Tuesday, January 19, 2016

Sejuk dan Terpujuk...:)



Saya merenung langit senja daripada tingkap kamar beradu yang terletak tinggi. Pemandangan awanan yang cantik dan saujana mata memandang menambah rasa tenang yang sedang mengulit hati. " Ma..mama..." si kecil yang sudah menginjak 10 bulan menarik-narik baju yang dipakai, minta didukung. Saya tersenyum seraya menarik langsir agar menutupi suasana luar yang kian gelap. Sebentar lagi maghrib akan menjengah. Saya mendukung si kecil, lantas menuruni anak tangga untuk memastikan semua pintu berkunci. 'Tanggungjawab' itu saya galas, apabila suami tiada di rumah berselang malam.

Apabila suasana makin gelap, saya akui hati saya mula disapa rasa tidak selesa jika berada bersendirian biarpun sudah masuk tahun ketiga dalam dunia poligami ini. Namun, semakin bertambah hari, saya semakin dapat menyesuaikan diri. Apatah lagi, hidup sudah jauh berbeza dan bertambah baik dengan hadirnya sang teruna permata hati yang makin 'bising' dan lasak.

Antara 'cabaran' besar poligami yang saya rasakan adalah 'terpaksa' tinggal sendirian semasa suami tiada. Ia bukan mudah. Ya, sangat sukar jika boleh saya berkata jujur kerana saya bukan 'pemilik hati' yang kental  seperti wanita lain. Kerana itulah ia menjadi cabaran tersendiri untuk saya hadapi. Bukan sedikit air mata yang tumpah, dalam 'struggle' sehari-harian. Hanya Allah...dan suami tempat untuk meluahkan.

Pernah sekali saya meluahkan kepada seorang kakak nun jauh di setiu, mengenai 'cabaran' ini. Dengan bersahaja dia memberitahu " Alaa..kakak dulu pun macam tu, masa suami belum dapat pindah duduk sekali..." 

Saya mencubit lengannya dan berkata.." Tak adil! Tak adil nak banding-bandingkan kakak yang dahulu, dengan adik yang sekarang..." Saya jujur memberitahu. Iya, kita seringkali dipesan dan diingat-ingat agar tidak sesekali membanding-bandingkan namun seringkali juga kita membandingkan dua situasi dalam sebuah nasihat. Jujur, saya ingin didengari, dan ingin merasa difahami agar saya semakin selesa bercerita. Saya kerapkali rasa tidak difahami, pada 'cabaran' yang satu ini.

Kakak yang manis itu tersenyum, memeluk saya. " Kakak faham...." hanya sepotong katanya mengalirkan rasa difahami dan menumbuhkan rasa percaya untuk bercerita. Ya, bukan kita tidak mahu 'menerima' akan kesukaran isteri lain yang mungkin terpisah dengan suami kerana kerja, belajar dan sebagainya. Namun kita sedang bercerita agar hati kita merasa tidak sendiri, dalam pelbagai perkara baru yang sedang kita pelajari dalam sekolah kehidupan ini seperti bab pelajaran menjadi ibu, dengan anak yang masih kecil dan perlukan perhatian. Dan poligami, ia adalah komitmen hidup yang berterusan selagi ada nyawa. Berbeza pastinya dengan monogami daripada segi rasa dan situasi.

Begitulah juga antara suami dan isteri. Terkadang, isteri tidak perlukan seratus orang untuk menemaninya, namun dengan rasa 'prihatin, 'kerisauan' dan 'ambil tahu' suami mengenai sang isteri yang sedang bersendiri tidak sukar untuk membantu isteri menghadapi cabaran itu. Malah, mungkin dengan sebaris patah ayat penghargaan dan ambil peduli daripada suami, jauh lebih mudah untuk membuatkan hati ini sejuk...dan terpujuk :)

Menjadi seorang isteri, kita perlu belajar menyuarakan isi hati, yang perlu dan yang dimahu. Sekitar awal perkahwinan, saya ingin 'nampak hebat' di mata suami, menjadikan saya banyak ketikanya kelu meluahkan apa yang dilalui saban hari ketika ketiadaannya. Sendiri. Setahun dengan rutin yang sama, pulang ke rumah ketika sudah gelap, saya menjejak lantai rumah dengan debar, dan sedikit kerisauan. Namun, saya tidak selalu menyuarakan kepada suami dengan alasan tidak mahu suami risau sementelah kami dipisah oleh jarak yang bukan dekat ketika itu.

Terkadang ada hari kita lelah bersabar, dan ingin 'memberontak' tentang cabaran tinggal keseorangan!

Namun, setelah berpindah semakin dekat, saya semakin jujur. Dan ternyata ia jauh lebih menenangkan. 

Saya belajar, bahawa kita ingin merasa 'ditemani' biarpun jasadnya kita sedang bersendiri. Tanpa teman bicara, hanya dinding yang kelu tiada rasa. Kita ingin merasa 'dipeduli, biarpun tanpa sesiapa di sisi. Kita ingin tahu, agar air mata 'struggle' kita tidak sia-sia. Dan kejujuran pada meluahkan sebenarnya banyak membantu suami, yang tidak sepanjang masa mampu menebak dan membaca apa yang ada dalam fikiran kita.

Berceritalah, bercakaplah dengan nada jujur tanpa prasangka buruk. Berilah kepercayaan, bahawa seorang suami adalah manusia yang mampu untuk memahami hati isterinya. 

" Rasa lebih bermakna bila ayah ada di rumah kan nak..?" bicaralah pada si anak, di hadapan suami yang dikasihi. Agar dia tahu, setiap saat yang direzekikan oleh Allah semasa bersama adalah  sebuah nikmat yang sangat disyukuri. Bahagia.

" Semalam macam tak best, tapi hari ini dah lupa dah apa yang tak best pasal semalam..." yakini suami bahawa kita masih mampu menjalani hari ini selepas perginya semalam yang menduga.

Dan suami yang baik, sentiasa membantu isterinya menghadapi hari-hari yang sukar tanpa teman yang membantu dan bersembang melepaskan kesukaran. Ajari isteri doa-doa pelindung, zikir-zikir yang menguatkan dan tazkirah tentang kehidupan. Ia pasti akan menjadikan si isteri, semakin kuat dan yakin untuk hari esok seandainya masih ada nyawa yang dipinjamkan Tuhan. Ameen ya robbal 'alamin.

Alhamdulillah, hari-hari lepas yang telah berlalu adalah pengajaran, hari ini sedang dinikmati dan hari esok adalah sebuah harapan agar lebih baik.

" Alhamdulillah, sekarang dah ada seorang anak kecil yang menemani. Kelak dia makin besar, insha Allah keadaan akan jadi lebih baik dan meriah..." bicara suami itu saya aminkan di dalam hati.

Alhamdulillah terima kasih ya ALLAH, atas bahagia yang beriring cabaran yang mendekatkan insan  nan lemah ini kepada Tuhannya.

18012016
Teratak cinta HM
Rumahku Syurgaku 

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat