka ada tanggungjawab yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak.


LUASKAN DEFINISI SEDEQAH

“ Namun jangan lupa, sedeqah bukan sahaja dalam bentuk duit seperti yang kita faham. Sedeqah adalah kebaikan. Senyum itu sedeqah, membantu guru itu sedeqah, meninggalkan perkara jahat juga adalah sedeqah. Mudah kan untuk bersedeqah?” Saya membetulkan persepsi, supaya mudah diamalkan oleh murid-murid.

“ Mudahnya, bila bersedeqah dapat pahala, bila dapat pahala, boleh masuk syurga!” kata seorang murid separa menjerit supaya didengari oleh saya. Saya tersenyum lagi. Gembira mereka mampu mengaitkan sedeqah dan syurga.

“ Kerana itu, janganlah jemu bersedeqah. Kerana setiap apa yang kita ada sekarang, hanyalah ihsan pinjaman daripada Allah. Boleh ye anak-anak?” Saya menutup bicara dengan rumusan ringkas. Saya bersyukur, diberikan kesempatan untuk memberikan mereka satu dimensi kefahaman mengenai sedeqah. Amal yang ringkas tetapi besar impaknya.

Alhamdulillah.

290114 @ Cheras



 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat