“Hidup ini senang kan, kalau semuanya mengikut apa yang kita mahukan?”
bicara gadis remaja itu seakan ringkas untuk difahami. Namun saya diam, ada
sesuatu yang cuba disampaikan. Tangan saya tidak berhenti, masih ralit membantu
ibu menganyam ketupat palas yang disediakan sebagai juadah untuk hari raya yang
bakal menjelang tiba.
“ Tapi sayang, tak semua yang kita mahukan kita akan dapat…” dia
menyambung. Masih meluahkan rasa. Saya senyum menyambut kata-katanya. “Setuju. Betul
juga ya, kalau kita minta dengan Tuhan supaya semua ketupat palas ini siap
tersedia kan best? Aduh, dah sakit jari jemari kita ni. Jenuh nak habiskan
kesemua pulut yang ada..” saya mengiyakan dengan gurauan manja. Dia tergelak. “
Ish….!” gadis itu menampar lembut bahu saya. Saya mengambil peluang yang ada
cuma sesekali ini untuk bersembang dengan anak saudara yang kini sudah
menginjak usia 18 tahun.
“ Cuba bayangkan, semua orang minta bermacam-macam perkara. Dan Allah
mengabulkan semua permintaan kita. Agak-agaknya apa akan jadi pada dunia? Semua
orang minta kaya, senang dan bahagia, tanpa ujian. Tiada yang sudi berpayahan bekerja
mengangkut sampah, tiada yang ingin berpenat lelah menguruskan pejabat dan
sekolah, tiada yang ingin bekerja membaiki lampu dan kipas dan macam-macam
lagi. Agaknya macam mana ya?” saya masih belum mengalihkan pandangan daripada
jemari yang sedang menganyam ketupat, tugas tahunan apabila pulang beraya di
Terengganu.
Kali ini, saya memandang wajahnya sambil melemparkan senyuman. Penuh
makna.
DENGAN RASA ‘KECUKUPAN’
Kehidupan ini indah pada setiap aturan Dia, hingga tak perlu untuk
setiap insan merasa sempurna untuk bahagia. Kerana bahagia mampu hadir hanya
dengan rasa ‘kecukupan’. Kecukupan pada setiap inci nikmat dan cabaran. Si
pemungut sampah, yang kerja hariannya bergelumang dengan ‘busuk’ dan ‘kotor’
sampah yang dikutip, boleh jadi lebih bahagia daripada insan lain. Hatinya
terasa puas berkhidmat dan berbakti, kepada insan lain yang mensyukuri
kebersihan, rezekinya ‘berlimpah’ kerana berkat yang menjadikannya cukup untuk
kegunaan isteri dan anak-anak tercinta dan hatinya tenang menjalankan kerja
halal lagi baik tanpa hasad dan iri insan lain di sekelilingnya. Dia pulang ke
rumah dengan jiwa besar, disambut pula dengan bahagia oleh ahli keluarga yang
sangat berterima kasih kepada dirinya. Dan malamnya berlalu dengan senyum dan
bahagia, yang dicemburui oleh insan-insan yang sedang mendambakan bahagia
walaupun sedang diulit beribu kesenangan duniawi.
Saya teringat perbualan dengan bonda suatu ketika dahulu, tentang
kepayahannya semasa muda, membesarkan anak-anak terutama semasa hampir kesemua
anak di universiti yang memerlukan pengorbanan wang, masa dan tenaga. Namun
kini, setelah anak-anak menginjak dewasa, yang payah kian beransur ringan,
menjadikan rasa syukur jua kian bertambah setelah mengenang kepayahan dulu yang
mahal harganya. Begitulah barangkali, pelangi yang terbit setelah hujan.
“ Walaupun dengan kewangan yang terhad, kemudahan yang serba kurang,
namun kehidupan ketika itu dirasakan cukup dan tenang. Tidak jauh bezanya
dengan perasaan sekarang, setelah hidup makin mudah dan lengkap. Alhamdulillah,
dulu dan kini semuanya adalah anugerah ALLAH. Yang penting, usah disesali apa
yang telah berlalu” jelas bonda, mensyukuri masa dahulu jua masa sekarang. Saya
menyentuh tangan tua itu, mengalirkan rasa sebak dan kasih yang tak
berpenghujung.
KUASA DOA
Syukur pada ALLAH, menjadikan kita seorang manusia yang bernafas dalam
jiwa Islam, Dia telah mengurniakan suatu senjata terbaik ketika waktu senang dan
sukar. Itulah istimewanya kuasa doa. Kuasa yang melangkaui ruang dan jarak,
melonjak menembusi langit bertemu dengan Tuhan tanpa hijab.
Saya teringat pada inti ceramah yang sempat dihadiri baru-baru ini.
Seorang suami mungkin sedang berdoa untuk berpoligami dalam batas kemampuan dan
keinginannya. Sedangkan isteri sedia adanya sedang berdoa untuk tidak
dipoligami agar tidak sukar dalam usaha menjadi isteri yang berbakti. Dan di
sana ada seorang wanita sedang berdoa agar dipertemukan jodohnya dengan seorang
lelaki yang terbaik untuk dirinya, sebagai pendamping dan pemimpin.
Subhanallah, dengan kebijaksanaan Allah yang tiada tara, Dia mungkin sahaja
sedang menghimpunkan kebaikan yang terselit melalui episod poligami buat
ketiga-tiga insan yang sedang bermunajat itu. Lantas, Dia mengizinkan poligami
terjadi, dan hari demi hari mendatang akhirnya akan tersingkap hikmah sedangkan
perkara itu mungkin tampak sungguh tidak sempurna pada awalnya. Kerana semuanya
terjadi dengan izin Allah, bukan izin manusia meskipun manusia tidak mampu
redha dengan apa yang telah ditaqdirkanNya.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan
boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah
mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Tiada yang lebih membahagiakan buat jiwa seorang hamba selain daripada
masa duduk berdua-duaan dengan Allah robbul ‘Izzati, merintih menyesali dosa,
mengharap memohon keampunan dan meminta kebaikan yang diinginkan oleh sekeping
hati. Berdoalah kerana sesungguhnya semakin kita mengharap, semakin dekat
hubungan hamba dengan Tuhannya. Malah jika semakin banyak kita memohon ampun
dan taubat, semakin dekat pula rahmat Tuhan menghampiri. Sungguh berbeza dengan
tabiat manusia, yang seringkali mudah bosan dan jemu disua maaf yang tidak
berkesudahan.
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka
hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan
hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah
al-Baqarah: 186).
Allah menyukai, malah menyuruh hamba-hambaNya memperbanyakkan doa dalam
menelusuri setiap saat dalam kehidupan yang menguji .
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur
daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan
hina (surah Ghafir: 60).
Semua doa yang baik pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Dan jika tidak,
pasti ada beberapa perkara yang menyebabkannya terhalang dan boleh dimuhasabah
bersama. Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, telah ditanya mengenai mengapa
doa ditolak dan dia telah berkata :
"Doa ditolak kerana beberapa sebab iaitu iaitu ;
1. Kita
mengenal Allah tetapi segala hak yang diamanahkan kepada kita tidak
dilaksanakan.
2. Sunnah
Rasulullah SAW diremehkan walau kita menyintainya.
3. Al
Quran dibaca siang dan malam tetapi kita tidak beramal dengannya.
4. Tidak
bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.
5. Syaitan
dijadikan sahabat walaupun lidah mengatakan ia adalah musuh.
6. Kita
tidak beramal dengan bersungguh-sungguh walau kita tahu syurga itu benar.
7. Maksiat
kita lakukan berleluasa walaupun kita tahu neraka itu adalah balasan untuk
orang-orang yang melakukannya.
8. Tidak
menyediakan bekalan hari akhirat walaupun kita tahu mati itu benar.
9. Sentiasa
mencari kesalahan dan keaiban orang lain tetapi tidak memerhatikan keaiban diri
sendiri
Tidak
mengambil iktibar dan pengajaran setelah menguburkan orang mati.
Berdoalah perkara yang baik-baik sementara masih diberi peluang. Usah
disesali doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT telah berjanji akan adanya
akhirat yang menanti.
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya
dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya
salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan
untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan
dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).
Adakah seorang ibu tidak menyayangi anaknya jika dia tidak menunaikan
permintaan anaknya yang sedang menangis kerana berhajat kepada gula-gula?
Sedangkan si ibu lebih tahu baik buruk perkara yang dihajati. Sebagaimana Allah
lebih tahu perkara yang lebih baik untuk diberikan kepada hambaNya meskipun dia
sedang sangat berhajat akan sesuatu!
INDAH PADA ATURAN DIA
“ Kita kena sentiasa sedar dan faham bahawa kehidupan kita semuanya
adalah tertakluk kepada ALLAH yang Maha Tahu. Berbanding dengan kita yang serba
tidak tahu. Sebagai hamba, Allah menyediakan kepada kita satu medium untuk
berhubung dengannya tanpa hijab iaitu doa. Berdoalah dan apabila berdoa jangan hanya berdoa agar dikabulkan
semua permintaan kita, tetapi berdoalah agar ALLAH memberikan kita apa yang
terbaik untuk kehidupan ini. Tidak semua yang kita suka adalah baik untuk kita
tetapi semua yang Allah suka adalah yang terbaik untuk diri kita” bicara akhir
saya perlahan, tidak lain sebenarnya adalah buat peringatan diri sendiri dan
anak gadis itu yang sedang mengharapkan sedikit suntikan buat bekal menghadapi
hari mendatang.