Tuesday, December 30, 2014

Bicara Daripada Alam

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan  kelaparan dan  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. ” (Al-Baqarah: 15)

Mata saya masih ralit memandang skrin telefon bimbit. Berita demi berita mengenai beberapa negeri yang ditimpa bencana banjir sangat meruntun hati nurani. Kelaparan, kesejukan, kehilangan harta benda dan ketakutan dikhabarkan antara ujian yang terpaksa ditempuhi mangsa banjir. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Walaupun saya sendiri antara yang berpengalaman menempuh banjir setiap tahun di kampung tercinta, namun air bah kali ini di beberapa tempat tertentu benar-benar tidak seperti biasa. Air melimpah sehingga mencecah atap kebanyakan rumah, memaksa penghuninya berlari menyelamatkan diri hingga ke bukit berdekatan. Air semakin naik, dan bertahan sehingga beberapa hari menyebabkan ada mangsa yang kelaparan kerana bantuan sukar disampaikan di tempat tertentu. Tidak terkecuali, hospital juga ditenggelami air sehingga bantuan perubatan terpaksa diberikan dalam keadaan serba terhad.

Ujian datang bertamu, tanpa pernah dapat dijangka. Sesekali alam berbicara, tanpa suara. Air yang selama ini menjadi teman, kini menjadi musuh yang menakutkan. Kehadirannya yang digemari kanak-kanak sebagai tempat bermain air banjir, kini mampu melemaskan. Dingin air pada hening subuh kini boleh menyebabkan manusia menggigil ketakutan. Bicara daripada alam ini, benar-benar menginsafkan.

Pasti ada sesuatu. Sesuatu yang ingin dibicarakan pada manusia. Agar dapat mengetuk jiwa-jiwa manusia yang mungkin telah lama ‘sakit’. Sakit kerana jauh daripada mengingati ALLAH, sakit kerana sukar menyandarkan sesuatu hanya pada ALLAH. Ataupun, jika jiwa itu telah basah mengingatiNya tiap ketika, alam itu bicarakan lagi agar Dia lebih akrab, dekat dan melekat di jiwa mereka. Meninggalkan segala kepentingan dunia yang selain kerana Dia.

Subhanallah, maka beruntunglah insan-insan yang diuji itu. Pada mereka, ada perhatian luar biasa daripada Tuhan.

MENCARI JAWAPAN

Maka di manakah jawapan terbaik kepada setiap persoalan? Di mana ketenangan terbaik dapat ditemui memadam resah yang kian menyelubungi diri?

Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153)

Dua S, sabar dan solat adalah dua kunci yang diajarkan. Alangkah sedihnya, mendengar cerita daripada beberapa teman yang terlibat di beberapa pusat pemindahan, masih ada yang tidak endah dengan kewajipan solat. Waktu solat dibiarkan berlalu tanpa usaha untuk mendirikannya. Pelbagai alasan yang diberikan untuk menguzurkan diri tanpa sebab yang munasabah. Ketika tenang, tidak mampu sujud pada Allah, alangkah malangnya jika ketika sukar juga semakin sombong denganNya. Tidak ada alasan untuk tidak menunaikan tiang agama ini, meskipun dalam keadaan sukar selagi masih berkemampuan. Kerana sesungguhnya, pada rukuk dan sujud itu akan terbit ketenangan dan menyubur keredhaan pada setiap ujian yang melanda.

Saya membuka laman mukabuku, melihat status yang dikongsikan di page Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, mengenai rukhsah solat yang diberikan kepada yang memerlukan. Suka saya kongsikan kembali di sini, agar mampu dimanfaatkan bersama.

Keharusan Jama’ Ketika Banjir
Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas

عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad. Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu. Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah. Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir. 

KITA DI SINI

Di sana, mereka diuji dengan bencana. Di sini, kita diuji dengan rasa kemanusiaan. Di saat-saat genting ini, kita melebur keegoan, bersatu membantu mereka yang memerlukan nun di daerah sana. Tanpa mengharap balasan. Juga tanpa saling merendahkan antara satu sama lain yang membantu mengikut kadar kemampuan masing-masing. Ada yang mampu menghulur bantuan berbentuk kewangan, ada yang mampu turun padang menyingsing lengan bersama-sama mereka yang ditimpa bencana alam. Ada pula yang mampu meninta di laman sosial, membuahkan sedar pada yang membaca. Tidak kurang hebatnya senjata pada si pendoa, yang berdoa dengan penuh keikhlasan dalam titis air mata di hening pagi. Cuma awas, jangan jadi yang tidak berbuat apa-apa selain daripada hanya tahu menuding jari dan bersangka-sangka dengan orang lain.

Ya ALLAH, jangan biarkan hati kami yang ‘lemas’ dalam kebanjiran nikmat dan kesenangan.

Nur A'isyah Humaira Ismail



0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat