Monday, October 10, 2016

Berpantang anak kedua



Detik jatuh cinta pandang pertama Abdullah 'Ayyash pada adiknya Ayesha Ahla pada 30.09.2016. Moga terus padu kasih dua jiwa, terus kukuh ikatan saudara, terus erat berpimpinan, terus subur dalam tanggungjawab menuju Tuhan. Moga diberkati Tuhan anak-anak ayah ummi mama semua.


Hari ini hari ke-10 berpantang. Alhamdulillah syukur pada Allah atas kesihatan yang baik, mama dan baby. Kedua-dua anakanda sedang lena ketika mama menulis post ini.

Pernah ada seorang tetamu datang dan bertanya cik (bonda) " Ketat tak aturan pantangnya?" Bonda tersenyum. Biasa-biasa je jawabnya ringkas. Lalu Cik menyambung " Cik dulu pun tak berapa dapat berpantang. Jaga anak-anak ramai sendiri, masak dan uruskan rumah sendiri..."

" Tapi sihat lagi cik, sampai sekarang boleh buat kerja berat.." suami pula masuk dalam perbualan kami. 

" Eh, sape kata tak ketat. Kalau cik ada, semua kerja cik buat. Tak bagi pun Aisyah sentuh..hee.." mama pun menyambung..Cuma kami memang tak ada berparam pilis bagai huhu. 

Dalam hati, termalu juga dengan kudrat Cik. Mama yang baru usia 20-an ni kadang-kadang dah sakit badan dan jenis tak larat nak angkat berat. 

Apapun, tak berniat nak sembang panjang tentang gaya berpantang, masing-masing ada cara yang diyakini terbaik. Ada yang memilih berpantang secara tradisional, ada yang sederhana dan mengambilkira juga keperluan nutrisi tubuh dan sebagainya. Apapun, buatlah yang terbaik. Tidak rugi renyah berpantang. Kata orang ' badan nak pakai lama'.

Apapun kali ni, mama gunakan set berpantang nona roguy. Minyak dan krim barut memang dah guna sejak anak sulung lagi. Tapi kali ni beli set penuh termasuk untuk makan ( phytonatal), minum (air akar) dan mandi ( uncang herba).Mengurut dan bertuam pun ambil pakej dengan pihak spa yang memang menggunakan nona roguy. Segar dan sedap rasa badan.

CABARAN BERBEZA 

Berpantang anak kedua, cabarannya lain dengan anak pertama. Masa anak pertama dulu, si comel kerap menangis malam. Maka kena berjaga malam. Tapi fokusnya hanya pada dia seorang. 

Kali ini air mata memang sering jadi peneman mama. Hihi. Sejak malam pertama selepas melahirkan lagi. Bukan sebab apa, tapi sebab selalu sebak bila sampai bab si anak sulung yang baru berusia setahun 7 bulan itu. Teringat malam itu, ayah bawa ummi 'Ayyash dan semua anak-anak yang lain datang melawat mama di hospital. Selepas je 'Ayyash dibawa balik, mama terus sebak dan rasa sangat rindu..Tak terungkap. Mama tidak sabar menunggu siang datang. Pagi esoknya, ayah khabarkan Ayyash tidur jam 3 pagi. Allah..mama pun sebenarnya mula lena jam 3 pagi sewaktu di hospital.

Kat rumah, dia selalu datang kat mama, minta didukung, minta disusukan. Tarik baju mama ajak teman bermain. Kadang mama selalu gagahkan diri. Tak sanggup menolak.. Dia asyik sedih dan meragam je bila mama asyik berkepit dengan adik 24 jam. Menangis tergolek-golek. Perangainya banyak ragam baru yang tidak ada sebelum dia dapat adik. 

Malam-malam, bila ayah dia atau pembantu cuba untuk tidurkan dia, memang susah. Dan mama dalam bilik, akan menangis teresak-esak mendengar suaranya menjerit di luar bilik. Bukan mama tak sudi, tapi mama terpaksa kentalkan hati sebab dia agak lasak masa ingin menyusu atau tidur dan mama masih sangat baru berpantang. Tapi hati mama memang jarang kental, seringkali mama perlahan-lahan berjalan dengan air mata yang mencurah, lalu mendekatinya dan memeluknya erat. 

Bila dia tidur jam 2 pagi, mama pun tidur jam 2 pagi walaupun mama sedang berbaring atas katil. Hakikatnya mata mama tak dapat pejam. Bila dapat tahu dia dah tidur barulah mama lega. Kadang-kadang mama buat-buat tidur dan keluar senyap-senyap beberapa kali di tengah malam untuk menjenguknya. Mengusap kepalanya, mencium dahi anakanda yang sedang lena. Berkali-kali menuturkan ' mama minta maaf sayang. mama sayang Ayyash sangat-sangat.."


Yes, memang saya seorang manusia yang mudah touching huhu.

Hmm bayangkan sejak dia lahir, tubuh mama yang hangat memeluknya erat, menidurkannya, melayannya, memanjakannya. Kalau sebelum ini, bila dah tidur, dia akan tidur straight sampai pagi. Tetapi sekarang tidak lagi. Akan ada drama air mata dan ragam dia di tengah malam. Ayahnya pun kena fikir bermacam cara untuk memujuknya. Menonton TV, video, bermain mainan dan macam-macam lagi, kadang sampai 2-3 pagi.

Sebelum mama mula menulis entry ni pun, baru sahaja berlaku drama. Dia menarik mama sampai ke tandas untuk membasuh beraknya dan bila mama minta pembantu yang basuhkan, dia mula menangis. Hampir 10 minit untuk ditenangkan.

Ia seminggu pertama yang sangat sukar! Apatah lagi hari ke2 selepas bersalin bonda sudah pulang ke kampung untuk 4-5 hari kerana ada urusan penting. Mama selalu minta pembantu agar berikan lebih perhatian pada dia dan biarlah perkara yang lain yang termampu mama lakukan sendiri jika waktu ayah tiada. 

Bila ada kawan-kawan mama datang ziarah, kadang-kadang minta ihsan agar mereka bawa 'Ayyash keluar ke playground atau ke mana-mana. Agar melupakan seketika 'gelodak' jiwanya bertempur perasaan memiliki adik baru. Beberapa kali terfikir untuk menerima pelawaan kakak-kakak di kampung yang ingin menjaganya, tetapi tidak kuat untuk berpisah jauh dan apapun yang berlaku fasa ini perlu dia lalui sehingga semuanya stabil. Bukan menjauhkan dia daripada adiknya..

Dan alhamdulillah hari ni hari ke 10, banyak yang dah semakin stabil. Mama semakin kuat hati, Ayyash semakin tabah dan dapat mengadaptasi.

Anakku sayang, bersabarlah..bertabahlah. Ia ujian besar untuk anak sekecilmu.13 Mac 2015, ketika kamu lahir, mama berazam ingin menyusukanmu hingga 2 tahun, meskipun bermacam cabaran. Sehingga umur setahun, mama gigih menyediakan bekal susu untuk ke rumah pengasuh walaupun ia sebenarnya sangat mencabar. Sehinggalah mama pregnant lagi, mama mula muntah-muntah, dan bila kandungan mula membesar sehingga 9 bulan, mama mula sakit-sakit badan namun mama tak tegar untuk berhenti daripada menyusukanmu meskipun sudah tidak berupaya menyediakan stok susu kerana perlu juga memikirkan kesihatan kandungan mama. Bila orang tanya, bila nak berhenti, mama kata sedang usahakan, sedangkan sebenarnya mama tak ada niat pun nak hentikan. Kalau ikutkan hati, selepas bersalin pun mama ingin terus menyusukanmu namun terpaksa memikirkan juga kemudahan untuk orang sekeliling yang lebih mudah menguruskan dirimu jika sudah putus susu ibu.

Puteraku, Abdullah 'Ayyash. Tidak ada yang berkurang untukmu sayang, yang ada cuma kasih yang kian bertambah dalam hati ini. Bukan mama tidak mahu, cuma keadaan diri mama yang tidak mampu.

Puteriku, Ayesha Ahla..terima kasih kerana sangat-sangat mudah dijaga. Tidak banyak menangis, dan tidur lena di waktu malam. Seakan dapat merasa cabaran yang sedang kita sama-sama lalui.

DAN...mama sedang menangis menulis post kali ini..terima kasih syg atas pengorbanan. Bersabarlah..bersabarlah menunggu 34 hari lagi agar mama kembali sihat untuk menguruskan kalian berdua sendiri dengan tangan dan kudrat ini.

Terima kasih yang tidak terhingga buat insan-insan sekeliling yang tersayang, sentiasa ada menghulur bantuan dan kasih sayang. Hanya ALLAH yang layak membalasnya.

p/s : Mama bersembang dengan beberapa orang senior dan kawan yang turut melalui episod sama. Kata mereka, memang sukar namun akan tiba masanya mereka sudah dapat bermain bersama dan mama akan happy :D. Tidak sabar mama ingin menunggu saat itu.

Ummu 'Ayyash
Pantang time
Day 10
10.10.2016




0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat