Sunday, May 11, 2014

Pesona wanita bergelar ibu


Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” . Al Isra 23 dan 24

" Terima kasih ibu, kerana telah menjadi ibu yang terbaik buat adik selama ini dan selamanya hingga ke akhir hayat.." saya meluahkan rasa sepenuh perasaan di corong telefon. Bonda di sana terdiam sebelum membalas. " Ya Allah, terima kasih jua adik kerana menjadi anakanda yang terbaik selama ini". Kami sama-sama larut dalam sebak dan sayu. Meskipun jarak antara kami kian mencemburui, namun dia, seorang ibu sentiasa dekat dalam hati ini. Sentiasa. Sukar diluahkan, sukar digambarkan, cukuplah hanya Allah yang tahu rasa ini.

" Maafkan adik atas bebanan perasaan dan fikiran yang terpaksa ibu lalui selama ini kerana diri ini. Doakan adik ye..."

" Ibu sentiasa doakan adik, kebahagiaan kehidupan adik, kebahagiaan rumahtangga adik seluruhnya sehingga ke syurga.."

Saya makin dihambat pilu. Entah kenapa, malam ini sayu sungguh rasanya, berbanding hari-hari sebelum ini kami sentiasa berbicara ceria.

" Biarpun ada orang yang bersangka tidak baik, biarpun ada orang yang tidak menghargai, adik di sini tetap memandangmu dengan penuh kesempurnaan seorang ibu. Yang mengandung, melahirkan dan membesarkan diri ini dengan sebaik mungkin. Sehingga akhirnya diri ini mampu berjalan sendiri di bumi yang mencabar ini.." hati saya bermonolog sendiri usai berbicara panjang dengan bonda yang dikasihi. Mengenangkan wajahnya yang kian dimamah usia, saya semakin sebak. Pada wajahnya yang masih cantik sempurna di usia emas, terbayang jerih perih kepayahannya yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada sesiapa jua. Kesusahan suatu ketika dahulu dalam serba kekurangan, namun tegar dan tabah demi cinta dan kasih buat seluruh ahli keluarga yang terpikul di bahunya.

Dialah yang bangun seawal sebelum subuh, menyiapkan kami ke sekolah, dalam malas dan bising kami adik beradik. Dialah yang membersihkan rumah dan halaman rumah setiap hari sebaik mentari menampakkan diri. Dialah yang menanti kami di pintu rumah, dengan senyuman dan hidangan tengahari, setiap hari. Dialah yang menyiapkan kelengkapan sekolah, dan meminta kami menyiapkan kerja sekolah. Di tengah malam, dialah yang terus menjahit menyiapkan tempahan, bagi membantu ayahanda mencari nafkah kami sekeluarga. Dialah yang terus menerus berbakti pada rumah kami. Hanya dengan sentuhan tangannya, tanpa dibantu oleh sesiapa.

" Entah bila waktu rehat dan tidurnya ketika itu, saya pun tak tahu...!" cerita seorang saudara kepada saya ketika dia datang menziarahi rumah kami. Saya terdiam kerana saya tidak pernah tahu. Kerana, ibu kami tak pernah menceritakan kepada kami. Bahawa seluruh kehidupannya ketika itu dihabiskan dengan melunasi tanggungjawab Tuhan kepada dirinya.

" Ketika itu, kawasan kampung ini belum meriah begini. Hanya ada beberapa rumah, itupun jauh daripada sini. Gelap dan sunyi. Tapi ibu kalian memang berani, tengah malam pun masih keluar daripada rumah jika ada keperluan. Siang hari pula membasuh di sungai sana...Tidak ada beza tugas yang dilakukan ketika mengandung ataupun tidak" Saudaraku itu terus menyambung cerita. Anak matanya seakan memandang jauh, kisah dahulu. Ketika diri ini masih belumpun wujud dalam rahim bonda.

Bermula sejak kecil hinggalah semakin dewasa, terlalu banyak jasa seorang ibu. Dialah yang berusaha susah payah agar diri ini dapat belajar di sekolah agama, dan dialah jua yang memberi sokongan untuk terus menyambung di bidang agama. Biarpun ketika ini diri ini masih berbolak balik dengan keinginan diri sendiri. Ternyata pilihan ibu jua yang menepati taqdir Ilahi, hanya lafaz tahmid buat mewakili diri yang bertuah memiliki ibu yang berfikiran jauh seperti dirinya. 

Dia tidak ada segulung ijazah, jua tidak memiliki pelajaran yang tinggi, namun kesungguhannya terbukti apabila kami semua seramai 11 orang memiliki kerjaya dan kehidupan yang baik. Semoga kami takkan pernah lupa, bahawa di sebalik semuanya adalah seorang ibu yang tak pernah lelah mengalirkan air mata dalam doa dan sujud buat semua anaknya yang terkasih. Jua pandangan dan ideanya yang hampir kesemuanya menjadi pilihan kami dalam membuat keputusan sama ada dalam pelajaran mahupun kehidupan seharian. Dia jua, insan yang menjadi pendengar buat kami ketika kami gelisah dan resah, setiap katanya menjadi penawar dan menyejukkan hati.

Dialah seorang insan, yang tak pernah membuatkan air mata ini mengalir kerana terluka, tetapi dialah jua yang tak lepas daripada dibebani sesak perasaan kerana anak-anaknya.

Dialah seorang ibu, seorang wanita yang cukup dicintai, ketabahannya sukar digambarkan oleh bait kata, hanya mampu dirasai jauh di dalam sudut hati. Terima kasih Bonda, sehingga kini setelah bergelar isteri, diri ini tak pernah merasai kehilanganmu, tetap jua dirimu menjadi kasihku yang istimewa. Justeru,dalam waktu bersisa, kami adik beradik sentiasa cuba memastikan kesenangan dan senyum di bibir bonda. Namun, sebanyak manapun kami memberi, takkan pernah mampu untuk kami balas segala jasanya di masa lalu. Hanya Allah jua yang tahu, dan hanya Dia sebaik-baik pemberi balasan.

Semoga kita semua menjadi anak yang mensyukuri kecil atau besar kebaikan ibu. Temanku, sementara masih ada masa yang tersisa, berbaktilah buat ibu. Jika dia telah pergi, titipkanlah doa buatnya di alam sana. Pada sebahagian dirimu, ada kasih dan cintanya yang tulus dan membara. Bukan harta dan kesenangan yang dia impikan, tetapi pengertian dan perhatian, bahawa dia adalah insan yang sentiasa dikasihi dan dicintai sehingga akhir usianya.

aisyahumaira 110514 / 8.45 am


0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat