Sunday, May 29, 2016

INDAH PADA ATURANNYA


“Hidup ini senang kan, kalau semuanya mengikut apa yang kita mahukan?” bicara gadis remaja itu seakan ringkas untuk difahami. Namun saya diam, ada sesuatu yang cuba disampaikan. Tangan saya tidak berhenti, masih ralit membantu ibu menganyam ketupat palas yang disediakan sebagai juadah untuk hari raya yang bakal menjelang tiba.

“ Tapi sayang, tak semua yang kita mahukan kita akan dapat…” dia menyambung. Masih meluahkan rasa. Saya senyum menyambut kata-katanya. “Setuju. Betul juga ya, kalau kita minta dengan Tuhan supaya semua ketupat palas ini siap tersedia kan best? Aduh, dah sakit jari jemari kita ni. Jenuh nak habiskan kesemua pulut yang ada..” saya mengiyakan dengan gurauan manja. Dia tergelak. “ Ish….!” gadis itu menampar lembut bahu saya. Saya mengambil peluang yang ada cuma sesekali ini untuk bersembang dengan anak saudara yang kini sudah menginjak usia 18 tahun.

“ Cuba bayangkan, semua orang minta bermacam-macam perkara. Dan Allah mengabulkan semua permintaan kita. Agak-agaknya apa akan jadi pada dunia? Semua orang minta kaya, senang dan bahagia, tanpa ujian. Tiada yang sudi berpayahan bekerja mengangkut sampah, tiada yang ingin berpenat lelah menguruskan pejabat dan sekolah, tiada yang ingin bekerja membaiki lampu dan kipas dan macam-macam lagi. Agaknya macam mana ya?” saya masih belum mengalihkan pandangan daripada jemari yang sedang menganyam ketupat, tugas tahunan apabila pulang beraya di Terengganu. 

Kali ini, saya memandang wajahnya sambil melemparkan senyuman. Penuh makna.

DENGAN RASA ‘KECUKUPAN’

Kehidupan ini indah pada setiap aturan Dia, hingga tak perlu untuk setiap insan merasa sempurna untuk bahagia. Kerana bahagia mampu hadir hanya dengan rasa ‘kecukupan’. Kecukupan pada setiap inci nikmat dan cabaran. Si pemungut sampah, yang kerja hariannya bergelumang dengan ‘busuk’ dan ‘kotor’ sampah yang dikutip, boleh jadi lebih bahagia daripada insan lain. Hatinya terasa puas berkhidmat dan berbakti, kepada insan lain yang mensyukuri kebersihan, rezekinya ‘berlimpah’ kerana berkat yang menjadikannya cukup untuk kegunaan isteri dan anak-anak tercinta dan hatinya tenang menjalankan kerja halal lagi baik tanpa hasad dan iri insan lain di sekelilingnya. Dia pulang ke rumah dengan jiwa besar, disambut pula dengan bahagia oleh ahli keluarga yang sangat berterima kasih kepada dirinya. Dan malamnya berlalu dengan senyum dan bahagia, yang dicemburui oleh insan-insan yang sedang mendambakan bahagia walaupun sedang diulit beribu kesenangan duniawi.
Saya teringat perbualan dengan bonda suatu ketika dahulu, tentang kepayahannya semasa muda, membesarkan anak-anak terutama semasa hampir kesemua anak di universiti yang memerlukan pengorbanan wang, masa dan tenaga. Namun kini, setelah anak-anak menginjak dewasa, yang payah kian beransur ringan, menjadikan rasa syukur jua kian bertambah setelah mengenang kepayahan dulu yang mahal harganya. Begitulah barangkali, pelangi yang terbit setelah hujan. 

“ Walaupun dengan kewangan yang terhad, kemudahan yang serba kurang, namun kehidupan ketika itu dirasakan cukup dan tenang. Tidak jauh bezanya dengan perasaan sekarang, setelah hidup makin mudah dan lengkap. Alhamdulillah, dulu dan kini semuanya adalah anugerah ALLAH. Yang penting, usah disesali apa yang telah berlalu” jelas bonda, mensyukuri masa dahulu jua masa sekarang. Saya menyentuh tangan tua itu, mengalirkan rasa sebak dan kasih yang tak berpenghujung.

KUASA DOA

Syukur pada ALLAH, menjadikan kita seorang manusia yang bernafas dalam jiwa Islam, Dia telah mengurniakan suatu senjata terbaik ketika waktu senang dan sukar. Itulah istimewanya kuasa doa. Kuasa yang melangkaui ruang dan jarak, melonjak menembusi langit bertemu dengan Tuhan tanpa hijab. 

Saya teringat pada inti ceramah yang sempat dihadiri baru-baru ini. Seorang suami mungkin sedang berdoa untuk berpoligami dalam batas kemampuan dan keinginannya. Sedangkan isteri sedia adanya sedang berdoa untuk tidak dipoligami agar tidak sukar dalam usaha menjadi isteri yang berbakti. Dan di sana ada seorang wanita sedang berdoa agar dipertemukan jodohnya dengan seorang lelaki yang terbaik untuk dirinya, sebagai pendamping dan pemimpin. Subhanallah, dengan kebijaksanaan Allah yang tiada tara, Dia mungkin sahaja sedang menghimpunkan kebaikan yang terselit melalui episod poligami buat ketiga-tiga insan yang sedang bermunajat itu. Lantas, Dia mengizinkan poligami terjadi, dan hari demi hari mendatang akhirnya akan tersingkap hikmah sedangkan perkara itu mungkin tampak sungguh tidak sempurna pada awalnya. Kerana semuanya terjadi dengan izin Allah, bukan izin manusia meskipun manusia tidak mampu redha dengan apa yang telah ditaqdirkanNya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Tiada yang lebih membahagiakan buat jiwa seorang hamba selain daripada masa duduk berdua-duaan dengan Allah robbul ‘Izzati, merintih menyesali dosa, mengharap memohon keampunan dan meminta kebaikan yang diinginkan oleh sekeping hati. Berdoalah kerana sesungguhnya semakin kita mengharap, semakin dekat hubungan hamba dengan Tuhannya. Malah jika semakin banyak kita memohon ampun dan taubat, semakin dekat pula rahmat Tuhan menghampiri. Sungguh berbeza dengan tabiat manusia, yang seringkali mudah bosan dan jemu disua maaf yang tidak berkesudahan.
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Allah menyukai, malah menyuruh hamba-hambaNya memperbanyakkan doa dalam menelusuri setiap saat dalam kehidupan yang menguji .

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Semua doa yang baik pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Dan jika tidak, pasti ada beberapa perkara yang menyebabkannya terhalang dan boleh dimuhasabah bersama. Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, telah ditanya mengenai mengapa doa ditolak dan dia telah berkata : 

"Doa ditolak kerana beberapa sebab iaitu iaitu ;

1.      Kita mengenal Allah tetapi segala hak yang diamanahkan kepada kita tidak dilaksanakan.

2.      Sunnah Rasulullah SAW diremehkan walau kita menyintainya.

3.      Al Quran dibaca siang dan malam tetapi kita tidak beramal dengannya.

4.      Tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.

5.      Syaitan dijadikan sahabat walaupun lidah mengatakan ia adalah musuh.

6.      Kita tidak beramal dengan bersungguh-sungguh walau kita tahu syurga itu benar.

7.      Maksiat kita lakukan berleluasa walaupun kita tahu neraka itu adalah balasan untuk orang-orang yang melakukannya.

8.      Tidak menyediakan bekalan hari akhirat walaupun kita tahu mati itu benar.

9.      Sentiasa mencari kesalahan dan keaiban orang lain tetapi tidak memerhatikan keaiban diri sendiri   
      Tidak mengambil iktibar dan pengajaran setelah menguburkan orang mati.

Berdoalah perkara yang baik-baik sementara masih diberi peluang. Usah disesali doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT telah berjanji akan adanya akhirat yang menanti.

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Adakah seorang ibu tidak menyayangi anaknya jika dia tidak menunaikan permintaan anaknya yang sedang menangis kerana berhajat kepada gula-gula? Sedangkan si ibu lebih tahu baik buruk perkara yang dihajati. Sebagaimana Allah lebih tahu perkara yang lebih baik untuk diberikan kepada hambaNya meskipun dia sedang sangat berhajat akan sesuatu!

INDAH PADA ATURAN DIA

“ Kita kena sentiasa sedar dan faham bahawa kehidupan kita semuanya adalah tertakluk kepada ALLAH yang Maha Tahu. Berbanding dengan kita yang serba tidak tahu. Sebagai hamba, Allah menyediakan kepada kita satu medium untuk berhubung dengannya tanpa hijab iaitu doa. Berdoalah dan  apabila berdoa jangan hanya berdoa agar dikabulkan semua permintaan kita, tetapi berdoalah agar ALLAH memberikan kita apa yang terbaik untuk kehidupan ini. Tidak semua yang kita suka adalah baik untuk kita tetapi semua yang Allah suka adalah yang terbaik untuk diri kita” bicara akhir saya perlahan, tidak lain sebenarnya adalah buat peringatan diri sendiri dan anak gadis itu yang sedang mengharapkan sedikit suntikan buat bekal menghadapi hari mendatang.

JADI DIRI SENDIRI!


Oleh : Nur A’isyah Humaira binti Ismail / Majalah I Vol 164

Cuaca kian dingin, hujan yang sedari tadi hanya renyai-renyai kini mulai lebat. Sementara menemani si kecil yang sedang ralit bermain di ruang tamu, saya membelek beberapa buah buku yang telah lama dibeli namun belum dikhatamkan. Saya membaca beberapa jajaran kisah sirah yang membuktikan bahawa Saidatina ‘Aisyah menjadi wanita yang mewangi namanya biarpun tiada cahaya mata yang pernah tumbuh dalam rahimnya. Maryam r.a menjadi antara wanita terbaik, meskipun tidak dikurnia suami sebagai pelindung dalam hidupnya. Malah Asiah r.a menjadi wanita terpuji meskipun menjadi suri kepada seorang lelaki yang paling dilaknati Tuhan kerana keangkuhannya. Saya menginsafi, ternyata kita tidak perlu memiliki semua kesempurnaan pada pandangan manusia untuk menjadi seorang yang sempurna dalam mensyukuri nikmat Ilahi.

Kita sebenarnya telah cukup sempurna sebagai manusia ketika saatnya jiwa kita mampu mensyukuri setiap kurniaanNya. Meskipun sebagai manusia sebenarnya kita seringkali sukar merasa puas dengan apa yang ada lebih-lebih lagi jika jiwa kita tidak dikekang daripada keterlaluan dalam ‘mencemburui’ nikmat yang ada pada diri orang lain. Sedangkan kita tidak pernah tahu pergelutan dalam mujahadahnya sebelum dia akhirnya mencapai perkara yang kita cemburui secara negatif itu. Kita berhak cemburu, kerana itu fitrah yang hadir tanpa kita pinta. Namun berdoalah kepada Tuhan agar cemburu itu menjadi sesuatu yang positif, menambahbaik kekurangan diri dan memberi jalan apa yang kita tidak tahu.

SAYANGI DIRI SENDIRI

1 Bersyukur dan sentiasa bersyukur
Saya teringat satu status di laman mukabuku yang ditulis oleh sahabat saya, cukup ringkas namun mendalam dan berkesan di hati
“ Kita selalu percaya kehidupan orang lain lebih baik daripada kita. Orang lain pula percaya kehidupan kita lebih baik daripada mereka. Semua itu terjadi kerana kita kehilangan sesuatu dalam kehidupan kita. Iaitu ; qanaah yakni merasa cukup”
Merasa cukup itulah sebenar-benar erti kesyukuran.
Percaya atau tidak, adakala kita merasa rumput di sana lebih hijau segar berbanding rumput di laman sendiri. Siapa tahu jika sebenarnya di sana bukan rumput yang memberi udara selain hanya rumput palsu ditampal pada tanah kontang agar tampak cantik semata.

2 Jadi hamba ALLAH yang terbaik!
Terbaik, dalam batas kemampuan diri yang ada tidak bermakna sempurna dan ‘terbaik’ pada mata insan lain yang memandang. Namun, ketika hati masih kuat meyakini bahawa Allah itu ada dan diri masih kuat melunasi semua kewajipan yang disuruh olehNya. Biarpun mungkin ketika itu kita sedang bermujahadah menghampar sejadah dan bersujud ketika sakit.
Terbaik bagi kita mungkin belum dikira terbaik pada insan lain, namun usah gundah duhai hati kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil, setiap secebis usaha dan rasa akan diperhitung tanpa dibanding-banding antara seorang dengan yang lain. Kerana itulah kita diingatkan agar sering risaukan diri sendiri, lebih daripada memandang kekurangan yang pada tingkah dan batang tubuh orang lain.

3 Menghargai diri sendiri
Percayalah, insan yang tidak mampu menghargai diri sendiri tidak akan mampu menghargai insan lain di sekelilingnya. Sedarilah wahai diri, Allah telah menciptakan kita dengan sangat indah dan bermakna. Sebagaimana kehadiran kita cukup dinanti oleh kedua ayah bonda suatu ketika dahulu. Dibelai dimanja, dikasihi dan dicintai tanpa syarat. Hanya sahaja bagaimana kita menghargai diri sendiri yang membezakan bagaimana diri kita sekarang, setelah meniti usia dewasa. Usah dibiarkan apa sekalipun yang meruntuhkan keyakinan dan merosak diri secara senyap dan berdikit.

4 Percaya bahawa orang di sekeliling juga menyayangi
Benar sekali bahawa menghargai diri sendiri adalah senjata paling utuh buat bekal kita melangkah. Namun dengan rasa dihargai dan percaya bahawa diri disayangi oleh orang sekeliling terutama insan kesayangan seperti suami dan anak-anak juga adalah sebenarnya salah satu kekuatan yang melonjakkan keyakinan diri dalam menempuhi hari yang mendatang.
Mereka juga manusia biasa, punyai kekurangan dan kelebihan tersendiri dalam mengekspresi cinta. Namun percayalah, selagi mereka sudi di sisi mereka sebenarnya sangat mengasihi.

5 Banyakkan memberi
Semakin banyak ‘memberi’ pada orang lain, tidaklah bererti kita akan semakin banyak kehilangan. Sedangkan dengan ‘memberi’ itu, kita sebenarnya sedang memberi pada diri sendiri berupa ‘pemberian’ pahala yang disimpan untuk diperhitung di akhirat kelak dan anugerah kepuasan dalam hati sebagai ganjaran di dunia. Itu adalah hadiah termahal pada diri kita, tanda kita benar-benar cinta dan kasih pada diri sendiri.
Mujahadah, adalah kata kunci untuk ingin memberi. Apatah lagi jika ia tidak selari dengan keinginan dan kehendak diri. 

4 Buat sesuatu untuk diri
Reward diri sendiri dan rasai kepuasannya. Jangan lupa untuk buat sesuatu untuk diri sendiri. Melayani keperluan dan kebebasan diri. Meskipun hanya berupa berjalan-jalan di tepi tasik melepaskan tekanan yang menghambat. Mahupun mencari masa untuk menenangkan diri. Percayalah, ia bukan masa yang sia-sia sebaliknya lima minit untuk diri boleh jadi telah mengecas semangat untuk terus berbakti dengan jiwa yang lapang dan bahagia. Kerana kita adalah manusia yang sarat dengan emosi dan limitasi.

JADI DIRI SENDIRI
Lirik lagu Kun Anta oleh Humood Al Khudher
Ketika ingin bersaing dengan mereka,
Aku telah meniru apa yang ada pada mereka
Lalu aku mula menjadi seperti orang lain, supaya aku boleh berbangga
Dan aku sangka jika aku lakukan seperti itu aku akan dapat kelebihan
Namun aku dapati yang aku perolehi hanyalah kerugian. Itulah yang nyata.
Tidak..Tidak...Kita tidak memerlukan harta, agar bertambah cantik.
Permata kita ada di sini, di dalam hati yang bersinar-sinar
Tidak..Tidak...
Kita bukan di terima orang lain dengan apa yang tidak ada.
Kita diterima adalah kerana perbuatan (akhlak) kita.
Itulah kecantikan kita. Yang sangat tinggi dan mulia
Jadilah diri kamu sendiri
Pasti akan bertambah lagi kecantikan yang sedia ada
Sungguh aku menerima mereka, dan aku tidak perlu meniru perwatakan mereka
Melainkan apa yang aku terima itu aku telah redha.
Aku akan menjadi diriku sendiri. Seperti diriku sepenuhnya. Inilah aku.
Sifat qanaah sudah cukup untuk ku. Itulah keyakinanku
Aku akan menjadi diriku sendiri, mengikut kemampuan diriku.
Aku tidak perlukan orang lain untuk menerimaku
Aku akan jadi seperti diriku.
Apa yang aku inginkan. Untuk diriku dan bukan untuk keredhaan mereka

“ Kenapa agaknya ye ramai sangat suka lagu ni..?” saya melontar soalan spontan ketika stesen radio kegemaran saya memutarkan lagu Kun Anta yang diminati ramai . “ Agaknya sebab semua orang sekarang sedang mencari-cari mencari keyakinan diri, lirik lagu ini boleh membuatkan orang yakin diri..” suami yang sedang memandu juga menjawab spontan.

“ Just be yourself. Let people see the real, imperfect, flawed, quirky, weird, beautiful and magical person you are”

Saya membaca patah tulisan yang ditaip di atas sekeping poster, memberi makna yang mendalam pada sekeping hati kurniaan Ilahi ini. Saya percaya, sebagai manusia kita perlu menghargai diri sendiri sebagai tanda kita menghargai kurniaan Ilahi. Biarpun kita sering merasa terlalu banyak kekurangan, tetapi sentiasalah belajar menyayangi diri sendiri dan mensyukurinya.
Biarpun pada wajah yang ada noda, atau pada anggota tubuh yang tidak sempurna, sayangilah diri sendiri kerana ia adalah kekuatan untuk terus melangkah dan memberi yang terbaik.




 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat