Saturday, May 3, 2014

Aku bukanlah Aisyah


“ Subhanallah, indahnya mendengar kisah Saidatina Aisyah ini. Sungguh mempesona!”  

Saya mengangguk mengiyakan luahan rasa daripada anak saudara yang dikasihi usai saya menceritakan kisah keilmuan seorang wanita solehah ini. Seperti biasa, jika berkesempatan pulang ke kampung, saya akan melapangkan masa untuk berusrah bersama anak-anak saudara yang sedang meniti usia remaja.

“Jalan hidupnya tak jua terbentang dengan mawar dan harumannya, meskipun disatukan dengan seorang suami yang sempurna. Kerana syurga itu menagih pengorbanan dan perjuangan yang tak mengenal erti putus asa” saya teruskan bicara setelah melihat wajah mereka yang semakin ingin tahu.

Bukankah kita seringkali menekuni ayat al Quran ini ;

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. [2:214] 

“Seperti kisah hadithul ifki kan? Beliau diuji dengan ‘kesakitan’ menghadapi fitnah dunia. Namun tulusnya hati seorang muslimah yang ikhlas, akhirnya beliau dibebaskan dengan kebenaran wahyu Tuhannya” salah seorang daripada mereka menyuakan contoh.

Terbayang sorotan peristiwa hadithul ifki, iaitu peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah, yang berlaku selepas Perang Bani Mustalik. Beliau telah difitnah dengan Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang dengan menaiki kenderaan beliau. Fitnah ini dimulakan oleh seorang munafik, Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sudah lama menyimpan dengki dengan Baginda SAW.

“Ya benar. Kisah fitnah yang mengusik sisi maruah seorang wanita yang suci. Namun dengan kasih sayangNya, dirinya dibersihkan jua. Malah, kisah ini terus subur sehingga ke hari ini sebagai satu petanda yang tak diragui lagi bahawa beliau adalah seorang yang terpelihara.”

Seringkali kita melihat ‘sayang’ dan ‘cinta’ Allah itu hadir dalam bentuk anugerah kebahagiaan dan kesenangan. Malah, bibir lebih ringan menyebut kalimah hamdalah ketika memperoleh nikmat yang nampak zahir di mata manusia. Namun, jika diteliti dengan lebih tekun dan mendalam, ‘sayang’ dan ‘cinta’ Allah jua adalah apa-apa yang hadir dalam episod kehidupan yang mampu membawa diri lebih akrab dalam mengabdikan diri kepadaNya. Kerana itulah, fitnah kepada Saidatina Aisyah ini jua adalah satu bentuk kasih sayang Allah kerana dengan ujian ini, beliau menjadi makin utuh dan yakin keimanannya kepada Allah. Sehingga beliau nekad hanya akan mengucapkan syukur kepada Allah yang membebaskannya daripada fitnah itu.

Saidatina Aisyah juga merupakan seorang yang sangat berjasa dalam bidang keilmuan Islam. Manakan tidak, beliau sungguh istimewa kerana tumbuh membesar dalam pangkuan Rasulullah SAW. Banyak hadis yang diriwayatkan oleh beliau sehingga menjadi rujukan para sahabat baginda SAW.

Antara ucapan Saidatina Aisyah r.a yang menjadi bukti kemuliaan yang dianugerahkan kepada dirinya adalah saat turun wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW :

“ Aku pernah melihat wahyu turun kepada Rasulullah pada suatu hari yang sangat dingin sehingga baginda tidak sedarkan diri, sementara keringat bercucuran daripada dahi beliau” HR Bukhari.

Sebagai isteri, beliau juga memiliki keistimewaan untuk bertanya langsung kepada suami yang dicintainya. Antara buktinya adalah melalui ungkapan perbualan beliau bersama Rasulullah SAW.

“ Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat “ Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut.......” (QS Al Mu’minun:60)

“ Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas adalah para peminum khamar dan pencuri? Baginda menjawab, “ Bukan, puteri As Siddiq! Mereka adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedeqah tetapi takut ( amal mereka tidak diterima). Mereka menyegerakan diri dalam kebaikan tetapi mendahului (menentukan sendiri) kebaikan tersebut.” HR Ibn Majah dan Tirmidzi.

Dialah Ummul Mukminin Saidatina Aisyah yang diibaratkan laksana lautan ilmu yang luas dengan keperibadian yang unggul namun masih berpijak di bumi realiti. Pada keunggulannya, ada kisah manja berlumba lari dengan sang suami, menjadi contoh teladan buat para suami dalam melayani isteri. Malah pada keunggulannya jua, ada kisah cemburu yang menjadi makna bahawa ia adalah sifat lumrah seorang wanita.

Terasa sayu membaca kisah detik terakhir pemergian Rasulullah di pangkuan Saidatina Aisyah yang bertuah. Kisah ini diceritakan oleh beliau  “Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda. Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya”

Subhanallah.

Dalam dingin senja dan ditemani titis hujan yang baru turun membasahi bumi, saya mengarang sebuah nukilan. Bahawa diri ini meminjam nama beliau yang terpuji dan dicintai Nabi, namun akur masih terlalu jauh daripada mencontohi keperibadian mulia yang menjadi teladan merentasi zaman itu.

AKU BUKAN AISYAH

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang tinggi ilmunya kebanggaan Rasulullah,
Namun aku A'isyah,
Meraih ilmu dalam sukar dan payah.

Aku bukan seorang Aisyah,
Kuat jiwanya dengan pengorbanan yang tinggi,
Namun aku A'isyah,
Belajar bermujahadah menghadapi ujian duniawi.

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang luas jasanya menebar kepada ummah,
Namun aku A'isyah.
Yang bertatih mencari amal dalam kemampuanku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Yang wajahnya dipandang sungguh mempesona,
Menjadi kecintaan baginda Al Amin,
Namun aku A’isyah,
Yang ingin menjadi penyejuk mata,
Dan menyenangkan hati sedaya mampuku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Dikirim perintah Tuhan untuk diperisterikan Nabi,
Namun aku A’isyah,
Ditaqdirkan Dia untuk menjadi isteri dalam kekuranganku.

Aku bukan seorang Aisyah,
Digelar Humaira’ ketika dimanjai Nabi,
Namun aku A'isyah,
Diberikan Humaira di akhir namaku.

Sungguh,
Aku bukanlah Aisyah yang sungguh sempurna,
Cemburunya menjadi penghibur hati Nabi,
Karenahnya menjadi penguat cinta Nabi,
Ilmunya menjadi kebanggaan Nabi,
Jasanya menebar luas kepada seluruh ummat Nabi,
Sehingga wahyu Tuhan turun untuk membersihkan dirinya,
Seorang Aisyah yang sungguh terpuji.

Kerana,
Aku hanya seorang A’isyah,
Yang jauh daripada sempurna,
Namun dikurniakan Tuhan untuk bernafas,
Diikat dengan iman dan islam sebagai anugerah,
Kerana itu aku punyai impian dan keyakinan,
Dengan izin dan petunjuk Tuhan ar Rahman,
Bahawa diriku, akan tenang dalam kasihMu.


aisyahumaira 030514 @ cheras




0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat