Sunday, February 1, 2015

Mereka yang ku kenal



Alhamdulillah syukur pada ALLAH yang masih mengizinkan diri ini melalui hari-hari dalam kehidupan.

Terlalu banyak yang boleh direnungi, melihat di kiri kanan insan-insan yang berjuang di 'medan sementara' bernama dunia ini.

Ada wanita yang bergelar isteri, turut sama membanting tulang bekerja membantu suami melengkapkan kehidupan berumahtangga. Namun tidak lepas pula daripada melunasi amanah seorang suri dan ibu sebaik pulang ke rumah. Wang gaji yang diperoleh pula hampir semua 'dilaburkan' untuk akhirat dengan 'sedeqah' saban ketika untuk keluarga dan anak-anak. Tanpa rungutan, tanpa ada rasa berat hati. Namun dalam penat  mereka tenang, bahagia. Dan kasih antara mereka tetap kian erat, berbunga.

Aku kian cemburu, pada jiwa kuat mereka bernama isteri. 

Ada wanita pula sungguh teringinkan cahaya mata, tidak perlu ramai cukuplah seorang untuk melepaskan resah yang mengusik jiwa. Namun belum ditaqdirkan untuk memilikinya. Mereka menangis, namun disembunyikan. Mereka sedih, disandarkan pada Ilahi. Siapa tahu jika setiap rasa syukur dan sabar memberikan mereka kelebihan lebih daripada wanita bergelar ibu.

Ada pula seorang ibu muda, mengimpikan kehidupan panjang bersama suami. Namun siapa tahu suaminya pergi dahulu bertemu Ilahi. Meninggalkan isteri dan cahaya hati, tanpa pesan tanpa apa-apa. Hanya iman menjadi penguat, untuk meneruskan kehidupan. Dan kulihat wanita tadi masih mampu tersenyum, menghadapi baki-baki perjalanan. Meskipun derita hati hanya Allah jua yang tahu.

Ada wanita pula belum dikurnia rezeki bergelar isteri, mereka diam dan munajat dalam penantian. Namun senyum tetap terukir saban hari. Sabar dan tabah. Meskipun gelora di jiwa tak siapa yang tahu. Allah, siapa sangka jika setiap saat berlalu adalah buah-buah pahala untuk dirasa hasilnya di sana kelak.

Aku jua cemburu, pada jiwa tabah mereka menjalani perjalanan hidup yang ditaqdirkan.

ALLAH itu Maha Adil, pada setiap hambaNya. Aku kian menginsafi, istimewanya seseorang bukan pada 'kelebihan' dan 'keistimewaan' di mata insan. Bukan pada wajah yang mempesona, pakaian yang bersarung, bukan jua pada tutur kata yang mampu memikat. Cuma pada jiwa yang qanaah,pada setiap aturan dan taqdir.

Dan, setiap yang berlaku adalah untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran,untuk diinsafi. Bukan sekadar mendabik dada, merasakan kita yang lebih baik dengan segala 'kelebihan' yang dirasakan ada. Buka mata, pandang dunia, kita akan tersungkur kerana berjumpa dengan ramai orang yang lebih istimewa di sisi Tuhan.

Namun, bukan bererti kita akan merasa jatuh selamanya, hanya jatuh untuk bangkit sebagai kekuatan dan keinsafan, supaya terus berjuang dan bermujahadah dalam corak ujian tersendiri.

Terima kasih ya ALLAH, memberikanku peluang berkenalan dengan mereka,yang cukup menginspirasi.



0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to Tinta Wardah Design with love by CikBulat