Wednesday, July 15, 2020

Pengalaman bawa anak kecil ke Jordan 2019


Sesi makan malam dengan kedutaan di Jordan. 
Semua pakat puji Afiya sebab behave. Alhamdulillah.


April 2019, Allah rezekikan Afiya si bongsu dapat ikut mama ke Jordan untuk menemani ayah atas urusan kerja. Pengalaman pertama bawa anak kecil musafir jauh. Sebelum ini pernah bawa 'Ayyash waktu kecil ke Brunei, yang mana perjalanan cuma sekitar 2 jam sahaja. Secara peribadi, saya rasakan usia 1 tahun 4 bulan seperti Afiya masih sesuai dibawa berjalan jauh berbanding apabila berusia 2 tahun. Biasanya anak umur 2 tahun lebih complicated ragamnya dan sukar dipujuk apabila dia menginginkan sesuatu. 

Afiya memang sangat senang diurus dan tak banyak ragam sepanjang perjalanan. Dia banyak tidur dalam kapal terbang dalam perjalanan pergi dan balik. Semua kerisauan saya, Allah gantikan dengan pengalaman yang lebih baik. Dia selesa tidur dalam bassinet. Bila bawa anak kecil, kita akan dapat seat bahagian paling depan, sekaligus kami dapat ruang kaki yang luas dan Afiya boleh duduk bermain atas lantai.

Tersenyum dalam bassinet tempat dia tidur & bermain


Ramah menegur dan bermain dengan kakak 





Bercerita tentang bumi bersejarah Jordan, banyak tempat menarik untuk diziarahi. Tapi saya akui semuanya akan jadi lebih bermakna jika kita tahu sirah dan sejarah, jika tidak setiap bangunan lama hanya dibawa bergambar tanpa makna. 

Cuma, saya sangat sedih melihat suasana di sana yang tidak sesuai untuk anak kecil. Di mana-mana berjumpa dengan orang yang merokok, puntung rokok merata-rata. Saya sangat kasihan pada Afiya dan kehilangan mood nak memilih jubah di deretan kedai pakaian kerana boleh dikatakan setiap langkah berjalan akan berselisih dengan lelaki merokok.  Saya mula bimbangkan kesihatan Afiya. Malah, pelajar Jordan juga ada menceritakan berkenaan bahaya di sana kerana kerap kali rumah akhawat mereka dipecah masuk.

Berbeza sekali suasana udara bersih dan selamat di bumi Jepun. Ketika di Jepun, suami tanpa ragu meninggalkan kamera DSLR di dalam kereta sewa kerana suasanya yang dirasakan selamat. Sukar sekali untuk berjumpa dengan orang yang merokok di tempat awam. Sesuatu yang perlu dimuhasabahkan oleh kita sebagai Muslim.

Antara tempat yang sempat kami ziarahi adalah Gua Ashabul Kahfi, Colloseum Rom Theatre Amman, laut mati dan beberapa tempat lagi. Sempat juga singgah ke beberapa kedai buku dan makan malam di rumah kedutaan.

Stesen terakhir adalah di Irbid, untuk sesi bersama pelajar di sana. 


Sementara menunggu pintu Gua dibuka








Laut Mati



Suami kekok memandu sebab dah lama tak memandu stereng di sebelah kiri 

Di luar universiti tempat suami berceramah

Bunga-bunga segar 

Ummu 'Ayyash
15/12/2019

Pengalaman di Colmar Tropicale , Bukit Tinggi Pahang


Bersiaran lagi kali ini dari Colmar Tropicale pula. Sebulan sebelum datang tempah bilik dari expedia.com. Harga paling murah dibandingkan dengan dengan apps lain. Dapat harga RM400 untuk bilik 2 bedrooms. 

Kami sampai di sana kira-kira jam 3 petang. Boleh tahan bersimpang-siur jalan naik ke atas, tapi jalan ke sana sangat mudah tak perlu tengok maps atau waze pun boleh sampai sebab ada banyak papan tanda. Sampai di security guard, kami perlu bayar RM15 untuk dewasa dan RM9 untuk kanak-kanak. Tapi untungnya kami yang stay di Colmar Tropicale, pihak hotel akan refund semula duit berkenaan semasa check out.

Menyelusuri jalan di sana memang mengagumkan, seolah baru sampai ke negara lain. Bagi peminat selfie dan suka bergambar, Colmar Tropicale ni memang pilihan yang terbaik. Tak puas bergambar. Ada banyak tempat menarik.

Bilik pun memang terbaik. Luas dan sangat selesa. Kami tempah 2 bilik, sebenarnya beramai-ramai ni muat je 1 bilik kalau tak kisah tidur atas lantai. Ruangtamunya luas.

Kekurangan pertama yang ketara pada tempat ini adalah tak stroller@wheelchair friendly. Kena angkat dan agak melecehkan. Cuma alhamdulillah ramai dayang pengasuh yang ada bersama dan banyak membantu memudahkan.

Selesai check in, kami memilih untuk berehat di hotel dahulu. Selepas solat asar, kami turun ke bawah bergambar, makan aiskrim, berjalan-jalan dan masuk ke Dinosour Park. Ada beberapa ekor dinosour, boleh bergambar atas dinosour. Tapi bayaran yang dikenakan boleh tahan mahal juga, RM12 kalau tak silap saya.

Selepas itu naik semula ke bilik dan makan bekal lauk yang saya masak dari rumah. Salah satu cara nak berjimat memandangkan makanan di atas ni memang mahal-mahal semuanya.

Malamnya, semua turun ke bawah menikmati pemandangan waktu malam. Tapi mama dan anak-anak selamat belayar mimpi tidur awal.

Esok paginya, kami bersarapan di cafe hotel. Makanan boleh tahan tapi tak lah terlalu mengujakan. Sederhana, tetap kenyang. Kami bersiar-siar lagi di sekeliling hotel sebelum naik ke bilik semula untuk bersiap-siap untuk check out.

Apa yang kami rumuskan, kat sini memang sangat sesuai untuk bergambar.

Selesai check out, kami menaiki kereta terus untuk ke Japanase Village. 

AWAS! Kawasan ini bertangga banyak dan sangat tak OKU/Stroller friendly. Untuk orang tua pun tak sesuai. Sesuai untuk orang muda yang nak bakar kalori. Bertangga dan juga berbukit. Tapi bila sampai ke atas, memang ada pemandangan yang cantik bagaikan berada di Jepun. Tapi janganlah mengharap kawasan itu sangat luas pula. Kecil je. Kat atas boleh pinjam pakaian Jepun dan sesuai untuk bergambar. Anak-anak saudara mama memang seronok sangat bergambar. 

Tempat ni memang boleh masuk list untuk ulang pergi lagi. Insya Allah kalau ada rezeki nanti.








Muar & Tampin Ramadhan 2018

"Esok kita ke Muar dan Tampin, jom”

Saya terkejut. 

Kotak fikiran membawa kembali kisah tiba-tiba diajak suami Ramadhan  tahun lalu. 

“ Teringin  nak imbau kenangan , bertarawih di masjid masa kecil-kecil dulu..”

“ Dan nak kenalkan kampung pada isteri..”

Saya teruja. Sejak berkahwin, inilah kali pertama saya akan melihat sendiri tempat suami membesar setelah sekian lama cuma mendengar cerita.

Semasa di Muar dah Tampin, melewati sekian banyak tempat-tempat suami membesar, terutama rumah dan sekolah, tak lekang tuan badan dari bercerita memori waktu dulu-dulu. Saya ralit mendengar. Sambil menyampuk sesekali menambah meriah. Ada cerita-cerita yang pernah dicerita dan diulang lagi tapi berada di tempatnya buat saya lebih menghayati. 

Dan hari ini ketika saya di kampung sendiri, saya memandu menyelusuri sungai dan hutan. Kali ini melihat dengan pandangan berbeza, setelah melalui pengalaman di kampung suami. Saya teringat ada kenangan sewaktu kecil, berbasikal di tepian sungai. Juga sedikit kenangan pernah mandi sungai masih segar dalam memori. 

Kemudian cuba pula ke ‘masa hadapan’ , jika panjang umur, saya akan melewati tempat yang sama. Namun dengan suasana dan rasa berbeza seiring usia yang makin bertambah. 

Saya disapa sebak.

Merenung wajah tua ibu dan ayah.

Melihat rumah lama tapi masih sangat kemas terjaga, dari tangan bonda berjasa.

Entah sampai bila semua ini masih boleh menikmati.

Entah saya yang pergi dulu.

Atau mereka meninggalkan saya dulu.

Ada keluhan berat. Rasa yang berat. Saya tak sanggup. Tak sanggup untuk melalui semua itu.

Saya merasa ‘selesa’ hidup seperti hari ini. Rasa lengkap dan sempurna. Dengan adanya mereka berdua dan seluruh keluarga besar 324.Tak terasa tiba-tiba air mata panas membasahi pipi.

Desa Permaisuri ini sangat bermakna. Punyai sejuta warna kenangan yang terlalu dalam. Tempatnya, insan-insan di sini. Semuanya terjemahan kebahagiaan diri ini sejak aku cuma sekecil tapak tangan. Tak pernah putus mereka membahagiakan ku, hingga kini. Nikmat keluarga ini takkan mampu diganti dengan nikmat apa sekalipun.

Lama larut dibawa perasaan. Saya menyapu air mata, menahan perasaan dan membiarkan pergi.Ternyata hidup ini tak semuanya pada pilihan kita, suka atau tidak apa yang Allah taqdir berlaku pasti akan datang jua. Tak guna mendabik dada keputusan itu aku yang punya.

Cuma yang terbaik untuk dilakukan adalah menghargai hari ini. Terima kasih ya Allah untuk hari semalam, hari ini dan misteri hadapan yang bakal mendatang.

Humaira Ummu 'Ayyash
Si Bongsu 324
14 Nov 2019


 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat