Thursday, January 5, 2012

Amalan Berguru : Padanya ada ROH dan KEBERKATAN

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah Taala kerana masih terus menerus melimpahkan rahmatnya buat kita semua.

Cuti sekolah baru-baru ini, Allah mengabulkan niat saya dan 3 sahabat untuk sama-sama merasai 'angin tarbiyah' di bumi barakah Pondok Pengajian Islam di Kelantan untuk menyertai satu daurah kitab ' Sullamul Mubtadi' selama 8 hari. Jadual pengajian sangat padat bermula seawal selepas subuh hinggalah menginjak jam 11 malam.

Credit : Blog Kak Aisyah

Pengalaman pertama menadah kitab daripada para tok guru sangat memberikan kesan pada diri ini. Terlalu banyak ilmu agama yang masih tidak diketahui, benarlah semakin bertambah ilmu seseorang itu, semakin dia terasa kejahilan pada dirinya. Kata Iman Syafie " Sesiapa yang tidak sempat belajar ilmu agama pada waktu muda, angkatlah takbir 4 kali ( solat jenazah ) kerana dia telah dianggap mati di sisi syarak. Kehidupan sebenar seorang pemuda adalah ilmu dan ketaqwaan. Tanpa kedua-duanya, tiada nilai seseorang itu hidup di bumi Allah"

Terngiang-ngiang pesanan al Fadhil Ustaz Syarifudin, salah seorang tenaga pengajar di pondok itu " Keistimewaan dan kelebihan berguru adalah guru boleh menyentuh hati murid, jika dibandingkan dengan pembacaan daripada bahan kaku" Beruntunglah mereka yang masih mencintai amalan berguru dan bertalaqqi untuk mendapatkan ilmu yang shohih dan penuh kefahaman berbanding cara-cara lain yang terdedah kepada penyelewengan dan salah faham daripada pihak yang membaca. Dengan penjelasan lisan daripada guru, kita akan tahu betapa Islam itu sangat indah, sekadar contoh, ruang menghukum dalam syarie sebenarnya lebih sempit daripada undang-undang sivil yang terpaksa kita berada di dalamnya sekarang.

Kita faham, ilmu semakin mudah diperoleh. Kita ada Mr Google, kita ada para blogger yang penuh dedikasi mengupdate blognya malah kita punya Facebook, medan dakwah paling popular abad ini. Kita tidak menafikan semua wasilah dakwah zaman moden, namun jangan sesekali dilupakan amalan berguru ini. 

Berkata al-hafiz Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi: " Tidak diambil ilmu melainkan daripada mulut para 'ulama"

Manakala Imam Muslim telah meriwayatkan dari Ibn Sirin bahawa Rasulullah SAW bersabda :

sesungguhnya ilmu ini agama, maka hendaklah kamu melihat daripada siapa kamu mengambil agamamu".

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Oh ya, kitab Sullamul Mubtadi ini juga merupakan sebuah kitab jawi lama. Merangkak-rangkak kami membacanya sewaktu awal pengajian. Almaklumlah perkataan yang bersambung-sambung, kalimah-kalimah lama yang tidak pernah kami gunakan dan struktur ayat yang agak sukar untuk kami fahami!. Maka berganda-gandalah pentingnya guru dalam menelaah kitab jawi lama ini. Semakin lama alhamdulillah semakin dapat menyesuaikan diri.

Pelbagai bidang ilmu dalam kitab ini seperti Kitab Akidah, Kitab Solat, Kitab Puasa, Kitab Zakat, Kitab Nikah, Kitab Haji, Kitab Wasiat, Kitab Faraid, Tasawuf dan lain-lain lagi. Tidak sangka sampai memerlukan 3 buku nota untuk 8 hari. Para ustaz sangat jelas dalam menyampaikan setiap inci aspek ilmu. Malah mereka menyampaikan dengan penuh tawadhuk, walaupun alim dengan ilmu, namun tidak bermegah dengannya. Mereka tidak segan untuk duduk bersama kami mengikuti pengajian yang disampaikan oleh  ustaz yang lain. Mereka juga sangat menekankan aspek adab dalam amalan berguru termasuk cara duduk, berkomunikasi dan lain-lain. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya andai ada soalan yang bermain di minda. Sesekali diselangi dengan cerita yang menarik daripada para ustaz juga menambahkan fokus yang mungkin sesekali terbabas :)

Keistimewaan lain yang menarik hati ini sepanjang program Daurah ini adalah qasidah. Pertama kali terasa minat dan jatuh hati pada qasidah. Makanya setiap masa terluang sementara menunggu kehadiran tok guru berharap supaya berqasidah  :) 

Pada hari terakhir telah diadakan Majlis Khatam kitab bersama dengan semua ustaz termasuk mudir pondok, Syeikh Abdul Halim Hamzah. Beliau menitipkan pesan supaya terus memastikan kesinambungan pengajian kitab jawi kepada generasi muda. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah ya Rahman ya Rahim kerana mengizinkan kami terus bernafas sehingga hari terakhir sesi pengajian.

Merendah dirilah dengan para ulama', mereka adalah golongan mulia yang dipilih oleh Allah. Hormatilah keilmuan mereka. Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah ila al-Rusyd:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu bahasa arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan Ilmu Fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata imam zahabi: teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
Apapun, ayuhlah berusahan untuk mencari guru dan bergurulah dengannya, insya Allah, padanya ada ROH dan KEBERKATAN.

Semoga Allah terus melimpahkan kasih sayang buat kita semua dan membuka jalan untuk terus mengutip mutiara ilmu milikNya.



0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat