Monday, February 10, 2014

Keindahan nilai syukur...



“ Eh, cuba kau tengok tu..”
“ Hahaha…”

Saya mendengar sahaja perbualan bertali arus daripada murid-murid yang sedang menyusun kasut di luar surau. Hati disapa kurang selesa melihat mereka meninggikan suara dan tidak beratur dengan baik sebelum masuk ke surau walaupun saya sedang berdiri di hadapan pintu surau. Apatah lagi mereka semua merupakan pelajar tahun 6. Saya menanti tanpa secalit senyuman. Mereka terus berbual dan bergurau. Tanpa mengetahui batas yang sewajarnya sewaktu sesi kelas bermula.

Saya masih menunjukkan riak serius, tidak ingin membiarkan mereka selesa dengan sikap begitu. Fikiran menerawang jauh, mencari idea untuk dilontarkan kepada mereka. Tiba-tiba saya teringat status fb yang baru dipost semalam.

“Berkesempatan menonton slot Tangisan Yarmouk di Berita Al Hijrah mengenai pelarian Palestin di Syria. Hati disapa sebak melihat keadaan kawasan runtuhan yang tidak selamat dan kotor, menjadi 'kediaman' saudara seislam.

" Saya tidak ada keluarga, tidak ada anak, tidak ada isteri. Saya hanya ada Allah.." kata seorang lelaki tua yang sudah beberapa hari tidak menjamah makanan dengan linangan air mata.

Seorang wanita muda yang menggendong bayinya sudah kekurangan susu badan juga kerana beberapa hari tidak makan. Air matanya mengalir tanpa henti menceritakan sudah hampir 8 bulan terpisah dengan suami yang dicintai.

Seorang wanita yang lain pula sedang mendukung bayinya yang sudah tidak lagi bernafas kerana kebuluran.

Allah...

Lupakah kita akan nilai sebuah kesyukuran, atas setiap nikmat yang dikurniakan. Yang dirasakan 'nikmat' bagi kita belum tentu nikmat di sisiNya, jika nikmat itu menjauhkan diri dengan Tuhan, jika nikmat itu sering lupa disyukuri.


Kita sering cuba menyebut-nyebut apa yang tiada, melupakan sekian banyak senarai yang ada. Kita sering mengharap sesuatu yang lebih daripada apa yang diperlukan, walaupun di bibir sentiasa mengakui adanya hari pembalasan dan akhirat yang kekal. Kita sering mendamba 'kesempurnaan' hidup, sedangkan kita juga mengharapkan syurga nan indah. Kita adalah kita, yang sukar mujahadah dan istiqamah, dalam meluruskan persepsi hati. 

Ketika Allah mengurniakan kita cukup makanan untuk mengenyangkan perut, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran?

Ketika Allah mengizinkan kita tinggal di kediaman yang bersih dan selesa, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran?

Ketika Allah menganugerahkan insan-insan yang melindungi dan membahagiakan hari-hari kita, ingatkah kita untuk melahirkan kesyukuran.

Semoga hati ini dipandu, memandang dunia daripada jendela akhirat, supaya segala keindahan hari ini, tidak terhenti di sini........

Ingatan buat diriku dan dirimu yang dikasihi...”

Setelah mengambil tempat masing-masing di surau, mereka mula menumpukan perhatian. Ada beberapa murid berbisik sesama mereka, barangkali hairan dengan ‘mood’ saya yang agak lain kali ini.

“ Ada sesiapa yang tengok berita TV Al Hijrah semalam?” saya menyoal sambil anak mata memerhati mereka seorang demi seorang. Mereka diam. Sebahagian besar menggelengkan kepala.

“ Awak semua telah atau akan makan hari ini?” saya terus menyoal. Cuba menarik perhatian mereka. Mereka mengangguk. Saya mula tersenyum. Meredakan ketegangan yang mula dirasai di dalam surau kecil itu.

“ Alhamdulillah, ustazah yakin semua ada makanan yang cukup untuk makan. Semalam ustazah menonton Tangisan Yarmouk, kisah mengenai pelarian Palestin di Syria. Bagi ustazah, tempat tersebut tak layak diduduki oleh manusia. Kawasan runtuhan yang sangat merbahaya, kotor dan berbau busuk. Ahli keluarga terpisah antara satu sama lain. Paling menyedihkan, ada bayi yang mati kebuluran…” Saya menahan sebak yang bertamu membayangkan seorang wanita muda yang berlinangan air mata menceritakan perpisahan hampir 8 bulan dengan suami. Besar harapan supaya anak-anak murid yang mendengar juga turut merasai apa yang saya rasakan ketika ini.

Mereka masih diam. Semua menunjukkan minat supaya saya meneruskan cerita. Saya terus menyambung.

“ Ustazah yakin, kanak-kanak di sana juga ada keinginan untuk bersekolah, ingin menuntut ilmu, ingin bermain gembira bersama kawan-kawan. Namun, mereka tak punyai kesempatan. Sedangkan kamu semua? Alhamdulillah, Allah telah kurniakan semua nikmat ini supaya kamu kenal erti syukur….kesyukuran akan membuatkan kamu belajar menghargai apa yang ada. Tapi ustazah sedikit sedih, melihat kamu tidak bersungguh-sungguh, malah boleh pula bermain dan bergurau berlebihan sehingga mengabaikan adab-adab menuntut ilmu…” saya cuba mengaitkan cerita tadi dengan suasana yang berlaku sebentar tadi.

“ Agak-agak, bagaimana yang sepatutnya? ” saya bertanya, ingin mengetahui apa yang bermain di minda mereka sekarang.

“ Kami perlu rajin belajar…” seorang murid berbaju pengawas meluahkan.
“ Kami perlu belajar hormat guru…” seorang lagi rakan di sebelahnya menyambung.
“ Kami tidak boleh bermain berlebihan pada masa yang tak sepatutnya…”
" Kami perlu jadi manusia yang bersyukur..."
" Dan menghargai banyak nikmat yang Allah berikan.." Beberapa lagi murid berlumba-lumba memberikan pengajaran cerita. Ringkas tetapi cukup melegakan.

Saya senyum.

“ Ok baiklah, sekarang ustazah nak kamu semua senyum. Alhamdulillah, ustazah gembira kamu semua dapat faham dan ada keinginan untuk berubah. Ustazah bukan mahu kita semua belajar dalam keadaan serius, sekadar ustazah ingin kamu tahu batas yang sewajarnya. Kerana berkat adalah sangat penting dalam menuntut ilmu” Mereka semua mengangguk.

“ Ha, tapi alhamdulillah, ustazah sangat bangga tadi melihat kamu semua menyusun kasut dengan sangat kemas dan baik. Bagus. Tak perlu ditegur pun kamu semua boleh melakukannya. Macam tu lah anak murid ustazah.” Saya memuji sebagai pendorong untuk mereka terus berbuat kebaikan. Kelihatan mereka tertawa kecil.

Alhamdulillah, sesi pengajaran pada hari itu berjalan dengan sungguh tenang dan membahagiakan. Mereka kelihatan seronok, namun masih menjaga adab sebagai penuntut ilmu. Saya percaya, guru tidak hanya ingin sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi yang lebih utama menanam nilai kerohanian ke dalam jiwa mereka, sebagai ilmu untuk kehidupan.

Allahurobbi, bantu diri kami para pendidik, semoga ilmu-ilmu ini meresap jauh ke lubuk hati mereka, dipegang utuh menjadi panduan kehidupan, disebarluas menjadi saham akhirat. Allahumma amen.



[aisyahumaira 100214]



0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat