Tuesday, December 29, 2015
Seorang lelaki
Kehidupan suami isteri adalah kehidupan untuk saling melengkapi, saling menghulur tangan dan berpimpinan kala sukar dan senyum.
Seorang isteri, adalah jantung sebuah rumahtangga. Yang menjadikan rumah itu hidup dan bernyawa. Namun, jantung tetap hanya mampu berdenyut pada kadarnya, agar tak kurang dan lebih dan mengundang 'sakit' nan berbahaya.
Menulis daripada perspektif seorang isteri, saya percaya seorang suami yang soleh adalah suami yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah terbaik dalam kepimpinan. Baginda mengemudi bahtera kehidupan bernama rumahtangga. Baginda, lelaki terhebat dalam sejarah manusia, namun tetap seorang suami dan ayah yang sentiasa merendah diri.
Isteri yang solehah, menawarkan diri melakukan semua kerja di rumah sementelah seorang suami yang soleh sedang berjuang dalam melunasi nafkah jua tanggungjawab pada keluarga dan ummah. Namun, seorang isteri yang 'jujur' pasti mengimpikan suami yang bersama-sama berjuang di dalam rumah, sebagai suami dan ayah. Agar kelak tiada hari-hari dia kembali menyebut-nyebut kesukaran dahulu kerana merasa bersendiri melakukan banyak perkara, dalam batas kudrat seorang wanita yang lemah. Agar kelak dia tidak menagih semula balasan, atas apa yang pernah dikorbankan untuk keluarga.
Suami yang soleh sebenarnya akan merasa 'bangga' dan 'puas', apabila mampu melatih diri 'turun padang' bersama-sama isteri dalam menguruskan rumah dan lebih-lebih lagi pada anak-anak. Dia adalah seorang lelaki yang diajak bersama oleh isteri untuk membantu dalam kadar kemampuan yang ada. Dia akan merasa bahagia, mampu meringankan serba sedikit apa yang tergalas di bahu isteri meskipun tidak banyak. Dan dia sedang meraih pahala yang banyak, menyantuni ahli keluarga tercinta.
Lebih daripada itu, apabila dia bersama-sama merasai kesukaran dan cabaran menguruskan rumah, dia akan menjadi seorang suami yang lebih empati, merasa apa yang dirasai sang isteri saban hari. Dan daripada empati ini, lahirlah kelembutan, cinta dan penghargaan yang menjadi antara faktor penambah rencah bahagia.
Suami perlu dibantu, dihadiahkan senyuman dan diberikan penghargaan. Dia bukan tidak tahu, dia cuma perlu diberitahu dan dibiasakan, agar dia memahami apa yang diperlukan oleh isteri. Perkara yang sudah biasa pasti tidak akan lagi menjadi suatu beban dan kesukaran. Suami adalah lelaki hebat,yang memiliki kekuatan fizikal dan emosi dan dikurnia Tuhan jawatan sebagai pemimpin. Kerana itulah, semua nabi dan rasul juga adalah dalam kalangan lelaki.
Seorang lelaki tidak akan lemah hanya kerana membantu mengemaskan katil di waktu pagi sebelum meninggalkan rumah, menyidai kain di ampaian, dan membasuh pinggan usai digunakan. Juga tidak akan nampak lemah hanya kerana menjaga dan mendukung anak ketika keluar di tempat awam. Malah inilah lelaki yang pastinya akan menjadi kebanggaan Nabi, dan layak menjadi qudwah buat masyarakat. Dan isterilah yang memberi sokongan dengan penuh kasih dan cinta, bukan dengan cara mengarah dan meminta-minta. Ramai lelaki yang mampu menjadi wira di luar dan hero di rumah, dengan keinginan diri dan bantuan isteri pastinya.
Seorang ayah, dia bukan hanya tampak kelihatan semasa 'menghulur wang' sebagai wibawa seorang ayah, namun jua senyuman dan gurauan yang mengikat hati dengan sang permata hati.
Ikatan hati, yang menjadikan doa anak kian tulus buat ibu bapa yang suatu masa nanti akan pergi. Ikatan hati jua yang menggerakkan seorang anak bermunajat memohon agar diampunkan dosa ayah dan ibu yang masih ada.
Namun ya, seorang isteri dan ibu tetaplah seorang isteri dan ibu. Yang tetap ikhlas demi suami dan anak-anak permata hati. Percayalah, seorang isteri tidak pernah mengharapkan bantuan suami yang banyak, Sangat sedikit pun tidak mengapa, hanya sekadar merasa dipeduli dan tidak bersendiri. Kerana kasih dan cinta tidak selayaknya hanya hadir dalam limpahan wang, namun perhatian, cinta dan simpati pada seorang wanita yang dipinjamkan oleh Tuhan sebagai isteri di sisi.
Namun di sana, seorang isteri juga perlulah lebih arif pada batas kudrat sang suami yang telah berpayah penat di luar sana. Sediakan ruang kerehatan dan ketenangan di dalam rumah buatnya, agar menambah rasa kasih setiap saat yang berlalu. Dan menjadi kekuatan untuk dia terus menumpahkan usaha. Carilah masa yang sesuai dan berhikmahlah. Moga ALLAH menunjuki isteri dan suami yang sedang berusaha mengharmonikan rumahtangga dengan petunjuknya yang benar.
Terima kasih suamiku yang memahami. Moga ALLAH terus memberikan kita sinar iman dan taqwa, mengurnia kesihatan, memberikan kita sekeluarga rezeki yang barakah dan impian kita yang paling tinggi, hadiah syurga dengan kebahagiaan yang tiada noktah.
Posted by Wardah Maqsurah at 10:49 PM 0 comments
Labels: rumahtangga
Friday, December 18, 2015
LEMBARAN BARU SETIAP HARI
Terasa seperti baru
semalam berjuang untuk melahirkannya, alhamdulillah rupa-rupanya si kecil
Abdullah 'Ayyash sudah berusia 5 bulan. Syukur pada Allah. Hidup kian cepat
mengejar rasanya, sedang diri tercungap-cungap dikejar. Apatah lagi dengan
hadirnya si kecil, yang hadirnya beriring cabaran tersendiri.
Bangun pagi, saat
menatap wajahnya yang sudah pandai tersenyum, saya pasti tersenyum sama,
bahagia melihat dia gembira. Suka diajak bersembang, mengagah dan tergelak kuat
sehinggakan adakalanya ‘sukar’ untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah.
Kebelakangan ini, si
manja ini tidak mahu diletak, kalau tidur sekalipun ingin dipangku atau
berbaring bersama. Pagi ini, saya terpaksa
meninggalkan dia merengek, sementara ingin menyelesaikan tugas memasak di
dapur. Sesekali saya menjengah keluar, sambil memujuk. Mulut saya tak berhenti
bersuara, agar tangisan si kecil tak semakin kuat.
Agak lama, dia
merengek sendiri. Tiba-tiba kedengaran suaranya semakin kuat, tersedu sedan,
mulutnya mencebik sedih kerana tidak dilayan. Entah kenapa, hati ini seakan
direntap rasa bersalah kerana membiarkannya menangis. Saya segera membasuh
tangan, menutup api dapur, berhenti memasak lantas mengangkatnya. Dia segera
diam, walaupun ada sisa sedu dan air mata. Saya hanya memeluknya erat, tetapi
cukup untuk membuatnya segera lena, memejam rapat mata kecilnya. Walaupun masih
belum hilang esak tangis di hujung setiap helaan nafasnya.
" Maafkan
mama..." saya merenung si permata hati. Sebak
Setelah
dia lena, saya kembali menyambung menyelesaikan urusan di dapur, sambil minda
teringat pakaian yang belum berlipat dan bergosok. Saya cuba sedaya upaya,
memastikan semuanya selesai pada waktu pagi sebelum bertolak ke tempat kerja
tengahari nanti walaupun semua maklum, kerja rumah memang tidak akan pernah habis.
Usai semua kerja rumah yang penting, saya segera mencapai komputer riba,
berhasrat ingin menyelesaikan pula tugasan sekolah yang perlu disiapkan sebelum
ke sekolah tengahari nanti. Ah, bukan tidak cuba menyiapkan di tempat kerja,
namun kekangan masa kerana jadual waktu yang padat menyukarkan. Masa yang ada
di sekolah hanya cukup-cukup dimanfaatkan untuk solat zohor atau asar dan
mengepam susu untuk bekalan anakanda di rumah pengasuh. Baru beberapa patah
menaip, kedengaran rengek si kecil yang sudah puas tidur. Allah...
Saya
boleh memilih. Untuk berasa 'tertekan' ataupun untuk senyum bersyukur sambil
mencium si kecil yang minta dilayani.
Saya tenangkan
hati dan tanpa ragu, memilih pilihan yang kedua.
Saya
menekan butang 'shut down' pada komputer riba dan menyahut panggilannya.
"Jap ye sayang, mama datang..". Dia tersenyum seperti biasanya,
gembira dilayani si ibu.
MENGENAL
PRIORITI
Sejak
berkahwin, saya memang suka memastikan rumah kemas bersih, semua pakaian
terlipat, bergosok dan disangkut kemas. Apatah lagi kerja-kerja rumah yang lain
seboleh-bolehnya dipastikan selesai sebelum suami pulang daripada kerja.
Setelah bergelar ibu, saya suka memastikan perkara yang sama, NAMUN ternyata
saya belajar untuk mengukur baju di badan sendiri. Saya mungkin inginkan sinki
kosong dan sentiasa bersih, namun perlu 'berkorban' membiarkan si anak merengek
sendiri. Berbaloikah?. Saya mungkin berasa lega apabila lantai bersih dimop
setiap pagi, namun tidak sempat berlama-lama menyusukan si kecil yang perlukan
perhatian. Berbaloikah?. Saya mungkin ingin menyiapkan lambakan kerja sekolah
dengan segera, namun saya akan ‘stress’ dan tidak menghargai kehadiran suami
dan anak di sisi. Berbaloikah?. Saya mula belajar mengenal prioriti, memilih
apa yang perlu dan apa yang penting terlebih dahulu untuk diselesaikan.
Mengenal
prioriti, bukanlah bererti kita membiarkan rumah bersepah tidak terurus hanya
kerana konon-kononnya sibuk melayani anak. Rumah yang kemas juga sumber
ketenangan, untuk seisi keluarga. Namun, bijaklah meletakkan keutamaan, apa
yang perlu dilakukan sekarang, apa yang boleh ditangguh dahulu, dan apa yang
tidak perlu sama sekali.
ANAK
KECIL ITU, TIADA GALANG GANTI
Anak
adalah amanah, yang dititipkan oleh Allah kepada setiap pasangan suami isteri.
Anak juga anugerah, yang kelak boleh menjadi pemberat amal kebaikan di sana
nanti. Anak juga adalah ujian buat kedua orang tua. Sebagaimana yang dirakamkan
dalam al Qur'an
“Sesungguhnya hartamu dan anak-anamu hanyalah cubaan (bagimu)
, dan di sisi Allah pahala yang besar.”
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi
amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu
serta lebih baik untuk menjadi harapan.” Al Kahf 46
Ibu bapa, ada peranan yang besar pada sekeping hati anak yang
masih suci bersih itu. Dan juga memegang amanah untuk menjaga dirinya daripada
menjadi bahan bakar api neraka. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT
“Hai
orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang
kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang
diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS. At-Tahrim: 6).
Duhai diriku yang bergelar ibu, usah mengalah, usah malas!. Ajarkan
anakmu mentauhidkan Allah, ajarkan juga anakmu agar mengenal dan mencintai
Rasulullah. Supaya tidak sia-sia setiap penat lelah melahirkan dan membesarkan
mereka. Biarlah berbalas sebaik-baik balasan di sana kelak.
TOLERANSI
DUA JIWA
Umum
mengetahui, sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, kerja-kerja rumah
biasanya dilakukan oleh isteri. Walaubagaimanapun, dewasa kini, para suami
semakin sedar akan tanggungjawab yang perlu sama-sama dipikul, apatah lagi pada
isteri yang bekerja yang bertujuan membantu ekonomi keluarga.
Bagi
suami yang sibuk bekerja, mengharapkan pulang ke 'syurga dunia' bernama rumah
disambut mesra oleh isteri, anak-anak dan rumah yang teratur. Namun tiada
salahnya sesekali, apabila suami pulang ke rumah dan memandang rumah yang
sedikit tidak kemas itu sebagai satu kebahagiaan dan kesyukuran. Itu tandanya
ada anak kecil yang galak bermain-main di dalam rumah, atau si isteri sedang
sibuk menyediakan keperluan lain yang juga tak kurang penting seperti memasak
dan sebagainya.
Sebagaimana,
apabila suami pulang daripada kerja, isteri sepatutnya memberikannya ruang
untuk merehatkan diri, dan bijak pula mencari masa sekiranya memerlukan suami
menjaga anak dan mengurus rumahtangga. Begitulah sebaliknya.
Bertoleransilah.
Berbincanglah. Suami dan isteri yang saling mengasihi, akan sentiasa saling
ihsan dan belas kasihan antara satu sama lain. Apatah lagi di dalam sebuah
rumah, syurga dunia kita.
BANTU AKU
MENGENAL KEHIDUPAN, YA ALLAH
Saya
memandu agak laju pulang ke rumah usai mengambil anak di rumah pengasuh di tingkat
4. Nafas masih tercungap-cungap kelelahan, si kecil pula sudah mula tidak
selesa di ‘car seat’ belakang. Hari ini di sekolah pula jadual agak
padat. Ditambah dengan kesesakan luar biasa di sepanjang perjalanan. Jam sudah
hampir 7.30 malam. Sampai di rumah, terasa seperti ‘bateri’ tubuh sudah 10%
berbaki. Namun sebaik sahaja sampai di rumah, entah daripada mana datangnya
kekuatan, memandang wajah anakanda yang tergelak diagah ayahnya, sudah cukup
menambah 90% lagi ‘bateri’ tubuh.
Maka,
nikmat Tuhan manakah yang kamu ingin dustakan?
Bersyukurlah
wahai diri, bersyukurlah wahai teman pembaca. Atas setakat mana yang
direzekikan oleh Tuhan kepada kita pada lembaran baru setiap hari. Lembaran hari
ini telah berlalu, penuh terisi. Hari esok? Belum tentu akan muncul lagi.
” Ya Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang
hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” Al Furqan 74
Posted by Wardah Maqsurah at 11:30 AM 0 comments
Labels: Majalah i
Pandang Pertama
Pagi ini aku diam terpaku,
Pandang pertama pada keajaiban itu,
Terus rasa ini tak upaya ku sembunyikan,
Titisannya mengalir meledak segalanya.
Pandang pertama pada keajaiban itu,
Terus rasa ini tak upaya ku sembunyikan,
Titisannya mengalir meledak segalanya.
Aku bicara pada Dia,
Sungguh aku insan hina lagi pendosa,
Terasa malu jasadku ada di sini,
Di bumi suci, di hadapan KaabahMu.
Sungguh aku insan hina lagi pendosa,
Terasa malu jasadku ada di sini,
Di bumi suci, di hadapan KaabahMu.
Aku bicara pada Dia,
Tanah ini sungguh mulia,
Tanah ini megah nan berjasa,
Menjadi kecintaan Nabi sentiasa.
Tanah ini sungguh mulia,
Tanah ini megah nan berjasa,
Menjadi kecintaan Nabi sentiasa.
Aku bicara pada Dia,
Mengucap syukur setulus jiwa
Taqdir Dia membawaku ke sini,
Di bumi yang wangi dengan barakah,
Di bumi yang basah dengan keinsafan.
Mengucap syukur setulus jiwa
Taqdir Dia membawaku ke sini,
Di bumi yang wangi dengan barakah,
Di bumi yang basah dengan keinsafan.
Aku bicara pada Dia,
Ku sedari hatiku tak secekal perjuangan baginda,
Ku akui jiwaku tak sehebat para sahabat nan berjasa,
Ku cemburui kemuliaan para wanita Ummul Mukminin,
Aku sering lemah dan tewas dengan nafsu ku sendiri.
Ku sedari hatiku tak secekal perjuangan baginda,
Ku akui jiwaku tak sehebat para sahabat nan berjasa,
Ku cemburui kemuliaan para wanita Ummul Mukminin,
Aku sering lemah dan tewas dengan nafsu ku sendiri.
Aku bicara pada Dia,
Daripada ruang hatiku yang paling sepi,
Kuingin pergi daripada hiruk pikuk dunia ini,
Kuingin 'pulang' dan bahagia dalam pangkuan Dia,
Jauh daripada kesukaran, jauh daripada kesusahan.
Daripada ruang hatiku yang paling sepi,
Kuingin pergi daripada hiruk pikuk dunia ini,
Kuingin 'pulang' dan bahagia dalam pangkuan Dia,
Jauh daripada kesukaran, jauh daripada kesusahan.
Ya Robbul 'Izzati,
Sungguh aku ingin 'pergi',
Tubuh ini dirasa kian lemah,
Basah dengan air mata seorang pendosa.
Aku diam lagi usai bicara ini,
Seakan ada rasa yang memujuk diri.
Sungguh aku ingin 'pergi',
Tubuh ini dirasa kian lemah,
Basah dengan air mata seorang pendosa.
Aku diam lagi usai bicara ini,
Seakan ada rasa yang memujuk diri.
Kehidupan ini perlu juga untukku lalui,
Sukar dan payah menjadi bukti,
Senang dan bahagia untukku syukuri,
Bahawa hidupku di sini hanya untuk mengabdi.
Sehingga akhirnya nafas ini diambil pergi,
Bersama jasad yang dikembalikan nanti.
Sukar dan payah menjadi bukti,
Senang dan bahagia untukku syukuri,
Bahawa hidupku di sini hanya untuk mengabdi.
Sehingga akhirnya nafas ini diambil pergi,
Bersama jasad yang dikembalikan nanti.
Nur A'isyah Humaira Ismail
7:25 AM
02/01/2015 @ Makkah al Mukarramah
7:25 AM
02/01/2015 @ Makkah al Mukarramah
Posted by Wardah Maqsurah at 11:26 AM 0 comments
Labels: Karya
DI BALIK AWANAN PUTIH
Gumpalan awan yang sungguh putih menarik perhatian saya lewat petang
itu. Saya memerhati satu persatu awanan yang tampak tebal dan berat. Daripada
satu awan ke awan yang lain, saya ralit memerhati. Ada yang sangat besar, ada
yang kecil, kesemuanya seakan terapung di udara. Nampak lembut, seakan
gula-gula kapas putih. Subhanallah. Maha suci Allah. Kekaguman saya kian
memuncak. Sangat indah, mempesona.
Awan yang terapung di
atmosfera mengandungi wap air dan titisan awan yang tidak dapat jatuh ke
permukaan bumi sebagai hujan kerana saiznya yang kecil,tetapi cukup besar untuk
membentuk awan yang dapat dilihat oleh manusia. Air di langit akan mengalami
proses sejatan dan kondensasi secara berterusan. Kebanyakan daripada air yang
terkondensasi di dalam awan tidak akan jatuh ke bumi sebagai titisan air hujan
kerana turbulen udara yang mengampaikan awan-awan di atmosfera. Proses hujan
hanya dapat berlaku jika titisan air mula mengalami proses kondensasi dan
bergabung untuk membentuk titisan-titisan air besar dan menjadi cukup berat
untuk membentuk hujan.Pembentukan satu titisan air hujan memerlukan gabungan
berjuta-juta titisan awan. Beberapa fakta tentang hujan yang pernah dipelajari
di sekolah menengah menerjah ke ruang minda. Saya tersenyum sambil tangan kanan
menepuk-nepuk lembut si manja yang lena. Alhamdulillah, dia memang mudah dijaga
di dalam kapal terbang, tidak pernah banyak ragam. Suami juga masih lena di
kerusi sebelah, melepaskan kepenatan tubuh.
" Perhatian kepada semua penumpang, sila kembali ke tempat
duduk, pasangkan tali pinggang keselamatan, kerusi ditegakkan dan meja
diletakkan di tempat asal. Oleh kerana kita sedang mengalami cuaca yang kurang
memuaskan, pesawat tidak dapat mendarat dan akan berlegar-legar di ruang udara
.....' suara pengumuman daripada juruterbang mematikan keasyikan saya menikmati
pemandangan luar. Biarpun saban bulan menaiki kapal terbang untuk pulang ke
kampung bertemu ayah bonda, namun ini pengalaman pertama saya dengan penangguhan
masa untuk mendarat. Tiba-tiba, kapal terbang bergegar agak kuat, tidak seperti
gegaran biasa. Saya disapa debar. Suami nampak masih tenang sambil membantu
mengulit si kecil yang terjaga kerana gegaran kuat. Saya mengalihkan pandangan
ke luar tingkap sekali lagi, melihat suasana yang tidak lagi seputih tadi,
tetapi agak gelap.
Entah kenapa cepat sungguh fikiran saya dibayangi peristiwa MH370
dan MH17. Saya berzikir, melepaskan kerisauan yang tidak semena-mena. Bagaimana
agaknya perasaan perasaan para penumpang nahas kapal terbang? Sesungguhnya di
atas ruang udara ini, tiada tanah untuk dijejak, tiada kawasan untuk berlari
padanya, tiada tali untuk berpaut, yang ada awanan yang cantik namun tiada daya
membantu menyelamatkan.
Hakikat sebenarnya ada satu pelindung yang sentiasa mampu melindungi
walau di manapun kita berada. Di langit, atau di bumi. Dan itulah hanya satu-satunya.
ALLAH.
Barangkali kerana itulah bibir saya cepat-cepat melafaz zikir, hati
saya pantas kembali berdoa memohon padaNya dan kebergantungan saya ketika itu
hanya pada Dia dengan harapan agar Dia mengurniakan keselamatan kepada kami
yang ada di dalam kapal terbang itu.
Begitulah seorang manusia, seringkali hanya kembali pada Tuhan
ketika saat sukar dan payah. Juga ketika waktu buntu dan tidak tahu. Alangkah
ruginya!
INGATLAH ALLAH HATI AKAN TENANG
“Orang yang beriman dan hati mereka
menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah
itu hati menjadi tenang.” (Al-Ra’d :28)
Tiada jaminan yang pasti untuk memperoleh ketenangan dengan apa jua
kesenangan yang wujud di dalam dunia ini. Meskipun ia berupa harta nan melimpah,
anak-anak yang ramai, kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya.
Tetapi Allah menjamin ketenangan pada sebuah amal yang nampak ringkas
pelaksanaannya, namun tidak semudah itu
untuk sentiasa melaksanakannya.
“Iaitu orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka
berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring dan mereka pula memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi (sambil berkata : “Wahai tuhan kami! Tidaklah engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah
kami dari azab neraka” (Al-Imran:191)
“kemudian setelah selesai
sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi), dan carilah apa Yang kamu
hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam
Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.(al-Jumaah:10)
Buat muhasabah diri sendiri, saya menyedari bahawa sudah menjadi lumrah
seorang manusia akan lebih banyak mengingati Allah ketika berada dalam keadaan lemah
dan memerlukan. Kadang-kadang kita acuh tidak acuh semasa menadah tangan untuk
memohon diampunkan dosa, namun bersungguh-sungguh pula ketika meminta agar
diberi kemudahan menjawab soalan peperiksaan. Maha Suci Allah kerana cintaNya
bukan sahaja istimewa tetapi adalah yang teristimewa. Biarpun kita seringkali
melakukan kesilapan dan berulang kali juga memohon taubat, sesungguhnya Allah
itu Maha Pemaaf. Yang akan memberi keampunan akan dosa-dosa manusia biarpun
sebanyak buih-buih di lautan. Sungguh berbeza dengan cinta manusia, setelah
sampai suatu masa pasti hati akan kebosanan disua maaf yang berulang kali.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar
orang-orang yang melakukan dosa pada siang hari bertaubat, Dia membentangkan
tanganNya di siang hari agar orang-orang yang melakukan kesalahan pada malam
hari bertaubat hingga nanti matahari terbit di sebelah barat “
Masha Allah, indahnya bernafas dalam jiwa seorang hamba!
Saat hati dirundung tidak tenang kerana bencana atau kesukaran,
ingatlah Allah dan berzikirlah sebanyak-banyaknya. Pertolongan Allah akan datang
pada waktunya yang tepat dan memberi pimpinan pada setiap keputusan yang
diambil sebagaimana firman Allah di dalam al Qur’an ;
Dan sesiapa yang beriman(sentiasa mengingati) kepada Allah, Allah
akan memimpin hatinya (Memberi hidayah); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui.
(At-Taghaabun:11)
Namun alangkah moleknya jika ketika bahagia dan senang, syukurilah
jua nikmat Allah sebanyak-banyaknya, agar akan bertambah segala nikmat dan
kurniaanNya di dunia dan di akhirat sana. Tanamkanlah perasaan ‘malu’ kepada
Allah kerana sombong denganNya di waktu senang.
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (ni’mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”(QS. 14:7)
Sesungguhnya tiada manusia yang benar-benar sempurna kecuali dia
akan ‘sempurna’ pada hatinya selagi mana dia mengingati Allah dengan
sebenar-benarnya. Sempurna pada kekayaan jiwa yang merasa cukup akan anugerah
dan ujian Tuhan yang bertandang.
Ya Allah…bantulah kami, manusia dengan jiwa yang lemah.
TERIMA KASIH TUHAN
“ Kita akan mendarat sebentar lagi…….” Suara pengumuman daripada
krew kabin membawa pergi segala kerisauan yang bertandang. Lafaz tahmid diratib perlahan. Saya kembali
mengambil peluang merenung awanan putih yang menenangkan, sementara pesawat sudah
semakin terbang rendah kerana ingin mendarat. Awanan putih yang cantik, di
baliknya menampung air yang bakal tumpah membasahi bumi. “ Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Syukurlah
pada ALLAH anakku sayang kerana masih ada izin Allah untuk kita menumpang hidup
di muka bumi Dia, agar ada peluang untuk kita memohon keampunan atas dosa yang
lalu dan menanam benih pahala untuk ‘simpanan’ akan datang…..” saya berbisik
kepada si kecil yang sudah terjaga. Tersengih dia menampakkan tiga batang
giginya, seakan memahami.
Tuhanku,
Aku
hamba lemah nan berdosa
Khilaf
dan berbuat salah sentiasa
Namun
keampunanmu buatku merasa
Diulit
bahagia dan tidak terseksa!
Posted by Wardah Maqsurah at 11:22 AM 0 comments
Labels: Majalah i
LEARN NOT TO JUDGE. LEARN TO RESPECT
" Dah besar dah baby, kuat menyusu ye.." kakak pekedai runcit yang ramah menegur. Saya tersenyum sambil mengeratkan dukungan si manja yang sudah semakin lasak. " Ya kak, dah lasak sekarang, alhamdulillah memang kuat menyusu" saya menjawab sambil bibir tidak lekang dengan senyuman.
"
Banyak juga minum air masak ye,nampak keras badannya.." dia terus
bertanya. Saya tersentak juga, sementelah tidak berhasrat ingin 'melawan kata'.
Namun saya seakan dapat menebak apa yang akan dikatakan. Tidak ingin berbohong,
saya cuma menjawab ringkas .
"
Saya tak bagi dia minum air masak lagi, kak. Masih baru 4 bulan. Menyusu badan
sepenuhnya..". Kali ini, kelihatan dia pula yang terkejut. Tangannya yang
sedari tadi ligat memasukkan barang-barang ke dalam plastik kini terhenti.
"
Ish, tak cukup susu ibu tu dik. Akak dulu nisbahnya 1 botol susu 1 botol air
masak setiap kali baby lapar...Kena banyak bagi air masak,
baru badannya keras dan kuat. Anak-anak akak dulu pun semuanya cepat-cepat
besar sebab akak belikan susu formula yang bagus. Mahal sikit takpe dik"
suaranya sedikit meninggi. " Ooo macam tu, terima kasih kak..." saya
masih tersenyum, membalas saranannya dengan anggukan. Saya menghulurkan wang,
lantas berlalu usai memberi salam. Pandangan saya soal susu ibu cukup untuk
bayi tidak berganjak, namun tidak sesekali menyebabkan saya menghakiminya
kerana dia juga sedang melakukan yang terbaik seperti yang ada pada kotak
pengalaman dan ilmunya.
Saya
teringatkan pengalaman hari pertama, kedua dan ketiga ketika melahirkan. Susu
yang terhasil amat sedikit, hanya beberapa titik dan banyak masanya langsung
tiada. Bayi pula hampir setiap malam menangis, sukar ditenangkan ketika itu.
Ibu dan kakak yang menemani ketika itu semakin risaukan bayi. Maka, mereka
mencadangkan untuk terus memberikan susu formula. Saya cuba tahankan diri,
mengadu kepada Dia. Semangat saya untuk menyusukan anak dengan susu ibu sangat
menebal. Saya mengingat kembali, keperluan perut bayi yang kecil. Saya cuba
meyakinkan diri sendiri, bahawa bayi cukup dengan beberapa titik susu yang ada
untuknya. Juga, bayi menangis kerana banyak sebab, bukan hanya kerana lapar.
Semua pembacaan tentang 'demand' dan 'supply' bermain di kepala.
Andai kata saya memilih untuk memberikan si kecil susu formula, si kecil akan
cepat kekenyangan kerana ia sukar dihadam. Dia akan tidur, dan tidak lagi ingin
menyusu ibu. Susu ibu tidak akan terhasil kerana tiada lagi rangsangan daripada
bayi.
" Abang, baby lapar
ke.." akhirnya air mata saya menitis juga ketika meluahkan perasaan kepada
suami. Saya hampir-hampir putus asa, dan meminta suami membuatkan susu formula
(yang dibekalkan oleh pusat perubatan tempat bersalin), namun suami enggan.
Hanya suami yang mengetahui bahawa ketika itu saya masih kekurangan susu. “
Bukan ke Aisyah selalu sebut-sebut azam ingin menyusukan bayi..” suami
mengingatkan kata-kata saya sendiri yang sering diulang-ulang ketika bayi masih
dalam kandungan. Rasa hati sudah kian tak tertahan. Ditambah dengan kesakitan
bersalin yang masih belum hilang. Di kiri kanan, makin banyak suara yang
menyuruh agar susu formula diberikan kepada bayi. Saya membuka helaian al
Qur'an, selain daripada kajian demi kajian kebaikan susu ibu, namun yang lebih
utama lagi kerana ianya adalah saranan daripada al Qur'an.
“Para ibu HENDAKLAH menyusukan anak-anaknya selama DUA
TAHUN PENUH iaitu bagi yang ingin MENYEMPURNAKAN penyusuan
itu”
– Surah Al-Baqarah, Ayat 233
Saya
terus berusaha, saya memeluk si kecil dan bercakap-cakap dengannya, memujuknya
agar tidak 'letih' berusaha mendapatkan susu yang menjadi haknya.
Subhanallah,
Maha Suci Allah yang mengizinkan segala sesuatu, akhirnya Allah mengurniakan
apa yang saya doakan saban masa ketika itu. Air mata tumpah sekali lagi,
tangisan kesyukuran yang saya hadratkan untukNya.
Kerana
itu, dengan sedikit pengalaman yang ada, saya mula berkongsi ketika kawan-kawan
sebaya ingin mengalah dengan mengatakan 'susu tidak ada', ketika hari-hari awal
setelah bersalin.
Dan dalam
menempuhi hari-hari yang serba mencabar, saya akui tidak mudah tanpa sokongan
orang sekeliling. Setelah kita berusaha yang termampu dalam kekangan masa dan
kemampuan untuk menyusukan si kecil, tiba-tiba disua dengan kata-kata seperti
" Alah, apalah sangat bagi susu yang dipam..patut directfeed yang
sunnah..", ataupun "Susu ibu yang dibekukan sebenarnya dah berkurang
khasiatnya..", ia memang mencabar iman dan jua sesekali melemahkan
semangat, namun sujudlah, berdoalah. Mohon kekuatan hanya pada Allah.
Dan buat
ibu yang tidak mampu, sungguh Maha Adil Allah, ayat al Qur'an di atas juga
disambung dengan ;
“Apabila keduanya ingin menyapih (memberhentikan penyusuan)
sebelum dua tahun dengan kerelaan keduanya dan permesyuaratan, maka tidak ada dosa
atas keduanya.
Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang
lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu
mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta
ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu
lakukan."
Surah Al-Baqarah, ayat 233
NOT TO
JUDGE, LEARN TO RESPECT
Setiap
ibu, dibekalkan dengan fitrah inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Siapa
kita untuk menghakimi ibu lain? Meskipun dia baru beranak satu, mahupun
telahpun bergelar ibu kepada 12 orang anak. Cukuplah, berhentilah menghakimi.
Setelah
kita berjaya untuk menahan diri daripada menghakimi, kita juga perlu belajar
menghormati. Saya akui, berdepan dengan pelbagai cadangan dan pengalaman orang
lain yang dihamparkan untuk saya pilih sebagai pedoman dalam membesarkan si
kecil menurut apa yang terbaik dalam lingkungan pengetahuan yang saya ada.
Namun, sedari dulu juga saya cuba menghormati apa saja yang dilakukan oleh
seorang ibu untuk anak-anaknya. Dalam bab cara pemakanan, didikan dan
sehinggalah sekecil-kecil perkara dalam bab buaian, puting plastik dan
sebagainya. Dan saya akui, terkadang saya juga mengharapkan agar cara saya juga
dihormati.
" Baby lapar
ni, tengok mulut dia tu. Macam nak makan dah. Kasihan. Dah boleh bagi makan
ni..Anak akak dulu, 4 bulan dah makan bubur nasi" seorang kakak menegur
ketika si kecil saya baru mencecah masuk usia 4 bulan. " Ooo, macam
tu.." saya tidak membalas panjang dan tidak pula kembali mengomen, kerana
saya menghormatinya dalam apa yang dirasakan terbaik. Namun, tindakannya
menyuap makanan ke dalam mulut si kecil saya telah menyentuh tangkai hati saya.
Setelah saya berazam untuk menyusukan bayi secara EKSLUSIF selama 6 bulan, dan
bersusah-payah berjaga malam menyimpan stok susu serta mengheret pam ke sana ke
mari bagi memastikan bekalan mencukupi, dengan sewenang-wenangnya menyuap nasi
ke mulut kecil bayi saya tanpa keizinan. Saya lunakkan hati, tidak ingin
menunjukkan reaksi kurang senang. Saya cuma mengambil kembali si kecil, dan
berlalu keluar.
Saya
memuhasabah diri. Apa yang kurang. Mengapa setelah saya menghormati semua
pilihan orang lain untuk hidup mereka, keputusan saya masih tidak dihormati?
"
Saya tidak kasihankan anak saya ke...?"
" Saya
tidak sayangkan anak saya ke..?"
Cukuplah,
kerana kasihanlah saya tahankan dia daripada menjamah makanan berat terlalu
awal. Kerana sayanglah, saya memilih yang terbaik untuk si kecil. Andainya 6
bulan pertama bayi saya perlu menahan daripada makan, sesungguhnya bermula 6
bulan hingga tua pun dia masih boleh menjamah apa jua makanan yang sesuai!.
Saya mengurut dada. Saya terlalu emosikah?
Namun
hari demi hari yang berlalu, saya semakin rasional. Saya berjumpa dengan
seorang ibu, yang berusaha sehabis daya untuk menyusukan anaknya. Senaraikan
apa sahaja usaha ; power pumping, bertukar-tukar jenis pam, milkbooster yang
pelbagai, bertemu pakar laktasi, namun susunya masih juga susut. Lantas, apa
lagi yang perlu dikatakan?.Hormat pada mereka yang memilih untuk tidak
menyusukan anak, dan berikan sokongan untuk mereka yang memilih berusaha untuk
menyusukan anak. Saya juga bertemu dengan beberapa orang bayi yang menghadapi
masalah usus kerana diperkenalkan dengan makanan pejal terlalu awal. Namun,
saya juga berjumpa dengan ramai orang yang kekal sihat meskipun diberikan
makanan awal oleh ibunya. Begitu juga, bayi saya sendiri diuji dengan sedikit
masalah eczema walaupun menyusu badan sepenuhnya, namun kata
seorang doktor pakar kulit yang ditemui, jangan pernah mengalah untuk
menyusukan bayi kerana alah bayi pada susu formula biasanya lebih parah lagi.
Usahlah
ingin membandingkan sehingga merasakan kita yang terbaik. Terkadang ilmu yang
kita ada memang tidak akan mampu menandingi pengalaman yang telah pun terbukti.
Namun, apa salahnya kita bersederhana dalam mengadunkan antara dua citra, ILMU
dan PENGALAMAN. Kita mengambil apa yang baik daripada pengalaman, dan tidak
membelakangkan apa yang kita tahu. Sebenarnya, apa yang kita tahu itu juga
adalah daripada pengalaman. Tiada apa yang perlu dibandingkan. Sebaliknya,
teruskanlah menghormati antara satu dan lain. Berhentilah menghakimi, dan
belajarlah menghormati. Hidup akan lebih senang, tenang dan bahagia.
Saya
bersyukur kerana sejak dulu, saya jarang masuk campur pada pilihan orang lain
terhadap anaknya, selain mengangguk mengiyakan dan menghormati. Dan kini, saya
berharap saya semakin banyak lagi belajar menghormati, dan tidak terburu-buru
untuk menghakimi.
I learn
not to judge and also learn to respect!
ANTARA
MENGHAKIMI DAN CUBA MEMBANTU
Usai
menerima gambar bayi kecil anak saudara yang ke 37, saya menulis di
ruangan whatsapp kakanda tersayang,
"
Akak, nanti bagi baby baru akak susu ibu tau! At least sampai baby umur
6 bulan. Insya Allah, you can do it..".
"
Hmmm ni dah anak ke-4 dik, susu akak tak banyak. Tak pernah cukup untuk baby..Kena
campur susu formula juga.. Lagipun nanti rasanya leceh nak kena pam di sekolah
bila dah masuk kerja..."
"
Oh, tak apa yang dah lepas tu, semua rezeki yang Allah tetapkan dah. Belum cuba
belum tahu, kita cuba dulu ye... Susu akak cukup. Percayalah. Itu antara hak
bayi yang ibu ayah kena tunaikan JIKA MAMPU. Kena banyak bagi baby menyusu,
dan jika bekerja kena banyak pam, supaya otak tak menerima signal susu tak
diperlukan. Mudah sangat." Saya cuba memberikan mind set mudahnya
menyusukan anak.
Perbualan
terus berlarutan. Panjang. Saya cuba meyakinkannya. Dan perbualan berakhir
dengan dia masih tiada kepastian untuk dia ingin menyusukan anaknya secara
ekslusif. Namun siapa sangka, akhirnya saya menerima mesej bertali arus, dia
nekad ingin bersusah-susah menyusukan si anak dan meminta saya berkongsi ilmu
dan cara penyusuan ibu bekerjaya. Bukan sejam dua, tetapi berhari-hari kami
berbalas mesej, daripada keperluan peralatan mengepam yang agak rumit, cara
penyimpanan, masa, tempat sehinggalah kepada cabaran-cabaran menyusukan si
kecil. " Terima kasih dik, tak sangka boleh sebenarnya menyusukan anak
walaupun bekerja. Dah anak ke-4 baru tahu ni.." dia menulis di ruang chat.
Saya membalas dengan penuh rendah diri " Anak baru seorang, baru ingin
mencecah 6 bulan, tak banyak yang boleh dikongsi. Tapi demi akak dan anak
saudara tercinta, adik akan bantu mana yang termampu ye..". Dalam fikiran
sudah mula berfikir-fikir ingin menghadiahkannya pengepam elektrik yang
terbaik.
Kini saya
yakin, ada bezanya antara hanya tahu menuding jari menghakimi dan berusaha
untuk membantu dan memberi tahu.
Ya Allah,
permudahkanlah dan berikan kepada kami kejernihan hati dalam menembusi ruang
pandangan seorang hamba yang bertaqwa hanya demi meraih yang terbaik pada
pandanganMu. Ameen ya robbal 'alamin.
Posted by Wardah Maqsurah at 11:21 AM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)