“Adikku, kita ini
hanyalah masa-masa dari hari-hari yang dilalui...beredar sesaat, seminit, sejam
beerti hilang juga sebahagian diri...
Mari
kita hayati firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini :
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما
تنفقوا من شيء فإن الله به عليم
"Kamu
sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan
sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka
sesungguhnya Allah mengetahuinya."
(
Surah Ali Imran, 3: 92)
Ke
mana perhubungan ini mahu kita bawa? Dan berapakah lagi tempoh masa yang ada?
Soalan pertama di bawah tadbir kita, soalan kedua biar Allah yang
menentukannya. Moga ukhuwwah yang ditakdirkan ini lebih bernilai di sisi ILAHI,
sebagai pemberat amal kebajikan di sana nanti, ameen. Uhibbuki fillah”
Saya membaca
bicara kakanda yang dikasihi melalui mesej yang dihantar pada hari lahir saya
yang lepas. Ada nasihat yang boleh direnungi sebagai ingatan buat diri ini.
Benarlah, kita ini adalah sebahagian daripada masa, akan pergi setelah
berlalunya masa. Sehinggalah, sudah tidak ada lagi masa yang menjadi bahagian
kehidupan kita menandakan telah tiba saatnya kita kembali kepada yang Esa.
Ketika itu, biarpun masa telah tiada buat diri kita, namun masih ada amal soleh
yang dibawa bersama untuk dipersembahkan kepadaNya kelak.
“Masa sekarang cepat sangat rasanya, baru sahaja hari minggu, dah sabtu
semula." Tanpa sedar saya mengeluh meluahkan apa yang dirasai.
Suami membalas keluhan saya dengan kata-katanya yang berinti nasihat,
"Tidak perlu cemas, risau dan memerhati masa itu cepat atau lambat, apa
yang lebih perlu adalah fokus dan perhatikan adalah untuk segera isikan setiap
detik yang ada dengan sesuatu yang penting untuk dunia dan akhirat. Biarlah
masa itu berlalu, itu memang sifatnya, cuma pastikan agar umur, amalan &
ilmu kita tidak kekal berlalu hambar bersama perginya masa.”
Belajar
mengurus masa
“Lakukanlah daripada amalan (ibadat) yang kamu mampu. Kerana
sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu yang akan jemu. Sebaik-baik amalan
kepada Allah itu ialah berterusan walaupun sedikit” (HR Bukhari dan Muslim)
Ibnu ‘Ata
menyatakan di dalam kitabnya al Hikam ;
“ Kerugian
yang sebenar ialah apabila kamu meluangkan masa lapang kamu tanpa melakukan
sebarang pekerjaan”
Antara aspek
yang penting dalam kehidupan seharian adalah mengenai cara untuk menguruskan
masa. Pengurusan masa yang baik dapat membantu seseorang melaksanakan amanah
dan tanggungjawab yang pelbagai. Kerana masa yang diberikan adalah sama kepada
semua makhluk iaitu selama 24 jam. Namun, terpulang kepada setiap individu
tentang bagaimana cara untuk mengisi dan memanfaatkannya dan tidak
membiarkannya kosong tanpa sebarang amal baik
1.
Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian 3. kecuali orang-orang
Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran
serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Setiap detik
masa adalah berharga dan memiliki keistimewaan yang tersendiri. Malah di dalam
Islam sendiri, ada digariskan keutamaan bagi masa-masa yang tertentu. Sebagai
contoh, waktu sepertiga akhir malam pada setiap Ramadhan dan hari jumaat adalah
waktu yang baik untuk berdoa dan beribadat kepada Allah. Ini dapat dilihat di
dalam firman Allah :
79.
dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah
"sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu;
semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang
Terpuji.
Kualiti
masa
Rasulullah bersabda:
“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu;
waktu untuk berdoa, memohon kepada Allah, waktu ia menghitung diri
sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk
ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.”(HR Ibnu Hibban).
Dalam kita menghadapi situasi semasa yang menyebabkan kita merasakan
masa makin cepat berlalu, adalah satu kewajipan untuk menyusun atur jadual
kehidupan dengan sebaiknya walaupun mungkin agak lelah mengejar dan
memanfaatkan masa. Saya masih ingat ketika mengikuti suami ke berprogram baru-baru ini, saya yang hanya mengikut pula rasa keletihan kerana seharian
penuh terisi bermula awal pagi perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Johor.
Namun, akhirnya saya malu sendiri kerana melihat suami yang masih bertenaga
sehingga ke ceramah yang terakhir untuk hari itu usai solat isyak. Benarlah, masa yang sama, dengan kuantiti yang sama. Hanya pengurusan kualiti yang berbeza bagi setiap individu.
Biarpun sejak akhir-akhir ini manusia diuji dengan
kekangan masa kerana tanggungjawab dan cabaran yang pelbagai seperti kesesakan
jalan raya dan sebagainya, namun tetap sahaja masa itu ada untuk memenuhi
keperluan manusia. Antara
aspek penting yang perlu difahami mengenai masa adalah kualiti yang terhasil
daripada keberkatan masa. Saya teringat kata-kata suami suatu ketika dahulu.
“Keberkatan masa akan menjadikan yang sedikit dirasakan cukup. Jika tidak
berkat, masa yang banyak pun tidak membawa apa-apa manfaat”.
Benarlah, masa
akan sentiasa ada bagi yang mencari dan menghargai. Masa akan sentiasa tidak
mencukupi, bagi yang beralasan dan tidak menghargai. Saya memuhasabah diri,
terlalu banyak kelompongan dalam mengisi setiap detik nafas yang bersisa.
Ya Allah!
Jadikanlah sebaik-baik umurku di akhirnya, sebaik-baik amalanku pada
penutupnya, dan sebaik-baik hariku, adalah hariku bertemu denganMu.
Buat
mengakhiri catatan ini, ayuh bertanya pada diri. Ke mana telah telah kuhabiskan
masa-masa yang telah berlalu?
0 comments:
Post a Comment