Friday, January 23, 2015

Pengalaman Umrah Semasa Hamil

Bismillahirahmanirahim..




Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur hanya layak disembah untuk Yang Maha Memiliki seluruh langit dan bumi atas keizinanNya untuk saya dan suami menjejakkan kaki ke bumi mulia itu.

Pada mulanya, saya teragak-agak juga untuk menulis catatan ini, namun akhirnya saya berkongsi juga apabila memikirkan mungkin ada sesiapa yang membaca boleh mengambil manfaat. Saya teringat pengalaman sendiri, beberapa minggu sebelum berangkat untuk mengerjakan umrah, saya telah meng'google' dan membaca banyak blog yang menulis pengalaman mereka di tanah suci, sebagai persediaan awal. Dan alhamdulillah, pembacaan di blog mereka sangat-sangat memberi manfaat kepada saya.

Umrah Semasa Hamil

Ditaqdirkan oleh ALLAH, saya mengerjakan umrah ketika usia kandungan sekitar 29-31 minggu. Bukan sedikit kerisauan kami memandangkan ini juga merupakan kehamilan pertama saya. Kami memunajatkan doa kepada ALLAH, agar memudahkan urusan untuk ke sana jika ia baik untuk kami. Apatah lagi, saya ketika itu masih belum divaksin dan vaksin tidak boleh diambil ketika hamil. Setelah berjumpa doktor di klinik berdekatan, dia tidak berani untuk mengeluarkan surat 'fit to fly' kerana saya sudah hampir 8 bulan ketika itu. Antara yang dibimbangkan adalah premature contraction yang boleh berlaku. Namun, dia memberikan cadangan untuk bertemu doktor pakar bagi mendapatkan surat dan nasihat kesihatan. Dipendekkan cerita, dengan izin ALLAH, akhirnya surat berjaya diperoleh dan visa pun telah diluluskan. Doktor pakar tersebut juga telah membekalkan ubat-ubatan yang sesuai.

Fasa kedua setelah mendapat pengesahan bahawa saya akan mengerjakan umrah adalah persediaan fizikal dan mental. Ketika itu saya membaca banyak perkongsian mengenai mereka yang telah berumrah semasa hamil dan kebanyakan daripada mereka berkongsi perkara yang positif. Hati saya yang pada awalnya bimbang akhirnya semakin tenang. Saya banyak membuat bacaan mengenai menaiki kapal terbang semasa hamil dan sebagainya sebagai salah satu usaha dan ikhtiar selain daripada hanya bertawakal.

Syukur alhamdulillah saya dan suami mendapat seat yang paling hadapan. Ruang agak luas dan selesa untuk sesekali menjulurkan kaki dan sebagainya bagi melepaskan lenguh. Saya mencadangkan bagi wanita hamil untuk berbincang awal-awal dengan pihak travel agent bagi mengatur tempat duduk yang sesuai. Tidak dinafikan, berada dalam kapal terbang selama 8 jam dalam keadaan perut yang semakin membesar agak mencabar. Apatah lagi, bagi mereka yang mengalami sakit pinggang yang mencucuk-cucuk. Sesekali bangunlah berjalan ke tandas dan sebagainya bagi menghilangkan lenguh. Persediaan lain adalah dengan membawa makanan kegemaran seperti snack, chocolate bar, biskut atau roti. Boleh juga bawa air kegemaran 3 in 1. Nanti dalam flight, hanya request air panas sahaja. Ibu mengandung kan selalu lapar? :).

Pengalaman sendiri juga, saya tak banyak tidur sepanjang perjalanan, mungkin kerana tidak selesa. Jadi boleh juga buat aktiviti lain seperti membaca buku, jadi jangan lupa bawalah buku yang sesuai seperti buku doa ataupun buku berkaitan bumi Makkah dan Madinah. Boleh juga berbual-bual sampai mengantuk :D. Solat pun kami solat di hadapan seat sendiri sahaja memandangkan ruang yang luas dan sesuai untuk solat. Namun, untuk solat sunat ihram setelah berihram hanya solat di tempat duduk sahaja.

Sampai sahaja di airport Jeddah, badan memang terasa penat setelah menempuh perjalanan panjang. Suami yang dijemput sebagai guru agama jemputan/penceramah, sempat memberikan pengisian ringkas di dalam bas mengenai Makkah. Perjalanan menaiki bas mengambil masa kira-kira satu jam daripada Jeddah ke Makkah. Namun, ternyata segala kepenatan hilang setelah kaki menjejak bumi Makkah. Sampai di hotel kira-kira 4.30 pagi, suami terus bertanya keadaan saya adakah masih mampu untuk terus meneruskan tawaf dan saie bagi menyempurnakan umrah. ALLAH, semangat saya berkobar-kobar ketika itu. Seakan tidak terasa segala lenguh. Syukur pada ALLAH, yang memudahkan urusan umrah pertama saya. Setiap detik terakam indah di dalam memori terutamanya detik pertama kali memandang Kaabah di hadapan mata. Kata suami, waktu kali pertama memandang Kaabah itu adalah waktu doa mustajab.




Terima kasih untuk suami, yang banyak membimbing saya sepanjang berumrah. Maklumlah ini umrah pertama saya, tetapi bukan umrah pertama suami. Waktu berdoa pun, saya mengaminkan doa yang dibacakan suami. Saya tak hafal banyak doa dalam bahasa arab. Sesekali saya membaca doa-doa mathur yang ada di dalam buku doa yang diambil di dalam Masjidilharam. Tapi sebenarnya doa dalam bahasa sendiri pun baik, yang penting faham apa yang didoakan. Syahdu dan sayu sepanjang tawaf hanya ALLAH yang tahu rasa ketika itu. Ketika saie pula memang agak mencabar, namun alhamdulillah berjaya juga menyempurnakannya. Menerbitkan rasa kagum pada Siti Hajar yang sungguh tabah, menempuh dua bukit yang jauh bersendirian dalam terik matahari, mencari sesuatu membasahkan tekak anakandanya tercinta. Berbeza sungguh dengan keadaan sekarang, yang sudah cantik siap ber'aircond' di kawasan saie. Itupun, masih terasa penatnya.

Masa-masa yang berlalu di bumi Makkah sangat berharga. Kami berulang alik untuk solat di masjid, biasanya perlu lebih awal supaya tidak terlalu bersesak. Jika terlewat, hanya berpeluang bersolat di luar sahaja. Namun, berdoa dan berniatlah untuk ingin solat berjemaah, ALLAH pasti akan permudahkan biar seramai manapun manusia yang berebut ingin solat di sana. Selain itu, suami juga menyampaikan ceramah dalam beberapa slot yang telah disusun. Seperti kebiasaan, ada ziarah di tempat-tempat bersejarah, mengambil ibrah daripada perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Ketika berziarah di Jabal Rahmah, diizinkan ALLAH untuk kami memanjat bukit hingga ke puncak. 

Dan alhamdulillah dipermudahkan juga untuk mengikuti semua ziarah. Antaranya adalah ke Jabal Thur, Padang Arafah, Mudzalifah, Mina dan Masjid Ja'ranah. Tidak semuanya akan diceritakan, berjela-jela nantinya :)


Pengajian di dalam masjid
Jabal Rahmah
Seterusnya permusafiran ke Madinah memakan masa lebih kurang 6 jam menaiki bas dengan jarak 490km. Seperti biasa, mendengar pengisian daripada suami dan juga seorang lagi guru agama yang ada di dalam bas. Antara pengisian yang saya ingat adalah mengenai satu hadith yang dibacakan oleh suami mengenai Madinah.


"Mana-mana individu umatku yang bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah aku akan memberi syafaat kepadanya pada hari Kiamat atau aku menjadi saksi kepadanya".(Sahih Muslim No.1378)

Betapa besar ganjaran bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah. Dalam aspek semasa, sama ada menanggung cuaca sejuk, perjalanan jauh, pergaulan antara suami isteri dan bermacam lagi. Saya melihat sepanjang perjalanan, padang pasir dan bukit bukau yang perlu ditempuh dengan berjalan kaki oleh baginda ketika hijrah suatu ketika dahulu. Subhanallah. Terasa kian kerdil diri ini. Betapa baginda telah menumpahkan seluruh masa dan tenaga hanyalah untuk agama Allah.

Di Madinah, cuaca ketika itu sangat sejuk. Pada waktu pagi terutama ketika solat subuh di Masjid Nabawi, memang menggigil jika bersolat di luar masjid. Jadi, perlu sediakan baju tebal yang cukup dan sesuai bagi mengelakkan selsema dan tidak sihat. Di Madinah, rasanya lebih rileks sebab tidak perlu bergegas atau berasak-asak sebagaimana di Masjidilharam. Ruang solat di luar Masjid Nabawi agak luas dan mencukupi. Namun, untuk memasuki ruang Raudah memang mencabar terutama bagi wanita kerana ada masa yang ditetapkan dan ruang yang terhad. Berbeza dengan lelaki, suami beberapa kali berpeluang bersolat dan berdoa di Raudah. Teringat pesan suami, banyakkan berdoa untuk akhirat, melebihi doa-doa untuk dunia. Juga tidak dilupakan pesannya berulang kali dalam pengisian bersama jemaah agar meniatkan setiap kali masuk ke Masjid Nabawi dengan niat untuk belajar.


 "Sesiapa yang memasuki masjid kami untuk mempelajari satu kebaikan atau mengajarnya adalah umpama mujahid di jalan Allah , dan sesiapa yang masuk dengan tujuan lain adalah umpama orang yang melihat kecantikan barang orang lain."

(Fadhail Madinah ms 510,Al-Albani , Sahih Al-Jami' As-Soghir No.6184, ahih Sunan Ibnu Majah No.184)


Antara tempat ziarah di Madinah selain di sekitar Masjid Nabawi (Raudah dan Baqi'), adalah di Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan Pasar Kurma.

Oh ya, jika line internet bagus di hotel, tidak ada masalah untuk buat panggilan percuma ke Malaysia menggunakan pelbagai aplikasi. Saya buat panggilan video call gunakan viber, untuk hubungi keluarga di Terengganu. Suami pun gunakan viber, untuk hubungi keluarga di KL. 

Kubah Hijau di Masjid Nabawi
8'c di waktu tengahari

Jabal Uhud


Barang penting.

Banyak barang penting yang perlu dibawa bersama. Namun, saya kongsikan beberapa hanya menurut pengalaman saya yang sedikit ini.

Spray wudhuk : Bagi saya spray ini adalah penting. Cuba bayangkan kita sudah hendak solat, tiba-tiba wudhuk terbatal, tempat wudhuk pula jauh. Apatah lagi tengah mengandung, sukar hendak bergegas macam biasa. Jadi, bila ada spray wudhuk ni, boleh ambil wudhuk di mana sahaja tempat yang sesuai. Suami pun ada menggunakannya. Bawa satu pun dah okay, boleh berkongsi sebab biasanya kami suami isteri tidak jauh semasa solat di Masjidilharam.

Pashmina : Saya suka gunakan pashmina sebab ia lebih nipis dan pelbagai guna jika dibandingan dengan sejadah sebagai alas semasa hendak solat, duduk dan sebagainya. Alas sangatlah penting sebab di sana kita akan solat di mana sahaja yang sesuai. Dan tak semestinya sentiasa berpeluang untuk solat di atas sejadah masjdi.

Gloves : Gloves (sarung tangan ye, bukan sarung lengan) ini sangat-sangat berguna sepanjang di sana. Apatah lagi kalau pergi ke masjid etc dengan suami. Boleh membantu menjaga wudhuk. Selain itu, boleh juga mengelakkan daripada tersentuh ketika berasak-asak. Dan juga penting ketika cuaca sejuk. 

Bekas atau botol air zamzam dan kurma : Air zamzam dan kurma memang makanan asasi saya sepanjang di sana. Saya sentiasa bawa kurma bersama dalam beg sandang. Maklum sahaja, di sana kalau ingin solat hadapan kaabah, kadang-kadang perlukan masa sejam sebelum waktu solat sudah masuk menunggu. Kadang-kadang, waktu mengandung memang tubuh cepat penat dan lapar. Jadi jamah kurma dan air zamzam sahaja sudah sangat membantu memberi tenaga. Air zamzam tiada masalah sebab memang banyak di sana. Bila berjalan pergi atau balik, biasanya kami akan singgah minum air zamzam yang banyak disediakan di dalam dan luar masjid. Bekas air diperlukan agar kita boleh bawa air zamzam ke bilik hotel.

Ubat-ubatan yang bersesuaian ikut keperluan. Minyak panas, coolfever, panadol dan lain-lain yang dirasakan perlu. Termasuklah juga moisturiser dan lip balm yang sangat penting terutama ketika udara kering atau cuaca yang sejuk.

Dan barang-barang lain ikut keperluan masing-masing. Seperti telekung bagi yang selesa mengenakannya. Saya tidak mengenakan telekung kerana sepanjang di sana hanya berpakaian seperti biasa di Malaysia, berjubah dan bertudung labuh. Bawa banyak stokin, untuk solat dan mengelakkan sejuk. Baju secukupnya. Saya di sana sempat juga membasuh di hotel, memandangkan ada cahaya matahari walaupun cuaca sejuk jadi tiada masalah untuk baju cepat kering.

Sokongan suami/teman

Tidak dinafikan, bermusafir dalam keadaan hamil memerlukan suami atau teman yang bersama sentiasa memberikan sokongan. Ibu mengandung yang sudah memasuki trimester ketiga terutamanya, biasanya mudah penat, tidak boleh berjalan laju, kerap ingin ke tandas dan bermacam ragam lagi.

Namun, keinginan untuk melakukan apa yang orang lain lakukan tetap membuak-buak macam orang biasa lakukan. Contohnya, tetap semangat untuk solat 5 waktu berjemaah, sanggup untuk berasak-asak untuk masuk solat di dalam Masjidilharam, di hadapan Kaabah dan sebagainya. Jadi memerlukan, suami/teman yang sabar dan banyak memberikan bantuan seperti escort ketika berasak-asak. Apatah lagi, ketika saya berumrah adalah ketika cuaca sejuk, jadi agak ramai jemaah di sana.

Kuat semangat

Kuat semangat, adalah jawapan kepada semua persoalan ibu mengandung. Meskipun perut kian terasa berat kerana 'bawa baby', sakit belakang, lenguh dan bermacam rasa lagi, namun semangat untuk memanfaatkan setiap detik dan saat di sana menjadi kekuatan. Tidak perlu terlalu banyak bergantung kepada sokongan daripada orang lain, tetapi kuatkan dalaman diri sendiri. Iyalah, bukan senang untuk direzekikan ke sana, pasti tidak mahu masa hanya dihabiskan berehat di bilik hotel semata-mata. Namun, jangan pula diabaikan kesihatan diri. Ukur baju di badan sendiri. Tengok kemampuan diri sendiri, banyakkan buat pembacaan dan bincang bersama suami/teman. Jangan pula hingga memudaratkan diri dan kandungan. Banyakkan berdoa, minta dipermudahkan olehNya. Ada masanya, jika rasa tidak larat, jangan pula terlalu memaksa diri. Rehat dan kumpul semula tenaga.

Alhamdulillah, baby sangat behave. Sesekali dia menendang manja, memaklumkan pada ibunya bahawa dia sihat dan baik-baik sahaja di dalam rahim ibu. Terima kasih sayang, menemani perjalanan 11 hari kami. Checkup sebelum umrah 900gram berat baby, checkup selepas umrah dah 1.7kg. Banyak betul pembesaran baby di sana ye. Alhamdulillah.

Keharuman yang dirindukan

Ya, saya rindukan kedua bumi mulia itu. Saya rindukan segala keindahan dan keharuman kenangan di sana. Saya rindukan suasana ibadah di bumi tadahan doa itu. Namun, saya teringat pesan suami dalam salah satu ceramahnya di sana, tiada guna berkali-kali mengerjakan umrah, jika tiada perubahan setelah pulang. Suami juga berpesan, ALLAH ada di mana-mana, tidak semestinya hanya di sana sahaja, ALLAH mendengar setiap doa hamba walau di ceruk mana kita berada. Boleh jadi, kos pemergian kita berkali-kali ke sana itu lebih afdhal untuk kita dermakan pada yang lebih memerlukan. Namun, dengan rendah diri kita doakan, seandainya ALLAH taqdirkan untuk kita jejakkan kaki lagi ke sana, maka tiada apa yang dapat menghalangnya.

Cukuplah andai sekali dijemput ALLAH sahaja pun, menjadi satu makna mendalam, kesyukuran dan kekuatan untuk kita terus berjuang dan bermujahadah di bumi sendiri. Biarpun pahit manis yang kita hadapi di sana.



p/s : Rindu pulak jus mangga dan aiskrim di sana :D

Nur A'isyah Humaira Ismail
ST Utama, Gombak
230115 8:37PM

4 comments:

FaRyhA AreNis said...

Assalam puan A'isyah.. terima kasih. Coretan yg sgt membuat sy tidak sabar utk menjejakkan kaki ke sana walaupun hamil. Cuma saya nk tanya ttg vaksin,kerana agent travel sy sampaikan vaksin itu perlu utk visa. Mohon advice dpd Puan krn sy kini hamil 13 minggu anak pertama.

FaRyhA AreNis said...

Assalam puan A'isyah.. terima kasih. Coretan yg sgt membuat sy tidak sabar utk menjejakkan kaki ke sana walaupun hamil. Cuma saya nk tanya ttg vaksin,kerana agent travel sy sampaikan vaksin itu perlu utk visa. Mohon advice dpd Puan krn sy kini hamil 13 minggu anak pertama.

Anne79 said...

Terima kasih atas perkongsian.

Unknown said...

Assalamualaikum pn. Terima kasih ats perkongsian pn. Umrah sms hamil ni xmemeberi kesan buruk langsung kpd ibu dan baby ye? Ubat contraction yg doktor bekalkan utk ke mekah utk apa ye? Terima kasih.

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat