Tuesday, August 18, 2015

MEYAKINI SEBUAH PEMERGIAN


Usai bersalaman dengan kakak yang mesra disapa kak Anis itu, saya mengundur diri. Menapak perlahan menuruni anak tangga, sambil fikiran masih resah dan bercampur baur. Hari ini, hari pertama saya meninggalkan si anak kecil di rumahnya, sebagai percubaan dan membiasakan diri sang permata hati di tempat baru sebelum saya memulakan kerja lebih kurang seminggu lagi. Entah kenapa, minda terasa seakan kosong, tidak mampu menghadam perasaan sendiri. Sedang asyik memandu, tiba-tiba kereta saya di hon daripada belakang. Saya tersentak. Allah, rupa-rupanya saya sedang memandu dengan kelajuan yang sangat perlahan di jalanraya kota yang sibuk. Saya cuba mengembalikan fokus kepada pemanduan sambil beristigfar. Kelopak mata mulai basah, rindu seakan terbit menyentuh tangkai hati. Kali pertama, ya kali pertama. Kali pertama berjauhan setelah tiga bulan si kecil langsung tidak berenggang daripada tubuh ini.

Sampai sahaja di rumah, saya membuka televisyen. Laporan daripada pemberita mengenai kematian seorang anak yang menderita sejenis penyakit kulit menarik perhatian saya. Kelihatan si ibu meraung sambil cuba ditenangkan oleh orang sekeliling. Tidak lama kemudian, laporan lain menyusul. Mengenai kematian seorang remaja belasan tahun, dengan asbab kemalangan. Kematian demi kematian, yang mampu menghidupkan hati yang mungkin ‘mati’.

Mati.

INGAT MATI MENGHIDUPKAN HATI

Diriwayatkan bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70 sehingga 100 kali sehari. Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah, “Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”. Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.”

Antara kebaikan yang akan diperoleh kesan daripada mengingati mati adalah kita akan segera menyegerakan taubat, tidak akan ditangguh-tangguhkan. Boleh jadi, ini saat yang terakhir lantas tiada saat lain yang akan bertamu. Rasulullah SAW bersabda:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ تُوْبُوْا إِلَى اللهِ وَاسْتَغْفِرُوْهُ فَإِنِّيْ أَتُوْبُ فِيْ اليَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
  رواه مسلم.
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR. Muslim).
Selain itu, keinginan untuk menikmati maksiat dan dosa akan berkurang kerana diresahi rasa takut akan bagaimana keadaan kita apabila bertemu Allah kelak.

Allah SWT telah berfirman:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
“(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang melakukan kejahatan (maksiat dan dosa), nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.” (QS An Nisa’ 123)

Para sahabat Nabi SAW menyatakan bahawa inilah ayat Al Qur’an yang dirasakan paling berat bagi mereka, sebagaimana diriwayatkan  oleh Ibnu Abi Hatim bahawa saidatina Aisyah pernah mengatakan kepada Rasulullah SAW bahawa inilah ayat Al Qur’an yang terasa paling berat bagi dirinya.

Ada tiga golongan manusia yang hidup di muka bumi ini, yang lupa mati, yang takut mati dan yang ingat pada mati. Manusia yang lupa mati, boleh jadi manusia yang terlalu rakus mengejar dunia dan apa yang tidak pasti yang ada di dalamnya, sekaligus terlupa ada sesuatu yang pasti sedang menantinya. Adapun manusia yang takut mati, dibayangi keresahan dan diganggu ketakutan yang tak berpenghujung namun tidak melakukan apa-apa sebagai bekal untuk menghadapinya. Berdoalah duhai diri dan teman pembaca, agar dikurniakan hati yang ingat mati, iaitu hati yang memilih untuk berusaha bersedia untuknya dan menjadikan dunia sebagai jambatan untuk menuju ke arahnya dalam keadaan hati yang sejahtera.

What you see, is what you get, apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Positif ataupun negatif adalah bersumberkan apa yang dilihat oleh ‘mata’ hati dan perasaan. Kerana itulah walaupun ujian yang sama menimpa dua orang berbeza, akan dilihat dan didepani dengan cara yang berbeza. MATI, adalah perkara yang PASTI, namun terpulanglah bagaimana cara setiap hamba ingin bersedia untuknya.

SEBUAH KEHILANGAN
Membicarakan soal mati, ia berkait rapat jua dengan kehilangan. Andai belum sampai masa kita pulang bertemu Tuhan, mungkin ada insan sekeliling yang pergi dahulu ke ‘kampung’ asal mereka. Justeru, di sini hati dihadapkan dengan pilihan, untuk menyesali atau meredhai.

Redha tidaklah bererti tiada air mata, apatah lagi yang hilang itu adalah insan yang dikasihi. Seorang suami yang menjadi tempat bergantung, seorang isteri yang menjadi tempat berkasih sayang, seorang anak yang menjadi cahaya hati ataupun ibu bapa yang sangat dicintai. Andainya mereka pergi, hati pasti akan merasai sebuah kehilangan yang meruntun. Namun, indahnya menjadi seorang yang bernafas dalam jiwa bernama muslim, kehilangan ini perlu didepani dengan keredhaan yang akan menjadi semangat untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Menangisi kematian yang tidak dibolehkan adalah menangis meratap dengan kuat. Namun, menangis dengan air mata kerana kesedihan tidaklah dilarang di dalam agama rahmat ini. Ada suatu hadith yang diriwayatkan mengenai kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak Rasulullah SAW. Berkata Abdurrahman bin Auf;
أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا يرحم لا يرحم
Maksudnya;
“Nabi telah memegang tanganku, lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, Ibrahim yang sedang nazak. Lalu Nabi SAW mengambil Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda sehingga menitis air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdurrahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW, kamu menegah dari menangis. Jawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat kelalaian dan seruling syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka dan mengoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian) adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya dia tidak akan dikasihi”

Kehilangan juga sebenarnya boleh menjadi suatu titik permulaan kepada kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT, ataupun menjadi kekuatan yang melonjakkan taqwa kepadaNya. Diri seakan tersedar daripada mimpi, bahawa sedalam mana cinta kita kepada seseorang tetap tidak mampu menahan daripada kematian yang memisahkan.

NOTA UNTUK HATI

Saya melihat jam entah sudah kali keberapa dalam tempoh dua jam. Terasa begitu lambat masa berlalu. Sihatkah dia, selamatkah dia, kenyangkah dia?. Sudahnya, hanya dua jam mampu bertahan dan saya kembali menyarung pakaian dan bersiap untuk menjemputnya pulang. Sebaik sahaja bertemu, si dia merenung mata mama, menghadiahkan senyuman lantas melegakan hati seorang ibu. Tidak lama kemudian terus lena dalam dakapan setelah disusukan. Saya memeluknya erat. Rindu, rindu yang ada ubatnya. Namun akan ada suatu masa, rindu hanya mampu mencengkam, mungkin tidak akan mampu diselesaikan. Itulah sebuah kehilangan!. Saya menanam azam di dalam hati yang dhaif ini, moga masa-masa yang tersisa akan mampu dimanfaatkan untuk menyebarkan kasih dan cinta buat insan yang dikasihi, selagi dipinjamkan oleh Ilahi. Agar setiap kebaikan menjadi ibadah yang akan dibawa sebagai bekal bertemu Tuhan kelak.

Aku mendengar dan melihat,
Saban hari ada yang dijemput Ilahi,
Aku masih termangu di sini,
Entah bila kan tiba saat untukku.

Ada yang pergi meninggalkan haruman budi,
Tak kurang juga ada yang dikenangi bakti,
Namun ada yang perginya tak ditangisi,
Kerana terlalu ego dengan diri sendiri.

Aku tak ingin termangu sendiri lagi,
Ingin keluar mencurahkan budi dan bakti,
Agar pergiku kelak tak menjadi titik henti,
Biarlah ada pahala yang terus mengalir di sini.

Nur A’isyah Humaira Ismail

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPG Kampus Pendidikan Islam.

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat