Oleh : Nur A’isyah Humaira
binti Ismail
Hujan makin
lebat. Angin yang menyapa tubuh kian kuat. Semua murid masih berkumpul di surau
untuk program sempena awal muharram. Selepas kira-kira 15 minit berlalu, kelihatan
air mula melimpahi longkang. “ Alamak, basah nanti kasut dan beg murid-murid…”
seorang guru bersuara. Kami saling berpandangan. Spontan, semua guru yang ada
di sekitar situ bingkas bangun menuju ke arah beg dan kasut sekolah yang
diletakkan di tepi surau. Saya yang baru bertugas kira-kira 3 bulan termangu
seketika. “ Cikgu-cikgu kena angkat semua kasut dan beg ni ke? Banyak ni..ada
beratus-ratus..” detik hati saya. Namun mereka seakan sudah biasa. Saya
menurut. Lantas mengharung air yang makin melimpah sehingga hampir separuh
jubah dibasahi air.
“ Kasihannya budak-budak ni,
habis nanti beg sekolah ni. Buku-buku pun rosak nanti..” seorang guru yang
sedang sibuk mengalihkan beg bersuara. Suaranya tenggelam timbul kerana bunyi
hujan yang semakin kuat. Sudah tidak dihiraukan air hujan yang membasahi
tudung, dan kasut sendiri yang direndami air. Juga, tangan yang sudah lenguh
mengangkat beg-beg yang berat.
Saya menginsafi sesuatu.
Mengambil ibrah daripada para guru yang sudah lama berada dalam bidang ini.
Kasihnya, melangkau wang gaji yang diterima. Ihsannya, meneladani anak orang
lain seperti anak sendiri. Marahnya, tidak lain hanya kerana ingin membentuk
seorang insan yang diamanahkan Tuhan. Minda menerawang jauh, mengingatkan kami
sentiasa bermesyuarat berjam-jam, menyebut nama murid satu persatu yang
memerlukan perhatian khusus dalam program membaca dan menulis. Para guru ini
mampu mengenali setakat mana kemampuan dan boleh menghurai sejauh mana yang
telah dicapai oleh murid-murid mereka. Merencana
modul dan juga membimbing secara individu. Semuanya dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, tidak kurang daripada anak sendiri. Lelah, penat sehingga
tiada masa untuk bersembang kosong di meja guru. Namun, mereka masih boleh
tersenyum, melayani pelbagai ragam murid seramai 40 orang pada satu masa. Ada
masanya anak-anak ini bergaduh, menangis, malah ada yang membuang air kecil di
dalam kelas. Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar, daripada jiwa-jiwa
guru di sini.
Seorang guru, ada peranan yang
besar pada pembentukan seorang anak. Mungkin ada ibu bapa mengharapkan seorang
guru dapat memastikan semua murid dapat mencapai apa yang sepatutnya dicapai.
Sedangkan realitinya, ada guru yang menitiskan air mata kerana ketidakmampuan
dalam batas seorang manusia yang biasa dalam menangani anak-anak syurga ini.
Bukan sahaja dalam bab skor mata pelajaran, jauh daripada itu adalah soal
keyakinan kepada Tuhan dan akhlak islami.
Kerana itulah saya berhasrat
mengajak agar anak-anak belajar menghormati guru, bukan hanya tahu mencari
kurang sang guru semata-mata. Biarpun guru mungkin tidak berpendidikan tinggi,
jauh ke bawah dibandingan dengan ibu dan ayah yang bekerjaya.
Tidaklah wajar seseorang mengecilkan seseorang atau
kelompok lain, tidak wajar pula berprasangka buruk tanpa alasan, atau
menceritakan keburukan seseorang, dan menyapa atau memanggilnya dengan sebutan
buruk. Al-Hujurat [49]: 11-12).
JASA INSAN LAIN PADA INSAN
KESAYANGANMU
“ Nanti bila ‘Ayyash dah besar,
Aisyah beritahu pada dia ye, akak sayangkan dia…Akak sedih sebenarnya sebab dah
lama jaga dia.” hati saya sebak membaca tulisan pengasuh anakanda di ruangan whatsapp.
Akibat daripada kekangan jarak, saya memutuskan untuk menukar pengasuh baru
setelah berpindah rumah. Saya mengalih pandangan pada anakanda yang sedang lena
dalam dakapan. Saya memang terhutang budi pada seorang yang saya gelar Kak Anis
ini meskipun tiada sebarang pertalian darah dengannya. Dia mula menjaga ‘Ayyash
ketika masih sangat lembut, kecil dan perlukan perhatian. Dia sanggup
bersusah-susah menguruskan bekalan susu ibu setiap yang dihantar setiap hari. Apatah
lagi ketika itu, si anak kecil sangat manja dan sukar diletak. Hanya selesa
didukung dan dilayani. Tanpa perlukan buai, pengasuh ini sangat bijak melayani
anakanda, sehingga akhirnya saya tenang dan lega walaupun terpaksa berpisah
dengannya separuh hari. Apatah lagi, si kecil ketika itu diuji dengan sakit
eczema. Saban hari, dia perlu lebih perhatian dalam menguruskan ubat-ubatan dan
kebersihan. Lima hari seminggu, terkadang enam hari seminggu, anakanda saya di
bawah jagaan dia. Kini, si kecil makin mudah diasuh kerana sudah pandai bermain
sendiri. Malah eczemanya juga sudah pulih. Namun, saya pula dengan berat hati terpaksa
mengkhabarkan padanya tentang ingin bertukar pengasuh. Hati saya dirundung rasa
bersalah.
Saya terpaksa akui, dalam
melunasi amanah pada kerjaya, saya sebenarnya cukup terhutang budi kepada insan
yang meneladani anakanda saya nan seorang ini. Biarpun dia diberi upah kerana mengasuh,
namun masih lagi ada jasa yang besar kerana kebaikan dan kesungguhannya menjaga
dengan baik dan menenangkan. Sungguh, anak itu terlalu besar nilaiannya, tidak
dapat dibanding dengan upah yang dihulurkan saban bulan buatnya.
BIAR SIAPAPUN DIA
“ Ibu bapa terbeban. Terpaksa bawa anak ke tempat kerja”
Saya membaca patah ayat yang
terpapar pada skrin televisyen. Hati saya seakan tercuit. Terbeban? Anak-anak
menjadi beban apabila sekolah ditutup kerana bencana jerebu?. Saya menghela
nafas berat. Saya tidaklah menghakimi apa yang ditulis kerana mungkin ia
sekadar salah faham si penulis skrip, namun ya saya tidak dapat menerima ayat
bebanan selayaknya diberikan buat sang permata hati amanah Ilahi. Siapa tahu
masa-masa yang ada itu jika dimanfaatkan sebaiknya, ada masa emas yang akan
diingati oleh anak hingga bila-bila. Setelah lima hari seminggu, daripada pagi
hingga hampir malam murid-murid menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru
dan rakan-rakan mereka di persekolahan agama mahupun biasa.
Setidak-tidaknya, antara hikmah
kecil daripada penutupan sekolah ini memberi sedikit kesedaran bahawa tanpa
kita sedar ada jasa orang lain dalam kita menghadapi kesibukan seharian.
Biar siapa pun dia, sebenarnya
hidup ini saling berkaitan antara diri kita dengan insan lain. Ketika seorang
anak yang makin bijak dan beradab sopan, ibu bapa mungkin merasakan merekalah
insan yang telah berjaya membentuk anak mereka. Namun mungkin kita lupa, ada
jasa sang guru yang saban hari bertemu wajah dengan anak-anak ini, menutur
nasihat sama yang diulang-ulang semasa sesi persekolahan. Ataupun ketika bayi
kecil kita sudah reti melambaikan tangan, kita gembira namun kita mungkin lupa
mengucapkan terima kasih kepada si pengasuh yang dengan sabarnya mengajar
pergerakan baru setiap hari.
Begitulah jua untuk semua yang
bergelar manusia. Seorang peniaga atas talian, perlu bersyukur kerana ada
posmen yang setiap hari menghantar barangan, meredah kesesakan trafik dan juga
panas terik. Seorang kontraktor, bersyukur kerana memiliki pekerja yang mahir
sehingga memudahkan urusannya. Seorang suami, bersyukur kerana memiliki isteri
yang pandai menghiburkan hati dan juga mengasuh anak-anak. Seorang isteri,
bersyukur kerana mempunyai seorang suami tempat berteduh kasih. Seorang anak,
bersyukur kerana mempunyai ibu atau bapa yang sanggup menjaga dalam susah dan
senang. Moga-moga dengan secebis kesyukuran ini melahirkan jiwa yang tunduk
patuh dalam ketaatan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.
Subhanallah, kerana itulah agama
nan suci ini mengajarkan kita agar berbuat baik sesama manusia. Biar siapapun
mereka. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang angkuh dan sombong,
dengan kelebihan yang direzekikanNya.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ
الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
(17) وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ
اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ
مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (19)
Hai anakku, dirikanlah solat
dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan
janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu
dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah
suara keldai. Surah LUQMAN (31) ayat 17-19:
Kita semua tidak sempurna dan
terlalu banyak kelemahan untuk diinsafi. Baik di posisi manapun kita berada,
hanya kepadaNya kita bermohon agar diberikan petunjuk melalui jalan yang benar,
meskipun jalannya sukar berupa bukit bukau mahupun padang pasir yang terik.