" Risau betul kalau suka duduk di
samping keluarga je di hujung minggu.."
" Sungguh menyedihkan tidak sanggup
bekerja overtime.."
" Kenapa tidak stay lama di pejabat,
bukankah kerjaya adalah satu amanah...?"
" Teruknya, bila ada cuti, fikir nak
balik kampung sahaja..."
Terngiang-ngiang kata-kata yang menjengah
pendengaran sewaktu menghadiri satu kursus baru-baru ini. Benar, tidak dapat
dinafikan bahawa besarnya amanah sesuatu jawatan dalam bidang pekerjaan.
Sesuatu yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Sekalung rasa
hormat dan kagum pada insan yang berkorban masa dan harta dalam bidang kerjaya
masing-masing. Semoga ada barakah yang mengiringi setiap usaha yang
bersungguh-sungguh sedemikian.
Namun alangkah...kita adalah insan yang
sering lupa. Ketika kita bimbang mengenai amanah 'jawatan formal', kita
seringkali lupa kita ada banyak jawatan lain yang juga kelak akan dipersoalkan
di sana nanti. Jawatan ‘tidak formal’ yang boleh jadi ia lebih besar dan
penting.
Allah SWT telah menganugerahkan kita dengan peranan
pelbagai yang perlu dipertanggungjawabkan. Kita juga ada 'jawatan' sebagai
anak, suami, isteri, ibu, bapa, sahabat, jiran, saudara dan pelbagai lagi yang
tak kurang pentingnya. Justeru, setelah kita berpenat payah di tempat kerja,
kita pulang jua dengan amanah lain yang perlu dilunasi. Bukanlah jika kita
tidak sudi berlama-lama di sesuatu tempat bererti ia tidak penting, cuma di
luar sana masih ada tugas yang perlu dilaksanakan sebagai hamba dan khalifah Allah.
SALING BERSANGKA BAIK
" Risau betul
kalau suka duduk di samping keluarga je di hujung minggu.."
Fikirkanlah kembali, mungkin dia adalah seorang ibu yang sedang
memikirkan rencana terbaik untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama
anak-anak di hujung minggu setelah berhempas pulas di sekolah pada hari biasa.
Pada anak-anak mereka ada hak yang perlu dilunasi lebih daripada sekadar
menyuap nasi setiap hari.
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ
خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ
وَلْيَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا (٩)
“Dan
hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di
belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap mereka.
Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka
mengucapkan perkataan yang benar.” (Surah An Nisaa’ 9)
" Sungguh
menyedihkan bila tidak sanggup bekerja overtime.."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin
adalah seorang isteri yang ingin pulang menyediakan keperluan suami kerana
menginsafi bahawa ada hak besar pada diri seorang suami seperti yang telah disampaikan
oleh baginda Rasulullah.
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ
لأَحَدٍ لأَمَرْتُ النِّسَاءَ أَنْ يَسْجُدْنَ لأَزْوَاجِهِنَّ لِمَا جَعَلَ
اللَّهُ لَهُمْ عَلَيْهِنَّ مِنَ الْحَقِّ
“Seandainya aku memerintahkan seseorang untuk sujud
pada yang lain, maka tentu aku akan memerintah para wanita untuk sujud pada
suaminya karena Allah telah menjadikan begitu besarnya hak suami yang menjadi
kewajiban isteri” (HR. Abu Daud no. 2140, Tirmidzi no. 1159, Ibnu
Majah no. 1852 dan Ahmad 4: 381. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pula berkata,
وليس على المرأة بعد حق الله ورسوله
أوجب من حق الزوج
“Tidak ada hak yang lebih wajib untuk ditunaikan
seorang wanita –setelah hak Allah dan Rasul-Nya- daripada hak suami”
(Majmu’ Al Fatawa, 32: 260)
" Kenapa tidak
stay lama di pejabat, bukankah kerjaya itu adalah satu amanah...?"
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah seorang
lelaki yang telahpun selesai menunaikan amanahnya di sekolah dan ingin pulang
berkhidmat kepada masyarakat setempat pula. Di sana sini ada amanah!
" Teruknya, bila
ada cuti je, fikir nak balik kampung sahaja..."
Fikirkanlah kembali, dia mungkin adalah
seorang anak yang ingin berbakti buat kedua orang tua di usia emas mereka dan
memilih untuk pulang bertemu mereka dengan lebih kerap. Apatah lagi ada yang
memotivasi dirinya bahawa redha Allah itu adalah pada redha ibu bapa
sebagaimana hadith baginda Rasulullah SAW : Keredhaan Allah terletak pada keredhaan
ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.
Ayuh
kita jadi insan yang saling bersangka baik, bukan hanya tahu melabel dan saling
menyalahkan antara satu sama lain. Selagi mana tugas yang ada dilaksanakan
dengan baik, janganlah cepat memandang buruk kerana kita tidak pernah tahu
situasi seseorang yang tidak sama seperti kita. Justeru, ketika kita memilih
untuk cemerlang di tempat kerja lebih daripada komitmen di rumah, semoga kita
menjadi orang yang berlapang dada dengan mereka yang memilih sebaliknya. Jika
kita adalah orang yang memilih untuk cemerlang di rumah lebih daripada kerjaya,
semoga kita bersangka baik dengan mereka yang memilih sebaliknya. Dan jika kita
adalah insan yang cemerlang di kedua-dua lapangan, bersyukurlah dan teruskan
usaha untuk istiqamah memberikan yang terbaik diniatkan hanya kerana Allah.
DEFINISI KEJAYAAN
Tugasan yang banyak dan sukar dijangka di alam
pekerjaan tidak sesekali akan membebaskan diri kita daripada tanggungjawab
menguruskan kehidupan dan keluarga. Jadilah cemerlang dalam menguruskan
kehidupan dunia dengan harapan untuk memperoleh kejayaan di akhirat, itulah
kejayaan yang hakiki.
Setiap orang berbeza cara mendefinisi kejayaan dalam hidup. Terlalu besar
dan luas maknanya. Semoga Allah meluruskan cara kita memandang amanah di dunia
ini dengan sebaik-baiknya, bukan hanya dari kaca mata dunia semata. Setelah
kita membuat pilihan akan keutamaan dalam hidup kita, tenang dan serahkanlah
kepada Allah, cukuplah Dia menjadi sebaik-baik Hakim yang menilai setiap usaha
sepanjang jalan mencari mardhatillah.