Thursday, November 10, 2016

Doakan Ayesha Ahla

Doakan Ahla selalu ye.


Puteri mama yang solehah kena warded. Demam, batuk dan selsema seawal usia 35 hari. Ini pengalaman pertama mama jaga anak di wad.

2 kali anak mama dikejarkan ke emergency di tengah malam, kerana badan panas dan kesukaran bernafas. Usah dicerita tentang hati mama, 'takut' kehilangan melihat diri kecilnya yang beberapa kali nampak amat-amat sukar bernafas.

3 hari 2 malam berkampung pantang di wad, mama belajar banyak perkara. Mama kenal ramai kawan baru dan ajari hati mama bersyukur dengan apa yang mama ada. Banyak yang ingin diceritakan, tunggu mama berkesempatan insha ALLAH.

Mama harap takkan lihat lagi tangan kecil Ahla dicucuk, hidung dan mulut comel Ahla dimasukkan wayar sedut kahak...

Alhamdulillah, sekarang Ahla sudah di rumah. Tidak demam, namun masih batuk dan selsema. Jarang-jarang mama dapat lena, ingin tetap memerhatikan dirinya yang kerapkali sukar bernafas kerana hidung tersumbat.

Kuatlah puteriku sayang,
Mama di sini ada setia di sisimu..
Selalu...sentiasa..
Takkan lelah,
Takkan jemu,
Takkan pernah sesal

Tabahlah puteriku,
Kerana kau persis puteri,
Bayangan bidadari,
Yang indah,
Pada mataku..

Sihatlah puteriku,
Agar kau bahagia,
Buatku tertawa..

Ummu 'Ayyash Ayesha
09/11/2016

Monday, October 24, 2016

Pinjamkan aku ketabahan

Tuhanku,

Aku insan pendosa,

Hina

Tuhanku,


Aku tak punya apa-apa,

Cela

Tuhanku,


Anugerahku aku cinta,

Di jiwa,

Agar,

Hina dan cela 
Tak menggugat bahagia

Kerana,

Aku percaya,
Hidup tak Kau cipta sia-sia.

Sunday, October 23, 2016

Berbagi kasih?

13 Mac 2015, ketika pertama kali pandang wajah Abdullah 'Ayyash, rasa cinta padanya tak mampu terungkap. Kepenatan demi kepenatan seharian sehinggalah proses kelahiran, disambung dengan sepanjang malam berjaga hanya kerana ralit memandang wajahnya yang lena. Saya tersenyum-senyum sendiri. Ajaibnya, seolah tiada penat dan kesakitan. Nikmat mendakapnya pada malam pertama dia menjengah dunia. Biarlah, seolahnya tidur bukan lagi nikmat. 

Hari demi hari berlalu. Cabaran demi cabaran pada sang cinta permata hati. Ujian 44 hari berjaga malam, ujian eczema sehingga pipi berdarah, ke sana sini mencari penawar, ujian bertukar tangan pengasuh, ujian ditinggalkan mama setiap hari pada orang lain. Hanya mampu bertawakal dan hadapinya. Dan bermacam lagi cabaran yang membulat sempurna dengan nikmat memilikinya sebagai cahaya mata.

Dia yang saya kasihi, cintai dan manjai tanpa rasa penat dan marah, saban hari. Dia yg mengisi hidup menjadi amat bererti, penyembuh kala duka dan sempit. Dia cahaya mata buat ayahbonda, dikelek kendong kami ke mana sahaja sejak lahir. 

Sehinggalah.. saatnya upt bertukar positif lagi. Perhatian padanya masih belum berkurang. Meskipun dia terpaksa memahami kondisi bonda yang sudah mulai tak menentu. 

Ya, saya pernah rasa ingin hanya memilikinya seorang sahaja, agar dia cukup semuanya. Namun, akhirnya segera lafaz istigfar dan taubat mengganti rasa. Kita orang muslim, tidak patut berfikiran begitu. Setiap anak adalah rezeki. Kedatangan setiap mereka sangat bererti. Tiada lain, rasa itu hanyalah kerana takut tidak tahu bagaimana untuk mencurah kasih.

Dan saat ditebak soal bagaimana caranya berbagi kasih sayang anak-anak,

" Macam mana ye abang, bila nanti dah ada anak dua orang.."
" Insya Allah semua akan okay.." ringkas je jawapan suami. Masih tak buat saya puas hati. Macam mana? Bulan berganti dan akhirnya si comel kedua lahir. Dan rasa kasih syg mula tumpah bertimpa, pada dia. Kasih sayang yang sama, yang dirasai pada anakanda sulung. 

Dan ketika saya luahkan pada suami, ttg rasa sayang pada Ayesha Ahla, adalah rasa yang sama pada rasa sayang pada anakanda sulung. Suami membalas ' haa itu lah, semua akan okay..' Kini saya memahami, biarpun ada 12 orang anak, rasa kasih sayang itu bukan untuk dibahagi-bahagi sehingga ada salah satunya yg akan kurang atau lebih!

" Ayyash ok ke tadi..?" soalan sama sering ditanya, 'maklum' barangkali pada banyak ragam baru sejak bergelar abang.

" Hmm kasihan dia, sedang cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru, sama macam mamanya..Dia kecik lagi, belum reti meluahkan"

Suami mengangguk-angguk. Setuju.

Anakku, kalau suatu masa nanti dirimu membaca tulisan picisan mama ini, ketahuilah, sejak kecil kau sungguh tabah dan berbudi. Terima kasih sayang.

Love,
Mama

 Dulu tak pernah nak duduk sorang atas kerusi tu, mesti mama temankan :D

 Hadiah lazada daripada mama yang berpantang huhu

 Hmmm menangis nak ikut ayah keluar..

 Makin gemar berimaginasi. Good boy 

 Abang dan adik
 Mama beli mainan gugurl untuk anak teruna?

 "Mama, Ayyash sayang adik..cuma..."


Monday, October 17, 2016

Time is golden?


Poligami 

Sesekali bersembang santai.

Tentang poligami.

Antara cabaran berpoligami, adalah cabaran masa.

Tapi sebenarnya, tak boleh pukul rata juga. Monogami pun ada yang terhad masanya, kerana kekangan PJJ, berprogram etc. Cuma biasanya ia adalah komitmen jangka masa pendek. Contohnya lepas dapat lulus egtukar, maka dapatlah hidup bersama sekeluarga 😅. Ataupun seminggu dua berkursus tetapi bukan selalu. 

Tapi bila berpoligami, realitinya berganti hari adalah komitmen berterusan. Sampai bila-bila selagi diberi pinjaman nyawa dan jodoh. Cuma, kalau yang buat selang sehari, sebenarnya hari-hari masih boleh bertemu wajah. Selalu org terkejut, eh hari-hari pun boleh jumpa suami? Kan poligami. Suami awak tak balik rumah sana ke? Eh eh, jangan salah faham. Selang sehari, maknanya kalau selepas zohor suami balik ke rumah sana, selepas zohor esoknya suami balik rumah kita pulak. Sebab tu kata hari-hari jumpa. 

Cuma kalau waktu kerja, suami bekerja la. Bukan kerja suami dalam poligami ni, duk rumah berganti rumah je. Hehe tapi suami berpoligami la yang kena kerja lebih kuat, lebih gigih. 

Sebab tu suami kata, kalau waktu kerja, adalah waktu kerja. Tak terlalu rigid pada giliran. Kecuali hari cuti, hujung minggu etc.Saya percaya suami lebih bijak dalam pertimbangannya untuk keadilan.

Bila bercerita tentang masa yg terhad dalam poligami, memang kita harapkan masa-masa yg ada untuk keluarga. Untuk kita luangkan bersama. Hmmm tapi adatlah, kadang suami ada program, meeting, ceramah, itu ini walaupun hujung minggu atau cuti. Memang berat hati. Kadang-kadang kalau ada kenduri pun, dah cebik muka 😂

Suami pun agaknya dah agak reaksi daripada isterinya ni kalau tengok ada something dalam jadual di waktu cuti. Sebab prefer nak bermalas-malasan di rumah je, melayan anak, tengok tv huhu. Ataupun aktiviti2 keluarga, atau shopping (ehhh hehe). 

Lebih-lebih lagi, bila anak dah ada 2, rasa tak semangat nk ikut suami kerja, berprogram,atau ceramah. Kesian kan anak nak kena tinggal. Kecuali boleh ajak sekali. Tapi kalau tak ikut, kan rugi pula masa? Tambah-tambah kalau tempat jauh. Kalau ikut pun, suami sibuk dengan program, tak banyak masa untuk kami. Hihi dilema isteri dalam poligami. ( tapi kalau memang niat nak bercuti shj dengan keluarga lain cerita okay. Terus semangat naik 100% walaupun renyah anak kecil hehe). Kalau dulu-dulu sebelum ada anak, memang seronok kalau berkesempatan mengikut suami. Tapi masa tu dah berlalu.

Rasa rugi bila masa yang ada, suami pergi berceramah? Atau outstation jauh? Kan seronok kalau boleh meluangkan masa bersama.

Tapi di sinilah titik mujahadahnya :)) 

Merelakan suami keluar melunasi dakwah pada ummah. Meskipun jujur terasa berat setelah masa yang ada tidak banyak.

Difikir, direnung...dan dimuhasabahkan. Moga ada barakahnya masa yg ada itu dikongsi juga dengan orang ramai.. Barakahnya moga pada sakinah, mawaddah dan rahmah yg Allah anugerahkan pada sebuah rumahtangga. Kehadiran suami / isteri juga akan lebih dihargai, dirasai dan dimanfaati bersama kerana sedar akan realiti masa yang ada.

Ameen ya Robb.

Monday, October 10, 2016

Berpantang anak kedua



Detik jatuh cinta pandang pertama Abdullah 'Ayyash pada adiknya Ayesha Ahla pada 30.09.2016. Moga terus padu kasih dua jiwa, terus kukuh ikatan saudara, terus erat berpimpinan, terus subur dalam tanggungjawab menuju Tuhan. Moga diberkati Tuhan anak-anak ayah ummi mama semua.


Hari ini hari ke-10 berpantang. Alhamdulillah syukur pada Allah atas kesihatan yang baik, mama dan baby. Kedua-dua anakanda sedang lena ketika mama menulis post ini.

Pernah ada seorang tetamu datang dan bertanya cik (bonda) " Ketat tak aturan pantangnya?" Bonda tersenyum. Biasa-biasa je jawabnya ringkas. Lalu Cik menyambung " Cik dulu pun tak berapa dapat berpantang. Jaga anak-anak ramai sendiri, masak dan uruskan rumah sendiri..."

" Tapi sihat lagi cik, sampai sekarang boleh buat kerja berat.." suami pula masuk dalam perbualan kami. 

" Eh, sape kata tak ketat. Kalau cik ada, semua kerja cik buat. Tak bagi pun Aisyah sentuh..hee.." mama pun menyambung..Cuma kami memang tak ada berparam pilis bagai huhu. 

Dalam hati, termalu juga dengan kudrat Cik. Mama yang baru usia 20-an ni kadang-kadang dah sakit badan dan jenis tak larat nak angkat berat. 

Apapun, tak berniat nak sembang panjang tentang gaya berpantang, masing-masing ada cara yang diyakini terbaik. Ada yang memilih berpantang secara tradisional, ada yang sederhana dan mengambilkira juga keperluan nutrisi tubuh dan sebagainya. Apapun, buatlah yang terbaik. Tidak rugi renyah berpantang. Kata orang ' badan nak pakai lama'.

Apapun kali ni, mama gunakan set berpantang nona roguy. Minyak dan krim barut memang dah guna sejak anak sulung lagi. Tapi kali ni beli set penuh termasuk untuk makan ( phytonatal), minum (air akar) dan mandi ( uncang herba).Mengurut dan bertuam pun ambil pakej dengan pihak spa yang memang menggunakan nona roguy. Segar dan sedap rasa badan.

CABARAN BERBEZA 

Berpantang anak kedua, cabarannya lain dengan anak pertama. Masa anak pertama dulu, si comel kerap menangis malam. Maka kena berjaga malam. Tapi fokusnya hanya pada dia seorang. 

Kali ini air mata memang sering jadi peneman mama. Hihi. Sejak malam pertama selepas melahirkan lagi. Bukan sebab apa, tapi sebab selalu sebak bila sampai bab si anak sulung yang baru berusia setahun 7 bulan itu. Teringat malam itu, ayah bawa ummi 'Ayyash dan semua anak-anak yang lain datang melawat mama di hospital. Selepas je 'Ayyash dibawa balik, mama terus sebak dan rasa sangat rindu..Tak terungkap. Mama tidak sabar menunggu siang datang. Pagi esoknya, ayah khabarkan Ayyash tidur jam 3 pagi. Allah..mama pun sebenarnya mula lena jam 3 pagi sewaktu di hospital.

Kat rumah, dia selalu datang kat mama, minta didukung, minta disusukan. Tarik baju mama ajak teman bermain. Kadang mama selalu gagahkan diri. Tak sanggup menolak.. Dia asyik sedih dan meragam je bila mama asyik berkepit dengan adik 24 jam. Menangis tergolek-golek. Perangainya banyak ragam baru yang tidak ada sebelum dia dapat adik. 

Malam-malam, bila ayah dia atau pembantu cuba untuk tidurkan dia, memang susah. Dan mama dalam bilik, akan menangis teresak-esak mendengar suaranya menjerit di luar bilik. Bukan mama tak sudi, tapi mama terpaksa kentalkan hati sebab dia agak lasak masa ingin menyusu atau tidur dan mama masih sangat baru berpantang. Tapi hati mama memang jarang kental, seringkali mama perlahan-lahan berjalan dengan air mata yang mencurah, lalu mendekatinya dan memeluknya erat. 

Bila dia tidur jam 2 pagi, mama pun tidur jam 2 pagi walaupun mama sedang berbaring atas katil. Hakikatnya mata mama tak dapat pejam. Bila dapat tahu dia dah tidur barulah mama lega. Kadang-kadang mama buat-buat tidur dan keluar senyap-senyap beberapa kali di tengah malam untuk menjenguknya. Mengusap kepalanya, mencium dahi anakanda yang sedang lena. Berkali-kali menuturkan ' mama minta maaf sayang. mama sayang Ayyash sangat-sangat.."


Yes, memang saya seorang manusia yang mudah touching huhu.

Hmm bayangkan sejak dia lahir, tubuh mama yang hangat memeluknya erat, menidurkannya, melayannya, memanjakannya. Kalau sebelum ini, bila dah tidur, dia akan tidur straight sampai pagi. Tetapi sekarang tidak lagi. Akan ada drama air mata dan ragam dia di tengah malam. Ayahnya pun kena fikir bermacam cara untuk memujuknya. Menonton TV, video, bermain mainan dan macam-macam lagi, kadang sampai 2-3 pagi.

Sebelum mama mula menulis entry ni pun, baru sahaja berlaku drama. Dia menarik mama sampai ke tandas untuk membasuh beraknya dan bila mama minta pembantu yang basuhkan, dia mula menangis. Hampir 10 minit untuk ditenangkan.

Ia seminggu pertama yang sangat sukar! Apatah lagi hari ke2 selepas bersalin bonda sudah pulang ke kampung untuk 4-5 hari kerana ada urusan penting. Mama selalu minta pembantu agar berikan lebih perhatian pada dia dan biarlah perkara yang lain yang termampu mama lakukan sendiri jika waktu ayah tiada. 

Bila ada kawan-kawan mama datang ziarah, kadang-kadang minta ihsan agar mereka bawa 'Ayyash keluar ke playground atau ke mana-mana. Agar melupakan seketika 'gelodak' jiwanya bertempur perasaan memiliki adik baru. Beberapa kali terfikir untuk menerima pelawaan kakak-kakak di kampung yang ingin menjaganya, tetapi tidak kuat untuk berpisah jauh dan apapun yang berlaku fasa ini perlu dia lalui sehingga semuanya stabil. Bukan menjauhkan dia daripada adiknya..

Dan alhamdulillah hari ni hari ke 10, banyak yang dah semakin stabil. Mama semakin kuat hati, Ayyash semakin tabah dan dapat mengadaptasi.

Anakku sayang, bersabarlah..bertabahlah. Ia ujian besar untuk anak sekecilmu.13 Mac 2015, ketika kamu lahir, mama berazam ingin menyusukanmu hingga 2 tahun, meskipun bermacam cabaran. Sehingga umur setahun, mama gigih menyediakan bekal susu untuk ke rumah pengasuh walaupun ia sebenarnya sangat mencabar. Sehinggalah mama pregnant lagi, mama mula muntah-muntah, dan bila kandungan mula membesar sehingga 9 bulan, mama mula sakit-sakit badan namun mama tak tegar untuk berhenti daripada menyusukanmu meskipun sudah tidak berupaya menyediakan stok susu kerana perlu juga memikirkan kesihatan kandungan mama. Bila orang tanya, bila nak berhenti, mama kata sedang usahakan, sedangkan sebenarnya mama tak ada niat pun nak hentikan. Kalau ikutkan hati, selepas bersalin pun mama ingin terus menyusukanmu namun terpaksa memikirkan juga kemudahan untuk orang sekeliling yang lebih mudah menguruskan dirimu jika sudah putus susu ibu.

Puteraku, Abdullah 'Ayyash. Tidak ada yang berkurang untukmu sayang, yang ada cuma kasih yang kian bertambah dalam hati ini. Bukan mama tidak mahu, cuma keadaan diri mama yang tidak mampu.

Puteriku, Ayesha Ahla..terima kasih kerana sangat-sangat mudah dijaga. Tidak banyak menangis, dan tidur lena di waktu malam. Seakan dapat merasa cabaran yang sedang kita sama-sama lalui.

DAN...mama sedang menangis menulis post kali ini..terima kasih syg atas pengorbanan. Bersabarlah..bersabarlah menunggu 34 hari lagi agar mama kembali sihat untuk menguruskan kalian berdua sendiri dengan tangan dan kudrat ini.

Terima kasih yang tidak terhingga buat insan-insan sekeliling yang tersayang, sentiasa ada menghulur bantuan dan kasih sayang. Hanya ALLAH yang layak membalasnya.

p/s : Mama bersembang dengan beberapa orang senior dan kawan yang turut melalui episod sama. Kata mereka, memang sukar namun akan tiba masanya mereka sudah dapat bermain bersama dan mama akan happy :D. Tidak sabar mama ingin menunggu saat itu.

Ummu 'Ayyash
Pantang time
Day 10
10.10.2016




Selamat datang sayang. Pengalaman bersalin di Tunku Azizah Women & Children Hospital

Ayesha Ahla binti Zaharuddin
30.09.2016
Jumaat
3.3 kg
5.48 PM
Tunku Azizah Women & Children Hospital



Kali ini saya bersalin di Tunku Azizah Women & Children Hospital di Seri Rampai, Setapak. Alhamdulillah setakat pengalaman saya, semuanya ok dan memuaskan. 

Yang paling saya suka tentang Tunku Azizah ni sebab appointment dengan doktor biasanya memang on time. Kalau kita set appointment jam 9.30 pagi, maknanya 9.45 pagi tu biasanya dah dalam kereta nak balik rumah dah sebab semuanya dah selesai. Pengalaman di Colombia Hospital, katanya appointment 9.30 tapi pukul 11 baru dapat jumpa doktor.

Malam 29/09/2016, perut dah rasa mengeras dan lain macam, tapi rasa macam tak ada apa-apa sebab dah kerapkali rasa macam tu sejak masuk trimester ketiga. Pagi 30/09/2016 pun sama. Sedang bersiap-siap nak ke sekolah, tiba-tiba ada keluar tanda tapi sangat sedikit. Bila dah mesej suami, suami ajak ke hospital tapi saya tak nak sebab nak suruh suami selesaikan solat Jumaat dulu. Plan nak ke hospital dalam jam 4 petang sebab Dr Zana akan mula shift jam 4 petang. Tapi akhirnya kena akur sebab suami kata kena jugak pergi hospital dan dia akan solat Jumaat di masjid berdekatan.

" Baby nak keluar hari ni macam abang 'Ayyash ke? Hari Jumaat.." sempat bersembang-sembang dengan baby. Huhu. 

Sampai di hospital, daftar dan rilek je menunggu di kaunter depan. Malas nak kecoh beritahu dah ada keluar tanda. Jadi agak lama menunggu. Sementara suami sudah ke masjid untuk solat Jumaat. Akhirnya nurse bawa naik ke atas dan saya menunggu doktor datang untuk check. Rupa-rupanya, sangattt ramai orang bersalin pada hari tersebut. Kata nurse, tak terkejar dan labour room pun penuh. Sedangkan sehari sebelum tu boleh kata wad kosong. Alhamdulillah wad single masih ada. Tapi memang masa lalu babyroom tu, ada 3-4 baby baru dilahirkan. 

Jam 2.30 petang, doktor check dan dah ada bukaan rupanya walaupun belum datang rasa sakit. Tapi saya diminta berehat dalam bilik wad. Doktor datang pecahkan air ketuban dan katanya pukul 7 nanti dia akan datang lagi. Jam 3.30 petang, saya mula merasakan sakit contraction. Masa ni agak susah nak panggil nurse walaupun dah tekan loceng berkali-kali. Rupa-rupanya tidak ada nurse di kaunter luar. Namun, saya cuba memahami, barangkali sebab patient sangat ramai. Tapi sakit contraction makin kuat dan jam 5 petang saya minta suami cari nurse. Akhirnya doktor datang dan bawa ke labour room, tapi saya terdengar doktor berbisik bertanya kepada nurse "labour room dah ada kosong?" Nurse mengangguk dan mengiyakan. Saya memang dah ada rasa nak bersalin.

Jam 5 lebih (saya dah tak sure jam berapa) saya ditolak naik ke LR dengan agak laju oleh nurse, doktor dan suami. Rasa macam dalam TV pulak hehe. Bila sampai ke LR, doktor nampak cepat-cepat bersiap untuk menyambut kelahiran. Dan alhamdulillah 5.48 pm, saya melahirkan puteri 3.3 kg dengan kelahiran normal walaupun prosesnya cepat tetapi banyak kali teran sebab kali ni tiba-tiba rasa susah berbanding yang sulung. Huhu. Rasa letih dan tak cukup tenaga. Tapi alhamdulillah tidak ada kena jahit berbanding anak sulung. Bayi keluar terus menangis, disusukan dan selepas itu bayi ada dalam labour room bersama mama agak lama. Alhamdulillah.

Nurse semua sangat tenang dan layan dengan baik. Cuma part nak panggil ke bilik tu macam agak susah. Tak sure sebab loceng kat bilik tu tak berfungsi ataupun nurse tidak ada yang sentiasa menunggu di kaunter, ataupun hari itu hari yang sibuk. Wallahualam. Kena banyak bersabar bab memanggil.

Dr Zanariah sangat baik dan tenang. Dia banyak membantu dan menyokong agar dapat bersalin dengan normal.

Dan masa nak discaj menunggu doktor kanak-kanak datang jumpa agak lama sehingga dah jam 2 lebih. Sedangkan dah beritahu nak discaj lebih awal dalam pukul 12 lebih. Akhirnya bila dah tunggu lama tapi nurse datang dan selesaikan urusan discaj tanpa jumpa juga doktor kanak-kanak berkenaan.

Tapi kalau ada rezeki lagi, Tunku Azizah akan masuk dalam list lagi. Hehe insha ALLAH.

Day 11 pantang
11.10.2016

Thursday, September 22, 2016

37 weeks

Hari ini genap 37 minggu mengandungkan anak kedua. Mengandung kali ini memang cabarannya berbeza. Kalau dulu masa anak pertama, rasa tak rasa je perasaan orang mengandung. Sebab badan sihat dan tak ada sakit-sakit sampailah ke hari bersalin.

Tapi kali ni, ya..terasa wahnan 'ala wahninnya.

Sejak 35 minggu ke atas terutamanya.

Insya Allah, tidak lama lagi akan sampailah detik jihad hari bersalin.

Sebelum bercuti, jangan lupa selesaikan bermacam kerja agar tidak menyusahkan orang lain kelak ok.. Akan cuba yang termampu sementara masih ada masa.

Kalau ikutkan, guru besar dah luluskan permohonan untuk cuti awal 2 minggu daripada due. Bermakna esok hari last datang sekolah. Tapi penyelia petang berat nak lepaskan dan beberapa kali panggil dan slow talk supaya tetap datang sekolah sampai hari bersalin. Selesaikan kerja dan lagipun sekolah sedang kekurangan guru :(


Checklist :

1. Tanda buku. Yang ini memang rutin tapi sebab dah terlampau banyak dan ada yang bertangguh (huhu salah sape kan), maka dah seminggu dua angkut buku-buku balik ke rumah. Penuh bonet.

2. Modul Offline  PBS. Almost 90% done alhamdulillah. Menghadap laptop je untuk siapkan taip nama dan kenalpasti murid untuk rekod bila ada masa free di sekolah, walaupun hakikatnya kelas dan relief banyak huu. Dan kena emelkan pada guru-guru yang mengganti nanti.

3. Saringan LINUS menulis. Ok, yang ini memang renyah dan kritikal untuk disiapkan dalam tempoh seminggu. Alhamdulillah semua murid dah berjaya disaring dan semua kertas dah ditanda. Memang gigih bila memikirkan bersalin yang entah bila akan kunjung tiba. Cuma tinggal nak isi rekod dalam file.

4. Ulangkaji. Ini yang paling menyesal kalau tak mampu nak buat. Kesian murid yang dah nak exam 10.10 ni. Sama tarikh dengan due bersalin. So, bila masuk kelas je memang ulangkaji tajuk-tajuk yang akan masuk exam. Cikgu tetap sangat risaukan kamu semua, ok :(. Maafkan cikgu kalau tergarang je sejak akhir-akhir ni.

5. Laporan dan dokumentasi beberapa program. Ini pun salah sendiri yang bertangguh, jadi sekarang kena cari masa untuk siapkan. ( sebenarnya bukan masa je, tapi cari mood jugak)

6. File peribadi murid, check dan angkut masuk dalam bilik reso. Ok done. Lega.

7. Borang tasmik. Kemaskini.

8. And the list goes on.....loceng dah berbunyi, nak masuk kelas pulak. Dah lega dapat rehat sikit sambil menulis.

Bila siap semua ni, mama dah bersedia untuk bersalin :) So, please cepat selesaikan semua kerja agar tenang dan releasekan hormon oxytocin untuk mudahkan proses bersalin hehe.Sabar ye baby, please jangan awal sangat ye. Duk baik-baik dalam rahim mama dulu.

p/s : Dalam keadaan kritikal banyak kerja ni, kereta selalu ada masalah. Memang kena banyak sabar. Ada hikmahnya tu, kena yakin dengan ujian dan perancangan Allah. 

22.09.16
Bilik SPBT SKSP
Ummu 'Ayyash.


Gambar hiasan ihsan google hihi

MASIHKAH ADA ESOK?

Saya memandu perlahan, menyelusuri jalan kampung yang belum pernah dilalui untuk menyelesaikan beberapa urusan di kawasan berkenaan sambil sesekali anak mata melihat ke kiri dan kanan. Cuaca kian mendung, menunjukkan tanda-tanda ingin hujan. Saya mengeluh sendirian, risau jika tersesat dalam hujan dan kesesakan lalu lintas dalam perjalanan pulang ke rumah nanti. Bateri telefon bimbit pula sudah kehabisan, tidak memungkinkan saya menggunakan bantuan aplikasi waze, seperti kebiasaannya. Setelah agak lama berpusing di kawasan yang sama, akhirnya saya menemui tempatnya. Rasa lega mengambil alih. Saya menuju ke bonet kereta, ingin mengambil dokumen yang perlu disiapkan di situ.

“Allah…” entah rasa apa yang menjalar dalam hati. Ingin marah, tidak tahu pada siapa. Ingin menyesal, salah siapa?. Dokumen itu tertinggal!. Setelah penat menempuh perjalanan jauh, susah payah mencari tempat, hujan pula mula menampakkan diri dalam rintik-rintik halus, saya tidak mampu menahan sebak. Entah mengapa air mata ini mengalir tanpa dipinta. Saya terkilan, dan sesal. Kenapa saya boleh meninggalkan perkara sebegitu penting hanya kerana terlalu risaukan masa yang suntuk dan tempat yang belum dikenali. Saya melangkah masuk semula ke dalam kereta, tanpa kata. Hanya meneruskan kembali perjalanan pulang ke rumah, sambil menahan rasa sesal yang belum reda.
Menyesal.

MENYESAL

Pernahkah dalam kehidupan, setelah terjadinya sesuatu, ada rasa sesal yang menghantui. Tidak kiralah sama ada perkara itu berlaku setelah diri kita sendiri yang memilih, ataupun berlaku tanpa kerelaan.
Menyesal, kerana tidak memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
Menyesal, kerana sudah berada di tahun akhir jurusan sains, sedangkan minat pada sastera.
Menyesal, kerana mengisi borang penempatan di Johor, sedangkan hasrat sebenar ingin tinggal di kota Kuala Lumpur.
Menyesal, kerana ditaqdirkan menjadi pelajar perubatan, dan terpaksa mengharungi kesukaran demi kesukaran di alam pekerjaan.
Menyesal, kerana berhenti daripada minat dan kerjaya yang stabil suatu ketika dahulu sedangkan kini hidup dalam serba kekurangan.
Menyesal, memilih untuk berkahwin sedangkan merasa perkahwinan tidak memberikan kebahagiaan sebagaimana yang pernah diimpikan.

Renungilah sebaris kata daripada Dr ‘Aidh al Qarni yang menyebutkan “Allah SWT menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua perkara yang saling berlawanan, dua kubu yang saling berhadapan dan dua pandangan yang saling bertentangan, yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagian dengan kesedihan.”

Sebagai hambaNya yang serba lemah dan tidak tahu, kita seringkali ‘terpaksa’ menghadapi ‘kubu’ kesilapan yang menjadikan ada rasa sesal yang bertandang tanpa dijemput. Biarpun kesilapan itu berupa sesuatu yang berkait dengan hanya diri sendiri ataupun orang di sekeliling. Natijahnya, kesilapan ini mungkin membuahkan kesan yang positif atau sebaliknya dalam kehidupan yang dilalui seharian. Namun jika kita bertindak hanya untuk mempertahankan diri agar sentiasa tampak sempurna dalam setiap pilihan, kita sebenarnya hanya memilih untuk menjadikan diri kita lemah ketika kita diuji dengan kesilapan hasil daripada ‘keputusan yang disesali’ itu. Sebagai contoh, kita mungkin akan lemah ketika diuji dalam bahtera perkahwinan yang dahulunya kita impikan begitu sempurna umpama dua insan bercinta. Sedangkan kita perlu hadamkan bahawa dalam setiap pilihan yang telah kita pilih, sebenarnya adalah celupan aturan taqdir yang telah Allah SWT tetapkan dalam alur perjalanan seorang insan. Biarpun ia hadir bersulamkan kesukaran dan cabaran tersendiri.

Memilih untuk percaya dan mengimani taqdir Tuhan sebagai aturan yang terbaik, lebih daripada hanya merasa diri kita yang tersilap memilih suatu ketika dahulu akan menjadi suatu kekuatan yang terus melonjakkan keyakinan dan usaha untuk terus bangkit biarpun jatuh berulang kali. Kita mungkin disua kata “ Kalaulah begini, kalaulah begitu….”, sedangkan siapa tahu sebenarnya memang itu adalah jawapan doa kita saban masa yang sedang dikabulkan oleh Allah dalam rencanaNya yang sungguh cantik dan tersusun sempurna. Sedangkan anak mata kita yang kecil itu tidak pernah mampu memandang apa yang ada di belakang mata, bagaimana mungkin aqal kita yang terhad ini mampu ‘membaca’ semua kerja Tuhan yang Maha Besar.

Justeru renungkanlah, jika penyesalan yang hadir itu dirasa tidak berguna pada sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan positif, apa perlunya untuk menyesal?

Adakah semata-mata untuk berkeluh kesah? Menyesali taqdir? Mengugat iman dan keyakinan?

Alangkah malangnya!

Namun, sekiranya ‘penyesalan’ itu adalah sesuatu yang positif yang mampu menjadikan kita kembali membetulkan keadaan serta menginsafi dosa pastinya ia adalah sesuatu yang berbeza.

KEMBALIKAN KAMI
Sesungguhnya setiap penyesalan yang dirasai di dunia ini bukan sebenar-benar penyesalan sebagaimana di akhirat kelak ketika semua sesalan langsung tiada lagi gunanya. Malah, pendosa yang sedang menanti akan datangnya azab Allah ini merayu-rayu agar dikembalikan ke dunia bagi menebus segala masa yang telah dibazirkan suatu masa yang telah berlalu. Namun, pastinya tiada lagi ruang kedua.

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah as Sajadah ayat 12)

Begitulah jua yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Az-Zumar 58 dan 59.

“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan! Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”
Untuk menghindarkan diri dari sesalan yang berpenjangan itu, renungilah sedalamnya titipan ayat cinta daripadaNya ini melalui Surah az Zumar 54 dan 55,  “Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. “Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

MASIHKAH ADA ESOK?

Esok, saya akan kembali semula ke tempat itu, andai panjang usia akan ada kesempatan untuk menyelesaikannya. Mengapa perlu sebegitu sesal? Sedangkan masih mungkin akan terhampar peluang yang kedua. Nafas panjang ditarik, esok-esok di ‘sana’ nanti, sesal dan air mata langsung tiada guna. Takkan ada peluang kedua untuk kembali ke dunia. Agaknya bagaimana rasa sesal yang tiada bernoktah itu?

Allahu Allah, peliharalah kami dan kurniakanlah kami hidayah untuk terus bernafas dengan penuh ketaatan hanya untukMu.

Jiran yang baik

Sejak datang ke sekolah jam 11.30 pagi tadi untuk bermesyuarat, kira-kira jam 4 petang barulah saya berpeluang duduk di atas kerusi melepaskan lelah. Jari jemari mula bergerak membuka mesej whatsapp dan facebook yang belum sempat dijengah sejak pagi. Tiba-tiba fikiran mula teringatkan artikel majalah I yang belum disiapkan untuk dihantar kepada kakak editor yang gigih bekerja dan berdakwah. Sedang asyik berfikir-fikir idea tema penulisan, tiba-tiba whatsapp berbunyi lagi. Kali ini, bunyi notification itu datangnya daripada group whatsapp muslimah kejiranan.

 Weekend ini kita berkumpul makan durian nak? Di rumah saya. Jom!” satu mesej terpampang di ruang whatsapp.

“ Nak, jom!. Saya sediakan pulut dan sediakan serawa durian. Boleh?” mesej tadi bersambut positif.
“ Saya bawa manggis dan buah mata kucing ya..”

“ Kita kumpul duit la ye untuk buat kenduri buah-buahan ni. Kasihan pula nanti tuan rumah, ramai yang nak join ni…”

Dan perbualan berlarutan panjang. Saya yang hanya membaca, mula kecur air liur dengan bermacam cadangan. Akhirnya,saya memberikan ikon thumbs up dan ikon senyum sebagai mewakili diri. Terbayang wajah sahabat-sahabat muslimah di kejiranan yang sangat manis dan ramah. Kakak di hadapan rumah, seorang suri rumah anak lima yang kerapkali menawarkan diri jika perlukan pertolongan. Kakak selang beberapa rumah di sebelah kiri yang selalu mengirim makanan dan kuih. Dan ramai lagi insan-insan bergelar jiran yang berada di sekitar.

Terbayang juga, kemeriahan waktu petang dan hujung minggu anak-anak jiran saling bermain dan bermesra di kawasan rumah. Anak-anak lelaki yang berjalan kaki dan berbasikal ke surau berdekatan beramai-ramai terutama apabila azan Maghrib dan Isya’ kedengaran jelas berkumandang, semuanya adalah suasana yang sangat saya syukuri.

KEDUDUKAN JIRAN DALAM ISLAM

Jiran mempunyai kedudukan yang besar di dalam Islam dan tidak wajar dipandang enteng oleh seorang muslim yang baik. Mengasihi dan memuliakan jiran merupakan salah satu kewajipan di dalam Islam sebagaimana disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW :
 Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” . (Riwayat Muslim no. 45).
Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail Ibn Muhammad Ibn Saad Ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah salallahualaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(Hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 )

Allah swt juga telah berfirman :
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ
“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Islam juga telah memberi garis panduan akan keutamaan jiran yang perlu disantuni sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah radiallahuanha: “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

Had lingkungan jiran di dalam Islam dapat difahami melalui kata-kata Khalifah Ali ra yang telah menyebut: “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Ini adalah bermakna, jiran adalah mereka yang berada dalam lingkungan jarak yang dekat yang memungkinkan tetangga dapat mendengar azan daripada masjid yang sama. Menurut Saidatina ‘Aisyah r.a pula, jiran berada dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru rumah. Secara mudahnya, jiran adalah mengikut uruf adat setempat kerana setiap kawasan memiliki adat yang berbeza. Sekurang-kurangnya adalah 40 buah rumah daripada seluruh penjuru.

HAK JIRAN YANG PERLU DIPENUHI

Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini secara fitrahnya akan hidup bermasyarakat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, kerana itulah Islam sangat mengutamakan keperluan untuk menghormati dan melunasi hak jiran. Antara hak jiran yang dianjurkan adalah :

1. Berkenal-kenalan dan berkasih sayang antara jiran mengikut syariat Islam.

Sabda Rasulullah SAW : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.
(Hadith sahih riwayat Muslim no. 2625). 

2. Menghormati kehidupan berjiran seperti menjaga kebersihan kawasan kejiranan.

3. Mengimarahkan kawasan kejiranan dengan amalan mulia seperti solat berjemaah di surau dan bertegur sapa apabila bertemu.

4. Membantu jiran yang berada dalam kesempitan dan kesusahan, sebagaimana sabda Rasulullah : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”

5. Tidak mencari-cari aib jiran dan menyebarkannya.
6.  Tidak mengajak jiran kepada perkara mungkar seperti mengumpat, memfitnah dan saling mengadu domba.
7. Bersangka baik dan positif sesama jiran.
8. Mengutamakan percakapan dan tingkah laku yang baik semasa bermuamalah.
9. Menjaga rahsia jiran.
10. Bersabar dan menegur dengan hikmah sekiranya perlu ditegur demi kebaikan bersama.
11. Tidak menyusahkan jiran dengan sengaja seperti membuang sampai dalam kawasan rumah jiran.
12. Beradab semasa menziarahi rumah jiran.
13. Tidak mengambil hak jiran (mencuri)
Sabda Rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .(Hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905

MULIAKAN DAN SYUKURI KEHADIRAN JIRANMU

Dalam menyantuni jiran, kita perlu menginsafi bahawa jiran bukanlah malaikat yang sunyi daripada dosa. Pasti ada khilaf dalam tingkah dan kata-kata. Kita perlulah berlapang dada, bertoleransi dan syukurilah kehadiran mereka sebagai insan yang dianugerahkan dalam persekitaran dan kehidupan kita meskipun tiada pertalian kekeluargaan. Ringan-ringankan hati memberi maaf dan menyua maaf dalam berhubungan agar sentiasa kekal baik dan harmoni. Saya menutup tinta mengenai jiran ini dengan sepotong nasyid Sendu Sendawa yang berbunyi :

'Adakah kau tahu siapakah mereka jiran tetangga mu
Pernahkah kau melihat apakah dalam sendu atau sendawa
Kenalilah dan bertegurlah sapa dengan akhlak yang mulia
Hidup berjiran susah dan senang, suka duka dirasa bersama..'
'Jiran tetangga, berkenal bermesra
Jiran tetangga, menganali rakannya
Jiran tetangga, bertanya khabarnya, makan minumnya...semua..
Jiran tetangga, menutup aibnya
Jiran tetangga, doakan mereka

Jiran tetangga, menjaga hartanya, sakit demam nya...'


Wednesday, September 7, 2016

Anakanda yang mentarbiyah bonda :D


Serius tak muka saya? Muka baru bangun tidur. Semalam tidur jam 8 malam dan bangun semula 9.30 malam. Tp ajak tidur semula tak nak. Sebenarnya sejak habis pantang, alhamdulillah Ayyash jenis tidur lepas maghrib dan straight sampai esok pagi. Mama tak merasa sangat berjaga malam. Tapi...sejak akhir-akhir ni dah umur setahun setengah, dia macam ada jadual baru dan mama rasa macam kejutan budaya pun ada bila pukul 12 lebih baru nak tidur. Selalu 'gaduh' dengan dia bila dah lewat sebab mama mengantuk. Mama biasanya tutup lampu dan paksa dia tidur. Dia pun mula lah macam-macam, nak suruh potong kuku dia, nak suruh sapu ubat, nak itu nak ini. Alasan dia sebab tak nak tidur lg. Tapi, semalam mama berazam tak nak 'gaduh' dan bawak dia turun ruang tamu tengok tv sama-sama supaya mama tak rasa mengantuk 😄

Anak oh anak, tarbiyah mama selalu.

 Anakku, bila anakanda berkesempatan baca post ni kelak, ketahuilah, mama sangat sayangkan dirimu sepenuh hati! Sebulan lagi nak bergelar abang, yeayy
                                                            

Budak kecil kesayangan ramai. Kalau balik setiu, mama ayah tak sempat nak dukung, berebut orang nak layan dan bawa berjalan. Jangan lupakan kebaikan semua insan sekeliling padamu nak.


Hehehee, sebenarnya ni la motif post ni, dik. Adik kan duta Soleh Kids. Jom promote pada kawan-kawan untuk dapatkan produk berkhasiat dan berkualiti tinggi ini, ok!




Mama, nakkkkk

Jom sokong dan gantikan makanan gula-gula yang tidak menyihatkan yang kerap dimakan oleh anak-anak kita dengan makanan yang lebih sihat tetapi sedap dan lazat untuk mereka.

Nour's Soleh Kids Chewable Tablet 
Untuk Kanak-kanak.





 Tablet Soleh Kids bukan HANYA sekadar Vitamin C biasa yang ada di farmasi. tetapi ia gabungan pelbagai Vitamin.
 Tablet ini mempunyai pelbagai iaitu 9 jenis vitamin yang bagus termasuk DHA dan Omega 3.
 Ia juga bersaiz 1000 mg (terkandung pelbagai vitamin dengan komposisi seimbang bagi setiap vitamin dalam sebiji) bagi sebiji tablet yang merangkumi pelbagai khasiat dan bukan kecil seperti produk lain.
 Juga ia terhasil dari bahan hebat seperti kismis, madu, kurma, aprikot, delima dan lain-lain.
 Bukan berperisa tiruan buah-buahan tetapi ia adalah hasil rasa sebenar dari jus sebenar Oren dan Strawberry.
 Turut mengandungi Kalsium, Zat Besi dan Protin.
 Rasa yang lazat dan sedap..pasti disukai anak-anak..Insha Allah

Makanan yang sihat dan baik lagi berkat banyak peranannya dalam pembentukan tubuh dan minda serta spiritual anak-anak. Mari kita berusaha memberikan mereka makanan yang terbaik mengantikan jajan dan gula-gula yang kurang khasiat dan tidak bagus untuk kesihatan.
Dapatkan sebotol segera, harga pengenalan hanya RM 49 sebotol ( Harga biasa RM 59.90).
Pos PERCUMA.
Whatsapp atau hubungi kami di 0133247241 atau hubungi 0133857915
dan boleh juga melayari FB


* AGENT DIPERLUKAN

* AGENT DIPERLUKAN
* AGENT DIPERLUKAN



JUS SOLEH KIDS UNTUK KANAK-KANAK

Jus Soleh Kids





 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat