“Demi
sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. ” (Al-Baqarah: 15)
Mata saya masih ralit memandang
skrin telefon bimbit. Berita demi berita mengenai beberapa negeri yang ditimpa
bencana banjir sangat meruntun hati nurani. Kelaparan, kesejukan, kehilangan
harta benda dan ketakutan dikhabarkan antara ujian yang terpaksa ditempuhi
mangsa banjir. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Walaupun saya
sendiri antara yang berpengalaman menempuh banjir setiap tahun di kampung
tercinta, namun air bah kali ini di beberapa tempat tertentu benar-benar tidak
seperti biasa. Air melimpah sehingga mencecah atap kebanyakan rumah, memaksa
penghuninya berlari menyelamatkan diri hingga ke bukit berdekatan. Air semakin
naik, dan bertahan sehingga beberapa hari menyebabkan ada mangsa yang kelaparan
kerana bantuan sukar disampaikan di tempat tertentu. Tidak terkecuali, hospital
juga ditenggelami air sehingga bantuan perubatan terpaksa diberikan dalam keadaan
serba terhad.
Ujian datang bertamu, tanpa
pernah dapat dijangka. Sesekali alam berbicara, tanpa suara. Air yang selama
ini menjadi teman, kini menjadi musuh yang menakutkan. Kehadirannya yang
digemari kanak-kanak sebagai tempat bermain air banjir, kini mampu melemaskan. Dingin
air pada hening subuh kini boleh menyebabkan manusia menggigil ketakutan.
Bicara daripada alam ini, benar-benar menginsafkan.
Pasti ada sesuatu. Sesuatu yang
ingin dibicarakan pada manusia. Agar dapat mengetuk jiwa-jiwa manusia yang
mungkin telah lama ‘sakit’. Sakit kerana jauh daripada mengingati ALLAH, sakit
kerana sukar menyandarkan sesuatu hanya pada ALLAH. Ataupun, jika jiwa itu
telah basah mengingatiNya tiap ketika, alam itu bicarakan lagi agar Dia lebih
akrab, dekat dan melekat di jiwa mereka. Meninggalkan segala kepentingan dunia
yang selain kerana Dia.
Subhanallah, maka beruntunglah
insan-insan yang diuji itu. Pada mereka, ada perhatian luar biasa daripada
Tuhan.
MENCARI JAWAPAN
Maka di manakah jawapan terbaik
kepada setiap persoalan? Di mana ketenangan terbaik dapat ditemui memadam resah
yang kian menyelubungi diri?
Wahai orang-orang
yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah
berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153)
Dua S, sabar dan solat adalah dua
kunci yang diajarkan. Alangkah sedihnya, mendengar cerita daripada beberapa
teman yang terlibat di beberapa pusat pemindahan, masih ada yang tidak endah
dengan kewajipan solat. Waktu solat dibiarkan berlalu tanpa usaha untuk
mendirikannya. Pelbagai alasan yang diberikan untuk menguzurkan diri tanpa
sebab yang munasabah. Ketika tenang, tidak mampu sujud pada Allah, alangkah
malangnya jika ketika sukar juga semakin sombong denganNya. Tidak ada alasan
untuk tidak menunaikan tiang agama ini, meskipun dalam keadaan sukar selagi
masih berkemampuan. Kerana sesungguhnya, pada rukuk dan sujud itu akan terbit
ketenangan dan menyubur keredhaan pada setiap ujian yang melanda.
Saya membuka laman mukabuku,
melihat status yang dikongsikan di page Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, mengenai rukhsah solat yang diberikan
kepada yang memerlukan. Suka saya kongsikan kembali di sini, agar mampu
dimanfaatkan bersama.
Keharusan Jama’ Ketika Banjir
Ulama mengharuskan jama’ solat
Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran
tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka
yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid
(termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat,
1/185)
Ulama mazhab Syafie
mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian,
dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan
ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau
pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ;
Kifayatul Akhyar, 1/337)
Ulama mazhab Hanbali turut
mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang
istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan
untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari
Ibn Abbas
عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة
في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah
menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas
ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas
apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan
ummatnya.
Kesatuan ulama Fiqh sedunia
telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit
dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat
sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang
munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.
Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi (
Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini
terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan
rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya
dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan
serba kurang. Air bersih terlalu terhad. Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN
untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan
kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar
untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan
kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat
jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.
Jika terlalu terdesak dan
tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih
dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu. Cuma para ulama bersepakat jika
solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat
adalah batal dan tidak sah. Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir
adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering
sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan
sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah
berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir.
KITA DI SINI
Di sana, mereka diuji dengan
bencana. Di sini, kita diuji dengan rasa kemanusiaan. Di saat-saat genting ini,
kita melebur keegoan, bersatu membantu mereka yang memerlukan nun di daerah
sana. Tanpa mengharap balasan. Juga tanpa saling merendahkan antara satu sama
lain yang membantu mengikut kadar kemampuan masing-masing. Ada yang mampu
menghulur bantuan berbentuk kewangan, ada yang mampu turun padang menyingsing
lengan bersama-sama mereka yang ditimpa bencana alam. Ada pula yang mampu
meninta di laman sosial, membuahkan sedar pada yang membaca. Tidak kurang
hebatnya senjata pada si pendoa, yang berdoa dengan penuh keikhlasan dalam titis
air mata di hening pagi. Cuma awas, jangan jadi yang tidak berbuat apa-apa
selain daripada hanya tahu menuding jari dan bersangka-sangka dengan orang lain.
Ya ALLAH, jangan biarkan hati
kami yang ‘lemas’ dalam kebanjiran nikmat dan kesenangan.
Nur A'isyah Humaira Ismail