ونساءٌ كاسياتٌ
عارياتٌ مميلاتٌ مائلاتٌ . رؤوسُهنَّ كأسنِمَةِ البختِ المائلةِ . لا يدخلْنَ الجنةَ
ولا يجدْنَ ريحَها . وإن ريحَها لتوجدُ من مسيرةِ كذا وكذا
“ Perempuan-perempuan
yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan
mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka
ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga,
padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Merenung
ayat ini pasti akan menghadirkan rasa gerun dalam hati wanita yang beriman
kerana bimbang jika benar belum sempurna tatacara berpakaian yang diamalkan
sejak baligh. Wanita dan aurat, sentiasa menjadi topik perbincangan yang tidak
pernah terhenti. Semakin lama semakin ramai wanita yang sedar akan kewajipan
melindungi aurat. Semakin ramai juga wanita memilih untuk berhijab. Namun masih
banyak yang perlu diperhalusi agar menutup aurat tidak dianggap hanya selesai
dengan bertudung semata-mata tanpa mengambil berat tentang syarat-syarat
menutup aurat yang sebenarnya menurut perspektif Islam. Begitu jua dengan saiz
dan material hijab dan pakaian yang dipilih.
Dalam
kebanjiran variasi fesyen kini, setiap wanita perlu peka dan tahu untuk mengukur
baju di badan sendiri. Sebagai contoh, material kain yang sesuai dengan
seseorang yang bertubuh kurus dan sederhana belum tentu akan sesuai juga dengan
yang bertubuh besar. Begitu juga sebaliknya. Selain itu, warna, corak dan
fesyen yang digayakan juga hendaklah tidak berlebihan dan terlalu menarik
perhatian, lebih-lebih lagi jika ia tidak dijadikan kebiasaan dalam suasana dan
kawasan berkenaan.
Biasanya
kain yang dipakai bukan sahaja belum cukup tebal untuk melindungi aurat, malah
berpotensi untuk terselak ketika bergerak. Untuk memastikan usaha kita
melindungi aurat menjadi lebih sempurna, ada hadith Nabi Muhammad SAW yang
menceritakan mengenai seorang wanita yang memakai seluar panjang di sebelah
dalam.
"Allah
sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang" (Riwayat
Al-Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul
Ummal, no 41245 ; Hadis ini dhoif namun menurut Imam As-Suyuti kepelbagaian
jalan periwayatnya menjadikannya naik ke taraf Hasan) .
Hadith
ini disebut di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga
terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi saw
memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata, dia (wanita itu) memakai
seluar. Lalu Rasulullah saw memuji dan menyebut hadith di atas.
Subhanallah,
betapa kasihnya Allah pada muslimah yang sentiasa cuba bermujahadah untuk
menyempurnakan kewajipan menutup aurat dengan sebaik-baiknya. Memakai seluar
panjang di sebelah dalam bukan hanya untuk membantu dirinya menjaga maruah dan
aib diri, namun lebih utama ia mampu mendatangkan rahmat Allah ke atas dirinya.
Lebih-lebih
lagi pemakaian seluar panjang di sebelah dalam ini adalah sangat perlu
diamalkan oleh wanita masa kini yang sentiasa aktif di luar rumah. Antaranya ia
diperlukan untuk memastikan kain tidak terselak hingga menampakkan betis ketika
naik turun kenderaan, naik turun tangga, membetulkan kedudukan ketika duduk di
atas kerusi dan terlihat di sebalik pancaran terang matahari. Juga untuk
memastikan auratnya sentiasa terpelihara sekiranya berlaku perkara yang tidak
diingini seperti terjatuh, kemalangan dan sebagainya. Pemakaian seluar panjang
ini dapat membantu agar aurat dapat kekal dijaga dengan baik dalam apa juga
situasi yang mungkin akan berlaku.
Ramai
muslimah yang mengambil ringan dengan pemakaian seluar panjang di sebelah dalam
malah memilih untuk memakai kain dalam nipis yang masih menampakkan bentuk kaki
terutama ketika terkena cahaya matahari. Ini adalah suatu kesilapan yang tanpa
sedar boleh menjejaskan penyempurnaan dalam melindungi aurat.
Memang
tidak dapat dinafikan, memakai seluar panjang di sebelah dalam masih belum
menjadi kebiasaan para muslimah kini. Biasanya, persepsi pertama adalah rasa
tidak selesa seperti tebal, panas dan sebagainya. Namun saya percaya, banyak
perkara yang sukar pada awalnya akan menjadi salah satu perkara yang mudah dan
senang setelah dibiasakan. Antara tips mudah untuk membiasakan diri dengan pemakaian
seluar panjang adalah seperti berikut :
1. Menjadikan hadith Nabi
seperti yang di atas sebagai motivasi spiritual untuk mujahadah dan istiqamah.
2. Mengajak ahli keluarga
perempuan atau sahabat perempuan yang lain untuk sama-sama bermujahadah untuk
memakainya.
3. Menyediakan seluar panjang
yang selesa dan bersesuaian untuk dipakai di sebelah dalam seperti seluar palazzo.
Ataupun mengikut keselesaan masing-masing.
4. Bersabar, pada awal-awal
percubaan untuk memakainya dan tidak cepat berputus asa. Akan tiba masanya, ia
tidak lagi menjadi sesuatu yang berat untuk diamalkan.
5. Berdoa, supaya diberikan
kekuatan untuk istiqamah dengan amalan yang menjemput rahmat Allah.
Semakin
tebal tidaklah bererti semakin panas. Saya masih ingat ketika menaiki sebuah
bas ketika pulang daripada program kampus, saya dan beberapa orang rakan duduk
sebaris dengan seorang wanita bukan Islam di baris paling belakang. Dengan
keadaan penghawa dingin bas yang rosak, suasana di dalam bas memang agak panas.
Namun wanita bukan Islam yang tidak bertudung tadi kelihatan sungguh tidak
selesa dengan peluh yang membasahi wajahnya. Sedangkan kami yang bertudung dan
berjubah tebal tidak pula dibanjiri peluh sepertinya. Ketika itu kami
bermuhasabah sendiri. Ternyata, sifir manusia tidaklah semudah yang dinyatakan.
Semakin tebal tidaklah bererti semakin panas. Hanya sahaja, didiklah hati untuk
ikhlas dan tenang dalam beramal kerana hati yang tenang pasti boleh
mendinginkan. Apatah lagi, jika pakaian yang dikenakan diniatkan untuk meraih
redha Allah semata-mata, bukan hanya untuk tampil cantik digayakan di hadapan
orang yang tidak sewajarnya.
Sungguh
membimbangkan, apabila para muslimah lebih seronok melabur wang yang banyak
untuk membeli pakaian yang cantik di mata manusia tetapi belum pasti serasi
dengan syariat Dia. Lebih membimbangkan apabila cantiknya pakaian yang dipakai
dirasakan jauh lebih penting daripada niat sebenar untuk melindungi aurat demi
meraih cinta Ilahi.
Berdoalah
teman muslimahku, agar kita tak tergolong dalam mereka yang berlebih-lebihan dalam
berpakaian. Sehingga akhirnya terhijab mata hati daripada melihat pakaian yang
dikenakan sebagai salah satu ladang pahala yang dianugerahkan oleh Allah buat
para muslimah yang berjuang mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya di dunia
ini. Berdoalah agar dijauhkan rasa riya’ dan bangga dengan pakaian cantik yang
dikenakan. “Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan
memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud,
An Nasaii dan Ibn Majah).
Semoga
kita semua dikurniakan hati yang tabah untuk beristiqamah dengan kebaikan sama
ada besar atau kecil hingga ke hujung nyawa kerana pengakhiran hiduplah yang
akan menentukan segalanya. Buat akhirnya, renungilah
sabda baginda Nabi SAW "Sesungguhnya (keadaan) amalan itu (boleh
dilihat) pada penghujungnya (keadaan kematiannya)".
Nur A'isyah Humaira Ismail
220614. 4:12 pm