Sunday, May 29, 2016

INDAH PADA ATURANNYA


“Hidup ini senang kan, kalau semuanya mengikut apa yang kita mahukan?” bicara gadis remaja itu seakan ringkas untuk difahami. Namun saya diam, ada sesuatu yang cuba disampaikan. Tangan saya tidak berhenti, masih ralit membantu ibu menganyam ketupat palas yang disediakan sebagai juadah untuk hari raya yang bakal menjelang tiba.

“ Tapi sayang, tak semua yang kita mahukan kita akan dapat…” dia menyambung. Masih meluahkan rasa. Saya senyum menyambut kata-katanya. “Setuju. Betul juga ya, kalau kita minta dengan Tuhan supaya semua ketupat palas ini siap tersedia kan best? Aduh, dah sakit jari jemari kita ni. Jenuh nak habiskan kesemua pulut yang ada..” saya mengiyakan dengan gurauan manja. Dia tergelak. “ Ish….!” gadis itu menampar lembut bahu saya. Saya mengambil peluang yang ada cuma sesekali ini untuk bersembang dengan anak saudara yang kini sudah menginjak usia 18 tahun.

“ Cuba bayangkan, semua orang minta bermacam-macam perkara. Dan Allah mengabulkan semua permintaan kita. Agak-agaknya apa akan jadi pada dunia? Semua orang minta kaya, senang dan bahagia, tanpa ujian. Tiada yang sudi berpayahan bekerja mengangkut sampah, tiada yang ingin berpenat lelah menguruskan pejabat dan sekolah, tiada yang ingin bekerja membaiki lampu dan kipas dan macam-macam lagi. Agaknya macam mana ya?” saya masih belum mengalihkan pandangan daripada jemari yang sedang menganyam ketupat, tugas tahunan apabila pulang beraya di Terengganu. 

Kali ini, saya memandang wajahnya sambil melemparkan senyuman. Penuh makna.

DENGAN RASA ‘KECUKUPAN’

Kehidupan ini indah pada setiap aturan Dia, hingga tak perlu untuk setiap insan merasa sempurna untuk bahagia. Kerana bahagia mampu hadir hanya dengan rasa ‘kecukupan’. Kecukupan pada setiap inci nikmat dan cabaran. Si pemungut sampah, yang kerja hariannya bergelumang dengan ‘busuk’ dan ‘kotor’ sampah yang dikutip, boleh jadi lebih bahagia daripada insan lain. Hatinya terasa puas berkhidmat dan berbakti, kepada insan lain yang mensyukuri kebersihan, rezekinya ‘berlimpah’ kerana berkat yang menjadikannya cukup untuk kegunaan isteri dan anak-anak tercinta dan hatinya tenang menjalankan kerja halal lagi baik tanpa hasad dan iri insan lain di sekelilingnya. Dia pulang ke rumah dengan jiwa besar, disambut pula dengan bahagia oleh ahli keluarga yang sangat berterima kasih kepada dirinya. Dan malamnya berlalu dengan senyum dan bahagia, yang dicemburui oleh insan-insan yang sedang mendambakan bahagia walaupun sedang diulit beribu kesenangan duniawi.
Saya teringat perbualan dengan bonda suatu ketika dahulu, tentang kepayahannya semasa muda, membesarkan anak-anak terutama semasa hampir kesemua anak di universiti yang memerlukan pengorbanan wang, masa dan tenaga. Namun kini, setelah anak-anak menginjak dewasa, yang payah kian beransur ringan, menjadikan rasa syukur jua kian bertambah setelah mengenang kepayahan dulu yang mahal harganya. Begitulah barangkali, pelangi yang terbit setelah hujan. 

“ Walaupun dengan kewangan yang terhad, kemudahan yang serba kurang, namun kehidupan ketika itu dirasakan cukup dan tenang. Tidak jauh bezanya dengan perasaan sekarang, setelah hidup makin mudah dan lengkap. Alhamdulillah, dulu dan kini semuanya adalah anugerah ALLAH. Yang penting, usah disesali apa yang telah berlalu” jelas bonda, mensyukuri masa dahulu jua masa sekarang. Saya menyentuh tangan tua itu, mengalirkan rasa sebak dan kasih yang tak berpenghujung.

KUASA DOA

Syukur pada ALLAH, menjadikan kita seorang manusia yang bernafas dalam jiwa Islam, Dia telah mengurniakan suatu senjata terbaik ketika waktu senang dan sukar. Itulah istimewanya kuasa doa. Kuasa yang melangkaui ruang dan jarak, melonjak menembusi langit bertemu dengan Tuhan tanpa hijab. 

Saya teringat pada inti ceramah yang sempat dihadiri baru-baru ini. Seorang suami mungkin sedang berdoa untuk berpoligami dalam batas kemampuan dan keinginannya. Sedangkan isteri sedia adanya sedang berdoa untuk tidak dipoligami agar tidak sukar dalam usaha menjadi isteri yang berbakti. Dan di sana ada seorang wanita sedang berdoa agar dipertemukan jodohnya dengan seorang lelaki yang terbaik untuk dirinya, sebagai pendamping dan pemimpin. Subhanallah, dengan kebijaksanaan Allah yang tiada tara, Dia mungkin sahaja sedang menghimpunkan kebaikan yang terselit melalui episod poligami buat ketiga-tiga insan yang sedang bermunajat itu. Lantas, Dia mengizinkan poligami terjadi, dan hari demi hari mendatang akhirnya akan tersingkap hikmah sedangkan perkara itu mungkin tampak sungguh tidak sempurna pada awalnya. Kerana semuanya terjadi dengan izin Allah, bukan izin manusia meskipun manusia tidak mampu redha dengan apa yang telah ditaqdirkanNya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Tiada yang lebih membahagiakan buat jiwa seorang hamba selain daripada masa duduk berdua-duaan dengan Allah robbul ‘Izzati, merintih menyesali dosa, mengharap memohon keampunan dan meminta kebaikan yang diinginkan oleh sekeping hati. Berdoalah kerana sesungguhnya semakin kita mengharap, semakin dekat hubungan hamba dengan Tuhannya. Malah jika semakin banyak kita memohon ampun dan taubat, semakin dekat pula rahmat Tuhan menghampiri. Sungguh berbeza dengan tabiat manusia, yang seringkali mudah bosan dan jemu disua maaf yang tidak berkesudahan.
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Allah menyukai, malah menyuruh hamba-hambaNya memperbanyakkan doa dalam menelusuri setiap saat dalam kehidupan yang menguji .

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Semua doa yang baik pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Dan jika tidak, pasti ada beberapa perkara yang menyebabkannya terhalang dan boleh dimuhasabah bersama. Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, telah ditanya mengenai mengapa doa ditolak dan dia telah berkata : 

"Doa ditolak kerana beberapa sebab iaitu iaitu ;

1.      Kita mengenal Allah tetapi segala hak yang diamanahkan kepada kita tidak dilaksanakan.

2.      Sunnah Rasulullah SAW diremehkan walau kita menyintainya.

3.      Al Quran dibaca siang dan malam tetapi kita tidak beramal dengannya.

4.      Tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.

5.      Syaitan dijadikan sahabat walaupun lidah mengatakan ia adalah musuh.

6.      Kita tidak beramal dengan bersungguh-sungguh walau kita tahu syurga itu benar.

7.      Maksiat kita lakukan berleluasa walaupun kita tahu neraka itu adalah balasan untuk orang-orang yang melakukannya.

8.      Tidak menyediakan bekalan hari akhirat walaupun kita tahu mati itu benar.

9.      Sentiasa mencari kesalahan dan keaiban orang lain tetapi tidak memerhatikan keaiban diri sendiri   
      Tidak mengambil iktibar dan pengajaran setelah menguburkan orang mati.

Berdoalah perkara yang baik-baik sementara masih diberi peluang. Usah disesali doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT telah berjanji akan adanya akhirat yang menanti.

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Adakah seorang ibu tidak menyayangi anaknya jika dia tidak menunaikan permintaan anaknya yang sedang menangis kerana berhajat kepada gula-gula? Sedangkan si ibu lebih tahu baik buruk perkara yang dihajati. Sebagaimana Allah lebih tahu perkara yang lebih baik untuk diberikan kepada hambaNya meskipun dia sedang sangat berhajat akan sesuatu!

INDAH PADA ATURAN DIA

“ Kita kena sentiasa sedar dan faham bahawa kehidupan kita semuanya adalah tertakluk kepada ALLAH yang Maha Tahu. Berbanding dengan kita yang serba tidak tahu. Sebagai hamba, Allah menyediakan kepada kita satu medium untuk berhubung dengannya tanpa hijab iaitu doa. Berdoalah dan  apabila berdoa jangan hanya berdoa agar dikabulkan semua permintaan kita, tetapi berdoalah agar ALLAH memberikan kita apa yang terbaik untuk kehidupan ini. Tidak semua yang kita suka adalah baik untuk kita tetapi semua yang Allah suka adalah yang terbaik untuk diri kita” bicara akhir saya perlahan, tidak lain sebenarnya adalah buat peringatan diri sendiri dan anak gadis itu yang sedang mengharapkan sedikit suntikan buat bekal menghadapi hari mendatang.

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat