Friday, November 2, 2012

Kisah Persahabatan Agung




Persahabatan, adalah sesuatu yang sangat istimewa. Daripadanya lahir pelbagai ceritera yang menggamit perhatian. Kisah persahabatan Rasulullah SAW dan Abu Bakr. Kisah persahabatan yang agung dalam sirah baginda Rasulullah SAW.

Dalam Perang Tabuk misalnya, Rasulullah S.A.W. telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah. Maka datanglah Saiyidina Abu Bakr R.A. membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saiyidina Abu Bakar R.A., bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah S.A.W. menjadi terkejut lalu berkata kepadanya:

"Hai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua hanta bendamu kau korbankan apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?

Pertanyaan Rasulullah S.A.W. itu dijawab oleh Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (18) وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَى (21)

"Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)". ayat 18-21 Surah al-Lail.


Begitulah jiwa seorang sahabat yang ulung dan masyhur namanya dalam lipatan sejarah dunia. Kesolehannya mewangi sehingga ke hari ini, menusuk jiwa-jiwa yang cintakan kepada kebaikan. Tidak hairanlah Rasulullah mengiktirafnya dengan menuturkan sekiranya iman seluruh ummat ditimbang bersama iman Saiyidina Abu Bakr R.A. maka berat lagi iman Saiyidina Abu Bakr R.A. 

Subhanallah, wajarlah seorang sahabat yang soleh itu letaknya di sisi seorang insan yang agung iaitu Rasulullah SAW. Aku tertanya-tanya masihkan ada sahabat persis Abu Bakr lewat di penghujung zaman ini?

Aku melihat pula diriku yang dhaif ini, mampukah aku mencontohi sifat mulia sahabat baginda Rasulullah SAW ini?

Aku tidak mampu menjadi seorang sahabat yang meniupkan semangat kepada sahabatku saban masa, kerana sering kali aku yang terlebih dahulu yang kehilangan semangat itu. Aku tidak mampu juga menjadi seorang sahabat yang sentiasa menenangkan hati sahabatku kerana kerap kali aku yang masih meraba-raba mencari secebis ketenangan. Aku tidak mampu juga menjadi penglipur khabar gembira, kerana seringkali kamu yang terlebih dahulu memberikan ku sejuta cerita bahagia.

Maafkan ku teman, biar apa pun kelemahanku, aku ingin kau tahu, ku punya impian menjejak syurga bergandingan denganmu. Terima kasih teman :)

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat